Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis latih ibu tunggal B40 miliki kemahiran jana pendapatan

PETALING JAYA, 22 FEB: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) akan melancarkan program membentuk kemahiran ibu tunggal berpendapatan rendah (B40) bagi menjana pendapatan.

Yang Dipertuanya berkata program Nur Pekawanis dijangka bermula bulan depan dengan menawarkan empat kemahiran iaitu menjahit, penyediaan makanan sejuk beku dan urutan spa serta solekan wajah.

“Peserta program akan dilatih dari awal sehingga mereka mampu menjana ekonomi sendiri malah akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri menerusi agenda digitalisasi yang dilaksanakan.

Datin Seri Masdiana Muhamad ketika tinjauan Saringan Bersasar Komuniti di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita turut sasarkan mereka menjadi ikon selain berpotensi sebagai tenaga pengajar untuk peserta lain,” katanya Datin Seri Masdiana Muhamad.

Terdahulu, beliau mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Komuniti PJS 6.

Menurutnya, sesi pembentangan dan demonstrasi dari semua pengajar sudah dijalankan sebagai tindakan memastikan program berjalan lancar.

Categories
NASIONAL

Banyak permohonan kemasukan TVET tapi peluang terhad

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhadapan masalah menempatkan pelajar ke pusat institusi kemahiran walaupun menerima permohonan kemasukan hampir 140,000 sejak 2016 hingga 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata sehingga kini, tujuh peratus daripada murid lepasan tingkatan tiga mengikuti pendidikan vokasional di bawah institusi pendidikan dibawah KPM.

“KPM sedang mengkaji segala bentuk peluang yang membolehkan pemberian peluang kepada anak muda khususnya masih berada di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di Dewan Rakyat.

Pada 2016 sebanyak 72,000 permohonan kemasukan ke institut kemahiran diterima dengan kapasiti peluang sebanyak 16,000 manakala 66,000 permohonan dengan 17,000 peluang bagi tahun 2017.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kementerian melaksanakan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain itu, Kementerian Kerjaya Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut terlibat dengan penyelarasan oleh Kementerian Sumber Manusia.

“KPM turut melakukan tiga fasa promosi untuk meningkatkan kadar kemasukan pelajar dengan fasa pertama adalah proses pengambilan pelajar ke kolej vokasional.

“Fasa kedua adalah mempromosikan aktiviti pelajar dalam kolej vokasional dan memberikan penjelasan bahawa pelajar vokasional berpeluang memperoleh pekerjaan dengan pendapatan lumayan selain menjadi usahawan muda,” katanya.

Mengulas soalan tambahan dikemukakan Nurul Izzah yang menyentuh soal pengurusan tabung memperkasa pelan induk pembangunan TVET bernilai RM4.9 bilion, Kamalanathan menjelaskan KPM akan memantau segala aktiviti perbelanjaan yang dilakukan dengan meletakkan wakilnya di dalam setiap jawatankuasa induk.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor bakal bina lebih banyak institut kemahiran, tingkat kemahiran belia

Oleh: NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 17 MEI: Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak institut latihan kemahiran di negeri itu terutama dalam usaha meningkatkan kemahiran belia.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata pelaksanaan itu juga bagi menampung pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi.

Katanya, kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengutarakan pendapat yang sama dalam sidang dewan negeri, baru-baru ini.

03“Ramai ADUN yang mahu kolej latihan kemahiran seperti kolej INPENS diwujudkan lebih banyak di negeri ini. Jadi, ia sangat relevan dan kita akan berusaha ke arah itu,” katanya pada masjlis perasmian karnival konvokesyen di Kolej INSPENS, di sini.

Halimah berkata, menjadi keperluan kepada Kerajaan Neberi mewujudkan pendidikan berasaskan kemahiran bagi pelajar membina masa depan.

“Kita tidak mahu lambakan belia yang tidak mempunyai masa depan. Kerajaan negeri juga mahu sistem pendidikan yang ada ketika ini dapat diubah selaras keperluan semasa.

Katanya, sistem pendidikan lebih cenderung kepada pembangunan modal insan wanita.

“Ia tidak berkesan kepada lelaki. Di pusat pengajian, wanita lebih ramai, manakala untuk lelaki bukan kerana mereka tidak mampu tetapi ia tidak berkesan.

06“Saya tiada suara dalam kementerian, tetapi kita akan lihat bagaimana perlaksanaan itu di negeri ini nanti,” katanya.

Pada masa sama, Halimah mahu majlis dialog belanjawan 2015 yang akan diadakan pada Jun ini dapat digunakan dengan sebaiknya bagi institut pengajian di bawah Kerajaan Negeri.

“Seperti INPENS, mereka boleh mengemukakan cadangan atau penambahbaikan demi kemajuan kolej dan kita dapat menggunakan bajet itu dengan sebaiknya,” katanya.

-NFN-