Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah pemergian Sasterawan Negara, Kemala

SHAH ALAM, 27 OKT: Dato’ Menteri Besar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang meninggal dunia hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman.

“Menerima khabar dukacita Sasterawan Negara Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) telah menghembuskan nafas terakhir hari ini.

“Allahyarham merupakan penerima Anugerah Sasterawan Selangor 2005,” katanya menerusi Facebook.

Allahyarham yang berusia 80 tahun dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12 tengah hari selepas berada dalam keadaan uzur berikutan beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang.

Untuk rekod, Ahmad Kamal pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1968 sebagai penolong penyunting sebelum menjadi pengarang majalah Dewan Sastera.

Sebelum bersara pada 1969, beliau bertugas sebagai ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sasterawan Negara, Kemala, meninggal dunia

SHAH ALAM, 27 OKT: Sasterawan Negara, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala, meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini.

Kematian Allahyarham disahkan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, lapor Berita Harian.

Menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar dunia sastera Malaysia, Mohamad Saleeh berkata Ahmad Khamal berada dalam keadaan uzur kerana beberapa penyakit termasuk komplikasi buah pinggang sebelum menghembuskan nafas akhir.

“Sumbangannya bukan sahaja dalam bentuk karya puisi, kritikan, dan prosa yang bermutu tinggi dan menjadi antara ikon sastera tanah air, malah gerakan sastera yang dilancarkan beliau sebagai aktivis memberikan kesan yang besar dalam perkembangan sastera dan jalinan sastera di peringkat antarabangsa.

“PENA sangat menghargai sumbangannya selama ini dan untuk mengenang jasa serta sumbangan beliau, kerajaan diharap dapat merancang sesuatu yang bermakna dan monumental sifatnya,” katanya.

Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Facebook menyifatkan pemergian Allahyarham satu kehilangan yang besar kepada negara khasnya dalam dunia sastera tanah air.

“Allahyarham memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan sastera tanah air dan nusantara.

“Allahyarham sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dan bergiat aktif bersama-sama DBP demi bahasa dan persuratan Melayu,” katanya.

Ahmad Kamal, 80, pernah bertugas di DBP bermula pada tahun 1968 bermula sebagai penolong penyunting, sebelum menjadi editor majalah-majalah sastera dan berbagai lagi dan sebelum bersara pada 1996 sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan.