Categories
AGENDA NASIONAL

Juruterbang maut, satu lagi cedera nahas pesawat pejuang TUDM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang, malam semalam (16 Nov).

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan berkata Kapt Mohamad Affendi Bustamy meninggal dunia dalam nahas itu sementara Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

TUDM berkata nahas di Pangkalan Udara Butterworth, itu berlaku kira-kira 10.07 malam pada Selasa ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

“Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih. TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan insiden ini,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan tengah malam tadi.

Susulan itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden dan menyiasat punca kejadian membabitkan pesawat pejuang Hawk 108 yang berlaku malam tadi.

Beliau berkata insiden intu dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan cedera…amat sedih dan dukacita terima berita ini. Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera,” kongsi beliau menerusi ciapan Twitter, tengah malam ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit dalam insiden itu.

-BERNAMA

 

 

Categories
SELANGOR

Imam kedua surau di Taman Bukit Kajang maut dilanggar kereta imam pertama

SHAH ALAM, 12 NOV: Imam kedua sebuah surau di Taman Bukit Kajang, Kajang maut manakala seorang lagi jemaah parah dilanggar kereta dipandu imam pertama surau berkenaan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa yang juga pesara berusia 78 tahun dan rakannya yang juga pesara berusia 76 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah di surau terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama itu.

“Dua mangsa berada di pekarangan surau ketika pemandu Perodua Myvi mengundurkan keretanya dari bahagian lot parkir sebelum terlanggar sedikit bahagian belakang sebuah kenderaan lain.

“Akibat pelanggaran itu, imam pertama berusia 76 tahun itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya,” lapor Berita Harian.

Azman berkata, imam kedua itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami patah lutut kanan dan patah pergelangan kaki kiri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas syarikat penyiaran maut dilanggar kereta ketika berbasikal

CYBERJAYA, 22 OKT: Kegembiraan seorang petugas syarikat penyiaran melakukan aktiviti berbasikal dengan basikal baharu, bertukar tragedi apabila beliau maut dalam kemalangan di KM 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil/Puchong) menghala ke Cyberjaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi itu, Jeffry Aziz, 57, yang menunggang basikal tersebut dari arah Puchong dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh kereta Perodua Bezza yang keluar dari susur keluar Putrajaya/Bangi, dipandu seorang wanita berumur 28 tahun.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata akibat perlanggaran tersebut, Jeffry yang ketika itu dipercayai berbasikal di lorong ketiga jalan tersebut tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemandu wanita itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffry yang merupakan kakitangan Astro Production Sdn Bhd dalam perkongsian menerusi laman Facebook Trek Fans pada Ahad lepas menunjukkan beberapa gambar beliau melakukan aktiviti berbasikal bersama basikal baharunya yang berwarna hitam biru selain membuat catatan ‘my new bike day’.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata laluan tersebut adalah jalan biasa dan bukanlah lebuh raya, serta tidak mempunyai papan tanda larangan berbasikal.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia adalah dilarang.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata mayat Jeffry dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala pemandu wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas jalan raya meningkat setiap kali beralih fasa PKP

SHAH ALAM, 16 OKT: Jumlah nahas jalan raya seluruh negara meningkat setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, kata pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Datuk Mat Kasim Karim beberapa fasa PKP yang dilaksanakan termasuk PKP 1, PKP 2 dan PKP 3, selain Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), lapor portal Berita Harian.

Jelas beliau, kenderaan dipandu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan antara punca kemalangan maut berlaku.

“Saya mengambil data bagi pelaksanaan PKP 1 yang merekodkan sebanyak 5,948 kemalangan, membabitkan 51 kemalangan maut dan 58 kematian, manakala PKP 2 pula mencatatkan 4,693 kemalangan meliputi 54 kemalangan maut serta 56 kematian.

“Bagi tempoh PKP 3 pula, sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan, membabitkan 63 kemalangan maut dan 65 kematian, manakala ketika PKPP pula, sebanyak 102,240 kemalangan dilaporkan dengan 835 kemalangan maut serta 907 kematian,” katanya

Susulan itu, Mat Kasim berkata tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi menentukan kepatuhan pengguna kepada peraturan serta undang-undang jalan raya, sekali gus mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut.

Categories
AGENDA NASIONAL

11 maut daripada 88 kemalangan babit penunggang p-panggilan di Selangor

PETALING JAYA, 12 OKT: Sebanyak 11 kematian direkodkan membabitkan penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan p-panggilan tahun ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berkata jumlah itu berdasarkan 88 kes kemalangan yang dilapor sejak Januari hingga Ogos lalu.

“Daripada jumlah itu juga 12 penunggang parah, manakala 65 lagi mengalami kecederaan ringan,” kata Nazli Md Taib selepas operasi khas (Ops Merah) di laluan motosikal di sini, hari ini.

Beliau berkata data yang diperoleh dari Trafik Bukit Aman itu membimbangkan kerana Selangor antara penyumbang angka kematian tertinggi seluruh negara.

Katanya, angka kematian membabitkan p-panggilan seluruh negara adalah 36 kes dengan 11 sahaja di Selangor, manakala cedera parah seluruh negara 31 kes dan di Selangor pula 12 kes.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya mula menjalankan Ops Merah selama sebulan bermula 8 Oktober sehingga 7 November ini di beberapa lokasi di seluruh negeri.

“Operasi ini bukan sahaja untuk mengesan kesalahan malah advokasi dengan pihak kita memberikan vest pantul cahaya dan risalah berkaitan keselamatan,” katanya.

Berdasarkan statistik Trafik Bukit Aman sebanyak 451 kes kemalangan membabitkan p-panggilan dilaporkan sejak 2019 hingga Ogos lalu dengan 72 maut, 54 parah dan 325 cedera ringan.

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemandu lori rempuh lima kenderaan direman empat hari

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Pemandu lori yang merempuh lima kenderaan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Ipoh di sini semalam, direman empat hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh dalam kenyataan hari ini berkata reman terhadap lelaki berusia 25 tahun itu bermula hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, pemandu lori yang positif dadah itu ditahan selepas kenderaan dipandunya merempuh dua kereta Perodua Myvi serta Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL pada 2.40 petang.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun turut terperangkap dalam keretanya dan berjaya dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

150 penghantar makanan bermotor terlibat nahas dalam tiga bulan

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Lebih 150 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal perkhidmatan penghantar makanan direkodkan dari Mac hingga Jun 2020, menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Dr Azlan Darus berkata pengembangan ekonomi sampingan dan perkhidmatan e-panggilan semasa penularan wabak Covid-19 ketika ini, telah menyebabkan peningkatan kemalangan membabitkan penunggang e-panggilan.

“Jumlahnya terus meningkat dan menjelang hujung tahun ini, semakin banyak kemalangan berlaku, maka atas faktor inilah, isu pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan adalah penting untuk ditangani dari aspek perlindungan dan pencegahan,” katanya dalam ucaptama pada persidangan maya Vision Zero Webinar Series: Work-Related Road Safety (Keselamatan Jalan Raya Berkaitan Kerja) di sini, hari ini.

Webinar anjuran bersama Perkeso dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif badan terlibat di bawah Vision Zero Malaysia.

Menurut Azlan kes kemalangan semasa ulang alik ke tempat kerja telah meningkat hampir 83 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas iaitu dari 20,810 kes pada 2009 kepada 38,142 pada 2019 dan jumlah kematian tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian industri pada tahun 2020.

Katanya, kajian sosial Perkeso menunjukkan bahawa lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak 5km dari destinasi ke tempat kerja dan 65 peratus kemalangan dalam perjalanan melibatkan orang muda berusia di bawah 40 tahun, dengan 80 peratus daripadanya adalah lelaki.

“Sebilangan besar kemalangan berlaku akibat keletihan dan kerana bergegas hendak ke destinasi tepat pada waktunya. Setiap tahun, lebih RM1 bilion pampasan dibayar untuk kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Bagaimanapun, kesan kemalangan semakin mendalam. Melampaui aspek wang pampasan, ia mencetuskan kesan psikologi dan sosial dalam kalangan keluarga dan masyarakat di negara ini, “ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapan alu-aluannya berkata dalam usaha memperkukuhkan perlindungan keselamatan sosial kepada individu yang bekerja sendiri termasuk pekerja sampingan yang berdepan penularan wabak Covid-19, Perkeso merangka tiga program bersesuaian bagi individu yang bekerja sendiri sebagai perlindungan sosial di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi negara.

Inisiatif di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 itu adalah PenjanaGig, SPS Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

“Program-program ini memberi perlindungan kepada individu berinsurans bekerja sendiri daripada kecederaan pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti berkaitan pekerjaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CAAM: Pengendali helikopter wajib patuh peraturan keselamatan

PUTRAJAYA, 25 MAC: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan semua pengendali helikopter tempatan, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang helikopter mengikuti amalan pematuhan peraturan keselamatan berikutan beberapa kemalangan membabitkan helikopter.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasi isu keselamatan membabitkan pengoperasian helikopter susulan tiga kemalangan melibatkan helikopter di negara ini dalam tempoh kurang enam bulan.

Beliau berkata amalan pematuhan peraturan keselamatan merangkumi latihan pengurusan keselamatan, mengenal pasti sebarang perkara berbahaya serta faktor dan penilaian risiko keselamatan untuk dipertimbangkan dalam pengurusan keselamatan bagi semua pihak termasuk organisasi kecil.

“CAAM ingin menjelaskan bahawa semua pengendali helikopter di Malaysia diperiksa sepenuhnya dan memiliki lesen sah serta sijil penyelenggaraan bagi memastikan kelayakan juruterbang adalah sahih selain layak untuk menerbangkan helikopter,” kata Voo dalam kenyataan hari ini.

Semalam dua cedera manakala tiga lagi selamat selepas helikopter jenis Airbus AS350 B3 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Voo berkata Biro Siasatan Udara Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kemalangan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah itu manakala CAAM akan melaksanakan latihan bagi memastikan risiko dapat dikurangkan seterusnya mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.

“Tindakan ini akan dilaksanakan dengan peraturan yang adil dan paling penting ia dilakukan demi kepentingan keselamatan semua pihak,” kata Voo.

Pada 8 Nov tahun lepas, dua helikopter jenis 9M-HCA dan 9M-HCB bertembung dan terhempas di Taman Melawati mengakibatkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamed Sabri Baharom, 56 dan ahli perniagaan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rai, 41, terkorban.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66 dan penumpang Tan Chai Eian, 51, bagaimanapun dilaporkan selamat selepas melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan.

Pada 1 Januari lepas, dua lelaki cedera ringan setelah helikopter ringan yang dinaiki mereka terhempas di sebidang tanah kosong di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah, Klang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencarum kemalangan layak mohon faedah meski tiada lesen memandu

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Setiap pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mengalami kemalangan semasa bekerja atau kemalangan berkaitan termasuk berpunca daripada pekerjaan, layak menuntut faedah di bawah Skim Bencana pekerjaan berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial 1971.

Perkeso dalam kenyataan hari ini menjelaskan dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah daripada Perkeso jika terlibat dalam kemalangan jalan raya, adalah tidak tepat dan mengelirukan orang ramai.

“Perkeso menegaskan bahawa pihaknya tidak menetapkan keperluan lesen memandu sebagai satu syarat ataupun syarat tambahan untuk semua tuntutan faedah di bawah skim-skim Perkeso.

“Kesalahan tidak mempunyai lesen sewaktu memandu di jalan raya adalah perkara perlu diselesaikan antara individu terbabit dengan pihak berkuasa berkaitan…dakwaan pakar berkenaan yang disiarkan di sebuah portal berita semalam adalah salah sama sekali,” katanya.

Menurut kenyatan itu, antara dokumentasi mandatori yang perlu dikemukakan untuk tuntutan kemalangan di bawah Skim Bencana Pekerjaan adalah Borang 34, laporan polis, sijil cuti sakit dan peta lakar kemalangan.

“Bagi setiap permohonan yang diterima, Perkeso akan menjalankan siasatan dan membuat pengesahan sebelum kelulusan diberi dan pembayaran dibuat,” katanya sambil meminta akhbar berkenaan membetulkan kenyataan tersebut dengan segera.

Ia bagi mengelakkan kekeliruan umum yang boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap skim perlindungan sosial dan bantuan-bantuan yang disediakan Perkeso kepada para pencarum dan golongan sasar, menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut berkenaan syarat-syarat kelayakan dan skim bantuan Perkeso, orang ramai boleh merujuk laman web www.perkeso.gov.my atau menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Perkeso di talian 1-300-22-8000 atau e-mel [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Suspek penyebab kemalangan jalan raya di Kajang didakwa esok

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Seorang suspek lelaki yang memandu kenderaan sehingga mengakibatkan sepasang suami isteri maut dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan jalan raya di Jalan Saujana Impian, Kajang, dekat sini, Ahad lepas, akan didakwa di Mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang merupakan seorang warga tempatan berusia 28 tahun, akan dituduh di Mahkamah Kajang pada 9 pagi.

“Suspek akan didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lepas, pasangan suami isteri berkenaan yang dikenali sebagai Remyzan Baharudin, 42, dan isteri Suzyla Ahmad Dahlan, 40 dan dua anak mereka cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan van di jalan berkenaan.

Dalam kejadian pada kira-kira 4 petang itu, kereta yang dinaiki mereka telah bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang hilang kawalan, sebelum merempuh penghadang jalan dan memasuki laluan mereka.

Kemalangan itu, menyebabkan Remyzan dan Suzyla meninggal dunia di tempat kejadian.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar patuh SOP keselamatan di lebuh raya masih lemah

MELAKA, 4 MAC: Kadar pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan dalam kalangan pemaju dan kontraktor yang masih rendah terus mengundang risiko kepada pengguna lebuh raya, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid.

Beliau berkata kejadian runtuhan perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur semalam bukan pertama kali insiden seumpamanya berlaku malah boleh dielakkan jika pihak pemaju dan kontraktor mengamalkan SOP yang betul.

“Tiada kecacatan dalam SOP tetapi pematuhan yang kurang menyebabkan ia terus berlaku. Saya lihat peraturan telah ditetapkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi masih ada pemaju atau kontraktor yang gagal mematuhi peraturan.

“Jadi denda dan hukuman sepatutnya dikenakan ke atas pemaju dan kontraktor supaya mereka lebih bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke JBPM negeri Melaka di sini hari ini, dengan diiringi Pengarah JBPM negeri Melaka Abu Obaidat Mohamad.

Tambah Soiman, pembinaan melibatkan kawasan lebuh raya yang diketahui sangat berisiko juga memerlukan pemaju sentiasa mengambil kira faktor keselamatan termasuklah menyediakan amaran ketinggian dan pencahayaan yang baik agar kenderaan yang melalui jalan tersebut tidak melanggar struktur yang merintangi jalan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pemandu bas bawa pesakit terbabas disahkan positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Pemandu bas yang membawa 40 pesakit Covid-19 dan terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol UPM, Serdang petang tadi turut disahkan positif virus itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintenden Azman Shari’at berkata pemandu berusia 41 tahun yang cedera di kaki sebelum itu dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan dan disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan.

Ujian saringan air kencing pula mendapati lelaki itu negatif dadah namun siasatan masih diteruskan.

“Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, bas yang membawa 40 penumpang hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong Touch ‘n Go sebelum merempuh pondok tol tersebut.

“Kemalangan dipercayai berpunca akibat kegagalan sistem brek bas tersebut, berdasarkan kenyataan daripada pemandu bas itu,” katanya kepada Bernama.

Kenderaan itu antara 11 bas dalam konvoi membawa 431 pesakit Covid-19 dari Kluster Changkat Jong di Perak yang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS 2.0 di Selangor.

Kesemua penumpang, termasuk lapan yang cedera, dibawa ke PKRC MAEPS 2.0 untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA