Categories
NASIONAL

Kerajaan patut cari kaedah berkesan tangani kemalangan jalan raya musim perayaan

SHAH ALAM 28 JULAI: Kerajaan disaran mencari kaedah lebih berkesan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya terutama pada musim perayaan yang sering kali mencatatkan angka korban yang agak tinggi.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata, statistik jelas menunjukkan bahawa tiada penurunan drastik jumlah kemalangan dan kematian walaupun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan.

eksiden“Sebagai contoh sepanjang tahun lalu, sebanyak 6,915 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan iaitu menurun sedikit berbanding 6,917 kematian pada 2012.

“Walaupun ada penurunan tetapi ia amat kecil dan angka kematian sejak dua tahun lalu iaitu melebihi 6,000 orang adalah angka yang masih tinggi,” katanya ketika dipetik Bernama.

Justeru, Lee mencadangkan agar kerajaan memperketat lagi pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan jalan raya bagi memberi impak lebih berkesan terhadap sikap pengguna jalan raya.

Lee berkata, sikap pengguna merupakan penyumbang utama kepada statistik kemalangan yang tinggi dan mereka perlu sentiasa dididik dan diingatkan tentang tanggungjawab mereka semasa berada atas jalan raya.

“Kempen-kempen kesedaran perlu diperhebat dan dipergiat dan dilaksana secara berterusan dan bukannya bermusim bagi mengingatkan orang ramai seterusnya mengubah sikap mereka supaya menjadi pengguna yang lebih bersopan santun dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Menurut Buku Statistik Kemalangan Jalan Raya yang disediakan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, sebanyak 477,204 kemalangan dicatatkan pada tahun lalu, meningkat berbanding 462,423 pada 2012 dan 449,040 pada 2011.

Sebanyak 34,118 kemalangan tahun lalu terjadi sewaktu musim perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina dan Aidilfitri yang mengorbankan 486 nyawa.

EZY

Categories
SELANGOR

Lebih 2,000 kemalangan berlaku di Selangor dalam 5 hari, pengguna patut tingkat keselamatan

SHAH ALAM 27 JULAI: Sebanyak 2,288 kemalangan jalan raya dilaporkan di Selangor sehingga Jumaat sejak Ops Selamat 5 dilancarkan Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata jumlah itu meningkat sebanyak 119 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu sebanyak 2,169 kes.

eksiden“Daripada 2,288 kes itu, 16 adalah kes kemalangan maut yang meragut 18 nyawa termasuk nyawa 10 penunggang motosikal.

“Daripada jumlah besar itu, sebanyak 1,135 kes berlaku di jalan-jalan bandar di seluruh Selangor,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menyentuh mengenai kes pecah rumah sepanjang lima hari Ops Selamat 5 bermula, Abu Samah berkata sehingga semalam sebanyak 48 kes dilaporkan di seluruh Selangor berbanding tahun lepas sebanyak 81 kes dalam tempoh yang sama, iaitu penurunan sebanyak 33 kes.

Op Selamat 5/2014 Sempena Aidilfitri akan berlangsung selama 15 hari bermula 21 Julai.

Abu Samah dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati di jalan raya berikutan warga kota mula balik ke kampung masing-masing sejak semalam.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Haikal jadi pelajar angkat UNISEL

Oleh: HASRIL ABU HASSAN

Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf (KMK) bersedia untuk menaja sepenuhnya pengajian Mohd Haikal Jefri, 16, yang baru kehilangan ibubapa dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew Jumaat lalu. Pasangan suami isteri, Jefri Mohd Zain, 46, dan Noorsalawati Ibrahim ,40, maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri digilis lori. Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja meninggal di lokasi kejadian.

Idea untuk membantu Mohd Haikal lahir selepas pihak universiti mengetahui berita menyedihkan itu melalui media. Memahami nasib malang yang menimpa Mohd Haikal yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu. Difahamkan, Mohd Haikal kini sedang menuntut di Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras, Kuala Lumpur. UNISEL menawarkan Mohd Haikal segala kursus yang ditawarkan dan kos melibatkan pembelajarannya akan diberi biasiswa sepenuhnya oleh Unisel serta KMK.

Keputusan tersebut dibuat oleh UNISEL selepas mengadakan perbincangan dengan KMK yang mahu membiayai sepenuhnya sebarang yuran pengajian melibatkan remaja tersebut. UNISEL akan menyediakan tempat bagi Mohd Haikal bagi melanjutkan pelajaran selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disamping tajaan penuh penginapan serta lain-lain yuran pengajian yang dikenakan mengikut program pengajian yang diambil nanti.

Tawaran ini sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UNISEL dan KMK dalam membantu insan memerlukan. Bagaimanapun, tawaran ini tertakluk kepada keputusan peperiksaan Mohd Haikal sama ada layak untuk meneruskan pengajian di UNISEL mengambilkira jumlah kredit yang diperlukan bagi program yang dipohon. Besar harapan kami semua dengan adanya inisiatif dasar keprihatinan seperti ini sekurang-kurangnya dapat membantu anak yatim piatu ini.

Berita kehilangan kedua ibu bapa Mohd Haikal mendapat perhatian simpati seluruh rakyat negara. Sebagai anak sulung, Mohd Haikal memikul tanggungjawab besar untuk memastikan kesemua adik-adiknya membesar dengan sempurna. Demikian itu, diharap dengan penganugerahan biasiswa ini, dapat memastikan Mohd Haikal memperolehi peluang yang sewajarnya untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat universiti.

Usaha mempergiatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UNISEL sedang rancak di rencanakan selama ini. Ini juga dibuktikan dengan pelancaran Tabung Amanah yang telah disempurnakan oleh Prof Dr. Haji Anuar Ahmad, Presiden & Naib Canselor pada 13 Mac 2014 yang lalu, bertujuan mengalakkan amalan menderma dan pengimarahan ilmu melalui sumbangan dan dapat disalurkan kepada pembangunan aktiviti akademik dan pengimarahan ilmu di UNISEL.

# Hasril Abu Hassan adalah Ketua Komunikasi Korporat UNISEL