Categories
AGENDA NASIONAL RENCANA

Pakar: Pematuhan peraturan dan pemanduan defensif boleh elak kemalangan

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Kemalangan jalan raya antara cabaran sukar yang perlu ditangani oleh negara ini yang merekodkan purata 17 kematian saban hari dengan kebanyakannya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Malah, media baru-baru ini melaporkan negara mencatatkan satu kematian akibat nahas jalan raya bagi setiap 84 minit, dan menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Supt Dr Bakri Zainal Abidin, kira-kira 12 kemalangan maut dilaporkan setiap hari pada peringkat awal penularan pandemik COVID-19, berbanding 17 kes pada 2019.

Bagaimanapun, katanya angka itu kembali meningkat selepas sekatan pergerakan dilonggarkan sejak Oktober tahun lepas.

Statistik juga menunjukkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya Malaysia antara yang tertinggi di dunia. Pada 2015 misalnya, 2.55 kematian direkodkan bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar, berbanding negara maju seperti United Kingdom dan Australia yang mencatatkan kurang daripada dua kematian untuk setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

Kerugian dari segi kewangan pula adalah berbilion ringgit saban tahun. Misalnya pada 2016, Kementerian Pengangkutan melaporkan Malaysia kerugian RM9.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM581.3 juta berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan RM8.63 bilion.

Namun, pakar percaya kebanyakan kes kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika pemanduan defensif menjadi amalan pemandu dan penunggang di negara ini.

Ini kerana antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah memandu terlalu laju, memandu ketika berada bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu secara semberono dan pemandu kurang cekap.

Takrif pemanduan defensif

Menyifatkan pemanduan defensif sebagai aspek penting ketika di jalan raya, Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Siti Zaharah Ishak berkata konsep itu melibatkan kemahiran yang membolehkan pemandu mengurangkan risiko kemalangan yang diakibatkan pemanduan secara semberono, cuaca buruk serta halangan luar jangka di atas jalan.

“Sepatutnya pengetahuan asas tentang pemanduan defensif ini diajar ketika seseorang belajar memandu bagi mendapatkan lesen,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelas beliau, konsep itu juga berkait rapat dengan pematuhan undang-undang jalan raya serta etika pemanduan.

“Jika pemandu menggabungkan aspek pematuhan undang-undang dan pemanduan defensif, risiko kemalangan dapat dikurangkan secara signifikan,” jelasnya.

Menurut Siti Zaharah lagi, kajian menunjukkan 80 peratus kemalangan disebabkan oleh sikap manusia, termasuk mentaliti menganggap mereka kalis nahas jalan raya, iaitu antara kesilapan besar yang sering dilakukan oleh pemandu.

Ini juga katanya antara sebab utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini kekal tinggi sekalipun pelbagai langkah dan kempen dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Minimumkan tahap keseriusan

“Banyak institusi latihan dan syarikat swasta yang menawarkan kursus pemanduan defensif ini mengikut keperluan individu dan juga bidang kerja mereka. Justeru, kita tidak ada alasan untuk mengatakan tidak tahu tentang teknik pemanduan defensif ini,” tambah beliau.

Selain itu, pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam tersebut berkata maklumat dan teori asas pemanduan defensif juga boleh didapati dengan mudah dalam laman web, namun kemahiran tersebut hanya boleh dikuasai melalui pembelajaran dan pengalaman.

“Antara perkara asas yang perlu diberi perhatian ialah pematuhan had laju yang ditetapkan selain menjaga jarak kenderaan anda dengan kenderaan di depan. Di sini pentingnya peraturan dua saat yang mampu memberi peluang dan ruang untuk kita membrek dengan selamat.

“Bagi penunggang motosikal pula, pelajari teknik membrek dengan betul sementara postur tubuh yang tepat ketika menunggang boleh membantu penunggang mengawal motosikal dengan baik apabila di selekoh atau ketika mengelak halangan,” kata beliau.

Katanya jika semua pemandu dan penunggang mengamalkan pemanduan defensif, tahap keseriusan kemalangan dapat dikurangkan selain membantu kerajaan mencapai matlamat menurunkan kadar kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Teknologi boleh bantu

Dalam pada itu, Siti Zaharah tidak menafikan kepentingan teknologi kenderaan dalam mengurangkan impak kepada pemandu dan penumpang jika berlaku kemalangan.

Malah katanya teknologi terkini juga membolehkan pemandu mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Penarafan bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) menawarkan maklumat kepada pengguna tentang tahap keselamatan sesebuah kenderaan.

“Kenderaan bertaraf lima bintang mempunyai ciri-ciri keselamatan paling tinggi kerana dilengkapi teknologi kenderaan aktif dan pasif yang memenuhi kesemua kriteria penilaian keselamatan kenderaan,” jelasnya.

Justeru kata beliau, pengguna perlu membuat pilihan yang tepat semasa membeli kenderaan dengan menjadikan aspek keselamatan diri dan keluarga sebagai kriteria utama.

Tajamkan kemahiran memandu

Secara purata, kos untuk mengikuti kursus pemanduan defensif adalah sekitar RM500 dan boleh dianggap agak mahal bagi sesetengah orang.

Justeru tidak menghairankan jika sambutan dalam kalangan orang ramai masih kurang seperti yang diakui oleh Rajap Japar, pemilik CERT Academy yang menawarkan kursus pemanduan defensif.

“Kebanyakan yang mendapatkan latihan pemanduan defensif dengan kami adalah pasukan keselamatan dan anggota pasukan kecemasan,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, akademi itu menawarkan kursus pemanduan defensif untuk semua jenis kenderaan, dan selepas tamat kursus sehari tersebut, individu berkenaan akan diberikan sijil.

“Pada sebelah pagi, pemandu akan diajar teori dan didedahkan kepada pelbagai teknik pemanduan antaranya teknik pemanduan selamat, cara memberhentikan kenderaan dengan selamat serta teknik mengawasi keadaan sekeliling selain pemakaian peralatan perlindungan diri, pengurusan kecemasan dan kaedah untuk mengenal pasti bahaya serta penilaian risiko.

“Apabila seseorang pemandu mempunyai kemahiran pemanduan berhemah, dia akan dapat mencegah kemalangan, dan jika kemalangan berlaku sekalipun tahap keseriusan kemalangan lazimnya dapat dikurangkan,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, kursus pemanduan defensif juga mendedahkan pemandu kepada sistem operasi kenderaan yang membolehkan pemandu lebih memahami aspek teknikal kenderaan masing-masing.

“Mereka yang pernah menjalani kursus ini digalakkan mengulangi latihan dari semasa ke semasa bagi terus mengasah kemahiran yang dimiliki,” tambah beliau.

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

88.6 peratus remaja 12 hingga 17 tahun lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Sebanyak 11,710,970 individu atau 50 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 setakat malam tadi, demikian menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW.

Sementara itu, sebanyak 22,923,144 individu atau 97.9 peratus populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dos vaksin COVID-19 mereka, manakala 23,200,399 individu atau 99.1 peratus daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,787,267 individu atau 88.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,867,165 individu atau 91.1 peratus lagi sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Statistik harian itu juga menunjukkan sejumlah 178,567 dos vaksin diberikan semalam meliputi 1,635 dos pertama, 2,573 dos kedua dan 174,359 lagi dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada 63,284,490 dos termasuk 11,710,970 dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 12 kes kematian direkodkan semalam dengan satu daripadanya merupakan kematian di luar hospital (BID).

Johor dan Perak mencatatkan angka kematian tertinggi dengan masing-masing tiga kes, diikuti Pahang dan Sabah merekodkan masing-masing dua kes, manakala Melaka dan Selangor masing-masing satu kes.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

40 peratus penduduk dewasa terima dos penggalak

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Sebanyak 9,364,326 individu atau 40 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, daripada jumlah itu sebanyak 145,922 dos penggalak diberikan semalam.

Selain itu, seramai 22,903,466 individu atau 97.8 peratus daripada populasi dewasa negara telah melengkapkan vaksinasi manakala 23,183,820 individu atau 99 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,773,734 atau 88.1 peratus daripada kumpulan itu telah lengkap menerima vaksin Covid-19 manakala 2,861,589 atau 90.9 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam pada itu, 147,655 dos suntikan vaksin diberikan semalam menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 60,884,363.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 12 kes kematian direkodkan semalam.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

88.1 peratus golongan umur 12 hingga 17 tahun lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Sebanyak 2,773,263 individu atau 88.1 peratus daripada populasi remaja di negara ini telah lengkap menerima vaksin COVID-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 2,861,246 individu atau 90.9 peratus daripada kumpulan yang berusia 12 hingga 17 tahun itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa, sejumlah 22,902,459 individu atau 97.8 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi manakala 23,182,938 individu atau 99 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, 167,955 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 985 dos pertama, 897 suntikan dos lengkap dan 166,073 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 60,729,670 dos.

Jumlah kumulatif pemberian dos penggalak pula kini sebanyak 9,212,282 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 19 kes kematian direkodkan semalam.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

87.9 peratus remaja 12 hingga 17 tahun lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Seramai 22,886,013 individu atau 97.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi, menjadikan hanya 2.2 peratus lagi diperlukan untuk mencapai angka 100 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman COVIDNOW, seramai 23,170,208 individu atau 99 peratus daripada kumpulan itu juga sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,767,385 individu atau 87.9 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,857,194 individu atau 90.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Sejumlah 223,463 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 3,273 dos pertama, 2,114 dos lengkap dan 218,076 dos penggalak.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 59,511,395 dos dengan 8,032,484 daripadanya adalah dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, sebanyak 18 kes kematian direkodkan semalam dengan dua daripadanya adalah kematian di luar hospital.

Daripada keseluruhan 18 kes kematian itu, empat direkodkan di Johor; Kedah (tiga), Pahang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan dua kematian manakala satu kes di Kelantan, Melaka dan Perak.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kematian individu tidak divaksin 20 kali ganda lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kematian akibat Covid-19 adalah 20 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan populasi yang tidak divaksin berbanding populasi yang telah divaksinasi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi akaun Twitternya Dr Noor Hisham berkata trend kematian Covid-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan dengan liputan vaksinasi yang meluas.

“Data kami (Kementerian Kesihatan) menunjukkan kematian dalam kalangan yang tidak divaksinasi dan sebahagiannya divaksinasi adalah 3,200 orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk. Bagi individu yang telah lengkap divaksin adalah 160 orang/kematian bagi satu juta penduduk dan kematian bagi mereka yang telah mendapat dos penggalak adalah empat orang/kematian bagi setiap satu juta penduduk,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data Kematian Covid-19 Kebangsaan dari 1 Januari hingga 4 Disember 2021, jumlah kematian tertinggi diumumkan pada 11 September dengan 592 kes.

Jumlah kematian tertinggi bagi BID iaitu kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital adalah pada 13 September dengan 176 kes. Data itu berdasarkan jumlah laporan kematian yang diterima setiap hari, katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini bagi tahun 2021 sejumlah 24,014 individu meninggal dunia di hospital dan 6,046 kes BID.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 23,000 polis, keluarga dijangkiti Covid-19

MARANG, 5 DIS: Seramai 23,766 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka telah dijangkiti Covid-19, sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lalu sehingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata daripada jumlah tersebut seramai 1,794 orang merupakan pegawai kanan polis; 10,577 orang pegawai rendah polis; 1,137 orang pegawai awam; manakala 10,258 orang adalah ahli keluarga.

“Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 39 kes kematian direkodkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis. Ia terdiri daripada empat pegawai kanan dan 35 pegawai rendah. Pegawai awam yang meninggal dunia akibat Covid-19 pula adalah seramai tiga orang dan anggota keluarga polis pula seramai 118 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo Kepada Kontinjen Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6, di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mazlan menyerahkan 26 pacuan empat roda jenis Toyota Hilux GS Cargo bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri yang bakal membantu penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir.

Katanya penyerahan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 400 Toyota Hilux GS Cargo yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan peruntukan sebanyak RM62 juta.

Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 32 pasukan di Terengganu melibatkan 65 pegawai dan 190 anggota serta pegawai awam bersiap siaga menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

“Kami telah bersiap sedia dari segi keanggotaan, kursus dan kefahaman tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya banjir berlaku. Kami juga telah menyiapkan aset-aset yang diperlukan terutama bot-bot yang banyak,” katanya.

Pada majlis tersebut Mazlan turut mengumumkan pembinaan 10 unit kuarters bagi pegawai dan anggota polis di Pulau Redang yang memperuntukkan kos sebanyak RM13 juta.

Katanya proses dokumentasi dan tender bagi pembinaan kuarters di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan bermula tahun hadapan.

“Sekarang hanya terdapat lapan unit kuarters di Pulau Redang tetapi pegawai dan anggota di sana adalah seramai 28 orang. Kebanyakan mereka tinggal di tanah besar dan terpaksa ulang-alik menaiki bot untuk bertugas. Jadi amat membahayakan keselamatan mereka terutama musim tengkujuh ini,” katanya.

— BERNAMA 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Masih ramai waris tidak mohon bantuan pengurusan kematian Covid-19

KOTA BHARU, 18 NOV: Masih ramai keluarga waris mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak memohon Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata setakat ini pihaknya hanya menerima lebih 6,000 permohonan dan angka itu jauh lebih rendah berbanding hampir 30,000 jumlah kematian direkodkan setakat ini.

Menurut Aminuddin pihaknya mendapati terdapat beberapa faktor menyebabkan waris mangsa tidak berbuat demikian dengan satu daripadanya kerana waris perlu mengemukakan beberapa dokumen pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain itu, ada waris yang enggan memohon kerana berpendapat mereka tidak perlu menanggung kos sama ada ketika berada di hospital atau proses pengebumian.

“Oleh itu, kita telah melakukan pembaharuan dengan menggunakan apa sahaja dokumen pengesahan daripada KKM sama ada surat hospital atau surat kematian, itu sudah memadai untuk membuat permohonan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Aminuddin bagaimanapun berkata permohonan yang dibuat waris mangsa akan ditentukan oleh KKM sama ada layak menerima atau sebaliknya dan sehingga kini hanya sekitar tujuh peratus permohonan yang tidak lulus disebabkan masalah teknikal.

“Kita mohon waris mangsa supaya bersabar sekiranya permohonan mengambil masa yang lama kerana perlu melalui beberapa proses tertentu sebelum bantuan dikeluarkan.

“Permohonan untuk bantuan kematian ini akan ditutup sebaik negara memasuki fasa endemik. Selepas memasuki fasa endemik, ia perlu melalui Jemaah Menteri sama ada bantuan berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata selain bantuan kematian bernilai RM5,000, pihaknya turut menyediakan bantuan harian RM100 kepada mangsa positif Covid-19 yang terjejas dari segi pendapatan.

“Sebagai contoh seorang peniaga yang disahkan positif dan dia perlu kuarantin selama tujuh hari menyebabkan tidak dapat bekerja. Golongan ini layak memohon dan akan diberikan bantuan RM100 sehari bagi tempoh maksima sehingga 14 hari,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kematian akibat Covid-19 turun lebih 27 peratus minggu lalu

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Malaysia mencatatkan penurunan 27.2 peratus kes kematian berkaitan Covid-19 untuk Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 dari 31 Okt hingga 6 Nov iaitu kepada 380 kes daripada 522 kes pada ME ke-43.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan dua peratus iaitu kepada 516 kes berbanding 505 kes pada minggu epidemiologi sebelumnya.

“Kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan. Kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan 13.1 peratus kepada 35,303 kes daripada 40,613 kes (ME ke-43).

“Purata kes aktif menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44). Penurunan kes aktif ini dilihat konsisten sejak sembilan minggu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya hingga 6 Nov, terdapat kumulatif 5,719 kluster dilaporkan dan 335 kluster aktif, justeru, ia menunjukkan penurunan 23.5 peratus berbanding ME ke-43.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan negara hari ini merekodkan 7,348 kes sembuh, melebihi kes baharu Covid-19 iaitu 4,543 kes, menjadikan jumlah kumulatif masing-masing 2,419,743 dan 2,510,852 kes.

Beliau berkata 534 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 263 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 4,543 kes harian yang dilaporkan, 97.5 peratus atau 4,431 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala 2.5 peratus (112 kes) melibatkan kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Mengenai kluster baharu, beliau berkata enam kluster dikenal pasti melibatkan tiga kluster tempat kerja, dua kluster pendidikan tinggi dan satu kluster pusat tahanan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam pembukaan semula sesi persekolahan supaya mematuhi tatacara operasi piawai sepanjang sesi berlangsung agar kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah.

“Keselamatan dan kesihatan warga sekolah serta persekitaran sekolah yang selamat perlu diberi lebih perhatian dalam mencegah penularan wabak Covid-19 di sekolah.

“Jadikanlah tempat pengajian bagi anak-anak kita selamat agar mereka kekal terhindar daripada bahaya Covid-19. Pastikan mereka yang berkelayakan untuk menerima vaksin Covid-19 segera divaksin lengkap,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

250 maut akibat Covid-19 di Sepang sejak pandemik melanda

SEPANG, 25 SEPT: Sebanyak 250 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di daerah ini sejak penularan pandemik, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Sebahagian besar angka kematian dicatatkan di Dengkil (170), Sepang (51) manakala Labu (39), menurut Datuk Abd Hamid Hussain dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata sebanyak 36,925 kes wabak turut direkodkan di Sepang dalam tempoh sama.

“Saya berharap pengunjung dari luar Sepang berhati-hati ketika berkunjung ke daerah ini dan mengamalkan kawalan kendiri dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Abd Hamid berkata kapasiti penguat kuasa turut ditingkatkan bagi memantau lokasi tumpuan seperti Bagan Lalang dengan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan pengunjung mematuhi SOP.

“Saya minta kerjasama semua pihak untuk mematuhi SOP secara kendiri tanpa menunggu penguatkuasaan pihak berkuasa demi membendung penularan Covid-19,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Angka kematian wabak tinggi, banyak kes lewat terima rawatan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Ketua pembangkang bimbang dengan kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi susulan negara merekodkan 592 orang maut kelmarin iaitu keempat tertinggi di dunia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan kematian sehingga lebih 20,000 kes adalah disebabkan kelewatan pesakit menerima pemeriksaan dan rawatan.

“Meski angka yang tinggi adalah dari kes yang tertunggak (backlog), ia tetap tidak boleh menafikan fakta bahawa angka kematian ini terutamanya yang mati di luar hospital (BID) sangat tinggi dan membimbangkan.

“Setiap angka kematian itu bukan sekadar statistik tetapi adalah mereka yang punyai orang yang tersayang dari seorang nenek hinggalah kepada seorang anak kecil yang kini menjadi anak yatim atau anak yatim piatu,” katanya menerusi Facebook.

Anwar juga menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan libat urus dengan pakar dari sektor swasta sebagai usaha bagi mengelakkan lebih banyak kematian.

“Kita perlukan tahap ketelusan yang lebih lagi bagi memastikan punca kematian. Sebagai contoh, apakah terdapat kelewatan untuk para pesakit menerima rawatan,” katanya.

KKM menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my mencatatkan rekod 592 kematian Covid-19 kelmarin, dengan 88 daripadanya membabitkan kes BID menjadikan jumlah maut sebanyak 20,419.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah kematian harian Covid-19 kembali dua angka

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu di negara ini berkurang kepada dua angka selepas kali terakhir merekodkannya dua bulan lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian di https://covidnow.moh.gov.my memaklumkan sebanyak 99 kematian sebenar harian direkodkan dalam tempoh 24 jam iaitu sehingga 11.59 malam, 12 Sept.

Sementara itu, jumlah melibatkan kes kematian tertunggak (backlog) yang tidak dilaporkan sebelum ini adalah sebanyak 292 kes.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 20,711 kes.

Kali terakhir jumlah kematian akibat COVID-19 di negara mencatatkan dua angka adalah pada 6 Julai lalu iaitu sebanyak 99 kes.

Sementara itu, bagi kadar vaksinasi sebanyak 52.6 peratus atau 17,177,911 daripada keseluruhan populasi di negara ini, telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 mereka setakat semalam.

Sebanyak 65.4 peratus atau 21,372,276 pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 227,476 dos vaksin diberikan semalam menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 34,488,051.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA