Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 pelajar DUN Seri Setia dapat bantuan awal sekolah

SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai 1,031 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerima manfaat melalui program Kembali Ke Sekolah.

Wakil rakyatnya berkata agihan perkakas sekolah seperti beg, baju, seluar, kasut dan alat tulis bernilai RM100 hasil kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, KDEB Waste Management dan pasaraya Mydin.

“Bantuan ini daripada peruntukan tahunan Kerajaan Negeri yang disalur kepada setiap Ahli Dewan Negeri (ADN). Jadi, kita bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk bantu pelajar memerlukan dan diharap berterusan pada tahun-tahun mendatang.

ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar (kanan) menyampaikan bantuan kembali ke sekolah kepada pelajar di pasaraya Mydin Subang Jaya pada 6 Februari 2022. Foto Facebook Halimey Abu Bakar

“Kita sudah mula agihkan kepada pelajar secara berfasa dan akan diteruskan di seluruh tujuh kawasan ahli majlis Seri Setia pada setiap minggu,” kata Halimey Abu Bakar kepada Selangorkini.

Sementara itu, dalam video dikongsikan Halimey, rata-rata ibu bapa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri serta wakil rakyat berkenaan kerana memilih anak mereka sebagai penerima sumbangan.

Pada 8 Februari lalu, seramai 100 pelajar di kawasan berkenaan turut diberi bantuan sama hasil sumbangan KDEB Waste Management (KDEBWM).

 

ADN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menyatuni penerima bantuan kembali ke sekolah di pasaraya Mydin Subang Jaya pada 6 Februari 2022. Foto Facebook Halimey Abu Bakar
Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MBI peruntuk RM1.68 juta bantu hampir 17,000 pelajar sekolah rendah

SUBANG, 21 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1.68 juta menerusi Program Kembali ke Sekolah (Back To School) tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata sumbangan berbentuk baucar itu dijangka memanfaatkan seramai 16,800 pelajar daripada sekolah rendah.

“Baucar persekolahan ini untuk 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya diagih kepada 300 penerima yang berkelayakan dan memenuhi syarat.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada Media Selangor selepas menyampaikan komputer riba kepada pasangan kembar siam, Ahmad dan Muhammad Rosli di Kampung Tengah Puchong, Subang Jaya pada 21 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Peruntukan untuk tujuan ini telah diberikan kepada setiap DUN dan kita jangka agihan kepada penerima selesai pada Mac depan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan dua unit komputer riba kepada Ahmad Rosli dan Muhammad, pasangan kembar yang pernah mencuri perhatian rakyat Malaysia pada 2001 di Kampung Tengah Puchong hari ini.

Tahun lalu, MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.

Peruntukan itu tidak hanya fokus kepada bakul makanan dan manusia sahaja tetapi juga kepada alam sekitar, haiwan selain untuk program keagamaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Peruntuk RM4 juta bantuan sekolah, manfaat 40,000 murid terjejas banjir

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan Negeri melaksanakan program Kembali Ke Sekolah khusus untuk murid yang terkesan akibat banjir pada Februari depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM4 juta diperuntuk untuk menjayakan inisiatif tersebut yang dijangka memanfaatkan seramai 40,000 murid.

“Mekanisme pelaksanaan program tersebut sedang diperkemaskan dan kita akan laksanakan pada Februari nanti di setiap daerah melalui senarai nama ketua keluarga yang kita ada.

“Capaian atau kajian penerima layak dibuat oleh Kerajaan Negeri, agensi serta pemimpin akar umbi seperti ketua kampung dan ahli majlis. Kita harap inisiatif ini meringankan beban keluarga terkesan banjir,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata semua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di negeri ini ditutup sepenuhnya.

“Sebelum ini seramai 47,762 mangsa daripada 11,237 keluarga ditempatkan di 227 PPS. Dua PPS yang menempatkan 40 mangsa banjir daripada 12 keluarga di Kuala Langat juga ditutup dan mereka berpindah ke rumah masing-masing pagi  semalam,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

500 pelajar B40 Seri Setia terima bantuan alatan sekolah

PETALING JAYA, 26 FEB: Seramai 500 pelajar keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima bantuan peralatan sekolah daripada wakil rakyat Seri Setia.

Halimey Abu Bakar berkata sumbangan membabitkan pemberian baucar pakaian bernilai RM35, beg sekolah serta alat tulis.

“Disebabkan pelajar prasekolah, tahun satu dan dua sudah dibenarkan kembali sekolah bermula 1 Mac depan, kita edarkan terus sumbangan ini supaya ibu bapa boleh membuat persediaan awal.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka lebih-lebih lagi ketika pandemik
Covid-19 ini,” katanya kepada SelangorKini di pusat khidmatnya, pagi tadi.

Halimey berkata baucar bernilai RM35 itu boleh ditebus di cawangan Mydin berhampiran sehingga Mei depan.

“Bagi memudahkan ibu bapa, mereka hanya perlu membeli pakaian seragam dan kemudiannya beg dan alat tulis boleh diambil di kaunter khidmat pelanggan,” katanya lagi.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Batu Tiga agih alatan sekolah, bantu 514 pelajar kurang mampu

SHAH ALAM, 24 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga memperuntuk lebih RM60,000 bagi membantu 514 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah sempena sesi persekolahan minggu depan.

Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata bantuan meliputi wang tunai dan barangan persekolahan seperti tali pinggang, stoking serta kapur kasut selain 50 komputer riba.

“Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga memandangkan masih ramai yang terkesan akibat penularan Covid-19,” katanya pada program Kembali ke Sekolah DUN Batu Tiga semalam.

Rodziah berkata sumbangan terbabit mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Pemerbadanan Menteri Besar dan individu perseorangan.

Jelasnya, agihan kepada 250 keluarga diserahkan secara berperingkat hingga hujung minggu ini.

Categories
ADN SELANGOR

3,000 pelajar miskin sekitar Paya Jaras terima kelengkapan sekolah

SUNGAI BULOH, 10 JAN: Seramai 3,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Paya Jaras menerima bantuan peralatan sekolah.

Sumbangan berjumlah RM300,000 sempena program Kembali Ke Sekolah sesi 2021 meliputi set pakaian, kasut, stokin, pelitup muka dan beg.

“Program ini khusus untuk keluarga B40 terutama yang terjejas ketika pandemik Covid-19,” kata wakil rakyat Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman ketika ditemui di sini.

Sementara itu, wakil penerima Mohammed Rohim Mheol berkata bantuan itu bakal dimanfaatkan anaknya yang memasuki tingkatan satu tahun ini.

“Terima kasih kepada wakil rakyat kerana sudi membantu dan memberi semangat kepada anak saya yang juga penghidap sindrom down untuk memulakan sesi persekolahan,” katanya.

Seorang lagi penerima Muhammad Azrul Azwa juga berterima kasih atas sumbangan tersebut dan berharap program berkenaan diteruskan pada tahun depan.

Categories
EXCO SELANGOR

6,000 pelajar DUN Paya Jaras bakal terima bantuan Kembali Ke Sekolah

SHAH ALAM, 2 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menyediakan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 6,000 pelajar sempena program Kembali ke Sekolah sesi 2021.

Wakil rakyatnya Mohd Khairuddin Othman berkata bantuan berjumlah RM600,000 disasarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Beliau menjelaskan agihan peringkat pertama melibatkan seramai 3,000 pelajar, sementara baki akan diserahkan awal tahun hadapan.

“Seramai 350 pelajar menerima bantuan setakat November meliputi persalinan baju sekolah dan beg. Permohonan dibuka sehingga hujung bulan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin memaklumkan permohonan boleh dibuat di pejabatnya dengan kriteria utama ibu bapa dibuang atau tidak bekerja dan ibu tunggal yang mempunyai anak masih bersekolah.

Categories
ADN SELANGOR

100 murid DUN Sementa terima sumbangan Kembali Ke Sekolah

KAPAR, 25 DIS: Kira-kira 100 murid sekolah rendah kurang berkemampuan dirai dalam program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa di Pusat Pakaian Hari-Hari di sini hari ini.

Program tajaan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) itu membabitkan sumbangan baucar RM100 bagi membeli pakaian seragam dan kelengkapan sekolah.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata sumbangan fasa kedua itu bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat manfaat Kerajaan Negeri, sekali gus mengurangkan keciciran pelajar di kawasan terbabit.

Peserta menunjukkan baucar pada Program Back To School PEKAWANIS ADN Sementa di Pusat Pakaian Hari Hari di Pekan Kapar, Klang pada 25 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Program seperti ini antara yang paling ditunggu-tunggu rakyat DUN Sementa dan akan menyusul bersama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Saya yakin anak-anak ini memiliki harapan dan semangat ke sekolah dengan memakai pakaian baharu, justeru saya memohon mereka (murid) menuntut ilmu sebaik mungkin seterusnya menjadi modal insan kepada Selangor,” katanya ketika ditemui.

Daroyah berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan sumbangan daripada beberapa syarikat yang menjalankan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi melaksanakan program seumpama itu pada masa akan datang.

Sementara itu, suri rumah, Saripah Salim, 40, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Saripah Salim

“Saya bersyukur kerana sesi persekolahan sudah dekat, jadi bantuan ini memang diharap memandangkan pendapatan suami sebagai pengawal keselamatan hanya cukup-cukup makan,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Bagi Johari Jalil, 42, dia berharap Kerajaan Negeri mempelbagaikan bantuan terutama kepada penerima yang layak.

Pekerja kilang yang menetap di Kampung Sungai Serdang di sini itu turut berterima kasih atas sumbangan kelengkapan persekolahan yang diterima anaknya.

“Ini tahun kedua anak saya menerima bantuan dan ia sudah tentu boleh mengurangkan beban kami sekeluarga. Pekerjaan seperti saya perlu mengharapkan kerja lebih masa baru dapat wang tambahan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1,500 pelajar DUN Sungai Tua terima bantuan sekolah

GOMBAK, 21 DIS: Lebih 1,500 pelajar di DUN Sungai Tua menerima beg sekolah sempena program Kembali Ke Sekolah sesi 2020 tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diagih secara berperingkat mengikut kawasan ditetapkan yang akan selesai sebelum berakhirnya 2019.

“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa terutama pada hujung tahun yang memerlukan banyak wang untuk menyiapkan persiapan sekolah anak.

“Justeru, saya yakin sumbangan beg sekolah ini dapat meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan lain,” katanya pada program itu di Dewan Rakyat Batu Caves di sini hari ini.

Mashitah Mohd Ali. Foto HAFIZ OHTMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, salah seorang penjaga, Mashitah Mohd Ali, 47, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan beg sekolah berkenaan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri. Peruntukan untuk beli beg sekolah boleh digunakan untuk membeli kelengkapan lain atau bayar yuran,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.

Nursyahida Yahya, 39, menzahirkan kesyukuran apabila Kerajaan Negeri sudi memberi sumbangan yang membantu meringankan beban ibu dan bapa.

“Saya ada lima orang anak, justeru sumbangan ini dapat meringankan beban saya dan suami yang memerlukan wang lebih bagi mempersiapkan kelengkapan anak kami,” katanya.

Dharshana Pannirselvam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Seorang pelajar, Dharshana Pannirselvam, 12, yang menerima bantuan itu amat gembira dan lebih bersemangat memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

“Terima kasih dan saya berharap Kerajaan Negeri meneruskan pemberian bantuan kepada rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Wan Azizah kekal ketua pembangkang

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) sebulat suara memilih Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang dan keputusan itu kekal menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAKATAN kini memberi fokus menghadapi PRU-14 serta menolak pandangan ahli terbaru DAP, Datuk Zaid Ibrahim bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin de facto pembangkang.

“Kita ada ketua pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kita sedang bersiap untuk pilihan raya umum,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Zaid yang menyatakan terdapat “persetujuan” dalam kalangan pembangkang berkenaan kedudukan Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ekoran Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di penjara.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, beliau bersetuju dan sependapat dengan Mahathir ekoran penyertaan Zaid ke dalam DAP.

“Cuma saya setuju dengan pandangan Dr Mahathir, kita harap beliau kekal lama dalam DAP, ” katanya.

Zaid adalah mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pernah menyertai Umno dan KEADILAN sebelum menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) tetapi meninggalkannya selepas itu.

-AA-

Categories
SELANGOR

MBPJ prihatin golongan kurang berkemampuan

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 3 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan keprihatinan terhadap nasib golongan yang kurang berkemampuan menerusi program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) ‘Jom Shopping’ Peralatan Sekolah, Jumaat lalu.

Seramai 50 penerima bantuan PPKB berpeluang membelanjakan baucer bernilai RM280 untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform sekolah, kasut dan alat tulis.

Bertempat di Hypermarket Mydin USJ Subang Jaya program itu dianjurkan untuk kali keenam dan merupakan program tahunan MBPJ.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain hadir meluangkan masa melihat dan bersama dalam program itu.

Unit Komunikasi Korporat MBPJ memaklumkan, objektif pemberian sumbangan bertujuan meringankan bebanan penduduk yang tidak berkemampuan dengan pendapatan RM2,000 ke bawah serta mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.

“Di samping itu juga, ia merupakan salah satu tanggungjawab dan sumbangan khidmat sosial daripada MBPJ kepada komuniti setempat di bawah pentadbirannya.

“Kesemua penerima sumbangan ini merupakan penduduk berdaftar di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang berada di kawasan pentadbiran MBPJ iaitu PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS), Desa Mentari dan lain-lain kawasan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harapan Rakyat 2013 : Tambah program bantuan, selesai masalah infrastruktur

tunas sg pelek halimah 01

SHAH ALAM : Rata-rata rakyat Selangor berpuashati dan mendapat manfaat daripada program Kerajaan Negeri yang ditawarkan sepanjang 2012 seperti bantuan persekolahan (Kembali Ke Sekolah), Bonus Selangorku TAWAS dan Skim Air Percuma.

Di samping mengharapkan agar bantuan untuk golongan bawahan diperbanyakkan dan diteruskan tahun depan, mereka juga berharap agar Selangor boleh memperbaiki dan memberi kemudahan infrastruktur di bawah kawalannya.

Contohnya Nasaruddin Mohd Yusof, tidak pernah membayar bil air sejak Kerajaan Negeri memperkenalkan skim air 20 metre padu percuma empat tahun dahulu.

“Harapan pada 2013 pula, semoga PR kekal mentadbir Selangor dan menang di Putrajaya supaya dapat tumpu program membela nasib pekerja swasta yang berpendapatan rendah seperti saya,” ujar pegawai keselamatan, 39 tahun itu.

Beliau juga berharap agar Kerajaan Negeri memperbanyakkan lagi sekolah agama dan lebih tegas membenteras kegiatan mesin judi di seluruh Selangor.

Di samping mendapat manfaat dari skim air percuma, Sembagavalli Kaniapan, 35, turut menikmati faedah dari program ‘Kembali Ke Sekolah’ yang diwujudkan Kerajaan Negeri.

“?Kembali Ke Sekolah’ ini juga banyak membantu meringankan beban saya, lebih-lebih lagi harga barang semakin mahal dan dengan penjimatan ini saya dapat biayai keperluan lain,?katanya.

Beberapa warga emas daripada keluarga Sembagavalli merupakan peserta program Jom Shopping dan Khairat Kematian dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Beliau berharap agar Kerajaan Negeri menggandakan usaha membantu golongan berpendapatan rendah pada tahun 2013 nanti.

Hamidah Salam dari Batu Tiga, Shah Alam pula mengharapkan agar Kerajaan Negeri dapat melaskanakan projek mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan yang didiami kini.

“Harap pada 2013 Kerajaan Negeri dapat beri bantuan kepada mangsa banjir dan atasi segera masalah banjir di Kebun Bunga,” kata beliau yang juga merupakan penerima bantuan persekolahan dari Kerajaan Negeri tahun ini.

Hashim Bulat, pula berharap Kerajaan Negeri melipat gandakan program penerangan bagi dasar-dasarnya supaya lebih ramai dan mengetahui dan memohon bantuan.

“Kerajaan Negeri dah buat pelbagai program bagi memastikan semua lapisan rakyat Selangor dapat bersama menikmati faedah dari hasil pendapatan Kerajaan Negeri,
“katanya.