Categories
AGENDA NASIONAL

Kembar tertukar harap kisah mereka buka mata banyak pihak

KOTA BHARU, 17 NOV: Kembar yang tertukar di sebuah hospital di negeri ini 20 tahun lepas, Atirah Iwani Ibeni Yanin berharap artikel bersiri mengenai nasib yang menimpa diri dan keluarganya yang dikeluarkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Jun lepas, dapat membuka mata banyak pihak.

Pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Poly-Tech Mara Cawangan Kota Bharu itu berkata artikel yang ditulis wartawan Mohd Afiq Zulkifli tersebut mungkin dapat membantu mereka yang mengalami kes yang hampir sama untuk mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Terima kasih Bernama sebab mendedahkan mengenai kejadian yang berlaku kepada kami. Mungkin di luar sana masih ada kes yang sama, tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sekurang-kurangnya cerita kami boleh menyedarkan ramai pihak mengenai apa yang berlaku,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Semalam Atirah Iwani (nama lama Noratirah Binti Husin) dan Adryana Iwani Husin (nama lama Adryana Iwani Binti Ibeni Yanin), menerima perkhabaran gembira apabila dapat membetulkan maklumat pada sijil kelahiran dan kad pengenalan diri mereka.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membenarkan permohonan pembetulan maklumat pada sijil kelahiran dan kad pengenalan dua gadis yang berusia 20 tahun itu berdasarkan keputusan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Dalam nada yang sama, Siti Aminah Mohd Ismail, ibu kandung kepada Atirah Iwani mengakui pendedahan berita tersebut telah memudahkan segala urusan mereka sekeluarga.

“Mak cik nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Bernama kerana laporan mengenai tertukarnya Atirah Iwani dan Adryana Iwani itu telah membantu memudahkan semua urusan kami sekeluarga.

“Sejak kisah ini tular, Allah permudahkan urusan kami. Tolong juga sampaikan ucapkan terima kasih kepada wartawan yang membantu menulis artikel tersebut,” katanya.

Sementara itu, Adryana Iwani turut menzahirkan penghargaan kepada JPN kerana mengambil langkah segera dalam membantu urusan pembetulan butiran pengenalan mereka.

“Selain Bernama, kami turut berterima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan JPN sebab bantu proses pembetulan maklumat diri kami,” katanya.

-BERNAMA