Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF Suzuki: Malaysia benam Kemboja 3-1

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Malaysia menepati ramalan untuk membenam Kemboja 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B, saingan Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura petang ini.

Skuad Harimau Malaya beraksi cemerlang untuk menguasai perlawanan bagi meraih tiga mata berharga, walaupun menghadapi serangan balas mencemaskan dari Kemboja.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-154 dunia, terlebih dahulu melakukan percubaan apabila tandukan Syafiq Ahmad seawal minit kedua, hasil daripada sepakan percuma Safawi Rasid, sedikit tersasar ke atas palang gol.

Pemain sayap negara, Safawi kemudian melakukan rembatan kencang dari jarak lebih kurang 18 meter tepat ke penjuru kanan gawang, namun penjaga gawang Keo Soksela tangkas menyelamatkan percubaan itu pada minit ketujuh.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagaimanapun, berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti kaki kiri Safawi ke bahagian kanan gawang, yang memperdayakan Keo ke arah bertentangan.

Malaysia dihadiahkan penalti oleh pengadil Shukri Hussain Alhunfush, apabila Ken Chansopheak mengasari Muhammad Akhyar Abdul Rashid di dalam kotak penalti, yang turut menyebabkan tonggak pertahanan skuad ‘Angkor Warriors’ itu dilayangkan kad kuning.

Kemboja, di bawah kendalian bekas pemain Jepun Ryu Hirose, mencari gol penyamaan menerusi serangan bertali arus, namun barisan pertahanan negara, terutamanya penjaga gol veteran Khairul Fahmi Che Mat bertindak baik bagi mematahkan semua serangan pasukan lawan untuk kekal mendahului sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Malaysia berjaya melebarkan jurang menerusi Muhammad Akhyar, yang menerima hantaran jauh cantik daripada Syafiq dan memperdayakan dua pemain pertahanan Kemboja, sebelum merembat masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-60.

Anak-anak buah Cheng Hoe, terus menambah derita buat Kemboja, apabila pemain gantian M. Kogileswaran Raj meledak masuk hantaran silang pendek Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-79.

Skuad ‘Angkor Warriors’ yang menghuni ranking ke-170 dunia, mempamerkan kebangkitan menerusi jaringan penalti Sath Rosib pada minit ke-90.

Terdahulu, Khairul Fahmi dipersalahkan dan dilayangkan kad kuning kerana menendang Sath ketika menangkap bola hantaran tinggi di dalam kotak penalti.

Kemenangan itu sekali gus membantu Malaysia, juara edisi 2010, mengekalkan rekod tanpa kalah terhadap Kemboja dalam saingan Piala AFF, selepas mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga aksi dalam saingan itu sejak 2000.

Selain menjadi tonik buat skuad Harimau Malaya yang terpaksa turun tanpa khidmat penjaga gol Khairulazhan Khalid dan pemain tengah Faisal Halim, yang dikuarantin kerana positif COVID-19 pada Jumaat lepas, kemenangan itu juga memastikan Malaysia tidak keciciran mata sebelum dua aksi terakhir yang sukar.

Skuad Harimau Malaya selepas ini dijadualkan bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir 19 Dis ini, dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke separuh akhir.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Sochua bukan ditahan, cuma jalani pemeriksaan biasa

PONTIAN, 10 NOV: Pemimpin parti pembangkang Kemboja, Mu Sochua tidak ditahan pihak berkuasa Malaysia sebaliknya cuma melalui proses pemeriksaan biasa di lapangan terbang, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata pemeriksaan itu mengikut standard operasi berikutan Kerajaan Malaysia menerima surat daripada kerajaan Kemboja untuk menghantar pulang tokoh-tokoh yang namanya tersenarai dalam surat itu.

“Sebenarnya semua (pemimpin parti pembangkang Kemboja) yang sampai di Malaysia bukan ditahan tetapi mereka melalui proses tertentu yang dipakai oleh pihak berkuasa kita di lapangan terbang, itu adalah SOP (prosedur operasi standard) yang lazim. Kemboja beri senarai nama tokoh-tokoh politik ini, sebab parti mereka telah diharamkan.

“Mereka (kerajaan Kemboja) minta kalau tokoh-tokoh ini sampai (negara kita), dihantar balik ke Kemboja,” katanya ketika ditemui Bernama selepas memberi ceramah kelompok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sebuah rumah di Kampung Teluk Kerang, dekat sini malam tadi.

Wanita berusia 65 tahun, yang juga Naib Presiden Cambodia National Rescue Party (CNRP) yang diharamkan di negara itu, dilaporkan ditahan oleh Jabatan Imigresen bersama dua lagi warga Kemboja ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 November lalu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata pihak berkuasa telah memberi kebenaran kepada pemimpin pembangkang Kemboja itu memasuki negara ini kerana kerajaan Malaysia membuat keputusan tanpa sebarang desakan daripada mana-mana pihak.

“Kita membuat keputusan tentang apa yang berlaku dalam negara dan di sempadan negara kita tanpa desakan mana-mana pihak. Jadi apabila kes-kes sebegini berlaku kita ada proses tertentu, itu yang berlaku di lapangan terbang, mereka semua dibenarkan masuk ke Malaysia dan mereka bebas bertemu dengan teman-teman mereka dan sebagainya.

Kita ikut SOP dan tidak ikut apa yang dipohon oleh pihak Kemboja kerana kita buat keputusan nak hantar orang balik ke, nak benar orang masuk ke dan sebagainya itu mengikut pengiraan kita sendiri,” katanya.

Minggu lepas, Thailand tidak membenarkan Sochua masuk ke negara itu apabila beliau tiba di lapangan terbang utama di Bangkok.

Beliau, kemudiannya menaiki penerbangan ke Indonesia, sebelum Kerajaan Kemboja meminta wanita itu ditahan selepas mengadakan satu sidang media di sana.

Dilaporkan, pihak berkuasa Kemboja tahun ini menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang berikutan dakwaan mengenai cubaan menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Hun Sen.

Puluhan aktivis pembangkang yang meninggalkan Kemboja kerana bimbang ditahan menyatakan kesediaan untuk pulang sebagai tanda sokongan terhadap pengasas CNRP Sam Rainsy, yang kini hidup dalam buangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Bekas pemimpin kanan Khmer Rouge Kemboja meninggal dunia

PHNOM PENH, 5 OGOS: Nuon Chea, bekas ketua ideologi Kampuchea Demokratik, atau Khmer Rouge, meninggal dunia pada Ahad ketika berusia 93 tahun, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap tribunal.

“Kami mengesahkan bahawa defendan Nuon Chea, 93, telah meninggal dunia petang ini pada 4 Ogos 2019 di Hospital Khmer Soviet Friendship,” kata Neth Pheaktra, jurucakap Kamar Luar Biasa Mahkamah-Mahkamah Kemboja (ECCC), atau lebih dikenali sebagai tribunal Khmer Rouge yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau telah dipindahkan dari pusat tahanan ECCC ke hospital itu untuk rawatan perubatan sejak 2 Julai, menurut jurucakap tersebut.

Keluarga Chea telah dimaklumkan, kata beliau.

Chea telah ditahan pada 2007 dan dibicarakan di depan ECCC atas pertuduhan genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan pelanggaran berat Konvensyen Geneva 1949.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis bakal rekod keterangan rakyat Malaysia ditahan di Kemboja

SHAH ALAM, 20 FEB: Polis akan memanggil kesemua 47 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey, Kemboja untuk direkodkan keterangan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah dalam kes itu dan kertas siasatan dibuka menurut Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Langkah pertama kita mahu tahu apa cerita sebenarnya, bagaimana mereka (mangsa) terbabit dibawa masuk ke sana (Kemboja). Apa dijanjikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada mereka.

“Kita nak tengok sama ada wujud unsur seperti penipuan atau tipu daya, apa yang dijanjikan kepada mangsa, adakah syarikat terbabit penuhi janjinya dari segi tempat tinggal, kemudahan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor kepada 318 pegawai polis, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, polis sudah mengenal pasti seorang warga tempatan yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan pekerjaan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia, di Kemboja.

Kesemua 47 rakyat Malaysia yang terbabit tiba di tanah air dari Kemboja, pada Ahad lalu.

Seramai 43 orang iaitu 40 dari Sarawak dan tiga anak jati Sabah diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, sementara empat lagi dari Semenanjung iaitu tiga dari Selangor dan seorang berasal dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.

Categories
NASIONAL

47 tahanan Malaysia di Kemboja dijangka pulang esok

 

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Kesemua 47 tahanan Malaysia di Kemboja yang telah dibebaskan semalam dijangka pulang ke tanah air seawal pagi esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau telah menghubungi Anggota Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien untuk mengetahui perkembangan terkini dan difahamkan mereka akan dibawa pulang pada kadar segera.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, mereka dijangka sampai esok pada 10.30 pagi.

“Pelbagai susunan dan perbincangan diadakan dan atas usaha ini, terima kasih kepada semua,” katanya lapor BERNAMA.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey telah dibebaskan pada 6.30 petang waktu Kemboja (7.30 malam waktu Malaysia).

Pada 7 Februari lalu, Kementerian Luar mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

– LAGI