Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan RM1 juta untuk kukuh, stabil tebing Sungai Kemensah

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Peruntukan RM1 juta telah diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan, susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata peruntukan itu adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata peruntukan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya ia akan digunakan bagi menyediakan laluan masuk, platform jentera dan pemasangan cerucuk keping (sheetpile) sepanjang 200 meter untuk mengelakkan kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu.

“Kerja-kerja ini perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kajian penilaian dan tindakan ini diselaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya,” tambahnya.

Pada 17 Sept lepas kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights itu menyebabkan 27 rumah penduduk terjejas, selain menyekat aliran sungai di bawah bukit kawasan itu daripada terus mengalir.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Kerja penggalian Sungai Kemensah selesai semalam

SHAH ALAM, 20 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor selesai melakukan kerja-kerja penggalian Sungai Kemensah di kawasan tanah runtuh dekat Jalan Kemensah Heights semalam.

Pengarah Datuk Ir Gapar Asan berkata pihaknya mengambil tindakan segera dengan menggali sungai yang tertutup menggunakan jengkaut untuk kelancaran aliran air.

“Kerja-kerja penggalian mengambil masa sehari sahaja iaitu semalam. Aliran sungai di Sungai Kemensah itu tertutup akibat kesan runtuhan tanah dari lot banglo terlibat.

“Sekiranya tidak melakukan pembersihan sungai dengan segera ia memberi kesan kepada rumah bandar kerana akan berlaku hakisan pada tiang-tiang premis tersebut,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Ir Gapar kerja-kerja memasang cerucuk besi di kawasan tanah runtuh itu hanya dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Mineral dan Geologi Sains (JMG).

“Cerucuk besi ini bertujuan menahan sementara tanah itu daripada runtuh semula. Sejurus laporan diterima kita akan mula melakukan reka bentuk dan cara pemasangan besi,” katanya.

Pada 18 September, Kerajaan Negeri mengisytihar lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights sebagai kawasan bencana.

Dato’ Menteri Besar berkata tiga unit banglo terlibat dalam kejadian tanah itu belum selamat diduduki dan penduduk diminta untuk berpindah serta begitu juga dengan 24 unit rumah bandar terlibat turut disaran berpindah buat sementara waktu.

Malah, ketika meninjau lokasi kejadian Dato’ Seri Amirudin Shari turut memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemilik rumah banglo terkejut dimaklum kejadian tanah runtuh

HULU KELANG, 19 SEPT: Pemilik salah sebuah rumah banglo yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights terkejut apabila dimaklumkan berhubung kejadian tersebut.

Dr Wan Kamariah Abu Bakar berkata ketika kejadian beliau berada di sebuah rumahnya di Cyberjaya dan mendapat maklumat daripada pembantu rumah yang berada di lokasi mengenai perkara itu.

Dr Wan Kamariah Abu Bakar. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pembantu rumah tidak mendengar sebarang bunyi tetapi terkejut kerana tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

“Bersyukur kerana tiada sebarang kejadian buruk menimpa dan reda kerana ia merupakan bencana alam. Namun berasa agak sedih kerana rumah dibina merupakan rekaan arwah suami,” katanya kepada SelangorKini.

Juruteknik TNB Elyas Abdul Rahman, 33, berkata walaupun kediaman jenis rumah bandar bukan unit terlibat namun tetap berasa sedih dan bimbang keselamatan jiran-jiran.

Elyas Abdul Rahman. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Alhamdulillah tiada mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh ini dan selama 10 tahun tinggal di sini tidak pernah berlaku kejadian sebegini.

“Saya pasrah apabila dimaklumkan rumah sarang kelulut dibina tiga tahun lepas perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada jengkaut untuk melakukan kerja melancarkan aliran sungai,” katanya yang mengusahakan madu kelulut secara sambilan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hadir meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agensi diarah pastikan insiden tanah runtuh tidak jejas penduduk

SHAH ALAM, 18 SEPT: Agensi kerajaan diarah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden tanah runtuh di Kemensah Heights tidak menjejaskan penduduk.

Dato’ Menteri Besar berkata Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya perlu memastikan kesan runtuhan tidak memberi kesan terhadap lokaliti penduduk dalam waktu terdekat.

“Jabatan Mineral dan Geosains telah diminta untuk membuat laporan segera mengenai keadaan, potensi dan implikasi bencana untuk tujuan penilaian Jawatankuasa Bencana Daerah bagi mekanisme penyelesaian jangka sederhana dan panjang.

“Semoga semua keluarga mangsa terlibat tabah dan sabar menghadapi ujian ini,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Beliau menambah Kerajaan Negeri turut menghulurkan bantuan kecemasan segera kepada setiap keluarga yang terlibat berupa wang tunai sebanyak RM500 serta bakul makanan asas.

“Petang tadi saya telah turun ke Kemensah Heights di Ampang bagi meninjau lokasi dan mendengar taklimat dari petugas keselamatan di tapak kawasan tanah runtuh yang berlaku semalam.

“Sebanyak 28 buah rumah telah menerima kesan dari kejadian ini,” katanya.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dan pihak bomba memaklumkan berlaku aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

27 keluarga terlibat tanah runtuh terima RM500, kos pindah ditampung

HULU KELANG, 18 SEPT: Kerajaan Negeri memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mangsa turut menerima bantuan bakul makanan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Bantuan awal ini diharap boleh digunakan oleh keluarga terjejas untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang buat sementara waktu.

“Kita juga akan dapatkan maklumat dari semasa ke semasa sama ada kawasan ini selamat atau tidak untuk mereka pulang,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan awal meletak kanvas di lokasi terjejas bagi mengelakkan terdedah kepada air atau unsur lain yang mungkin boleh mengakibatkan runtuhan baharu.

“Selain itu Jabatan Pengairan dan Saliran juga akan memastikan aliran sungai di lokasi kejadian tidak tersekat,” katanya

Terdahulu Amirudin meluangkan masa lebih satu jam di lokasi kejadian bagi bertemu beberapa mangsa kejadian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Nor Azmie Diron dan Ahli Dewan Negeri Hulu Klang Saari Sungib.

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights.

Timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam semalam.

Susulan kejadian, semua mangsa berpindah ke dua buah pusat penempatan sementara di AU2 dan AU5 Lembah Keramat, Kuala Lumpur sebagai langkah keselamatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB tinjau lokasi tanah runtuh Kemensah Heights

HULU KELANG, 18 SEPT: Dato’ Menteri Besar meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa lebih satu jam di lokasi kejadian bagi bertemu beberapa mangsa kejadian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Nor Azmie Diron dan Ahli Dewan Negeri Hulu Klang Saari Sungib.

Keadaan lokasi tanah runtuh di Kemensah Heights, Hulu Klang pada 18 September 2021. Foto RADIN WAZIR

Semalam, berlaku kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights.

Timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada jam 9.30 malam semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh di Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Runtuhan tanah yang menjejaskan bahagian belakang 19 rumah teres dua tingkat di Jalan Kemensah Heights di sini semalam, dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam tadi (Jumaat), yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.

“Ketika ini, pihak saya bersama polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya giat memindahkan mangsa untuk ditempatkan di dewan orang ramai.

“Malah, kerja-kerja pencerunan akan dilaksanakan pagi ini bersama pihak-pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis mengawal ketat lokasi kejadian sebagai langkah keselamatan.

Semalam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

– BERNAMA