Categories
RENCANA WAWANCARA

Agensi sempadan selaras operasi, keselamatan negara

PUTRAJAYA, 26 DIS: Sebuah agensi sempadan akan diwujudkan bagi mengawal, memperkukuh serta mempertingkatkan piawaian pengoperasian dan keselamatan di sepanjang sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan berkenaan penubuhan badan tunggal untuk mengawal pintu masuk negara itu diterima kerajaan yang menyarankan penubuhannya dilakukan secepat mungkin.

“Kalau boleh dalam tempoh dua tahun akan datang perkara berkaitan penubuhan agensi sempadan dapat diselesaikan dan penubuhannya dimuktamadkan.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan saya akan minta untuk menyegerakan penubuhannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhyiddin berkata ketika ini pengurusan sempadan negara dikendalikan kira-kira 28 badan, pertubuhan, persatuan dan syarikat yang dilihat menjadi antara faktor kesesakan dan kelewatan dalam pengurusan hal ehwal sempadan negara.

Katanya cadangan penubuhan badan tunggal itu akan melalui proses kajian dalam tempoh enam hingga 12 bulan oleh perunding yang akan dilantik Mac depan dengan mengambil kira semua keperluan meliputi kewangan, sumber manusia, logistik dan akta berkaitan.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu-Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan pada 3 Julai lalu, KDN yang dipertanggungjawab sebagai urus setia perlu melaksanakan kajian meliputi tiga domain utama iaitu darat, udara dan laut dengan fokus awal kepada domain darat.

Sehubungan itu, KDN sedia mempelajari pengalaman Amerika Syarikat dalam soal penubuhan agensi tunggal untuk mengawal pintu masuk negara sepertimana yang turut dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Singapura dan Australia.

Muhyiddin berkata jika ditubuhkan, badan tunggal berkenaan berperanan untuk meningkatkan penyelarasan proses pemeriksaan secara efisyen melalui ‘single clearance mechanisme’ dalam mempertingkatkan aspek keselamatan disamping memudah cara perdagangan atau trade facilitation.

Kesungguhan kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan kawalan sempadan negara turut dibuktikan apabila hal itu diangkat menjadi satu daripada teras khusus dalam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Oktober lepas.

Tumpuan KDN pada 2019 juga terarah kepada mengurus serta menangani isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Baharu, Johor yang masih berlarutan.

Bagi tujuan itu, Muhyiddin berkata satu Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Bagi Menangani Kesesakan Tambak Johor telah ditubuhkan kerajaan dengan beliau sendiri bertindak selaku pengerusi.

Jawatankuasa tersebut telah mengemukakan 23 inisiatif bagi mengatasi masalah kesesakan yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang, antaranya mengubah suai dan menaik taraf bangunan CIQ, menambah peralatan untuk sistem kawalan pintu masuk seperti Malaysian Automated Clearance System (MACS) dan M-Bike serta memobilasi pegawai bertugas di kaunter tidak sesak ke kaunter yang lebih sesak dan pembukaan laluan kontra di laluan kereta ketibaan.

Komitmen dalam menangani isu permasalahan rakyat itu diserlahkan apabila kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM85 juta bagi tujuan tersebut seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, 11 Oktober lalu.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut melanjutkan pelaksanaan operasi 24 jam bagi kenderaan berat dan kargo di CIQ Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Dannok, Songkhala selama sembilan bulan lagi sehingga 17 Jun tahun hadapan.

Pelanjutan operasi 24 jam yang awalnya dijalankan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 18 Jun hingga 17 September yang mencipta sejarah bagi dua negara berjiran itu dijangka akan meningkatkan pelaburan asing, memantapkan usaha perindustrian dan merancakkan proses pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam yang dibina dengan kos RM385 juta dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos lalu dilengkapi pagar keselamatan jenis ‘anti-climb’ di keseluruhan kawasan dan diawasi kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi, manakala mesin pengimbas kargo turut dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.

Muhyiddin berkata KDN juga tidak menolak kemungkinan menggunakan dron di kawasan perairan Sabah dan kawasan sempadan, bagi menangani isu-isu keselamatan.

Beliau berkata kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) banyak membantu mengawal sempadan daripada dicerobohi tetapi jarak sempadan di perairan Sabah dengan negara jiran yang terlalu panjang memerlukan satu tindakan yang lebih efisyen dilakukan di masa hadapan.

Penggunaan dron bukan sesuatu perkara asing kerana teknologi tersebut telah digunakan oleh pihak berkuasa Thailand dalam mengawasi sempadan negara itu.

Muhyiddin berkata cadangan penggunaan dron untuk mengawal sempadan masih di peringkat perbincangan dan berharap ada peruntukan disediakan kerajaan bagi membolehkan KDN melakukan ujian rintis di kawasan-kawasan yang penting dan kritikal di sempadan negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

123 awak-awak, 25 bot nelayan Vietnam ditahan

PUTRAJAYA, 18 MEI: Seramai 123 orang awak-awak warga Vietnam ditangkap dan sebanyak 25 buah bot nelayan ditahan menerusi Ops Naga yang dilakukan di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 2 hingga 16 Mei.

Menurut Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan di sini, penahanan itu adalah hasil pemeriksaan ke atas 266 vesel melalui operasi bersepadu yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama beberapa pasukan keselamatan lain.

Selain APMM, operasi itu turut melibatkan agensi keselamatan lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Pasukan Polis Marin; Pasukan Gerakan Udara PDRM dan Jabatan Perikanan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” menurut kenyataan itu.

Menurut KDN, dengan kejayaan itu, Ops Naga akan diteruskan bagi memastikan perairan negara tidak terus dicerobohi dan nelayan tempatan dapat menjalankan aktiviti tanpa gangguan dan saingan daripada nelayan asing.

Pengumuman penubuhan pasukan khas itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 April lepas yang antaranya bertujuan menangani aktiviti bot nelayan asing terutamanya bot nelayan Vietnam daripada terus berleluasa di perairan negara.

Penubuhan pasukan khas turut menyaksikan dua jawatankuasa kecil dibentuk iaitu Jawatankuasa Penguatkuasa Undang-Undang dan Jawatankuasa Dasar dan Perundangan.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menyebut bahawa operasi bersepadu antara APMM dengan Jabatan Imigresen pada Selasa lepas menyaksikan 15 nelayan warga Vietnam ditahan.

Mereka yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal melebihi sijil Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang disyaki palsu.

Satu daripada rumah yang diserbu juga disyaki menjalankan aktiviti sebagai tonto berdasarkan penemuan alat komunikasi radio HF dan kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Halang tugas penjawat awam, KDN serah siasatan kepada polis

KUALA LUMPUR, 14 APR: Kementerian Dalam Negeri menyerahkan siasatan kepada polis berhubung isu sekumpulan lelaki yang dipercayai bertindak memeriksa sebuah kererta peronda polis (MPV) semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, semua penyokong parti politik diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

“Berhubung isu beberapa individu yang dikatakan penyokong parti Pakatan Harapan bertindak memeriksa kenderaan polis semasa PRK DUN Rantau, saya ingin menyeru semua pihak supaya patuh kepada undang-undang,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan membolehkan siasatan dijalankan.

“Ia ekoran kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi di mana kumpulan lelaki itu dirakam (video) memaksa dua anggota polis membuka but MPV polis kerana didakwa membawa lebihan kertas undi semasa PRK DUN Rantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Katanya, Seksyen 186 adalah kerana menghalang tugas penjawat awam yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda maksmum RM10,000 atau kedua-duanya.

Seksyen 341 kerana menghalang seseorang dengan salah dan boleh diambil tindakan penjara boleh sampai sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, katanya.

Abdul Hamid berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dengan menghalang mana-mana penjawat awam daripada menjalankan tugas rasmi mereka.

“Sila laporkan kepada polis jika terdapat sebarang maklumat yang menjurus kepada pelanggaran undang-undang dan jangan sesekali mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Rakaman video berdurasi 46 saat itu tular di laman sosial menunjukkan beberapa lelaki menahan kenderaan MPV polis dan memeriksa but kereta namun hanya menemui peralatan keselamatan dan peti ubat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KDN: Salah laku dadah, anak menteri bakal didakwa

KUALA LUMPUR, 8 APR: Anak seorang menteri yang sebelum ini disiasat atas kesalahan dadah dijangka dituduh di mahkamah dalam tempoh terdekat, kata Kementerian Dalam Negeri.

Kementerian itu berkata, arahan untuk menuduh suspek telah diterima selepas kertas siasatan bagi kes tersebut dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

“Bagi kes anak menteri yang disiasat menurut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, laporan patologi telah diterima oleh Polis Diraja Malaysia.

“Arahan telah diterima untuk menuduh suspek di mahkamah. Tindakan untuk menuduh akan diambil dalam tempoh yang terdekat ini,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat bertarikh 4 April lalu.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin penjelasan prosedur operasi standard (SOP) siasatan terhadap individu yang disyaki positif dadah dan tempoh yang diambil untuk mendapatkan pengesahan ujian patologi serta sebab keputusan ujian air kencing seorang anak menteri mengambil masa yang lama.

Berkaitan tempoh masa untuk menyiapkan laporan, kementerian itu berkata ia terletak bawah bidang kuasa Jabatan Patologi, Kementerian Kesihatan.

Menurut kementerian itu, ia difahamkan tempoh masa untuk penyediaan laporan pengesanan sampel air kencing bergantung kepada jenis dadah dan jumlah sampel yang diterima untuk dibuat analisis.

– BERNAMA

T-shirt: KDN akan diheret ke mahkamah

Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mahu mengheret Kementerian Dalam Negeri ke mahkamah di atas pengharaman kemeja-t Bersih.

Mahfuz : Sempadan Negara bolos, mana hasil strategi ‘Blue Ocean’

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata strategi ‘Blue Ocean’ diamalkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan harus dipertikaikan ekoran berlakunya pencerobohan sempadan negara dengan penemuan kubur di Padang Besar, Perlis.

Categories
NASIONAL

KDN larang penerbitan buku ‘Ultraman The Ultra Power’

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Kementerian Dalam Negeri mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku ‘Ultraman The Ultra Power’, yang didapati mengandungi unsur-unsur mungkin memudaratkan ketenteraman awam.ultraman no entry

Buku terbitan bahasa Melayu itu adalah terbitan Resign Publications, manakala pencetaknya Network Printers.

Mengikut kenyataan kementerian itu hari ini, warta larangan itu berkuat kuasa 18 Feb lepas mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. (Bernama)

Bantahan penggantungan permit akhbar ‘The Heat’

Tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit akhbar ‘The Heat’ adalah tidak demokrasi

Categories
SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Tugas PGA dikaji, RELA bakal jadi polis

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mencadangkan kajian dan penugasan semula Pasukan Gerakan Am (PGA) dan rizab bukan Polis sepeti RELA perlu beralih daripada tugas kepolisan atau diberi peluang untuk menjadi polis.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat itu turut mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan keupayaan penyiasatan polis dengan memperkasakan Jabatan Siasatan Jenayah membabitkan penambahan 1,000 Pegawai Penyiasat supaya mempunyai nisbah kes sebanyak 1:5.

Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang berkesan bagi menghilangkan keraguan rakyat berkenaan tanggungjawab serta komitmen polis terhadap perkhidmatan awam, penubuhan Unit Jenayah Terancang dengan anggota yang mencukupi bagi menangani jenayah dengan lebih berkesan.

PR juga menggesa kerajaan memberikan tumpuan kepada peningkatan sumber manusia, perlindungan dan penyampaian perkhidmatan polis dengan memaksimumkan fungsi teras juga bukan teras tugas mereka.

Pada masa sama, PR mencadangkan supaya cadangan Laporan Suruhanjaya DiRaja bagi penambahbaikan operasi dan pengurusan polis atau Laporan Dzaiddin diberikan perhatian serius.

Anggota polis yang mahir dan beruniform juga perlu dipindahkan daripada kerja pentadbiran kepada tugas polis sebenar, selain melantik orang awam untuk memenuhi fungsi pentadbiran.

Mengikut rekod, polis tidak memerlukan peningkatan 30 peratus tenaga kerja yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri untuk tambahan kira-kira 40,000 pegawai kerana negara mempunyai seorang pegawai polis untuk setiap 270 rakkyat ( 1:270) yang hampir dengan nisbah disyorkan Interpol iaitu 1:250, sejak 2011.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Teng – KDN, PDRM diminta kaji peranan polis bantuan

polisSHAH ALAM 1 OKT : Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi digesa untuk mengkaji semula cadangan meluaskan peranan dan kuasa Polis Bantuan (PBT) untuk membantu menjaga keamanan di kawasan kediaman dan komersil.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata keselamatan rakyat perlu diutamakan terutama dengan kadar jenayah yang meningkat mutakhir ini.

“Kerajaan Negeri berharap Kementerian Dalam Negeri dan polis dapat mengkaji semula cadangan mereka. Sebenarnya yang memerlukan kawalan polis adalah kawasan kediaman dan juga perniagaan, bukan di pejabat kerajaan.

“Pejabat kerajaan tidak perlu diletakkan di dalam senarai keutamaan yang tertinggi kerana semua pejabat kerajaan sudah mempunyai pengawal keselamatan. Sementara itu yang menjadi rungutan orang ramai adalah kadar jenayah kelihatan meningkat kerana kekurangan rondaan anggota polis,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Dari segi jumlah bilangan anggota polis bantuan, Teng berkata, ia bergantung kepada keupayaan dan keperluan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mengambil kira kepadatan jumlah penduduk di kawasan seliaannya.

“Seperti di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam, mereka mempunyai peruntukan kewangan lebih selesa dan memandangkan kepadatan penduduk di kawasan ini adalah tinggi maka adalah wajar mereka menggunakan lebih ramai polis bantuan berbanding dengan kawasan yang kurang padat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ops cantas bukti Malaysia tidak perlukan Akta Darurat

azmizam luar pc 01

SHAH ALAM, 20 OGOS : Hasil operasi perintis Ops Cantas Khas yang dilancarkan PDRM baru-baru ini membuktikan polis mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk memerangi jenayah secara agresif tanpa perlu Akta Darurat (EO).

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata rakyat sebenarnya sedar potensi sebenar PDRM jika badan itu ada kemahuan.

“Undang-undang dan akta sedia ada sudah cukup untuk tangani masalah jenayah. Apa yang perlu hanya ketegasan dan sentiasa menjalankan kerja mencegah jenayah,” tegas Azmizam.

Pihak berkuasa juga dinasihatkan agar tidak menjalankan operasi perang jenayah secara bermusim.

Pandangan AMK Selangor selaras dengan pendirian Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang berkata tahanan tanpa bicara seperti EO adalah jalan pintas bagi polis yang mahu mengelakkan kerumitan pembuktian yang dituntut Akta Pencegahan Jenayah (PCA).

PCA menuntut polis mengemukakan tertuduh ke hadapan majistret untuk didakwa dalam masa 24 jam. Manakala Akta Darurat membolehkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.

Kesemua yang ditahan dibawah Ops Cantas Khas disiasat dibawah PCA.

“Bayangkan baru 4 hari Ops Cantas dilaksanakan, Polis Kontinjen Selangor berjaya berkas 211 penjenayah. Saya kira kalau ia dilakukan berpanjangan bukan sahaja mampu mengekang malah mampu mengatasi kegiatan jenayah ini dari terus menjadi-jadi,” tambahnya.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengundang kritikan dari pelbagai pihak ekoran kejadian jenayah berat dan pembunuhan yang berleluasa. Kerajaan Persekutuan beralasan EO yang dimansuhkan perlu diganti bagi mengekang penjenayah bermaharajalela.

“Tidak perlu mengembalikan Akta Darurat. Dikhuatiri ia akan disalahguna dengan menahan aktivis politik yang tidak sebulu dengan kerajaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri,” tegas Azmizam.

Sebelum EO dimansuhkan, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika menjadi Timbalan KPN berkata individu-individu yang terlibat dalam kegiatan subversif terhadap pemerintah boleh ditahan dibawah akta itu.

Kenyataan itu menyusuli penangkapan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr S Jeyakumar Devaraj kerana menyokong himpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (Bersih) 2.0 pada 3 Julai 2011.

– HM

Categories
SELANGOR

Mahasiswa Tunjuk Perasaan Depan KDN, Mahu Zahid Letak Jawatan

mahasiswa demo KDN 01

PUTRAJAYA 31 MEI : Sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi meletakkan jawatan, ekoran penahanan aktivis yang bermotifkan politik.

Kira-kira 30 mahasiswa berkumpul berhampiran pintu masuk utama KDN, dengan membawa kain rentang bagi menunjuk perasaan secara aman selepas solat Jumaat.

Ketua Solidariti Mahasiswa Malaysia Mohammad Safwan Anang yang baru dibebaskan dengan ikat jamin hari ini turut turun padang dan dengan lantang mendesak Zahid letak jawatan kerana mencemar profesionalisma Kementerian Dalam Negeri.

safwan anang mug demo 01Beliau ditahan Rabu lepas dan disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada program Malam Anak Bangsa Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

?Kita rasa Datuk Seri Zahid Hamidi perlu berundur, letak jawatan sekiranya beliau masih gagal untuk menangani isu ini.

?Yang kedua, yang cukup jelas dan terang beliau juga telah menyalahgunakuasa apabila mengarahkan polis untuk membuat tuduhan secara berpilih dan itu yang kita rasa beliau telah menggunakan jentera kerajaan untuk motif politik,” kata Safwan.

Mahasiswa juga menuntut KDN dan polis dibebaskan dari campurtangan politik yang bagi mereka telah menyebabkan dua badan tersebut bersikap berat-sebelah.

Selain Safwan, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim juga ditahan dan disiasat dibawah akta yang sama kerana kenyataan beliau di forum yang sama.

Turut ditahan dan didakwa di bawah akta dan sebab yang sama adalah, Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Pas Tamrin Ghafar dan pemimpin NGO anti-Umno Haris Ibrahim.