KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Arab Saudi mengumumkan permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan sudah dibuka mulai Ahad iaitu 6 Mac lalu melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.
Kementerian itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter rasminya menjelaskan ini bagi memudahkan bakal jemaah umrah Ramadan menyusun perancangan mereka lebih awal.
Bagaimanapun, kementerian mengingatkan jemaah yang mahu menukar tarikh tempahan permit akan diminta membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.
“Ini bagi memberi peluang sama rata kepada jemaah lain membuat tempahan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, slot tempahan umrah pada bulan Ramadan akan ditambah kepada 12 slot sehari berbanding lapan sebelum ini.
– BERNAMA