Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Bakteria cronobacter, salmonella ditemui dalam dua rumusan bayi

KUALA LUMPUR, 23 FEB:  Hanya dua produk rumusan bayi keluaran Abbott Nutrition’s Sturgis dari Amerika Syarikat didapati terlibat berkaitan isu penemuan bakteria Cronobacter sakazakii dan Salmonella Newport, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata siasatan KKM menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mendapati produk tersebut adalah Alimentum (400g) dan Human Milk Fortifier (0.9gx50 sachets).

Beliau memaklumkan produk terlibat adalah dengan nombor kelompok yang dimulai digit 22 hingga 37 pada kod bar di bekas bernombor K8, SH atau Z2 serta mempunyai tarikh luput 1.4.2022 dan seterusnya.

“KKM telah mengenakan tindakan penolakan di semua pintu masuk negara ke atas produk terlibat.

“KKM juga telah menghubungi pihak syarikat Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd dan mengesahkan bahawa pihak syarikat telah membuat penarikan balik produk terlibat yang berada di pasaran tempatan secara sukarela serta mengambil tindakan proaktif dengan menghubungi peruncit, pengedar dan institusi yang membeli produk berkenaan agar menghentikan penjualan produk tersebut,” katanya.

Beliau berkata semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk itu perlu menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat.

Dr Noor Hisham berkata ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mengenal pasti kelompok kod rumusan bayi itu serta berhenti menggunakan produk terlibat dan memantau kesihatan bayi serta mendapatkan rawatan segera sekiranya bayi mempunyai gejala selepas meminum rumusan susu bayi itu.

Bakteria Cronobacter sakazakii terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh hidup dalam keadaan kering seperti di dalam rumusan bayi serta jangkitan Cronobacter boleh menyebabkan meningitis atau sepsis.

Bagaimanapun, perkara itu jarang berlaku dan gejala yang ditunjukkan bayi termasuk demam, tiada selera makan atau kelesuan.

Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna serta mengambil maklum laporan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan Amerika Syarikat (USFDA) mengenai penemuan bakteria itu dalam rumusan bayi.

Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan boleh menghubungi PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat selain melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar pulang dari luar negara dinasihat patuh SOP – KKM

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pelajar Malaysia yang pulang ke negara ini dinasihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang menetap di kawasan berisiko tinggi kes Covid-19 memerlukan pemantauan rapi jika mereka pulang ke tanah air.

“Kita tahu ramai pelajar Malaysia masih di luar negara dan mahu pulang dan jika mereka pulang, mereka kena kuarantin dan jalani ujian saringan.

“Nasihat Kementerian Kesihatan kepada pelajar di luar negara adalah terus ambil langkah pencegahan kerana kita semua perlu sedar bahawa tiada vaksin atau ubat untuk merawat Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Hari ini Malaysia merekodkan 57 kes baharu Covid-19 dengan 25 daripadanya melibatkan kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia, manakala semalam negara merekodkan 72 kes import.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berulang kali menasihat rakyat Malaysia di luar negara untuk kekal di sana sehingga penularan Covid-19 pulih.

Beliau berkata, ia bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu berikutan pergerakan secara besar-besaran masuk ke Malaysia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 57 kes baharu, 25 daripadanya kes import

SHAH ALAM, 30 APRIL: Sebanyak 57 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 25 daripadanya melibatkan kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia mencatatkan keseluruha 6,002 kes tetapi 4,171 daripadanya (bersamaan 69.5 peratus) telah pulih dan dibenarkan keluar wad.

“Hari ini sebanyak 84 kes lagi telah pulih manakala sebanyak 1,729 kes sedang dirawat. Seramai 36 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan daripada jumlah tersebut, 14 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kematian hari ini menjadikan 102 kes kematian direkodkan di negara ini.

“Kes kematian ke-101 (kes ke-4657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah darah. Kes kematian ke-102 (kes ke-5282) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi,” katanya.

Semalam Malaysia merekodkan 94 kes baharu Covid-19, dengan 72 daripadanya kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang dari 100 sejak 17 April lalu. Kementerian Kesihatan Malaysia menyasarkan jumlah kes harian Covid-19 turun kepada satu angka pertengahan Mei ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM rampas 434,742 paket produk Energy Candy

SHAH ALAM, 18 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 434,742 paket produk Energy Candy bernilai RM131,340.70 dalam operasi yang dijalankan di seluruh negara, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penguatkuasaan di 160 premis pemborong itu bagi memastikan produk mengandungi racun berjadual Tadalafil tidak dijual di pasaran.

“KKM ingin menegaskan sekali lagi kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini supaya menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM semalam mengesahkan produk ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy mengandungi Tadalafil yang tidak dibenarkan ditambah dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan bagi merawat pesakit mengalami masalah mati pucuk.

Pihak yang menjual produk tersebut boleh dikenakan tindakan perundangan mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kematian akibat penyakit jantung terus meningkat

SHAH ALAM, 5 FEB: Kematian akibat penyakit jantung koronari meningkat hampir 100 peratus kepada 18,267 kes pada tahun lalu berbanding 9,371 kes pada 2010, kata Dr Lee Boon Chye.

Timbalan menteri kesihatan berkata penyakit berkaitan jantung atau kardiovaskular adalah fenomena membimbangkan di negara ini, lapor Berita Harian.

“Penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, obesiti dan hiperkolesterolemia tanpa kawalan serta gaya hidup tidak sihat ialah penyumbang utama berlaku peningkatan penyakit kardiovaskular,” katanya.

Penyakit jantung koronari berlaku akibat gangguan bekalan oksigen pada otot-otot jantung kerana penyekatan aliran darah daripada kerosakan dinding pembuluh darah dan pengumpulan kolestrol.

Rekod Kementerian Kesihatan turut menganggarkan 45,684 daripada 32.4 juta rakyat negara ini menderita penyakit jantung koronari sehingga kini.

Beliau berkata rakyat Malaysia turut direkodkan menghidap penyakit kardiovaskular pada usia jauh lebih muda berbanding negara lain dengan purata pada usia 58 tahun manakala di Thailand (68 tahun), Singapura (61 tahun), China (63 tahun) dan Amerika Syarikat (66 tahun).

Boon Chye berkata pembinaan Makmal Katerisasi atau lebih dikenali sebagai Cath Lab di Hospital Pantai Batu Pahat, Johor adalah satu tindakan tepat bagi membolehkan pengesanan dan rawatan awal boleh dilakukan penduduk sekitarnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Dakwaan lelaki warga India mati di Malaysia palsu

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Berita mengenai seorang lelaki warganegara India berusia 23 tahun yang kononnya meninggal dunia di Malaysia akibat koronavirus 2019 adalah palsu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi catatan di Facebook rasminya menegaskan tiada warganegara India direkodkan oleh makmal yang menjalankan ujian pengesahan koronavirus di Malaysia.

“Berdasarkan maklumat yang diterima sehingga 6 petang semalam, lelaki warganegara India berumur 23 tahun seperti yang dinyatakan dalam berita itu tiada dalam senarai notifikasi dan kes positif yang dilaporkan kepada KKM,” menurut catatan itu.

Menurut sebuah portal berita di India, datuk kepada lelaki warga India itu menerima panggilan daripada pihak berkuasa Malaysia pada Rabu, yang memaklumkan kematian cucunya disebabkan koronavirus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: China kenakan perintah kuarantin di Wuhan

KUALA LUMPUR, 23 JAN: China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan, susulan penularan wabak koronavirus.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam catatan Twitter yang berkongsi mengenai perkara itu memaklumkan 11 juta penduduk di situ juga tidak dibenarkan keluar.

“Semua pengangkutan awam seperti bas, subway, feri dihentikan sementara bermula 10 pagi 23 Januari. Lapangan terbang ditutup dan semua penerbangan dari Wuhan dibatalkan,” menurut catatat tersebut.

Media semalam melaporkan, setakat ini sembilan maut akibat virus itu, manakala kira-kira 400 lagi telah dijangkiti.

Amerika Syarikat turut mengumumkan virus berkenaan telah memasuki negara itu.

Pada Isnin, Suruhanjaya Kesihatan Negara China mengesahkan jangkitan manusia kepada manusia yang membabitkan koronavirus baharu itu.

Sebelum ini, virus itu dianggap hanya boleh dijangkiti selepas terdedah kepada haiwan yang sakit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penguatkuasaan penuh larangan merokok bermula 1 Januari 2020

SHAH ALAM, 30 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan bermula 1 Januari 2020 dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemilik premis turut bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok atau berdepan kompaun jika gagal berbuat demikian.

“Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250. Kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

“Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula tempoh sama, pemilik premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350,” katanya.

Beliau berkata pemilik premis juga perlu memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.

Katanya pelaksanaan itu merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 dengan penguatkuasaan pendidikan selama setahun.

“Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyakit jantung ragut nyawa 50 rakyat Malaysia setiap hari

IPOH, 24 NOV: Penyakit jantung koronari masih merupakan pembunuh nombor satu dengan meragut nyawa kira-kira 50 orang rakyat Malaysia setiap hari, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari pada tahun 2018 adalah seramai 18,267 orang sekaligus kekal menjadi punca utama kematian di negara ini.

“Jumlah kematian akibat penyakit itu menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ia juga menjadi punca utama yang menyebabkan kematian mengejut ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Perak ‘Perak Automated External Defibrillator(AED))Save A Life’ di Dewan Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Seramai 580 peserta dari seluruh negeri menyertai program anjuran Ipoh Cardiovascular Society yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan bilangan orang awam yang mampu melakukan Resusitasi Kardiopulmonari atau CPR serta menggunakan AED.

Dalam perkembangan lain, Dr Boon Chye berkata Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan larangan meminum arak di tempat tertentu seperti larangan merokok.

Beliau berkata bagi larangan merokok, kementerian boleh melaksanakan penguatkuasaan kerana ia termaktud di dalam Akta Makanan 1983.

Katanya larangan itu adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“Bagaimanapun minum arak semasa memandu sememangnya tidak wajar dan tidak dibenarkan sekiranya mereka ingin memandu mereka tidak seharusnya minum arak kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pemandu lain.

Mengenai program hari ini, Dr Boon Chye, ia amat berguna kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran orang ramai malah mendidik masyarakat untuk memberi rawatan secepat mungkin sekiranya berlaku ‘sudden cardiac arrest’.

Dalam pada itu, Pengerusi dan Pengajur Program Perak ‘AED Save A Life’ Dr Cheah Pike Kuan berkata setakat ini pihaknya telah memasang empat AED di tempat tumpuan awam sekitar Bandaraya iaitu di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), Taman Rekreasi Dr Seenivasagam, Pusat Akuatik Tuanku Zara dan Padang Ipoh.

“Manakala enam lagi lokasi kita sedang kenal pasti seperti di Bukit Kledang, Stadium Ipoh dan beberapa tempat lagi. Sebelum pemasangan kita perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan dan Majlis Bandaraya Ipoh,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sahkan 10 produk kandungi bahan aktif Ranitidine

SHAH ALAM, 30 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 10 produk yang dipanggil balik mengandungi bahan aktif Ranitidine ekoran pengesanan impuriti N-Nitrosodimethylamine (NDMA) melebihi had dibenarkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan itu berdasarkan penilaian dan ujian makmal oleh KKM dan syarikat pemegang pendaftaran produk serta maklumat semasa daripada badan regulatori antarabangsa.

“Individu yang sedang mengambil ranitidine diingatkan bahawa manfaat meneruskan rawatan melebihi risiko yang berpotensi mengandungi NDMA dalam kuantiti kecil.

“Oleh itu, pengambilannya hendaklah diteruskan dan jika perlu dapatkan nasihat daripada profesional kesihatan untuk penukaran kepada ubat lain,” katanya dalam kenyataan.

Ranitidine adalah ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami pedih ulu hati dan ulser perut dengan cara mengurangkan kadar pengeluaran asid di dalam perut.

Ia biasanya digunakan dalam jangka masa pendek iaitu beberapa hari sehingga beberapa minggu.

Dr Noor Hisham berkata NDMA adalah salah satu impuriti daripada kumpulan nitrosamine yang biasa ditemui pada paras rendah, antaranya dalam makanan dan minuman tertentu, pencemar udara (air pollutant) dan hasil daripada proses pengilangan tertentu.

“Berdasarkan International Agency for Research on Cancer (IARC), NDMA boleh meningkatkan risiko terjadinya kanser kepada pengguna dalam jangka masa panjang.

“Walaupun risiko mendapat kanser akibat penggunaan ubat ranitidine dalam jangka pendek sangat rendah, KKM tetap memandang serius perkara ini.

“KKM dengan kerjasama syarikat pemegang pendaftaran produk akan meneruskan penilaian bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk terjamin,” katanya.

Categories
NASIONAL

Cuaca panas: Kurangkan aktiviti fizikal, luar bangunan

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai terutama di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat dan cuaca panas, antara lain ​​​​​mengurangkan aktiviti fizikal yang boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan atau menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask), payung dan topi ​​sekiranya berada di luar.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan ​​​orang ramai untuk lebih kerap meminum air kosong bagi mengekalkan tahap hidrasi dan mendapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.

“Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar,” katanya.

Berdasarkan pemantauan status gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, ​​​​​​​terdapat​​​​​​​ 11 kawasan di enam negeri dilapor berada pada paras berjaga-jaga atau Tahap Satu dengan suhu mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius.

Kawasan ini ialah Chuping di Perlis; Pendang, Sik, Kota Setar ​​​​​​​​​​​​​​(Kedah); Hulu Perak dan Kinta (Perak); Jerantut (Pahang); Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai (Kelantan); dan Tangkak di Johor.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar turut melaporkan berlaku kemerosotan kualiti udara dengan keadaan berjerebu di beberapa kawasan berpunca daripada beberapa kejadian kebakaran hutan dan belukar ​​​​​​​sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerjasama hospital awam-swasta bantu tangani kekurangan pakar

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Usaha untuk meningkatkan kerjasama antara hospital awam dan swasta bagi menambahbaik sistem kesihatan di negara ini sudah mula dilaksanakan selepas penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan, bulan lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kolaborasi itu diyakini dapat membantu hospital awam khususnya dalam menangani isu kekurangan tenaga pakar dan fasiliti, selain beban kerja yang tinggi serta kos rawatan yang semakin meningkat.

“Terdapat beberapa hospital swasta sudah menyatakan niat murni mereka untuk bekerjasama. Jadi, kita sangat mengalu-alukan kedatangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan ke Hospital Ampang hari ini.

Beliau meluangkan masa selama dua jam melawat pesakit kanser di wad hematologi di hospital berkenaan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Majlis Penasihat Kesihatan berperanan menjana idea ke arah memperkasakan sistem kesihatan negara selain membantu kerajaan merangka hala tuju baharu memperkasa Kementerian Kesihatan ke arah kelas dunia.

Dalam pada itu, Dzulkefly menggalakkan orang ramai menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal penyakit kanser kerana penyakit itu direkodkan sebagai penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat di negara

Katanya, dianggarkan 60 peratus penyakit kanser di negara ini dikesan pada tahap lewat iaitu Tahap 3 dan 4.

*Sumber: BERNAMA