Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik premis, majikan harus tingkat kualiti udara dalaman

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Pemilik bangunan dan majikan mestilah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meningkatkan kualiti udara bagi mencegah penyebaran Covid-19 melalui sistem penyaman udara.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan hari ini berkata pemilik bangunan, pejabat dan pusat beli-belah mestilah mengambil perhatian atas nasihat pihak berkuasa dan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti udara dalaman apabila tempat kerja tersebut dibuka semula selepas lebih 50 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.

“Apabila orang mula kembali bekerja selepas tempoh PKP, kualiti udara dalaman di pejabat dan tempat kerja harus menjadi keutamaan.

“Oleh itu tanggungjawab semua pemilik bangunan dan majikan untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan memastikan peredaran udara yang betul serta meningkatkan pengudaraan di semua bangunan dan tempat kerja,” katanya.

Lee berkata selepas kekal selamat dan berada di dalam rumah selama ini, pekerja berhak untuk kembali bekerja di persekitaran yagn selamat dan sihat.

Keselamatan dan kesihatan pelanggan dan orang ramai juga harus terjamin dan dilindungi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Panduan cegah Covid-19 di institusi jagaan warga emas

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan penghidap penyakit kronik terutama warga emas adalah golongan paling berisiko dijangkiti Covid-19.

Sehubungan itu, KKM menerusi Twitter memaklumkan penghuni, pekerja, majikan dan pelawat di institusi jagaan warga emas perlu bekerjasama bagi mencegah wabak berkaitan dengan memberi panduan mengenainya.

Antara pendekatan disenaraikan menerusi sumber daripada Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga untuk diikuti penghuni institusi ialah memaklumkan kepada penjaga dengan segera jika berasa tidak sihat selain memakai penutup hidung dan mulut jika mengalami simptom sakit tekak, batuk atau selsema.

Bagi pekerja disaran membantu melindungi diri, rakan sekerja dan penghuni institusi dari jangkitan Covid-19 dengan:
– Cuci tangan sebelum dan selepas kendali perkakasan / persekitaran / peralatan dan penghuni
– Pastikan memakai alat pelindung seperti sarung tangan, penutup hidung dan mulut, penutup kepala dan sarung pakaian apabila mengendali penghuni yang sakit.
– Maklumkan kepada majikan sekiranya anda atau penghuni yang tidak sihat dan dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital

Majikan pula boleh membantu melindungi pekerja dan penghuni institusi dari jangkitan Covid-19 dengan:
– Pastikan bekalan sabun dan air atau cecair pembasmi kuman mencukupi
– Sediakan penutup mulut dan hidung, sarung tangan, penutup kepala dan sarung pakaian yang cukup
– Asingkan penghuni yang sakit dan dapatkan rawatan segera
– Pastikan pekerja sihat sebelum masuk ke tempat kerja
– Amalkan penjarakan sosial dan jaga kebersihan institusi

Manakala pelawat perlu mengelak melawat institusi sehingga wabak tamat serta tindakan berikut:
– Jika perlu pastikan anda tiada sejarah perjalanan ke tempat jangkitan Covid-19 atau ke perhimpunan ramai dalam tempoh 14 hari
– Bukan kontak rapat pesakit positif Covid-19
– Ringkaskan lawatan dan elak kontak dengan penghuni
– Cuci tangan sebelum dan selepas lawatan

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak benar Hospital Tuanku Fauziah guna termometer masuk ke mulut saring Covid-19

SHAH ALAM, 28 MAC: Dakwaan kononnya Hospital Tuanku Fauziah Kangar Perlis menggunakan termometer yang dimasukkan ke mulut orang ramai bagi menyaring penyakit Covid-19 adalah palsu, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hospital Tuanku Fauziah hanya menggunakan termometer dahi ketika proses saringan kesihatan. KKM mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pengendalian saringan kesihatan dan pesakit,” kata agensi itu menerusi Twitter.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Perlis dalam kenyataan hari ini berkata pihak pengurusan hospital menerima pertanyaan dari Muslim Care berkaitan peralatan yang diperlukan bagi pengurusan wabak Covid-19.

Untuk itu jawatankuasa telah menyenaraikan beberapa peralatan termasuk termometer dahi untuk digunakan di kaunter saringan.

“Hospital Tuanku Fauziah menafikan kenyataan ketika ini mereka menggunakan termometer yang dimasukkan ke mulut bagi pengurusan pesakit atau disyaki Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM benar fasiliti kesihatan swasta ubah waktu operasi

SHAH ALAM, 18 MAC: Pemegang perakuan atau lesen fasiliti kesihatan swasta yang perlu mengubah waktu operasi atas sebab tidak dapat dielakkan boleh mengemukakan pemakluman menerusi emel, kata pengarah amalan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dr Ahmad Razid Salleh berkata perubahan operasi itu hanya terpakai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa hari ini sehingga 31 Mac membabitkan klinik perubatan, pergigian, pusat jagaan ambulatori dan rumah bersalin.

“Pemakluman melalui emal [email protected] beserta butiran nama fasiliti, alamat, sebab dan butiran perubahan waktu operasi, nama serta nombor telefon (pemegang perakuan atau pemegang lesen),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor jagaan kesihatan dan perubahan telah disenaraikan sebagai salah satu perkhidmatan perlu yang boleh dibuka mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Tangguh perjalanan ke wilayah kawasan wabak Covid-19

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah atau bandar di Korea Selatan, Jepun, Itali, Iran selain China yang sebelum ini telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah 81,398 kes Covid-19 yang melibatkan 2,770 kematian dilaporkan di seluruh dunia.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, empat peratus atau 3,200 kes dilaporkan di luar China yang melibatkan 52 kematian.

“Daripada pemantauan yang dijalankan didapati Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran menunjukkan ada peningkatan kes yang ketara dalam tempoh seminggu lalu.

“Berdasarkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan perkembangan terkini di peringkat global, KKM ingin menyarankan kepada rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan khususnya pengembara yang berada di negara itu dan selepas pulang ke Malaysia untuk mengamalkan langkah pencegahan kesihatan diri seperti kerap mencuci tangan, etika batuk yang baik selain segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti deman, batuk dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan.

Selain itu semasa dalam tempoh lawatan, mereka juga diingatkan untuk mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung serta elakkan memakan atau minum sebarang produk haiwan yang mentah dan elakkan ke ladang haiwan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat denggi tertinggi dengan 11,338 kes

SHAH ALAM, 9 FEB: Selangor merekodkan kejadian denggi tertinggi dengan 11,338 kes sejak 29 Disember tahun lalu hingga semalam, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.

Berdasarkan statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan, jumlah itu dicatat berbanding keseluruhan 18,473 kes di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.

Ia diikuti Johor di tempat kedua dengan 1,435 kes, Kuala Lumpur (1,375), Sabah (1,012), Kelantan (842), Perak (558), Sarawak (462), Pahang (460).

Melaka pula mencapai 291 kes, Negeri Sembilan (261), Pulau Pinang (182), Kedah (118), Putrajaya (76), Terengganu (48), Perlis (12) dan Labuan (tiga).

Sebelum itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan dan kawalan bagi membendung peningkatan kes denggi.

Tegasnya, masyarakat perlu memastikan persekitaran kediaman masing-masing bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes bagi mengurangkan populasi sebagai penyebar virus denggi.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Kementerian Kesihatan tumpu pelihara kesejahteraan rakyat

PUTRAJAYA, 27 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) komited memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terpelihara pada 2020 dengan memfokuskan kepada program imunisasi pneumokokal dan larangan merokok di premis makanan awam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata program imunisasi pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan akan dimulakan pada 2020, dengan sasaran terhadap kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari tahun ini dan seterusnya.

Di bawah program itu, tiga dos suntikan vaksin penumococcal conjugate akan diberikan bagi setiap kanak-kanak.

“Persediaan sedang giat dilakukan KKM termasuk perolehan vaksin, persediaan logistik, penyediaan bahan pendidikan kesihatan dan latihan anggota kesihatan,” katanya pada majlis amanat tahun baharu kementeriannya baru-baru ini.

Mengenai larangan merokok di tempat awam pula, Dr Dzulkefly berkata KKM mengambil pendirian tegas menguatkuasakan zon larangan merokok di tempat awam khasnya bagi membendung gejala asap rokok yang boleh memudaratkan kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.

Menurut statistik, katanya tujuh daripada 10 orang dewasa yang pergi ke restoran terdedah dengan asap rokok yang mana boleh mengakibatkan lebih 890,000 kematian pramatang dalam setahun.

Pada 1 Januari tahun ini, KKM melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350. KKM mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Pada 2020, kata Dr Dzulkefly, KKM akan terus maju dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan penglibatan yang lebih serius bersama pihak GP swasta dan klinik swasta.

Beliau berkata polisi ‘National Health Fund’ atau Dana Nasional Kesihatan perlu digerak serta digembeling secara progresif dalam mengupaya kredibiliti dan prestasi KKM secara inklusif.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Dapatkan maklumat terkini daripada kementerian berkaitan

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Orang ramai dinasihatkan hanya mendapatkan maklumat terkini mengenai kes 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia daripada Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang berkaitan melalui kenyataan yang dikeluarkan dalam media.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran berkata ia bagi mengelak orang ramai berkongsi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan ketakutan dan panik.

“Nasihat daripada Kementerian Kesihatan mengenai langkah pencegahan perlu dipandang serius. Ini adalah masa untuk semua pihak meletakkan kepercayaan kepada kerajaan dalam mengendalikan situasi yang kompleks ini.

“Kami percaya bahawa isu ini dikendalikan dengan baik oleh Kementerian Kesihatan di bawah pimpinan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan kerajaan sedang melakukan yang terbaik dengan mengambil langkah sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MMA turut menasihati penyedia penjagaan kesihatan termasuk doktor, ahli farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan dan kakitangan sokongan untuk terus mematuhi piawaian kawalan jangkitan sedia ada bagi melindungi diri mereka ketika melaksanakan tugas.

Setakat ini, empat kes Koronavirus disahkan di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh produk kosmetik dikesan miliki racun berjadual

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kementerian Kesihatan hari ini membatalkan notifikasi terhadap tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk berkenaan ialah 3rd Series Yanko Fade Out Cream Day Cream; 5th series Yanko Fade Out Cream Day Cream; dan 7th Series Yanko Whitening Cream Day dari syarikat Lurveya Sdn Bhd.

Selain itu, produk terlibat ialah Fjura Face Polish Treatment dari syarikat Thefjura Marketing, Dnars Golden Cream (Rohban Trade Sdn Bhd); Glow Glowing N Glowing (Qalbu Ocean Enterprise); dan Apple Diamond Day Loose (Glowing Expert Apple Diamond).

Dr Noor Hisham berkata kesemua produk itu didapati mengandungi merkuri yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya, katanya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Beliau menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM diminta periksa semua syarikat pengeluar air minuman botol

GEORGE TOWN, 15 JUN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan untuk membuat pemeriksaan segera ke atas semua premis pengeluar air minuman botol untuk mengesahkan dari mana punca air itu diperolehi.

Ini sejajar dengan tindakan pihak berkuasa Singapura yang menarik balik air minuman jenama Starfresh daripada pasaran republik itu pada 12 Jun ekoran pencemaran bakteria Pseudomonas aeruginosa iaitu sejenis bakteria yang ditemui dalam najis, air dan sisa kumbahan.

Menurut Singapore Food Agency (SFA) bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jangkitan tetapi jarang menyebabkan penyakit serius pada individu yang sihat.

Dalam satu kenyataan akhbar, Presiden Pemangku CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata bahawa tindakan serupa juga harus dilakukan di Malaysia jika produk itu dijual di sini untuk mengelakkan sebarang risiko kesihatan.

“Kita mahu tahu apa yang akan dilakukan terhadap botol air minuman Starfresh yang ditarik balik itu, sama ada air akan disterilkan sebelum dibuang,” katanya.

Beliau juga mengatakan bahawa meminum air yang telah dimasak menggunakan gelas atau cawan masih merupakan alternatif yang ideal berbanding air botol kerana bakteria dan klorin yang berbahaya di dalam air akan terhapus.

“Gelas atau cawan yang kita gunakan itu boleh dicuci dan tidak seperti botol plastik yang mempunyai plasticisers yang boleh mengganggu sistem endokrin badan, yang bertanggungjawab untuk kanser tumor, kecacatan kelahiran, dan gangguan terhadap perkembangan tubuh badan,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM diminta fokus insurans kesihatan mental, pengamal perubatan

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Aktivis sosial dan penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa Kementerian Kesihatan memberi fokus kepada lebih ramai pengamal perubatan dan mencadangkan agar liputan insurans disediakan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

“Selepas mendengar tuntutan daripada pihak awam berhubung isu berkenaan, saya menggesa kementerian bekerjasama dengan syarikat-syarikat insurans untuk menyediakan kemudahan insurans kepada pesakit kesihatan mental.

‘’Liputan seumpama itu disediakan di Singapura bagi lima jenis penyakit mental termasuk tekanan jiwa. Inisiatif ini adalah penting kerana ia melibatkan kos dan rawatan (besar),” katanya kepada Bernama di sini.

Lee berkata, badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu memikul tanggungjawab penuh demi mewujudkan kesedaran tentang kesihatan mental dan pentingnya liputan insurans.

Oleh itu mereka perlu mengemukakan memorandum kepada kerajaan dan persatuan insurans berhubung perkara itu.

Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia agak ketinggalan dalam menangani isu kesihatan mental oleh kerana kurangnya sumber dalam bidang ini terutama dari segi kemudahan dan pengamal perubatan.

“Dari segi sumber, banyak yang perlu dilakukan. Kita tidak mempunyai pusat dan klinik psikiatri yang mencukupi. Selain kurangnya bilangan pakar psikologi untuk merawat pesakit kesihatan mental,” kata beliau.

Beliau berkata, ini boleh mendatangkam impak yang besar oleh kerana rakyat Malaysia yang mengalami pelbagai penyakit mental tidak tahu di mana dan bagaimana hendak mendapatkan bantuan.

Menurut Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan pada 2015, kira-kira 29.2 peratus daripada 4.2 juta penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun dan ke atas mengalami pelbagai penyakit mental.

Lee berkata, kebanyakan pelajar menderita penyakit ini, dan menyebut budaya berorientasikan peperiksaan sebagai salah satu sebab.

Namun, beliau memuji Kementerian Kesihatan yang mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mempertingkat tahap kesihatan mental golongan pelajar menerusi program penilaian seperti Penilaian Kesihatan Mental. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kanser berkaitan obesiti, masalah baharu bagi Malaysia

GEORGE TOWN, 2 MAC: Kanser yang berhubung kait dengan obesiti kini muncul sebagai satu masalah baharu bagi Malaysia memandangkan negara ini adalah negara paling “obes” di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, risiko seumur hidup seorang lelaki dan wanita di Malaysia mendapat kanser masing-masing dalam nisbah satu dalam sepuluh dan satu dalam sembilan orang.

Beliau berkata, obesiti menduduki tempat kedua selepas merokok dalam hubungannya dengan kanser dan Malaysia adalah sebuah negara paling ‘obes’ dengan kelaziman obesiti mencatatkan 17.7 peratus manakala berlebihan berat badan mencatat 30 peratus.

“Dengan obesiti dianggap sebagai penyebab utama kanser ia akan mengurangkan tanggapan terhadap penyakit lain seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit kardiovaskular,” katanya selepas melancarkan Hari Konsert Sedunia 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, obesiti dikaitkan sehingga kepada 13 jenis kanser – seperti kanser payu dara, kolorektal, rahim, buah pinggang, kepala dan leher, kerongkong, pankreas, peranakan, prostat, pundi kencing dan tiroid.

Katanya, mengikut data oleh Institut Kanser Negara, seseorang yang obes berhadapan risiko dua atau empat kali ganda untuk mendapat kanser peranakan dan kerongkong.

“Seseorang dengan indeks mass badan lebih 30 juga berisiko dua kali ganda untuk mendapat kanser gastrik kardia, hati dan buah pinggang berbanding dengan orang biasa,” katanya.

Sementara itu, Dr Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng, Perak berkata, kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah untuk mengurangkan kos ubat kanser.

Katanya, perbincangan telah dijalankan antara kementerian kerajaan untuk mengatasi isu kos tinggi bagi ubat kanser.

“Kami telah membincangkan perkara berkenaan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan memandangkan kementerian berkenaan menyediakan perkhidmatan hospital dan kami sedang mengkaji kemungkinan untuk membeli ubat kanser secara pukal bagi mengurangkan kos,” katanya.

SUMBER: BERNAMA