Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Beri Tanah Untuk Hospis Bina Pusat Penjagaan Paliatif

hospis

KLANG, 1 MAC: Kerajaan NegeriĀ  meluluskan pemberian tanah seluas satu ekar yang terletak di Bandar Parklands, Klang kepada Pertubuhan Hospis Klang bagi tujuan mendirikan Pusat Penjagaan Paliatif khususnya rawatan susulan pesakit luar.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, keputusan tersebut diambil setelah meneliti kepentingan untuk mewujudkan pusat jagaan ini kepada pesakit kronik yang tinggal di sekitar Klang dan Banting.

Katanya, Pusat Penjagaan Paliatif yang bakal dibina ini berada di lokasi yang strategik kerana berhampiran dengan laluan utama yang akan memudahkan urusan perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah serta beberapa hospital lain.

“Geran tanah juga diberikan dan pusat ini dijangka siap pembinaannya dalam tempoh setahun setengah hingga ke dua tahun,” katanya ketika hadir dalam majlis penyerahan tanah tersebut di Bandar Parklands, Klang semalam.

Sementara itu, Pertubuhan Hospis merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam program rawatan perubatan dan emosi untuk pesakit tenat akibat menghidapi penyakit kritikal yang membawa maut seperti kanser peringkat akhir.

Sehingga kini, pertubuhan ini bergantung kepada ‘public donations’ untuk menanggung kos perkhidmatan kerana bantuan daripada Kementerian Kesihatan adalah sangat minima untuk dua tahun kebelakangan ini.

Hospis 2

Dr Xavier turut berharap Kerajaan Persekutuan lebih mengambil berat tentang kos aktiviti Persatuan-Persatuan Hospice di seluruh Malaysia yang kebanyakkannya adalah pertubuhan ‘non-profit’.

“Ia sepatutnya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan Penjagaan Paliatif “palliative care” boleh diperolehi oleh semua lapisan masyarakat,” katanya yang merupakan Adun Sri Andalas.

Dalam pada itu, Pengerusi Hospis Klang, Dr Michael Yoong berterima kasih di atas usaha Kerajaan Negeri memberikan tanah untuk pembinaan Pusat Penjagaan Paliatif ini.

“Hasrat kami untuk memberikan perkhidmatan penjagaan paliatif yang terbaik tidak akan tercapai jika Kerajaan Negeri tidak berbesar hati memberikan tanah ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

BN Putar Belit Isu Lesen Hospital Swasta Di P. Pinang

GEORGETOWN, 27 JULAI : Exco Kesihatan, Kebajikan Dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh membidas dan mendedahkan penipuan yang dibuat oleh Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berhubung kes tanah 0.4 hektar di Jalan Zainal Abidin dan keengganan Kementerian Kesihatan untuk memberi lesen untuk hospital swasta multidisiplin.

Dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor, Boon Poh mendedahkan, BN Pulau Pinang cuba mengalihkan perhatian rakyat berhubung hakikat keadaan Kerajaan PR Pulau Pinang yang harus menebus balik lebih RM10 juta jika lesen hospital swasta tidak dapat diperolehi.

Teng sebelum ini mendakwa lesen hospital swasta telah diluluskan untuk tanah Jalam Zainal Abidin seluas 0.4 hektar.

Menurutnya lagi, Teng telah menipu sekali lagi bahawa kerajaan negeri telah memberi jaminan kepada pemenang tender bahawa kelulusan daripada Kementerian Kesihatan akan diberi untuk pengendalian hospital swasta.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri PR tidak pernah memberi apa-apa jaminan sedemikian sebaliknya kekal dengan pendirian bahawa tanah yang dijual itu hanya boleh digunakan untuk pembangunan sebuah hospital dan bukan untuk projek komersial.

“Sebagai salah satu usaha untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai nombor satu dalam pelancongan kesihatan, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membayangkan kesukaran dan keengganan Kementerian Kesihatan untuk memberi lesen hospital swasta walaupun terdapat kekurangan katil hospital di kalangan hospital-hospital swasta.

“Jika lesen hospital swasta tidak diluluskan, adalah adil jika tanah itu dikembalikan kepada kerajaan negeri dengan penebusan apa-apa bayaran yang sudah dibuat. Tindakan Teng untuk mengkritik kami kerana ingin mengambil balik tanah tersebut adalah tidak munasabah dan mengelirukan kerana dahulu beliau telah mengkritik kami kerana menjual tanah tersebut,” katanya.

Ujar beliau lagi, jika Teng tidak terdesak untuk membantu UMNO memenangi kembali Pulau Pinang, beliau harus memberi tekanan kepada Kementerian Kesihatan untuk memberi kelulusan untuk lesen hospital swasta selain memastikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri nombor satu dalam pelancongan kesihatan di Malaysia.