Categories
AGENDA NASIONAL

MED mahu terokai peluang dalam sektor halal, teknologi New Zealand

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berhasrat menerokai peluang lebih luas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam sektor halal dan teknologi di New Zealand.

Dalam lawatan kerja beliau ke New Zealand baru-baru ini, Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan sektor swasta daripada Malaysia dan New Zealand.

“MoU pertama antara BCA International Sdn Bhd dan Oceania Halal Academy, New Zealand dalam bidang halal, yang akan menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menyumber bekalan bahan mentah daripada New Zealand bagi pembuatan gelatin halal di Malaysia.

“MoU kedua adalah antara MyProdigy Asia Pacific dan Map My Skills, New Zealand dalam bidang pembangunan bakat. MoU itu dijangka mewujudkan peluang kepada PKS Malaysia untuk menggunakan teknologi baharu dan berasaskan blockchain untuk tujuan pensijilan pembangunan bakat,” katanya.

Semasa di New Zealand, menteri turut menyertai Persidangan Pengurusan Gunaan Antarabangsa (IAMC) ke-8 di Institut Teknologi Waikato (WINTEC).

Dalam ucapannya, beliau berkata banyak jaringan ekonomi akan dibina antara PKS daripada kedua-dua negara.

Beliau turut berkongsi mengenai Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang baru dilancarkan di Malaysia, dasar yang menetapkan hala tuju untuk menggalakkan PKS berkembang melangkaui pasaran domestik mereka, menjalin hubungan strategik dan memanfaatkan inovasi untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima PKS raih pelaburan berpotensi RM219.2 juta di Aeromart-Nagoya

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Sebanyak lima perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia meraih pelaburan berpotensi berjumlah RM219.2 juta dalam sektor aeroangkasa dalam misi ke Aeromart-Nagoya 2019 yang diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Dalam misi baru berakhir itu, yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), menyaksikan sebanyak 86 pertemuan perniagaan dijalankan antara syarikat Malaysia dan Jepun.

“Kedua-dua pihak turut menyatakan minat mereka untuk memanfaatkan teknologi maju dalam sektor pembuatan aero,” menurut MED dalam kenyataan.

Aeromart-Nagoya 2019 dari 24-26 September menjadi platform kepada MED untuk menunjukkan kepentingan negara menjadi hab kepada pengeluaran subkomponen dalam rantaian bekalan aeroangkasa, terutamanya untuk pesawat komersial Jepun utama.

Ia turut berminat untuk memulakan kerjasama dengan Mitsubishi Heavy Industries, Kawasaki Heavy Industries, penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta pembekal komponen.

MED komited untuk memastikan penyertaan yang optimum dan pengantarabangsaan PKS tempatan dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti yang dinyatakan dalam Teras Strategik Dasar Keusahawanan Nasional 2030, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai, 2019.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MED disaran kaji semula SL1M – Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) disaran mengkaji semula struktur tadbir program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) setelah didapati program itu tidak dilaksanakan dengan cekap.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara ke-14 Siri 1 program itu didapati mempunyai kelemahan dari segi pengurusan kewangan, pengurusan perolehan, pendaftaran dan pemantauan terhadap syarikat yang mendapat kontrak kerajaan.

“MED perlu memastikan struktur tadbir urus Program SL1M dikaji semula dan dimantapkan meliputi aspek kawalan dan pemantauan supaya wujudnya elemen semak dan imbang,” kata laporan itu.

SL1M diperkenalkan pada 2011 di bawah tanggungjawab Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Sekyen Pembangunan Modal Insan (SPMI) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat kerajaan.

Disebabkan respons positif maka SL1M fasa 2 diperkenalkan pada 2012, namun pengurusannya diserahkan kepada dua pegawai pinjaman daripada BNM dan yang kemudiannya dinamakan sebagai Sekretariat SL1M.

Namun begitu, laporan didapati pencapaian sebenar graduan yang dilatih di bawah SL1M tidak dapat diukur dengan tepat kerana tiada maklumat lengkap disediakan oleh Sekretariat SL1M.

Selain itu, sekretariat itu tidak mewujudkan sebarang mekanisme pemantauan bagi memastikan syarikat yang mendapat kontrak perolehan kerajaan telah melaksanakan SL1M seperti disyaratkan.

“MED perlu mengkaji semula mekanisme pendaftaran, kelulusan pengurangan peserta dan pemantauan syarikat yang melaksanakan program SL1M berdasarkan kontrak perolehan kerajaan,” demikian menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Laporan juga berkata, MED perlu memastikan Sekretariat SL1M menwujudkan mekanisme penilaian outcome dan melaksanakannya dalam masa terdekat supaya peruntukan yang dibelanjakan memberi pencapaian.

Tambahan lagi, audit juga mendapati tiada sebarang perjanjian atau Memorandum Persefahaman (MoU) diwujudkan antara UPE, JPM dan Talentcorp yang menjelaskan peranan Talentcorp sebagai ejen pembayar yang menguruskan peruntukan Program SL1M.

Selain itu, tiada sebarang penyata disediakan oleh Talentcorp bagi pelaburan berjumlah RM9 juta pada 2017 dan RM8 juta pada 2018.

“Ini menyebabkan pihak Audit tidak dapat mengesahkan perbezaan baki akhir RM5.69 juta bagi kedua-dua tahun itu,” menurut laporan itu.

– BERNAMA