Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Guru sementara bahasa Inggeris ke jawatan tetap jika penuhi syarat

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Guru interim bahasa Inggeris (BI) yang dilantik pada 29 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April ini bakal dilantik ke jawatan tetap sekiranya memenuhi syarat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata guru terbabit perlu memenuhi syarat penilaian Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) pada tahap mahir (proficient) iaitu CEFR C1 dan lulus temu duga.

“Pegawai ini akan dilantik tetap sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi guru yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, Radzi berkata SPP akan turut menemu duga mereka untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41, tetapi perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun untuk tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.

Beliau berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di negara ini perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu serta mahir berbahasa Inggeris pada tahap ‘independent proficiency’ mengikut takrifan CEFR.

Radzi berkata berikutan itu, mulai tahun ini urusan pengambilan PPP baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan Bl calon pada tahap mahir, iaitu tahap CEFR C1.

“Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ini secara langsung meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian pendidikan perinci isu beg berat murid, rangka penyelesaian menyeluruh

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Kementerian Pendidikan akan memperincikan isu beg berat murid secara mendalam dan merangka penyelesaian holistik memandangkan pendekatan yang diambil sebelum ini belum dapat menangani sepenuhnya isu itu.

Kementerian Pendidikan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini memaklumkan kementerian itu akan mengumumkan perincian menyeluruh mengenai perkara ini.

“Ini adalah penting bagi membolehkan pendekatan yang akan dilaksanakan dapat menyelesaikan isu beg berat secara tuntas.

Kerjasama erat semua pihak adalah penting bagi memastikan segala cadangan, langkah dan tindakan bagi mengatasi beg sekolah yang berat dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan murid. Kementerian komited untuk memastikan aktiviti pembelajaran murid sentiasa berada dalam keadaan kondusif,” kata kementerian.

Ia bagi menjawab soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang bertanyakan usaha kementerian untuk mengatasi masalah beg sekolah berat dan sama ada kementerian bercadang menukarkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang tidak terlalu bergantung kepada buku teks semata-mata.

Menurut jawapan itu, kementerian telah melaksanakan kajian bagi mengenal pasti punca dan mendapatkan penyelesaian isu itu antaranya Kajian Beban Beg Buku Murid Sekolah Rendah pada 1994, Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017).

Kementerian itu memaklumkan hasil kajian itu, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk menyusun semula jadual waktu supaya dapat disesuaikan antara tiga hingga empat mata pelajaran dipelajari setiap hari serta meminimumkan penggunaan buku latihan untuk satu-satu mata pelajaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM belum buat keputusan rasmi pelaksanaan PT3

PUTRAJAYA, 21 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi sesi 2022, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata KPM sedang meneliti pendekatan yang paling sesuai berkaitan PT3 dengan mengambil kira tahap penguasaan murid dan indikasi daripada sesi persekolahan 2021 yang masih berlangsung.

“Belum ada sebarang keputusan rasmi oleh KPM berkaitan dengan PT3,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular dalam laman Facebook mengenai hantaran yang didakwa dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Rasmi yang memaklumkan PT3 akan diadakan semula bagi 2022 pada Oktober hingga November. Semakan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.

Radzi dalam pada itu berkata KPM akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok berhubung penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.

Sebanyak 151 sekolah menengah dijadikan pusat mengundi pada 12 Mac untuk PRN Johor, manakala peperiksaan SPM pula dijadual diadakan dari 2 hingga 29 Mac ini.

“Sebelum ini pun sudah dibuat perbincangan awal. Kami sedang bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan supaya peperiksaan SPM ini dapat berjalan dengan baik.

“Jika terpaksa guna, kita ada pendekatan yang akan kita gunakan namun begitu kita cuba elakkan kerana tempoh masa tidak banyak, hari Ahad sahaja yang ada (susun semula meja kerusi).

“Meja-meja peperiksaan telah disusun atur dengan teliti mengambil masa yang lama dan rombakan kepada susun atur meja tersebut yang kemudiannya disusun balik dalam masa sehari bukan sesuatu yang mudah kerana susunan meja dan kerusi ada cara dan peraturannya,” kata Radzi.

Mengenai isu beg sekolah berat yang menjadi perbualan hangat, Radzi berkata KPM sedang memperhalusi perkara itu dan sudah mengenal pasti beberapa punca kepada isu tersebut antaranya jumlah mata pelajaran, buku teks tebal dan murid membawa buku tambahan.

“Kami di KPM sedang merangka apa pendekatan terbaik (kerana) ia telah berlarutan sekian lama. Apakah pendekatan yang terbaik bagi pastikan isu ini diselesaikan sepenuhnya dengan memperincikan beberapa pendekatan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 8,000 guru baharu diminta semak penempatan, lapor diri 1 Mac

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara ‘one-off’ yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata semua guru tersebut akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pengambilan khas guru secara ‘one-off’ yang membabitkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang berlarutan sekian lama.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru ‘one-off’ dalam masa terdekat.

Jelasnya langkah itu amat penting bagi menampung keperluan guru khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zon merah: Periksa sekolah tutup di Klang dalam portal KPM

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Ibu bapa, penjaga dan warga sekolah boleh melayari portal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengetahui senarai 142 sekolah di daerah Klang yang ditutup bermula hari ini sehingga 23 Oktober berikutan terletak di zon merah Covid-19.

KPM dalam kenyataan hari ini memberitahu senarai itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.

“KPM menerima banyak pertanyaan berhubung sekolah-sekolah yang ditutup di daerah Klang, sehubungan itu, bersama-sama ini juga dilampirkan senarai sekolah yang ditutup di zon merah Klang untuk rujukan,” jelas kenyataan itu.

Sekolah Kebangsaan (SK) yang terlibat dalam penutupan adalah SK Kapar; SK Bukit Kapar; SK Tok Muda; SK Sungai Serdang; SK Abdul Samat; SK Meru; SK Sungai Kapar Indah; SK Bukit Ceraka; SK Klang; SK Telok Gadong; SK Telok Menegon; SK Batu Belah; SK Rantau Panjang; SK Sementa; SK Sungai Binjai; SK Bukit Kuda; SK Kg Johan Setia; SK Kg Pendamar; SK Taman Klang Jaya; SK Telok Pulai; SK Sungai Udang; SK Taman Klang Utama; SK Kampung Jawa; SK Taman Sri Andalas; SK Taman Gembira dan SK Bukit Tinggi;

SK Meru (2); SK Kampung Jawa 2; SK Batu Unjur; SK Methodist Acs; SK (1) Jalan Batu Tiga; SK (2) Jalan Batu Tiga; SK Convent (1); SK Convent (2); SK La Salle; SK (1) Jalan Meru; SK (2) Jalan Meru; SK (P) Methodist; SK (P) Bukit Kuda; SK (1) Simpang Lima; SK (2) Simpang Lima; SK Pelabuhan Kelang; SK Pulau Indah; SK Kg Raja Uda; SK Pandamaran Jaya; SK Telok Gong; SK Pelabuhan Utara; SK Kampung Idaman; SK Pulau Indah (2); SK Methodist; SK Tengku Bendahara Azman (1); SK Tengku Bendahara Azman (2) dan SK St Anne’s Convent.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pula ialah SMK Tengku Idris Shah; SMK (P) Kapar; SMK Bukit Kapar; SMK Sungai Kapar Indah; SMK Raja Mahadi; SMK Tengku Ampuan Rahimah; SMK Sultan Abdul Samad; SMK Rantau Panjang; SMK Telok Gadong; SMK Sri Andalas; SMK Kampung Jawa; SMK Taman Klang Utama; SMK Shahbandaraya dan SMK Batu Unjur;

SMK Bukit Tinggi Klang; SMK Methodist (ACS); SMK Convent; SMK Tinggi Klang; SMK Kwang Hua; SMK La Salle; SMK (P) Methodist; SMK (P) Bukit Kuda; SMK Meru; SMK Raja Lumu; SMK Tengku Ampuan Jemaah; SMK Pendamaran Jaya; SMK Bandar Baru Sultan Suleiman; SMK Dato Hamzah; SMK (P) Raja Zarina; SMK Pulau Ketam dan SMK Pulau Indah.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terlibat pula adalah SJKC Soo Jin; SJKC Ying Wah; SJKC Perempuan; SJKC Chuen Min; SJKC Hin Hua; SJKC Khe Beng; SJKC Kong Hoe; SJKC Pui Ying; SJKC Tiong Hua Kok Bin; SJKC Wu Teck; SJKC Pin Hwa (2); SJKC Taman Rashna; SJKC Hwa Lien; SJKC Keng Chee; SJKC Lee Min; SJKC Pandamaran ‘A’; SJKC Pandamaran ‘B’; SJKC Sin Bin dan SJKC Tshing Nian.

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula SJKT Ladang Brafferton; SJKT Ladang Jalan Acob; SJKT Methodist; SJKT Ladang Batu Ampat; SJKT Ladang Bukit Rajah; SJKT Ladang Emerald; SJKT Ladang Highlands; SJKT Jalan Tepi Sungai; SJKT Jalan Meru; SJKT Simpang Lima; SJKT Ladang Vallambrosa; SJKT Taman Sentosa; SJKT Ladang North Hummock dan SJKT Persiaran Raja Muda Musa.

Selain itu, turut terlibat dalam penutupan adalah Kolej Tingkatan Enam Sri Istana; Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin; Sekolah Agama Menengah (SAM) Hisamuddin; SAM Nurul Iman; Kolej Vokasional Klang dan Kolej Islam Sultan Alam Shah.

Sekolah swasta yang terlibat adalah Sekolah Sri Acmar (Rendah); Sekolah Rendah Sri Lethia; Sekolah Rendah Zenith; Sekolah Rendah Islam Hira’; Sekolah Rendah Hafiz; Sekolah Sri Acmar (Menengah); Sekolah Sri Lethia (Menengah); Sekolah Methodist Wesley Klang; Sekolah Menengah Zenith; Sekolah Menengah Hafiz; Sekolah Menengah Persendirian Kwang Hua; Sekolah Menengah Pin Hwa; Sekolah Menengah Hin Hua; Sekolah Menengah Persendirian Cina Chung Hua; Regent International School; Acmar International School; Regent International Secondary School; Sekolah Rendah Ibn Khaldun dan Sekolah Menengah Ibn Khaldun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kemasukan 289 pelajar Kuching ke kolej matrikulasi ditangguh

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Kemasukan 289 pelajar dari daerah Kuching ke kolej matrikulasi di seluruh negara ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan Kementerian Kesihatan mengenal pasti daerah Kuching sebagai zon merah kelmarin.

Susulan itu, kemasukan 154 pelajar Kolej Matrikulasi Sarawak terletak di dalam daerah Kuching juga ditangguhkan.

“Pihak kolej matrikulasi akan menghubungi semua pelajar yang terlibat dengan penangguhan ini. Bagi pelajar yang telah membeli tiket penerbangan untuk kemasukan ke kolej matrikulasi dan terjejas akibat penangguhan ini, KPM akan menanggung kos tiket penerbangan baharu pada kadar kelas ekonomi.

“Pelajar perlu mengemukakan tuntutan yang disokong oleh dokumen pembelian tiket tersebut,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sekolah dibuka semula, ibu bapa digalak sedia bekal makanan

SHAH ALAM, 10 JUN: Ibu bapa digalak menyediakan bekal makanan kepada anak masing-masing apabila sekolah kembali dibuka bermula 24 Jun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin.

“Tentu ibu bapa membayangkan anak-anak bersesak-sesak di kantin. Jangan risau, waktu rehat adalah secara berperingkat dengan makanan dan minuman di kantin akan siap dibungkus. Murid perlu beratur mengikut tanda penjarakan sosial semasa membeli serta akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru.

“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menyediakan bekal makanan untuk anak-anak mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti luar bilik darjah seperti perhimpunan, sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

“Dalam bilik asrama, katil-katil disusun pada jarak satu meter. Bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung kepada keluasan bilik. Selain itu, penggiliran waktu makan akan dilaksanakan mengikut bilangan murid,” katanya.

Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sesi persekolahan untuk murid kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta peperiksaan antarabangsa setara pada 24 Jun ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM masuk pejabat Kementerian Pendidikan secepat mungkin

HULU SELANGOR, 13 JAN: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan memasuki pejabat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata antara keutamaan sebagai pemangku Menteri Pendidikan adalah untuk meneliti masalah yang berlaku dalam kementerian itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Secepat mungkin,” katanya secara berseloroh apabila ditanya bila beliau akan memasuki pejabat Kementerian Pendidikan.

“Terdapat banyak masalah dalam Kementerian Pendidikan. Jadi, saya perlu tahu kenapa masalah-masalah itu dibangkitkan dan mencari penyelesaian,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas melawat depoh Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA), di Serendah, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan akan dipecahkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mahathir berkata: “Itu akan menjadi perkara yang akan saya pertimbangkan mengikut saranan anda (wartawan).”

Berhubung isu influenza, Dr Mahathir berkata Kementerian Kesihatan sedang menilai sama ada penyakit itu telah merebak dengan meluas atau masih berada di peringkat awal.

Rabu lepas, Kementerian Kesihatan dilaporkan sedang menilai situasi terkini jangkitan itu di semua institusi pendidikan selepas pelajar didapati positif influenza.

Seramai 103 murid di 52 buah sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang dilaporkan dijangkiti influenza sehingga semalam dan dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth di Pulau Pinang masih ditutup sejak Rabu lepas.

Hari ini, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) di Perak ditutup selepas 10 pelajarnya positif influenza.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pendidikan teliti syor Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Kementerian Pendidikan sedang meneliti kebolehlaksanaan syor Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) supaya hasrat dan objektif utama dasar berkenaan untuk memberi manfaat kepada semua dapat dilaksanakan, kata Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching.

Beliau berkata kementerian itu percaya sebarang perubahan dan penambahbaikan terhadap syor tersebut ​​​​​​yang melibatkan dasar pendidikan perlu diteliti secara terperinci dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

“Ini bagi memastikan hasrat dan objektif utama dasar tersebut terlaksana dan bermanfaat untuk semua,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang ingin tahu rancangan Kerajaan Persekutuan untuk menggubal pelan atau blueprint reformasi pendidikan negara bagi memastikan generasi muda lebih kompetitif di dalam dan luar negara tanpa mengira bangsa dan agama.

JKDPN yang ditubuhkan tahun lepas dianggotai mereka yang pakar dalam bidang pendidikan bertujuan mengkaji serta menyemak semula Dasar Pendidikan sedia ada dalam melahirkan rakyat Malaysia yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat 4.0 (IR 4.0).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saranan perkenal kaligrafi lain dipertimbang

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Kementerian Pendidikan bersedia mempertimbangkan keperluan memperkenal kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat dalam kurikulum sekolah di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu boleh dibincangkan secara terperinci memandangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki identiti kesenian masing-masing.

“Menarik untuk dibincangkan memandangkan dalam pendidikan seni kita menitikberatkan kesenian daripada pelbagai etnik di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian apabila ditanya kemungkinan kerajaan memperkenalkan seni kaligrafi lain seperti kaligrafi Cina kepada pelajar sekolah di negara ini.

Cadangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam kurikulum sekolah menimbulkan pelbagai reaksi, bagaimanapun kementerian itu bertegas bahawa pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular akan dilaksanakan tahun hadapan seperti dijadual.

Pengenalan itu turut disambut baik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan bantahan mengenai perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengarang media cetak dan elektronik berbahasa Cina bagi membincang serta memberi penjelasan terperinci mengenai pengenalan tulisan jawi.

“Kita telah berbincang dengan beberapa editor akhbar Cina… kita bincang secara terperinci menjelaskan tentang apa yang kita lakukan dan beberapa perkara yang dibaik pulih agar pengajaran tidak membebankan murid dan guru,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Negeri sedia bantu KPM tingkat potensi pelajar

GOMBAK, 28 JUL: Kerajaan Negeri sedia berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan potensi pelajar mendalami sektor perindustrian khasnya membabitkan bidang memerlukan kemahiran tinggi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada Belanjawan Selangor sebelum ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di Selangor.

“Beberapa tahun lepas kita sudah laksana program pemerkasaan sains, teknologi, kejuruteraan termasuk program pengaturcaraan, pengekodan kepada pelajar sekolah menengah serta lepasan sekolah. Ia adalah sebahagian daripada program tersebut,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melihat persembahan aplikasi instrumen muzik digital oleh Kelab Muzik Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak semasa Program “3D Design Challenge: Smart Green City 2019″. – Foto Fikri Yusof

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Perasmian Cabaran Mereka Bentuk Bandar Hijau Pintar 2019 di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini Kerajaan Negeri akan berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan berikutan pihak terbabit turut mewujudkan program sama.

Amirudin yakin kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pendidikan mampu memberi lebih banyak manfaat kepada generasi muda di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bergambar bersama para peserta persembahan multimedia ketika Program “3D Design Challenge: Smart Green City 2019” di Sekolah Asrama Penuh Integrasi Gombak. – Foto Fikri Yusof
Categories
NASIONAL

PROKHAS akan dperluas ke kawasan Orang Asli seluruh negara

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kementerian Pendidikan bercadang untuk memperluaskan lagi Projek Kelas Khas (PROKHAS) di kawasan yang mempunyai penempatan Orang Asli di negara ini dalam usaha untuk mengelakkan anak-anak komuniti itu terus tercicir daripada pelajaran akibat masalah sekolah yang jauh.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching ia akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka akan mengambil masa kerana perlu menyedarkan mereka tentang kepentingan pendidikan untuk memajukan Orang Asli.

“Setakat ini, kita mempunyai 23 murid Orang Asli yang berumur di antara tujuh hingga sembilan tahun dari suku kaum Batek melalui kelas PROKHAS yang dilancarkan sejak April lepas…ia merupakan pilot project dan sekiranya formula ini berjaya, kita akan lakukannya di tempat lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas penutup perasmian Simposium Antarabangsa Sekolah Berasrama Penuh (FRSIS) 2019 di SBP Integrasi Gombak, dekat sini, hari ini.

Simposium yang berlangsung selama tiga hari itu bertemakan ‘Smart Industry Reforming The World’ melibatkan 324 pelajar sekolah berasrama penuh dari Malaysia dan luar negara seperti Jepun, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Pada masa sama, Nie Ching berkata kementerian turut menyediakan pelbagai inisiatif lain bertujuan untuk menggalakan komuniti Orang Asli agar mengikuti sesi pembelajaran di sekolah.

“Bagi menarik anak-anak Orang Asli ini untuk datang ke sekolah, semua murid yang mengikuti program PROKHAS ini akan menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT), malah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah juga diberi bantuan makanan sebagai satu proses galakan,” katanya.

Sementara itu, Nie Ching menafikan dakwaan seramai 45,000 pekerja kontraktor pembersihan bangunan dan kawasan sekolah akan hilang pekerjaan, susulan tindakan kementerian yang melaksanakan format tender baru bermula tahun.ini.

Bagaimanapun beliau mengakui akan berlakunya pengurangan pekerja kontraktor pembersihan disebabkan penukaran formula pengiraan yang kini berasaskan kepada kawasan berbanding bilangan pendaftaran murid sebelum ini tetapi angkanya lebih rendah daripada 45,000.

“Saya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat berhubung pengurangan pekerja kontraktor namun yang pasti ia bukanlah 45,000.

“Namun, kita akan cuba mendapatkan bajet tambahan RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pekerja kontrak melibatkan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA