Categories
AGENDA NASIONAL

KPT: Keputusan kemasukan IPTA diumum esok

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Keputusan permohonan kemasukan ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma, serta Ijazah Sarjana Muda Senibina Universiti Teknologi Mara (UiTM), bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan esok.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata keputusan boleh disemak secara dalam talian mulai jam 12 tengah hari di pautan https://jpt.utm.edu.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.my dan http://jpt.umt.edu.my.

Menurut KPT pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak mulai Sabtu ini hingga 26 Julai di laman web Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ILKA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan IPTA dan ILKA pada hari yang sama calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti dinyatakan,” katanya.

KPT berkata hanya pemohon yang gagal dan mendapat tawaran program sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke universiti awam dan politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai esok sehingga 26 Julai.

Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA pula boleh diajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

Menurut KPT, tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran tidak dibenarkan.

Dasar pemilihan rayuan pelajar adalah tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuti semester, pelajar IPT dibenar pulang mulai 12 Julai

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester 2020/2021 mulai Isnin depan (12 Julai), kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan mekanisme kawalan pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa iaitu bagi fasa permulaan, hanya pergerakan pelajar yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan.

“Pergerakan pelajar dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tamat,” menurut kenyataan itu.

Bagi pelajar yang pulang ke Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak, kos ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan manakala kos kuarantin ditanggung kerajaan negeri masing-masing.

KPT memaklumkan kaedah pergerakan sehala ditetapkan iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan IPT masing-masing dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Penggunaan kenderaan sendiri oleh pelajar dibenarkan manakala ibu bapa atau penjaga pula tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang, menurut KPT.

KPT berkata kebenaran untuk pelajar IPT pulang ke rumah sempena cuti semester itu dipersetujui dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

Cuti semester bermula Julai hingga Oktober depan.

Perincian mengenai pergerakan pelajar boleh dirujuk pada SOP Pelan Pemulihan Negara dan Soalan Lazim Pergerakan Pelajar Pulang bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pihak berkenaan juga boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang beroperasi 24 jam sehari di talian 03-88706777/6949/6623/6628, menerusi laman web IPT atau berurusan dengan Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan tawaran kemasukan ke IPTA, ILKA diketahui hujung Julai

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Keputusan tawaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2021/2022 dijangka diperoleh hujung Julai ini.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi Wahi Nordin hari ini berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan berusaha untuk mempercepatkan keputusan tawaran ke IPTA dan IKLA.

“Walaupun tarikh kemas kini dilanjutkan, KPT bersama IPTA dan ILKA akan berusaha mempercepatkan proses pemilihan,” ulas beliau ketika ditemuramah dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Bernama TV.

Semalam, KPT mengumumkan permohonan UPUOnline dilanjutkan sehingga 2 Julai berbanding pada 21 Jun sebelum ini.

Mengulas mengenai pelanjutan tarikh kemas kini UPUOnline, Wahi berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira ada sesetengah calon masih berstatus ‘T’ iaitu belum menerima keputusan yang lengkap bagi mata pelajaran tertentu disebabkan faktor situasi Covid-19 ketika mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

“Kami memerlukan fail induk (keputusan yang lengkap) untuk dimuat naik dalam sistem UPUOnline bagi membuat pemilihan. Namun pelajar yang masih berstatus ‘T’ masih boleh mengisi dahulu UPUOnline dan memilih kursus yang bersesuaian dengan minat mereka sementara menunggu keputusan yang lengkap,” katanya.

Wahi juga berkata setakat ini pihaknya menerima 250,000 permohonan dan beliau menyeru calon SPM 2020 yang belum membuat permohonan untuk segera berbuat demikian.

Mengenai dakwaan bahawa seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) calon SPM 2019 yang gagal mendapat tawaran yang dimohon di sebuah IPTA dikatakan berpunca daripada keadaan fizikalnya, Wahi berkata tidak wujud sebarang diskriminasi terhadap sesiapa pun yang memohon dalam UPUOnline.

“Kursus yang akan ditawarkan adalah berdasarkan data yang diperolehi, termasuk kemudahan yang disediakan di sesebuah IPT berkenaan,” jelas beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPT: Faktor kekangan masa, permohonan UPUOnline dilanjut hingga 2 Julai

PUTRAJAYA, 21 JUN: Permohonan UPUOnline bagi kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti program Sijil, Asasi dan Diploma ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Institusi Latihan Kemahiran Awam sesi akademik 2021/2022, dilanjutkan sehingga 5 petang, 2 Julai 2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan hari ini menyatakan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor kekangan masa yang dihadapi pemohon, termasuk terdapat pelajar yang belum menerima keputusan semakan semula peperiksaan SPM 2020, oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

“Pelanjutan tempoh ini akan membolehkan pelajar mengemas kini permohonan dan memilih program pengajian di UPUOnline,” kata KPT yang menyarankan pemohon melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

KPT sebelum ini mengumumkan pembukaan semula permohonan tersebut mulai 15 hingga 21 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPT buka fasa kemas kini UPUOnline mulai 15 Jun

PUTRAJAYA, 10 JUN: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh mula mengemas kini pilihan program pengajian masing-masing menerusi UPUOnline yang dibuka untuk dikemas kini selama tujuh hari bermula 12 tengah hari pada 15 Jun ini hingga 5 petang, 21 Jun.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini, pemohon boleh mengemas kini semua pilihan program pengajian berdasarkan keputusan SPM 2020 kecuali bagi program pengajian yang telah dipanggil temu duga atau ujian.

“Hebahan keputusan permohonan UPUOnline lepasan SPM Sesi Akademik 2021/2022 dijangka dibuat pada minggu ketiga Julai ini,” kata KPT.

Serentak dengan pembukaan fasa pengemaskinian tersebut, KPT akan melaksanakan program Jom Masuk IPT Virtual 2021 (JMIPT Virtual 2021) dengan kerjasama Universiti Malaya, bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan akses pendidikan tinggi tidak terjejas walaupun negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Menurut KPT, program tersebut melibatkan penyertaan semua universiti awam, politeknik, kolej komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam, Agensi Kelayakan Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Bahagian Biasiswa KPT.

Program itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama mulai 15 hingga 21 Jun ini yang dikhususkan kepada pemohon lepasan SPM, manakala fasa dua bermula 8 hingga 12 Ogos, khusus untuk pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau setarafnya, kata KPT.

Menerusi jaringan komunikasi sedia ada iaitu talian hotline, sistem maklum balas dan e-mel rasmi sepanjang program berlangsung, KPT berkata JMIPT Virtual 2021 menyediakan 29 slot webinar, sesi ‘live chat’ serta konsultasi secara berkelompok dan individu oleh pempamer secara maya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar IPT dibenar pulang sempena Aidilfitri kecuali Sarawak

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Lebih 100,000 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini, perkara itu diputuskan pada mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Menurut kenyataan itu, pergerakan pelajar di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal, dengan tarikh pergerakan pulang ke rumah masing-masing ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

“Pergerakan pelajar bersempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

“Pelajar diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus bersempena cuti perayaan tersebut. Kebenaran ini selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

Bagaimanapun, pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Menurut KPT, surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah serta tarikh pergerakan pulang dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar akan disediakan oleh pihak IPT.

Pelajar dan ibu bapa juga diminta merujuk tatacara operasi piawai (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

“Pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

“Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan,” demikian menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh jemput anak dari kampus, gerak dalam negeri sahaja

PUTRAJAYA, 6 MEI: Ibu bapa pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) termasuk politeknik dan kolej komuniti dibenarkan menjemput anak mereka pulang dari kampus ke kediaman masing-masing bermula hari ini (6 Mei).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini bagaimanapun berkata kebenaran itu terhad kepada pergerakan di dalam negeri sahaja.

“KPT ingin mengingatkan sekali lagi bahawa urusan ini hendaklah dilaksanakan mengikut peraturan pergerakan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Polis Diraja Malaysia, di samping mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, kebenaran itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam (5 Mei).

Ibu bapa dan pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi Bilik Gerakan KPT yang beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6628/ 6623/ 6124.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

2,362 pelajar pengajian tinggi pulang malam tadi

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Seramai 2,362 penuntut dari tujuh universiti di zon tengah pulang serentak ke beberapa lokasi selatan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bermula pukul 10 malam tadi dalam proses yang sekali lagi diuruskan oleh Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Menurut kenyataan daripada Kementerian Pengajian Tinggi malam tadi, universiti awam terlibat itu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah UPM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL).

“Saya doakan kesemua pelajar selamat dalam perjalanan menaiki 14 buah bas ke 11 lokasi Ibu Pejabat Daerah (IPD) iaitu tiga di Negeri Sembilan, tiga di Melaka dan lima di Johor,” kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam kenyataan itu.

Setibanya penuntut ini ke IPD masing-masing, mereka akan dihantar ke rumah.

Dr Noraini berpuas hati dengan kelancaran proses pada malam tadi yang diselaraskan secara keseluruhan oleh UPM.

“Terima kasih kepada usaha Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam memastikan proses ini berjalan lancar,” katanya.

UPM pada 2 Mei turut menjadi tuan rumah bagi proses perjalanan pulang penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta zon tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) ke beberapa lokasi di zon Perak melibatkan 1,876 pelajar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pengajian Tinggi hantar 3,841 pelajar pulang ke kampung

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghantar pulang seramai 3,841 pelajar ke kampung masing-masing membabitkan perjalanan zon timur, selatan, Perak dan Sarawak hari ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata perjalanan zon timur merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan 1,029 pelajar dijadualkan berlepas pada jam 9 malam ini dengan menggunakan 80 buah bas dan 73 buah kenderaan persendirian.

“Pergerakan di zon timur melibatkan 23 pusat pelepasan dan 31 kawasan destinasi pelajar di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Seramai 1,366 pelajar pula akan dihantar pulang bermula jam 9 malam ini menggunakan 76 buah bas di dalam zon selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Perjalanan di sekitar Perak pula melibatkan 519 pelajar yang sudah bertolak jam 9 pagi tadi dan dijangka selesai pada jam 5 petang menggunakan 25 buah bas.

Pergerakan pulang di zon Sarawak juga sudah bertolak pada jam 9 pagi tadi melibatkan 280 pelajar menggunakan 25 buah bas dan dijadualkan selesai jam 9 malam ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPT tawar geran penyelidikan pasca Covid-19

PUTRAJAYA, 12 APRIL: Semua pensyarah Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dipelawa membida geran penyelidikan khas bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang kritikal dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi pasca Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata sekurang-kurangnya RM20,000 akan diberikan bagi setiap penyelidikan yang dijalankan meliputi 20 bidang utama.

“Antara bidang kajian penyelidikan yang dikenal pasti amat berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi realiti kehidupan selepas tempoh tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kesan terhadap ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan,” katanya.

KPT berkata, setiap Kertas Cadangan Penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi tiga orang.

“Permohonan geran penyelidikan khas ini, akan dibuka mulai 15 April sehingga 30 April 2020 dengan tempoh masa kajian selama enam bulan,” katanya.

Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan diberikan tanggungjawab bagi menyelaras permohonan dan penilaian geran penyelidikan itu dalam menentukan kesesuaian penyelidikan ini untuk dilaksanakan.

“Setiap hasil penyelidikan ini, akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geran Penyelidikan KPT dan sekiranya bersesuaian akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi mengenal pasti sama ada ia sesuai untuk dilaksanakan di kementerian berkaitan,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, makluman rasmi pembukaan geran itu boleh diakses melalui Malaysia Greater Research Network System (MyGRANTS).

Penawaran geran penyelidikan yang bersifat jangka pendek itu adalah usaha KPT dalam menyediakan sumber rujukan kepada kerajaan terutamanya kepada Kementerian berkenaan sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid-19.

“KPT yang mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang dan daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf Profesor dan sekitar 4,000 orang bertaraf Profesor Madya,” katanya.

Dengan jumlah cendekiawan itu ia dilihat dapat membantu negara memberikan idea untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi selain menghadapi kehidupan baharu bagi mengelakkan wabak Covid-19 menular semula.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Benar Mahasiswa Bertanding, KPT Jangan Berat Sebelah

adam

SHAH ALAM, 17 DIS : Disebalik kebenaran mahasiswa bertanding dalam pilihan raya akan datang, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diingatkan supaya bersikap adil terhadap semua mahasiswa.

Ini kerana menurut aktivis Mahasiswa, Adam Adli, banyak kejadian sebelum ini KPT memberi layanan yang tidak adil khususnya kepada mahasiswa yang terlibat menyokong pembangkang.

Menurut Adam, secara peribadi beliau tidak mempunyai sebarang masalah terhadap beberapa mahasiswa yang menyertai dan menjadi ahli kelab penyokong mana-mana parti politik.

“Bagi saya apa yang sedang berlaku kini adalah KPT tidak faham apa tujuan dan tuntutan sebenar pelajar iaitu membebaskan mahasisiwa itu untuk berpolitik.

“Kita boleh lihat hari ini apabila yang menyertai kumpulan-kumpulan menyokong lebih kepada pembangkang (Pakatan) mereka ini selalunya akan didiskrminasi dan menjadi satu kesalahan kepada mereka berada di dalam parti tersebut.

“Tetapi kalau berada didalam kumpulan yang menyokong kerajaan ini adalah satu kelebihan buat mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan kerajaan membenarkan mahasiswa bertanding dalam PRU-13 sebagai mengiktiraf fungsi dan sumbangan serta kematangan daya pemikiran mahasiswa di negara ini sekarang.

Menurut Khaled, perkara ini juga selari dengan langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru-baru ini yang membenarkan mahasiswa aktif dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan.

Sebelum ini, kebangkitan mahasiswa menyaksikan beberapa pelajar menzahirkan suara mereka melalui demonstrasi bagi mendesak kerajaan memberikan perhatian kepada mahaiswa yang ingin aktif dalam politik termasuk meminda AUKU.

Categories
NASIONAL

Pilihan Raya Kampus Serentak Bukti Wujud Campurtangan ‘Orang Politik’

SHAH ALAM 17 SEPT:  Penetapan tarikh Pilihan Raya Kampus (PRK) secara serentak pada 20 dan 25 September ini membuktikan dakwaan mahasiswa wujudnya campurtangan ‘orang politik’ sebelum ini benar.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Safwan Anang berkata ini membuktikan dakwaan Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail 20 Jun bahawa terdapat satu konspirasi PRK yang dipanggil ‘OPS 2020’.

Dokumen ini didakwa mengandungi penlibatan beberapa agensi kerajaan seperti polis dan Biro Tata Negara (BTN) yang akan menetapkan bila tarikh PRK ini akan berlangsung.

Bagaimanapun hasrat Saifuddin untuk membahaskan perkara ini di parlimen tidak dihiraukan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaleed Nordin.

Langkah ini jelas Safwan menghakis kuasa autonomi kampus dan sepatutnya tidak perlu campurtangan orang luar.

“Sepatutnya tidak pernah berlakunya tarikh pilihan raya kampus secara serentak di kebanyakkan kampus. Sekarang yang mengejutkan kita.

“Sekarang KPT umumkan pilihan raya berjalan serentak cuma beberapa kampus berlangsung pada tarikh lain,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Jelasnya, PRK sepatutnya berlangsung pada Mac atau April namun ditangguh sehingga pengumuman tarikh dibuat oleh KPT.

“Kami rasakan mengapa setiap kali PRK mesti timbul isu universiti tidak mengumumkan tarikh berkenaan lebih awal.

“Bayangkan setengah universiti diberi masa dua minggu untuk membuat persediaan. Jadi sebab itulah kita turun untuk menuntut enam tuntutan,” katanya.

Beliau menambah, tarikh pilihan raya ini sepatutnya dimasukkan terus dalam jadual tahunan dan bukannya membuatkan mahasiswa tertanya-tanya mengenainya.

Semalam, hampir 800 mahasiswa berarak dan berkumpul dari Masjid Jamek ke perkarangan pusat membeli belah Sogo bagi menyatakan tuntutan kepada KPT untuk melaksanakan enam tuntutan ‘Deklarasi Mahasiswa’.

Enam tuntutan tersebut ialah penetapan tarikh pilihan raya kampus, mahasiswa terlibat menguruskan pilihan raya kampus, pemantauan pilihan raya kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian telus dan peruntukan dana kepada calon.