Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga diingat tidak naik harga barang, tertakluk akta kawalan

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Peniaga diingatkan tidak sesekali melakukan perubahan harga yang tidak seiring dengan kenaikan kos ditanggung dan perlu munasabah dalam membuat sebarang perubahan harga jual supaya tidak membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata ini kerana peniaga tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Akta itu memperuntukkan bahawa peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan yang terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan Rosol itu dikeluarkan bagi menjelaskan kenyataan beliau di Kuching, Sarawak pada Jumaat lepas berhubung isu perubahan dan ketidakstabilan harga barang keperluan makanan ketika ini, yang turut memberi kesan kepada perniagaan makanan bermasak.

Jelasnya, tiada istilah kerajaan memberi kebenaran kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan dijual seperti dilaporkan, sebaliknya beliau menekankan mengenai penguatkuasaan kementerian dalam isu kenaikan harga barang dan makanan.

“Maksud sebenar saya berhubung ‘peniaga boleh naikkan harga asalkan tidak mencatut’ adalah menerangkan maksud berikut iaitu, selaras dengan penguatkuasaan AKHAP 2011, peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah dalam membuat sebarang perubahan harga jual, tetapi tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah AKHAP 2011, termasuk tidak mencatut.

“Sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran. Begitu juga dalam isu harga makanan, yang peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah membuat sebarang perubahan harga jual,” katanya.

Menurut Rosol, sekiranya kementerian menerima aduan berhubung harga, peniaga yang diadu akan disiasat dan boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011.

Katanya, pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut, diminta mengemukakan aduan kepada saluran aduan rasmi kementerian bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan lanjut diambil.

“Gunakan kuasa pengguna anda sebaiknya,” kata beliau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga ayam, tiga barang keperluan lain turun mulai esok

BUKIT MERTAJAM, 31 DIS: Ayam, telur ayam, sawi dan kacang panjang akan mengalami penurunan harga di seluruh negara bermula esok, dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga munasabah.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata keempat-empat barangan itu terlibat dalam pelarasan harga semula sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan.

“Empat harga barang baharu berkenaan adalah di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang terlibat dalam pelarasan harga semula dan pelarasan dibuat dengan mengambil kira situasi serta lokaliti sehingga 4 Feb nanti.

“Antara contoh penurunan bermula esok adalah harga ayam iaitu dari RM9.30 kepada RM9.10. Sama juga seperti tiga lagi barang keperluan makanan termasuk dua jenis sayur-sayuran berkenaan, turun lima hingga 10 peratus,” katanya selepas program ‘walkabout’ operasi Back To School (BTS) dan SHMMP di Pasaraya Mydin di sini, hari ini.

Sementara itu katanya menerusi SHMKM pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 25,897 premis perniagaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu pihaknya mengesa 85 kes pelbagai kesalahan perniagaan yang membabitkan nilai kompaun RM20,000, setakat semalam.

Beliau berkata kompaun itu antaranya membabitkan kesalahan berkaitan tindakan menjual barangan keperluan melebihi harga maksimum ditetapkan serta tidak meletakkan tanda harga.

Sementara itu merujuk kepada BTS Azman berkata operasi itu bertujuan memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang keperluan sekolah sewenang-wenangnya, dan mematuhi peraturan kawalan harga ditetapkan.

“Operasi ini dilaksanakan bermula 13 Dis lepas hingga 20 Mac tahun depan membabitkan sembilan jenis barangan keperluan sekolah, yang terdiri daripada pakaian sekolah, beg sekolah, kasut sekolah dan peralatan pembelajaran. Setakat ini kami telah periksa 437 premis membabitkan 1,858 jumlah barangan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga barangan keperluan harian dijangka stabil menjelang Januari

BUKIT MERTAJAM, 11 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga barangan keperluan harian, akan kembali stabil sepenuhnya menjelang bulan Januari depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihaknya ketika ini mendapati, harga barangan mula stabil dengan sayur-sayuran juga telah menunjukkan penurunan harga.

“Harga barang (keperluan harian) mula stabil dan sayur pun sudah menunjukkan penurunan, ia berikutan beberapa faktor (harga stabil) antaranya macam sayur-sayuran di mana cuaca di kawasan pengeluarannya semakin baik.

“Selain itu, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus rendah daripada harga pasaran dan usaha mengimport ayam sejuk beku juga antara faktor harga kembali stabil, kita jangka menjelang Januari atau Februari (harga barang) stabil semula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan PKJM yang dijalankan di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di Perda yang turut hadiri Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Mengulas lanjut, Rosol berkata PJKM yang dilancarkan pada 2 Dis lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu telah dijalankan di 15 kawasan parlimen di seluruh negara setakat ini dan sehingga semalam hasil jualan di program tersebut ialah sebanyak RM423,844.

Katanya program itu yang dirancang dilaksanakan dua kali sebulan menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai kerana mereka mahu membeli barangan dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Sehingga semalam seramai 28,000 pengunjung hadir di program itu untuk membeli barangan keperluan harian yang dijual antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung dan beras,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan PJKM yang dikendalikan oleh KPDNHEP diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah dan menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda.

“Program ini dilaksanakan di semua 222 kawasan parlimen di seluruh negara sehingga bulan Mac tahun depan, dan jika ada keperluan selepas itu mungkin kita teruskan namun jika harga barangan keperluan harian sudah kembali, kami akan membuat pemantauan berterusan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kit ujian kendiri Covid-19 diwarta sebagai barang kawalan

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Kerajaan mewartakan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) sebagai barang kawalan berkuat kuasa hari ini, bagi menjamin bekalan kit ujian itu mencukupi di pasaran.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata bagi menjamin keberadaan dan bekalan sentiasa mencukupi di pasaran, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewartakan kit ujian itu di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 Nov lepas dan dikuatkuasakan pada 1 Dis 2021.

Menurutnya buat masa ini, bekalan kit ujian itu didapati mencukupi di pasaran dan sehingga kini tiada aduan berkenaan kekurangan bekalan diterima oleh pihak KPDNHEP.

“KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 ini bagi mengelak tindakan tegas diambil oleh pihak Kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azman peniaga yang melakukan kesalahan berhubung perkara itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi individu; manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta.

Beliau berkata kit ujian itu boleh diperolehi di farmasi dan fasiliti kesihatan, serta di premis-premis berdaftar seperti pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

Menurutnya pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga yang berkaitan boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut dengan menghantar maklumat ke Whatsapp 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga siling baharu kit ujian kendiri Covid-19 ditetap pada November

PUTRAJAYA, 8 OKT: Kerajaan akan menetapkan satu paras harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu bagi kit berkenaan.

“Kerajaan telah menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) pada RM19.90 bagi setiap set manakala harga borong ditetapkan RM16 satu set, berkuat kuasa 5 Sept.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata harga siling kit ujian pantas antigen Covid-19 akan diturunkan tidak lama lagi, sebagai galakan untuk orang ramai membuat pemeriksaan sendiri setelah kebenaran rentas negeri dibenarkan.

Nanta berkata terdapat kira-kira enam juta kit ujian pantas antigen Covid-19 berada di pasaran.

Menurut beliau KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit berkenaan di pasar raya, yang dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir bulan ini.

“KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.

Beliau berkata mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian itu kepada masyarakat, KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga yang lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga yang baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: 111 kes jual minyak masak melebihi harga kawalan

KUALA BERANG, 2 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 111 kes menjual minyak masak dalam botol melebihi harga kawalan membabitkan nilai sitaan RM13,961.50 dan kompaun RM26,850.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kesalahan itu dikesan hasil 19,266 pemeriksaan yang dilakukan KPDNHEP di seluruh negara sejak penguatkuasaan Harga Runcit Maksimum minyak masak sawit tulen dalam botol sejak 1 Ogos lepas.

“Daripada jumlah itu, kes tertinggi direkodkan di Johor iaitu 44 kes diikuti Perak (23 kes), Pulau Pinang (sembilan), masing-masing enam kes di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka, Pahang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kedah dan Selangor.

“Selain itu, pemeriksaan mendapati 14,456 peniaga yang lain mengikut harga kawalan ditetapkan dan 4,699 peniaga lagi menjual di bawah harga kawalan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek ternakan kelulut usahawan Agropreneur Muda Jabatan Pertanian Terengganu di Kampung Machang di sini hari ini.

Ketika ini, harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak sawit tulen dalam botol ialah RM29.70 untuk lima kilogram (kg), RM18.70 untuk 3 kg, RM12.70 untuk 2 kg dan RM6.70 untuk 1 kg manakala minyak paket bersubsidi 1 kg ialah RM2.50.

Ditanya mengenai dakwaan kekurangan stok bekalan minyak masak bersubsidi dalam paket di pasaran ketika ini, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata KPDNHEP tidak menerima sebarang laporan rasmi mengenai perkara tersebut.

“Mungkin ada salah faham di mana-mana, kita akan siasat dan cari punca ketiadaan stok seperti didakwa media dan laman sosial…sebenarnya minyak paket bersubsidi adalah untuk kegunaan isi rumah, namun ada juga peniaga yang membelinya dan ini antara punca stok tiada.

“Jadi, langkah sementara ialah peniaga boleh mengehadkan pembelian minyak paket ini mungkin seorang boleh beli dua atau tiga paket sahaja sementara kementerian menyiasat puncanya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: 135 premis jual kit ujian Covid-19 patuh harga kawalan

RAWANG, 8 SEPT: Sebanyak 141 pemeriksaan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 dilakukan pada Isnin di seluruh negara bagi memantau pematuhan harga siling kit ujian berkenaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 135 premis mematuhi harga kawalan yang ditetapkan, dua premis menjual di bawah harga siling, tiga premis menjual melebihi harga siling dan satu premis tidak menjual kit berkenaan.

Katanya, dua daripada tiga premis yang menjual kit ujian melebihi harga siling itu diberi amaran.

“Apa yang menariknya, ada dua premis yang menjual di bawah harga kawalan, saya nampak peniaga ini amat berdisiplin,” katanya selepas melancarkan Program Pengumpulan Bahan Makanan dan Barangan Penjagaan Diri untuk mangsa fenomena kepala air di Gunung Jerai, Kedah.

Majlis pelancaran program yang dianjurkan oleh Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia di sini, semalam turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang Chua Wei Kiat dan ADUN Taman Templer Mohd Sany Hamzan.

“Tanpa mengira fahaman politik, kita bersatu untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa,” kata Rosol.

Pasukan Pakatan Pemandu akan bergerak ke Yan, Kedah pada Jumaat ini bagi menyalurkan bantuan makanan dan penjagaan diri yang dikumpul oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Harga telur ayam stabil di pasaran

PUTRAJAYA, 26 OGOS: Harga purata runcit telur ayam berada pada kedudukan stabil dengan harga semasa bagi gred A adalah 44 sen, gred B (40 sen) dan gred C (36 sen).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan semalam berkata harga runcit telur ayam yang dijual dalam kuantiti 30 biji lebih menjimatkan berbanding dalam kuantiti 10 biji.

Ia adalah hasil pemantauan KPDNHEP melalui pelaksanaan OPS PASAR (telur ayam) sejak 2 Ogos melibatkan pemeriksaan terhadap 136 premis iaitu 41 premis pengeluar telur dan 95 premis pemborong.

“Berdasarkan syarikat yang diperiksa, anggaran pengeluaran telur ayam dalam sehari adalah sejumlah 34 juta dan ia mampu menampung keperluan harian rakyat dengan anggaran penggunaan berjumlah 34 juta biji sehari,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata sejumlah 136 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan kepada pengeluar dan pemborong bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan peningkatan harga yang berlaku di peringkat peruncit.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: KPDNHEP keluar 839 kompaun nilai RM4.5 juta

BATU KAWAN, 21 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan 839 kompaun kesalahan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) membabitkan nilai RM4.5 juta dalam pemeriksaan di seluruh negara sejak 13 Mei lepas.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata tindakan kompaun diambil dalam pemeriksaan penguatkuasa KPDNHEP di 732,893 premis di seluruh negara sehingga semalam.

“Saya ingin tekankan bahawa mengeluarkan kompaun bukanlah keutamaan KPDNHEP. Ia tindakan terakhir selepas advokasi yang diberikan terlebih dahulu tidak dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan dan pemeriksaan premis perniagaan di Design Village hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh sama, pihaknya turut memberi amaran dan nasihat kepada pemilik 8,410 premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan semasa pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya secara dasar, rata-rata peniaga di negara ini amat mematuhi SOP norma baharu yang ditetapkan dengan kadar pematuhan sehingga 98.7 peratus.

Bagaimanapun, Hasnol Zam Zam mengakui terdapat lebih satu peratus golongan yang masih berdegil dan culas dalam mematuhi SOP itu walaupun telah berkali-kali dinasihatkan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPD: KPDNHEP Selangor terima 236 aduan, periksa 2,561 premis

SHAH ALAM,14 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 236 aduan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana pada 3 Julai hingga hari ini.

Pengarahnya berkata antara aduan paling banyak diterima membabitkan transaksi dalam talian iaitu 109  diikuti pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) (37), perkhidmatan mengelirukan (26) dan harga (21).

Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata pihaknya turut menerima aduan berkaitan perihal dagangan palsu, jualan murah, iklan mengelirukan, barang kawalan, timbang sukat dan sewa beli kenderaan.

“Sebanyak 2,561 premis diperiksa sepanjang PKPD bermula 3 Julai lalu hingga hari ini melibatkan 200 anggota penguat kuasa.

“Tiada aduan berkaitan kekurangan bekalan barangan keperluan diterima sepanjang PKPD,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemeriksaan terus dijalankan oleh setiap cawangan di sembilan daerah seluruh negeri.

PKPD dikuat kuasa di 34 mukim di lapan daerah negeri ini selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP tingkat operasi penguatkuasaan barang tiruan

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Operasi penguatkuasaan penjualan barangan tiruan akan dipertingkat sepanjang musim perayaan ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan bagi kesalahan itu tetap dilakukan meskipun ketika ini operasi pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 giat dilaksanakan.

Rosol berkata operasi dan pemeriksaan kesalahan menjual barangan tiruan bukan sahaja tertumpu di kawasan perniagaan borong serta murah seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Petaling malah butik juga akan diperiksa.

“Operasi juga akan dibuat di semua peringkat termasuk pembekal dan penjual berdasarkan maklumat risikan serta aduan orang awam.

“Misalnya, kita dapati ada butik menjual barangan tiruan mengikut harga produk asli dan ini adalah satu kesalahan kerana menipu pengguna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Advokasi Pengguna Bijak dan #ShoppingstreetJalanTAR di sini semalam.

Mengulas program itu, beliau berkata Jalan TAR dipilih kerana ia menjadi lokasi tumpuan atau ‘syurga membeli-belah’ bagi masyarakat tempatan khususnya apabila tiba musim perayaan.

Katanya program itu sekali gus dapat mengetengah serta mempromosikan lagi kepelbagaian produk dan barangan yang dijual di Jalan TAR.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan telur cukup, jangan buat pembelian panik

KUALA BERANG, 15 MAC: Kerajaan memberi jaminan bekalan telur mencukupi bagi memenuhi permintaan orang ramai termasuk menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri susulan penarikan balik telur keluaran sebuah ladang di Jeram, Selangor kerana dicemari bakteria Salmonella Enteriditis (SE).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata isu penarikan balik bekalan telur yang dieksport ke Singapura oleh pengeluar itu tidak menjejaskan bekalan telur domestik setakat ini.

Katanya, syarikat terbabit dalam isu ini memberi jaminan bekalan telur ayam tidak terjejas kerana produk yang dikesan mempunyai bakteria tersebut hanya melibatkan satu ladang sahaja dan masih terdapat lima ladang lain untuk bekalan pasaran tempatan.

Beliau berkata terdapat 50 syarikat pengeluar telur ayam terbesar di Malaysia termasuk syarikat tersebut dan bekalan di pasaran mencukupi menjelang musim perayaan nanti.

“Jadi pengguna tidak perlu bimbang atau melakukan pembelian telur secara panik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jualan kedai runcit bergerak, Prihatin Mart, di pekarangan Masjid Al-Amin, Kampung Buluh, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan rekod, secara keseluruhan pengeluaran telur ayam di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 7 Mac lalu adalah sebanyak 206 juta biji dengan baki semasa yang belum lagi dijual ialah 69 juta biji.

Dalam pada itu, Rosol mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga telur susulan isu tersebut dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan itu.

Kelmarin, empat pengimport di Singapura telah diarahkan untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan oleh syariklat terbabit berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak.

– BERNAMA