Categories
AGENDA NASIONAL

Komited perkukuh kawalan sempadan negara di Sabah, Sarawak

SIBU, 5 JAN: Kementerian Pertahanan komited memperkukuhkan pertahanan sempadan negara di Sabah dan Sarawak seperti mana yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, langkah-langkah bagi mengukuhkan pertahanan di kawasan terlibat akan dilaksanakan secara berterusan.

“Kita ada pelbagai aktiviti bagi memperkasakan pertahanan di Sabah dan Sarawak termasuklah memperkasakan idea yang memerlukan tentera darat, udara dan laut bergabung bagi menghadapi apa sahaja cabaran yang akan dihadapi,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Markas 31 Briged, Kem Junaco Park, di sini, semalam.

Selain lawatan ke Kem Junaco Park, beliau turut mengadakan lawatan serupa ke kem tentera lain iaitu Kem Rascom dan Kem Batu 14.

Beliau berkata, terdapat lima Rejimen Sempadan (RS) telah ditubuhkan di Sabah dan Sarawak pada tahun 2015 bagi membantu memperkasakan pertahanan sempadan negara di kedua-dua negeri berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pertahanan belum dimaklum hasil siasatan isu ‘land swap’ – Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kementerian Pertahanan telah mengemukakan laporan siasatan 16 projek ‘land swap’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sehingga kini belum dimaklumkan mengenai sebarang penemuan atau hasil siasatan mengenai perkara itu.

Menteri berkenaan Mohamad Sabu berkata laporan siasatan bagi dua projek dikemukakan kepada SPRM pada 21 Februari lepas manakala baki 14 projek lagi dikemukakan pada 16 Mei lepas untuk siasatan lanjut pihak SPRM.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini mengenai status 16 projek land swap melibatkan 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion.

Mohamad berkata pihaknya telah membentangkan Kertas Jemaah Menteri pada 18 September lepas untuk mendapatkan kelulusan berhubung hala tuju projek di Hutan Melintang.

“Di samping itu, pemakluman kepada Jemaah Menteri turut dilaksanakan pada 18 Okt melibatkan tujuh projek yang lain untuk mendapatkan hala tuju projek-projek itu,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya sebelum ini berkata pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung kes itu dan akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan.

Mohamad berkata pihaknya juga sedang membuat rundingan semula untuk meneruskan beberapa projek ‘land swap’ ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Ini, katanya adalah bagi mendapatkan semula kerugian berjumlah kira-kira RM500 juta yang dialami kerajaan berikutan projek ‘land swap’ seperti dilaporkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.

Februari lepas, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menjawab soalan Ahmad Fahmi mengenai pembelian enam helikopter McDonnell Douglas yang masih tidak diterima sehingga kini, ​​​​​​​Mohamad berkata Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenainya kira-kira dua minggu lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

16 laporan urus niaga pertukaran tanah Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima 16 laporan berhubung urus niaga pertukaran tanah (land swap) membabitkan Kementerian Pertahanan, sejak 25 tahun lepas.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata SPRM bagaimanapun memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung kes itu dan akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Perlu difahami bahawa isu ‘land swap’ ini melibatkan senarai yang panjang, lebih daripada 25 tahun, kami memerlukan lebih banyak masa, di samping menghadapi pelbagai kesulitan dalam mendapatkan bukti serta pengesanan.

“Kita sedang bercakap tentang tempoh 25 tahun yang melibatkan menteri yang berbeza dan ia tidak semudah seperti menyerahkan laporan audit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan ke-11 di sini, hari ini.

Latheefa menegaskan perkataan ‘land swap’ itu sendiri tidak merujuk kepada sesuatu perkara yang salah tetapi tujuan sesuatu pertukaran itu dibuat perlu dikenal pasti.

“Kita perlu tahu kenapa perjanjian itu dibuat dan kita sedang melakukan siasatan. Saya percaya tidak semua kes akan dibawa untuk pendakwaan dan kita perlu memberi sedikit masa,” katanya.

Sementara itu, Latheefa berkata SPRM telah membuka kertas siasatan susulan laporan Kementerian Pertahanan berhubung isu pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G bernilai RM321.9 juta yang sehingga kini belum diterima.

“Kes ini masih dijalankan, kami pastinya akan memaklumkan kepada anda sebaik sahaja kami selesai,” katanya yang enggan mendedahkan butiran lanjut.

Semalam Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan mengadakan rundingan akhir membabitkan pejabat Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan SPRM berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap pihak yang terbabit dalam isu itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cadang beri elaun bulanan kepada penerima PJM tentera

KUANTAN, 4 MEI: Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) diberikan elaun bulanan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu adalah berdasarkan keputusan yang diperoleh daripada mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) pada Februari lepas.

“Kita akan panjangkan perkara ini kepada jemaah menteri secepat mungkin kerana berharap keputusan dapat dicapai tahun ini dan bayarannya boleh bermula tahun hadapan

“Kita berharap pemberian elaun ini boleh dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2020,” katanya pada sidang media Majlis Penganugerahan PJM kepada Veteran ATM peringkat Pahang di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad menyempurnakan istiadat pengurniaan pingat itu kepada 310 veteran ATM, selain menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM90,700 kepada 19 persatuan veteran ATM.

Beliau berkata elaun itu yang akan dikenali sebagai ‘Elaun Kenangan’ itu juga adalah penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan anggota tentera yang berjuang menentang komunis.

“Usaha (pemberian elaun) ini juga dapat mengurangkan jurang pencen antara veteran di samping sedikit sebanyak membantu veteran tidak berpencen,” katanya.

Setakat ini, 6,781 veteran ATM menerima PJM. PJM diberikan kepada anggota ATM yang berkhidmat menentang komunis dari 1969 sehingga 1990 dan anggota pengaman dari luar negara yang berkhidmat di negara ini dari 1957 sehingga 1968.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Pertahanan hasrat wujud sistem EMR

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kementerian Pertahanan berhasrat menyediakan sistem Electronic Medical Records (EMR) iaitu satu sistem yang mengumpul dan menghubungkan data pesakit di semua Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, sistem itu perlu diwujudkan segera memandangkan pengurusan rekod pesakit secara manual akan melambatkan proses perawatan dan perkongsian maklumat perawatan tidak dapat dibuat secara optimum.

“Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) mengusulkan supaya perolehan Hospital Information System dapat dilaksanakan dan ia akan menghubungkan kesemua lima hospital ATM di seluruh negara termasuk satu di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai peruntukan yang diperlukan untuk membangunkan sistem berkenaan, beliau berkata perkara itu belum diperincikan.

“Itu belum diperincikan lagi, tapi lebih kurang RM15 juta diperlukan untuk sistem… peralatan lebih kurang RM20juta. Namun, perbelanjaan diperlukan dari semasa ke semasa kerana (lambat laun) peralatan akan menjadi usang dan tidak dapat digunakan,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang, Mohamad berkata ia dibuat mengikut peraturan.

“…lembaga pengarah telah bincang dan luluskan akan membuat tender secara terbuka. Bagaimanapun, keputusan terakhir terletak di tangan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, media melaporkan Boustead Holdings Bhd (BHB) telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Hotel Royal Ltd dari Singapura pada harga RM197 juta, selepas lebih dua minggu Kementerian Pertahanan menyatakan belum ada kepastian berhubung penjualan itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya keputusan kerajaan berkaitan keperluan pesawat rondaan maritim beliau berkata pihaknya dalam usaha mendapatkan pesawat itu.

“Kita sedang dalam proses perolehan untuk dapatkan sebab ia perlu untuk pemantauan, dan kita telah bincang dengan pihak Kementerian Kewangan dan mereka pun nampak ia perlu. Tahun lepas, ia ditangguh dan kos untuk projek masih dalam perbincangan,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Pertahanan nafi abai kebajikan veteran ATM

OLH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Pertahanan menafikan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diabaikan, walaupun pentadbiran kerajaan berubah di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN).

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, semua program bantuan masih diteruskan seperti biasa, malah peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) bertambah kepada RM98 juta, berbanding RM78.9 juta, pada 2018.

“Kerajaan PAKATAN melalui JHEV ATM masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam atau Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam.

“Isu permasalahan veteran ATM bukanlah isu baharu dan sudah dibangkitkan sejak pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Selain itu, kerajaan juga meluluskan bantuan khas RM500,000 untuk diagihkan kepada persatuan bekas tentera,” katanya.

Kementerian itu berkata, kerajaan kini sedang merancang untuk meningkatkan pembabitan agensi awam dan swasta demi menjaga kebajikan serta menambahbaik taraf sosioekonomi veteran ATM.

“Kementerian Pertahanan juga membuktikan keprihatinan kepada veteran ATM melalui pengaktifan semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang bersidang buat kali pertama, pada 24 Disember 2018 walaupun ditubuhkan sejak 2016.

“MVK yang dipengerusikan Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) sudah merangka strategi dan mengkaji kaedah serta cara terbaik untuk memastikan kebajikan veteran ATM sentiasa diutamakan demi menghargai pengorbanan mereka kepada negara,” katanya.

Categories
NASIONAL

Mohamad: Kementerian sedia dedah laporan pembelian aset meragukan

SHAH ALAM, 11 JAN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, beliau bersedia mendedahkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan berhubung kes pembelian aset mencurigakan kementerian ketika pentadbiran kerajaan terdahulu di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kementerian tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan berhubung isu terbabit.

“Saya sedia menjawab apa-apa soalan berkaitan itu jika ditanya di Parlimen,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi Projek Endowmen Pembangunan Residensi di UiTM Puncak Alam.

Mohamad berkata, laporan kedua jawatankuasa siasatan dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang itu akan diserahkan kepadanya sebelum akhir bulan ini.

Beliau sebelum ini dipetik berkata, pihaknya akan mendedahkan laporan itu kepada umum selepas kementerian menerima laporan kedua daripada jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei tahun lalu.

Pada 22 Mei tahun lalu, Mohamad berjanji akan menyiasat segala dakwaan berkaitan Kementerian Pertahanan termasuk isu pembelian dua unit kapal selam Scorpene serta pembaziran dan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peruntukan Belanjawan 2019 Kementerian Pertahanan ditambah kepada RM15.37 bilion

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Peruntukan Belanjawan 2019 bagi Kementerian Pertahanan kini berjumlah RM15.37 billion, selepas Kementerian Kewangan menyalur peruntukan tambahan di bawah Belanjawan Mengurus sebanyak RM1.45 bilion.​

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan hari ini, pertambahan peruntukan ini sepertimana diumum Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada 19 November lepas.

Ini bermakna perbezaan Belanjawan 2019 berbanding 2018 yang memperuntukkan sebanyak RM15.49 bilion adalah satu peratus secara keselururuhan.

“Kementerian Pertahanan akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan beberapa langkah seperti mengkaji semula skop dan kos kontrak serta mengamalkan perbelanjaan berhemah tanpa memberi kopromi kepada isu-isu keselamatan, kesiapsiagaan aset ketenteraan, kebajikan dan kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia termasuk keluarga mereka dan veteran,” menurut kenyataan itu.

Menurut Jabatan Penerangan, kenyataan ini adalah bagi mengulas pertanyaan Senator Datuk Razali Idris pada sesi soal jawab Dewan Negara semalam, serta keraguan sesetengah pihak bahawa peruntukan belanjawan bagi Kementerian Pertahanan telah menurun berbanding tahun 2018.​​​​​​​

Peruntukan asal Kementerian Pertahanan berdasarkan Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2019 adalah berjumlah RM13.918 bilion, iaitu sebanyak RM10.27 bilion bagi Belanja Mengurus dan RM3.64 bilion bagi Belanja Pembangunan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Pertahanan sedia kerjasama bersama media

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Kementerian Pertahanan bersedia memberi kerjasama kepada semua agensi media mendapatkan laporan dan maklum balas untuk dihebahkan kepada rakyat.

Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, sejak Mohamad Sabu dilantik sebagai Menteri Pertahanan, pihaknya menerima banyak permohonan dari media untuk mengadakan wawancara khas.

“Memandangkan jadual yang agak padat, kita perlu mengatur sesi wawancara secara berkumpulan.

“Sejak 28 Mei sehingga 12 Jun lalu, lima siri wawancara diadakan membabitkan 18 agensi media, termasuk media cetak, elektronik dan dalam talian, manakala baki selebihnya akan menyusul, namun tertakluk kepada jadual menteri.

“Sehubungan itu, kementerian bersedia dan terbuka membantu bagi memastikan setiap media berkenaan memberikan laporan terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pertahanan akan menganjurkan Majlis Hari Raya dalam masa terdekat dan menjemput semua agensi media untuk memeriahkannya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengambil maklum teguran berhubung layanan dan kesukaran media mendapatkan akses serta jawapan daripada Mohamad Sabu.

Katanya, pihak media juga dinasihatkan untuk memaklumkan lebih awal dan menggunakan saluran betul jika mahu menemu bual Menteri Pertahanan.

“Mengulas isu jawapan balas daripada Menteri Pertahanan melalui aplikasi whatsapp peribadi beliau, pihak kami ingin memaklumkan terdapat isu yang perlu diteliti dan mendapatkan pandangan dari pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang reaksi dikeluarkan.

“Manakala berhubung isu kawalan keselamatan yang ketat, kementerian memaklumkan kepada pengiring rapat (close escort) untuk membenarkan rakyat bergambar dengan Menteri Pertahanan, namun masih menitikberatkan faktor keselamatan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Mat Sabu makin serasi di Kementerian Pertahanan

KUALA LUMPUR 17 JUN: “Mencabar, tercabar dan bagi saya ia adalah antara tempat yang paling penting bagi sesebuah kerajaan,” kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, ketika ditanya mengenai perasaannya semasa mula-mula bertugas di kementerian itu.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, bagaimanapun berkata selepas lebih tiga minggu beliau kini semakin dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu di kementerian itu dan peranan yang harus dimainkan selaku Menteri Pertahanan.

“Keluarga MINDEF (Kementerian Pertahanan) ini keluarga yang penuh dengan protokol, yang paling banyak bertemu dengan baginda Sultan dan raja-raja sebab setiap Raja dan baginda Sultan ada menaungi satu cabang perkhidmatan tertentu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Jadi, saya yang hidup sebagai seorang yang biasa ini kena berada dalam suasana protokol terutama berkaitan soal pakaian saya dan perkara-perkara lain.

“Bagi saya, ini satu benda baharu dan cabaran, tapi saya boleh insya-Allah menyesuaikan diri dalam masa yang singkat,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BERNAMA di Wisma Bernama, baru-baru ini.

Mohamad bersama 12 lagi anggota Kabinet yang lain mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 21 Mei lalu selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mohamad, yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata walaupun tugas memimpin sebuah kementerian yang berperanan penting dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara amat berat, beliau yakin mampu melaksanakannya dengan dibantu pegawai berpengalaman di kementerian itu.

Katanya, walaupun dikenali sebagai seorang yang berperwatakan ‘humor’ dan suka berjenaka, beliau menegaskan amat mengambil serius mengenai sebarang keputusan yang dibuat berkaitan kementerian itu dan mahu keputusan itu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Bila keputusan dibuat dalam mesyuarat kami kena serius dan sebarang keputusan yang diambil kena tegas dan pertahankan keputusan itu. Jadi, mereka yang kenal rapat dengan saya mereka tahulah yang mana satu yang bergurau, melawak dan yang mana satu serius,” katanya.

Ditanya sama ada beliau tahu akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad berkata pada mulanya beliau menjangkakan akan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan sudah menerima banyak ucapan tahniah daripada rakan-rakan.

Namun, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kemudian mengumumkan beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan, manakala Menteri Dalam Negeri dijawat Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengenai kehidupan anggota keluarganya susulan pelantikannya sebagai menteri, Mohamad berkata ia tidak banyak berubah, namun tuntutan tugas baharunya kini lebih terasa apabila terpaksa keluar rumah awal pagi dan pulang lewat malam.

“Kadang-kadang terasa, sepatutnya pada usia saya ini sudah pencen, tapi saya umur lebih 60 tahun baru hendak mula bekerja, jadi anak-anak ada juga bergurau mengenai itu dan perli saya.

“Memang berasa sedikit letih tapi nak mengaku letih pada umur 60 lebih, tidak boleh sebab bos saya Tun Dr Mahathir umur 93 tahun masih bekerja, jadi Tun itu macam memberi motivasi kepada saya untuk terus bekerja,” katanya.

Mohamad juga menyatakan bahawa beliau dan keluarganya akan berpindah dari kediaman mereka di Shah Alam ke kediaman baharu yang disediakan kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

“Saya tinggal di rumah teres, pagi-pagi pengiring bermotosikal sudah datang jemput saya dan orang-orang sekeliling tu memang seronoklah berjiran dengan menteri, tapi dua tiga bulan lagi mereka mungkin tidak selesa dengan bunyi siren dan sebagainya.

“Saya akan berpindah ke rumah kerajaan insya-Allah yang terletak di sekitar Bukit Persekutuan, rumah lama, sesetengah orang panggil rumah Dracula,” katanya sambil ketawa.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siasatan salah laku dalam Kementerian Pertahanan bermula selepas Aidilfitri

TASEK GELUGOR, 16 JUN: Siasatan semua salah laku dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam Kementerian Pertahanan akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Siasatan Khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang akan membentuk keanggotaan dalam jawatankuasa itu selepas Aidilfitri.

“Jawatankuasa itu baru diluluskan di peringkat kabinet dan Ambrin akan bentuk keanggotaan dalam jawatankuasa lepas raya sebelum mulakan siasatan,” katanya selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Guar Petai hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dan kepimpinan Pakatan Harapan negeri.

Mohamad berkata Jawatankuasa Siasatan Khas itu akan menyiasat semua salah laku dan penyelewengan dalam semua kementerian termasuk Kementerian Pertahanan.

Anggota Parlimen Kota Raja itu yang terkenal dengan panggilan ‘Mat Sabu’ berkata kementeriannya sedia untuk memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Siasatan Khas itu bagi membantu siasatan.

“Saya dengar ada skandal dalam kementerian, jadi kami bersedia untuk memberikan segala maklumat yang ada untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau turut yakin dengan kewibawaan Ambrin, yang mampu menjalankan tanggungjawab berat itu.

“Beliau (Ambrin) merupakan bekas ketua audit, jadi dia mampu membuat forensik audit dan penyelidikan dengan baik,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, tiada sebarang tempoh masa ditetapkan untuk siasatan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inisiatif Mohamad Sabu siasat skandal kembali keyakinan rakyat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Komitmen Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyiasat dakwaan skandal membabitkan kementerian itu disifatkan sebagai langkah terbaik mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam negara.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyiasatan teliti itu diyakini akan membongkarkan salah laku dan penyalahgunaan kuasa semasa pentadbiran lama.

Katanya, Kerajaan Malaysia kini mengambil serius isu penyelewangan yang memberi kesan buruk kepada pentadbiran dan kewangan negara.

“Kepentingan warga pertahanan negara harus diutamakan kerana mereka menggadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Jika terdapat sebarang penyelewengan, ia boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk melaksanakan tanggunjawab dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, rakyat tidak mahu melihat hal membabitkan keselamatan negara dikompromi ekoran kegagalan menyediakan aset dan pembekalan sempurna,

“Amalan rasuah, pemberian kontrak kepada syarikat kroni dan pembelian aset tidak menepati piawaian dharuslah dihentikan serta merta, manakala setiap kontrak yang dimeterai harus dilihat semula dari segi faedah serta kos kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita juga harus memperkasakan semula pertahanan negara dan saya percaya Menteri Pertahanan akan menjalankan tugas ini dengan telus serta penuh bertanggungjawab dalam kita membina semula negara,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Sabu menandatangani nota terima tugas dan berjanji untuk menyiasat dakwaan membabitkan kementeriannya, termasuk isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi.

Tindakan itu akan diambil berdasarkan bukti kukuh dan siasatan rapi, bukan hanya mendengar cakap-cakap (hearsay).