Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat lulus Pindaan Akta Perikanan 1985

KUALA LUMPUR, 9 JUL: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah membuat permohonan bagi mengembalikan semula Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan kepada RM300 pada belanjawan akan datang.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan pihaknya tidak akan mengabaikan nasib golongan nelayan dan berusaha membantu kehidupan seharian mereka.

“InsyaAllah ekonomi kita bagus, kita akan kembalikan kepada RM300. Saya tidak pernah lupa kepada para nelayan ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga meneliti pemberian insentif dan subsidi di peringkat output, iaitu bergantung kepada hasil yang dikeluarkan nelayan.

“Lebih banyak ikan yang ditangkap lebih banyak subsidi dan insentif akan diperoleh mereka,” katanya menambah mekanisme pelaksanaan insentif dan subsidi seumpama itu perlu dibuat dengan teliti bagi mengelak berlakunya sebarang masalah pada masa akan datang.

Katanya, kementerian juga akan membantu golongan isteri nelayan untuk memulakan perniagaan kecil bagi meningkatkan kehidupan keluarga mereka.

Sementara itu, Salahuddin berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas dengan menenggelamkan vesel nelayan asing yang menceroboh perairan negara ini.

“Vesel kayu kita tidak boleh tenggelamkan kerana kayu yang pecah akan timbul (di permukaan) dan mengundang masalah, jadi kita akan fikir cara terbaik bagi memusnahkannya. Vesel besi kita boleh tenggelamkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan beberapa ahli Parlimen mengenai hukuman sebat dan ‘tembak apabila nampak’ kepada nelayan warga asing yang menceroboh tidak boleh dilaksanakan kerana Malaysia perlu mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut.

Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 itu kemudian diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat.

Melalui RUU itu, denda maksimum bagi pemunya atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia dicadang dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Sidang dewan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia Baharu: Transformasi tingkat sektor pertanian

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa usul meminda Akta Perikanan pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi membolehkan nelayan tempatan memasuki laut dalam.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ini bagi membuka peluang kepada para nelayan menceburi industri penangkapan ikan tuna yang merupakan antara industri terbesar dunia.

“Kita akan berikan permit dahulu, tetapi kita perlu menunggu untuk parlimen pada sesi akan datang bagi meminda akta perikanan kita untuk membolehkan nelayan kita pergi ke lautan lepas.

Ini saya boleh nampak antara masa depan industri yang boleh memberikan pulangan yang cukup baik sebab industri tuna ini ada potensi pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Setahun Malaysia Baharu: Transformasi Pertanian’ di sini malam tadi.

Selain itu, katanya, kementerian sedang mencari model terbaik bagi menggantikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang akan tamat konsesinya pada 2021.

Salahuddin berkata modul itu belum dapat dimuktamadkan lagi kerana ia perlu dibahaskan pada lapan peringkat kementerian.

Antara pendekatan yang mungkin dibincangkan adalah mencadangkan agar 30 atau 40 peratus daripada keuntungan Bernas disalurkan kepada petani melalui satu tabung amanah.

“Mungkin Bernas masih perlu lagi memegang saham dalam peratus-peratus tertentu. Kita perlu cermat kerana ini ada kaitan dengan keselamatan makanan.

“Mungkin 30, 40 peratus daripada keuntungan Bernas itu kita masuk ke dalam tabung amanah yang boleh terus sampai kepada golongan petani termasuk nelayan, supaya mereka dapat merasai, bukan dalam bentuk tunai tetapi sebagai bantuan untuk menaik taraf bot mereka, sampan, pukat mereka daripada kayu kepada besi atau fiber,” katanya.

Mengenai eksport produk pertanian ke China, Salahuddin berkata kementerian akan memperhebatkan promosi agar durian Musang King, nanas dan nangka madu dapat memasuki pasaran negara itu.

“Kita dimaklumkan melalui data statistik yang diberikan kepada kita dalam lawatan ke Beijing yang diketuai perdana menteri bahawa daripada 1.4 bilion rakyat China, hanya satu peratus yang baru merasai musang king.

“Jadi kita kena pastikan bahawa integriti industri kita dijaga. Durian kita, musang king, nanas dan nangka muda, tanamlah. Kita perlu majukan industri ini. Hasilnya mungkin dalam masa lima tahun lagi,” katanya.

– BERNAMA

Subsidi padi tertunggak, petani mungkin demo di Putrajaya


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani digesa selesaikan masalah pembayaran subsidi dan Insentif Peningkatan Hasil (IPH) petani yang tertangguh.

Categories
SELANGOR

Noh Omar Perlu Segerakan Pembinaan Jambatan Baru Sungai Tengi

TANJONG KARANG, 1 JUN : Pembinaan jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama yang menghubungkan kawasan Sawah Sempadan dan Sungai Burong perlu disiapkan segera oleh kontraktor yang bertanggungjawab.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman, jambatan lama yang melintasi Sungai Tengi ini dibina sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan 55 tahun dahulu.

“Seharusnya projek pembinaan jambatan baru ini dimulakan sejak dahulu lagi kerana ia merupakan laluan penting bagi petani, penduduk tempatan serta kenderaan yang ingin ke Sabak Bernam,” katanya yang juga merupakan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor.

Projek di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini diberikan kepada kontraktor Seaway City Sdn Bhd dan mula dibina pada 30 Jun 2010 dan dijangka siap pada 7 Julai 2012.

Namun, tinjauan wartawan SelangorKini ke tapak pembinaan mendapati adalah mustahil projek ini dapat disiapkan dalam masa yang dijangkakan kerana kerja-kerja pembinaan masih diperingkat awal. 

Rata-rata kenderaan yang melintasi jambatan lama ini menghadapi kesulitan kerana hanya memuatkan satu kenderaan kecil dalam satu-satu masa sahaja.

Selain itu, jambatan lama ini juga turut mengundang bahaya kepada pengguna di waktu malam kerana keadaan jambatan yang sempit selain ketiadaan lampu jalan yang boleh membantu pengguna laluan ini.

Menurut Misran, seharusnya Noh selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang peka dengan masalah yang dihadapi penduduk setempat di sini.

“Beliau merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, sepatutnya projek ini tidak menghadapi masalah seperti kelewatan siap,” katanya lagi.

Sementara itu, jambatan baru tersebut bakal dijadikan jalan alternatif untuk pengguna jalanraya yang ingin ke Daerah Sabak Bernam berikutan pertambahan kenderaan yang melalui jalan Klang-Sabak Bernam di waktu cuti sekolah dan cuti umum.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nelayan Kuala Langat Harus Berhenti Persalahkan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 15 MEI : Masalah yang membelenggu sebahagaian nelayan di Kuala Langat hanya boleh diselesaikan kerajaan pusat yang menentukan kuasa perairan negara.

Masalah seperti kedudukan boya yang didakwa mengganggu hasil tangkapan, pewartaan kawasan ‘port limit’ dan aktiviti kapal-kapal besi di kawasan perairan di situ di bawah kawalan agensi kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kuasa yang ada pada kerajaan negeri hanyalah untuk berbincang dan merayu kepada kerajaan persekutuan.

“Kita telah mengadakan perbincangan menyeluruh bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) , Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Majlis Daerah tetapi tiada kata sepakat kerana permintaan para nelayan adalah luar biasa,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Laporan media memaparkan satu demonstrasi oleh 20 nelayan di Kelanang, Kuala Langat pada Sabtu lalu bagi mendesak kerajaan negeri membela nasib mereka.

Abdullah Sani berkata perbincangan telah dilakukan sebanyak sembilan kali dan selepas kali terakhir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengambil alih.

“Selepas Noh Omar campur tangan, saya tidak ambil tahu lagi kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang seharusnya bertanggungjawab,” jelasnya.

Menurut Abdullah Sani, para nelayan menuntut pampasan berjumlah RM15 juta dari kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan negeri tidak pernah berjanji di dalam manefesto pilihanraya lalu untuk memberikan pampasan sebanyak itu kepada para nelayan.

“Kerajaan pusat terlibat dalam pembinaan ‘port limit’ tersebut dan kerajaan negeri tidak pernah berjanji sedemikian kepada para nelayan,” katanya lagi.