Categories
AGENDA NASIONAL

KPKT: Perluas operasi sanitasi awam di perumahan kos rendah, sederhana

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperluas operasi sanitasi awam di kawasan berstrata kos rendah serta sederhana rendah melibatkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata ia juga susulan keputusan kerajaan membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi secara berperingkat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga dari 14 April hingga 28 April.

“Selangor mempunyai banyak kawasan yang menjalankan aktiviti ekonomi dan menjadi tumpuan orang ramai, jadi inisiatif ini bagi memastikan banyak kawasan di negeri ini dinyah kuman… Selangor mencatat kes paling tinggi positif Covid-19, jadi sebab itu juga kita tingkatkan usaha dan perluaskan operasi ini.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya ada 15 perumahan kos rendah dan hari ini, kita jalankan operasi itu serentak di tujuh perumahan dan baki lapan lagi akan dibuat esok,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi sanitasi di sini hari ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata operasi sanitasi tersebut melibatkan 37 skim perumahan yang telah dikenal pasti membabitkan sejumlah 20,520 unit di bawah enam PBT termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang.

Zuraida berkata operasi sanitasi itu hanya memfokus kepada kawasan guna sama seperti koridor, tangga, lif dan rumah ibadat yang melibatkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PBT serta Badan Pengurusan Bersama skim perumahan terbabit dan agensi lain.

“Kita mengharapkan agar peluasan kawasan operasi sanitasi ini akan memberi kesan positif kepada pengurangan kes Covid-19 seterusnya memutuskan rantaian jangkitan wabak itu,” katanya.

Beliau turut menyeru agar penduduk di kawasan terbabit memberikan kerjasama dan mematuhi saranan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Katanya bahan semburan yang digunakan tidak memberi kesan sampingan terhadap kesihatan awam.

Secara keseluruhan, Zuraida berkata KPKT di bawah Taskforce Sanitasi Awam Covid-19 sebelum ini telah selesai menjalankan sejumlah 1,125 operasi merangkumi 83 zon iaitu 24 Zon Merah, 15 Zon Jingga dan 44 Zon Kuning.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPKT kaji tubuh jawatankuasa perjawatan bomba – Zuraida

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan sedang mengkaji penubuhan Suruhanjaya Perjawatan Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berperanan sebagai badan bebas untuk melantik, menyusun semula perjawatan dan menyerap anggota bomba sambilan sebagai bomba sepenuh masa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, telah tiba masanya karier itu dimartabatkan bagi menaikkan semangat dan moral selain sebagai elemen motivasi kepada anggota untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang.

“Perkara ini (penubuhan jawatankuasa) perlu dipertimbang dan dikaji, ia adalah wajar. Sebelum ini, kerajaan meluluskan pemberian Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba RM200 sebulan.

“Tugas mereka (bomba) kini umpama ‘social rescue’ yang mana sedia berkhidmat tanpa mengira masa malah segera ke lokasi apabila menerima aduan termasuk tersepit di pintu lif, kucing tidak dapat turun dari pokok, ular masuk rumah dan sebagainya,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) mengenai tindakan kementerian bagi menjaga kebajikan anggota bomba di negara ini.

Menjelas lanjut, Zuraida berkata pihaknya akan terus memastikan aspek kebajikan, keselamatan dan kesihatan warga anggota bomba sentiasa dijaga dan terpelihara dengan mengkaji beberapa keperluan lain termasuk elaun tugas pasukan khas serta kadar Bayaran Insentif Bomba yang bertugas secara syif.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu status kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Zuraida berkata, perkara tersebut diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan siasatan.

“Inkues telah dilakukan dan kini kes Muhammad Adib di bawah PDRM. Kita serah kepada PDRM untuk kenal pasti siapa yang sebabkan kematian Muhammad Adib,” katanya.

Pada 27 September lepas, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember tahun lepas, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KPKT mahu penglibatan wanita terus dipertingkatkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKPKT) tekad memastikan golongan wanita mendapat tempat dalam segala hal berkaitan pembangunan, terutamanya dari sudut peningkatan taraf hidup dalam komuniti dan keterlibatan secara langsung dalam perencanaan kehidupan bermasyarakat.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, wanita memainkan peranan amat penting dalam pembangunan sejagat dan sudah membuktikan kemampuan sebagai penggerak kepada kemajuan ekonomi, budaya, sosial, pendidikan dan menjadi faktor terpenting dalam membina sebuah negara maju.

“Pembangunan mampan dan lestari bukan hanya terletak kepada pembangunan fizikal, tetapi turut melibatkan agenda kesejahteraan komuniti serta pertumbuhan ekonomi menyeluruh.

“Pelaksanaan setiap proses pembangunan harus dilakukan tanpa kemudaratan, agar dapat dinikmati generasi hari ini dan masa hadapan.

“Kita (KPKT) mengambil pendekatan inklusif gender dalam setiap dasar dan polisi yang digubal. Elemen penyertaan serta keterlibatan wanita dizahirkan dalam tiga dasar utama yang dilaksanakan KPKT iaitu Dasar Komuniti Negara, Dasar Perumahan Negara 2019 dan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

“Secara jelas, golongan wanita dilibatkan secara langsung dalam ekosistem pembangunan yang telah dirancang KPKT,” katanya dalam perutusan sempena Hari Wanita Sedunia 2019, hari ini.

Beliau berkata, KPKT turut memberi fokus kepada perancangan pembangunan lebih berinovatif supaya kesaksamaan gender dapat dipercepatkan bagi memberdaya dan meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pembuat keputusan serta pembangunan infrastruktur yang mampan.

Katanya, menjadi hasrat KPKT melihat perubahan positif dalam mengangkat martabat wanita di seluruh negara terutamanya dalam hal pembangunan komuniti dan infrasturktur yang lebih holistik dan inklusif.

“Golongan wanita perlu diberikan tempat dalam pentadbiran kerajaan tempatan supaya setiap dasar, polisi dan keputusan yang dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi lebih inklusif dan peka terhadap kehendak setiap golongan masyarakat.

“Keupayaan sesebuah negara mencapai setiap sasaran dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) memerlukan keterlibatan semua pihak. Golongan wanita merupakan pemegang taruh terpenting dalam menjayakan agenda ini.

“Semoga dengan segala perancangan dan pelaksanaan yang telah dilakukan, golongan wanita memperoleh lebih banyak ruang terlibat dalam pembangunan negara,” katanya.