Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 50 peratus aduan berkait larangan bekerja dari rumah

PENDANG, 13 JULAI: Aduan membabitkan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR), merekodkan hampir 50 peratus aduan yang diterima Kementerian Sumber Manusia menerusi aplikasi ‘Working for Workers’, sejak 1 Feb hingga Ahad lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata, sebanyak 2,292 aduan berkaitan isu itu diadukan oleh pekerja, lebih tinggi berbanding isu-isu lain termasuk berkaitan gaji tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat (1,414 aduan) dan potongan upah tidak mengikut undang-undang (462 aduan).

“Kita menerima 5,675 aduan dari Februari hingga semalam menerusi aplikasi itu, berkenaan majikan yang mendiskriminasi hak pekerja dan daripada jumlah ini sebanyak 4,105 aduan, telah diambil tindakan.

“Ini tidak patut berlaku kerana kerajaan telah melancarkan Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang mana kerajaan membantu majikan membayar gaji pekerja mereka.

“Kita akan teruskan operasi bagi mengesan majikan yang mendiskriminasikan hak pekerja dan akan berkolaborasi dengan agensi serta kementerian terlibat, untuk keluarkan kompaun dan buka kertas siasatan jika perkara ini terus berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Parlimen Pendang hari ini.

Sementara itu, Awang berkata sebanyak 806 kertas siasatan dibuka, di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) terhadap majikan, atas pelbagai kesalahan sejak Februari hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 130 kes telah didakwa di mahkamah yang melibatkan jumlah denda sebanyak RM487,000, dan sebanyak 408 kes pula dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM5,534,000.

“Sebanyak 49 arahan pindah turut dikeluarkan, melibatkan 49 majikan dengan 2,930 pekerja terlibat. Bagaimanapun, setiap aduan akan kita buat siasatan terlebih dahulu, dengan bertemu majikan sama ada aduan diterima betul atau bagi ‘win-win situation’,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan wujud portal khas bantu rakyat hilang kerja di luar negara

TAPAH, 8 OGOS: Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan sebuah portal khas khusus untuk rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di luar negara, berikutan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata, ia perlu bagi memudahkan kementerian mengetahui jumlah sebenar mereka yang kehilangan pekerjaan, dengan mendaftar di portal itu sebelum dibantu menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad.

“Butiran lanjut mengenai portal tersebut akan saya umumkan Isnin ini. Saya perlu mengetahui angka sebenar rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, supaya kementerian dapat menawarkan pelbagai latihan kemahiran atau peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka.

“Ini adalah antara langkah-langkah yang kita lakukan untuk mengatasi masalah pengangguran, kerana kebanyakan mereka yang kehilangan pekerjaan ini, mempunyai komitmen yang cukup tinggi seperti pinjaman perumahan dan kereta, walaupun ia adalah isu peribadi, tetapi kerajaan amat prihatin dengan nasib yang menimpa mereka,” katanya.

Saravanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Go Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Orang Asli di Dewan Merdeka, hari ini.

Pada Rabu lepas Saravanan berkata, kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat yang kehilangan pekerjaan di Singapura, apabila syarikat di negara itu mula melakukan pembuangan pekerja akibat penularan Covid-19.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura, bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap kira-kira 400,000 pekerja Malaysia di negara itu.

Dalam pada itu Saravanan berkata, rakyat di negara ini diminta supaya tidak terlalu memilih pekerjaan dan perlu merebut apa sahaja peluang pekerjaan, memandangkan ketika ini keadaan dunia yang berdepan dengan kelembapan ekonomi disebabkan Covid-19.

“Saya nasihatkan kepada mereka, terima sahajalah peluang kerja yang ditawarkan walaupun ada di antara mereka (golongan profesional), pernah menikmati gaji yang lumayan tetapi disebabkan keadaan (kelembapan ekonomi) pada hari ini luar biasa, lebih baik ada pekerjaan dengan gaji yang lebih rendah, daripada tidak ada kerja langsung.

“Dengan pelaksanaan pelbagai program dan kursus yang ditawarkan kerajaan, saya memberi jaminan keadaan akan pulih seperti sedia kala, tetapi ia akan mengambil masa sedikit,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MYEG lancar portal sehenti saringan Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 JUN: MY E.G. Services Bhd (MyEG) hari ini melancarkan portal sehenti bagi saringan Covid-19, bertujuan membantu kerajaan memantau dan mempercepat ujian bagi pekerja-pekerja di Malaysia.

Menurut kenyataan MyEG, inisiatif yang disokong Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu berperanan sebagai saluran alternatif bagi majikan mendaftarkan dan menjadualkan ujian Covid-19 untuk pekerja masing-masing menerusi Program Saringan Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Majikan yang layak di bawah program ini akan menerima subsidi sebanyak RM150 untuk setiap ujian yang dijalankan ke atas pekerja yang mencarum dalam Perkeso.

“Bagi yang bukan pencarum Perkeso serta tidak layak menerima subsidi, mereka boleh mengatur saringan menerusi portal sehenti MyEG dengan kos RM150 setiap ujian,” demikian menurut kenyataan itu.

MyEG akan mengatur saringan di premis majikan dengan dikendalikan oleh pengamal perubatan yang mematuhi sepenuhnya garis panduan Kementerian Kesihatan menerusi kerjasama dengan klinik panel yang diluluskan.

“Setelah selesai saringan, pekerja akan diberikan sijil digital berasaskan kod QR melalui aplikasi mudah alih MyEG sebagai bukti ujian yang diiktiraf oleh KSM,” menurut kenyataan itu.

Data berkaitan saringan pekerja yang dikumpul oleh portal sehenti itu akan diserahkan kepada KSM bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap.

“Majikan yang telah selesai menjalankan saringan digalak mengisytiharkan status mereka menerusi portal itu bagi memastikan kementerian menerima maklumat terkini,” kata MyEG.

Majikan boleh mengakses portal itu menerusi http://www.myeg.com.my untuk mendaftar atau mendapatkan maklumat lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

8 Jun cuti umum Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Isnin (8 Jun) diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata pengisytiharan itu dibuat di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 dan diwartakan pada 18 Mac lepas.

“Hari kelepasan am ini adalah termaktub sebagai hari cuti umum yang wajib diberikan kepada pekerja menurut Seksyen 60D (1)(a)(ii) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

“Hari kelepasan am ini tidak boleh digantikan oleh tarikh lain dan pekerja yang diarahkan bekerja pada tarikh ini hendaklah dibayar gaji pada kadar bayaran bagi hari kelepasan am selaras dengan peruntukan Akta 265,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Kerajaan beri panduan kendali Covid-19 di tempat kerja

Berikut adalah garis panduan dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia pada 16 Mac 2020 bagi mengendalikan isu berhubung penularan Covid-19:

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa agar pekerja dan majikan menggunapakai seksyen-seksyen di dalam Akta Kerja 1955 susulan daripada penularan wabak Covid-19. Antara seksyen yang boleh digunapakai ialah Seksyen 60F dan Seksyen 60E (1B).

Seksyen 60F Akta Kerja 1955

Pemeriksaan kesihatan
-Mengarahkan pekerja untuk segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atas pembiayaan majikan.

Tempoh Kelayakan Cuti Sakit Bergaji (Tanpa Hospitalisasi)

-Dalam setahun kalendar sekurang-kurangnya adalah seperti berikut:
i.14 hari jika tempoh bekerja <2 tahun
ii.18 hari jika bekerja antara 2- 5 tahun
iii.22 hari jika bekerja >5 tahun

Cuti Sakit Bergaji
-Majikan perlu memberikan cuti sakit bergaji atau kelayakan hospitalisasi sepanjang tempoh rawatan di hospital bagi pesakit yang disahkan mempunyai simptom jangkitan COVID-19.

Arahan Kuarantin
-Bagi pekerja yang diberi arahan kuarantin melebihi tempoh kelayakan cuti sakit atau hospitalisasi, majikan digalakkan untuk memberi kemudahan bayaran tambahan kepada pekerja bagi tujuan menjaga keharmonian hubungan pekerja dan majikan.
-Sekiranya majikan tidak membenarkan cuti sakit bergaji, ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 60F.

Seksyen 60E (1B) Akta Kerja 1955

Perintah Kuarantin

-Pekerja yang diberi perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman (“home surveillance”), tempoh kuarantin tidak boleh dipaksa menggunakan cuti tahunan sepanjang tempoh kuarantin tersebut kerana cuti tahunan merupakan suatu hak pekerja.
-Majikan juga tidak boleh melarang pekerja datang bekerja tanpa Perintah Kuarantin atau Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah Kediaman dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar kepada pekerja. Bagaimanapun, majikan boleh mengarahkan mana-mana pekerja yang tidak sihat untuk tidak hadir bekerja dan membenarkan cuti bergaji dibayar kepada pekerja tersebut.

Majikan boleh mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja sebagaimana yang disyorkan di dalam Tatacara Untuk Keharmonian Perusahaan iaitu:
a.Menghadkan kerja lebih masa;
b.Mengurangkan hari-hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu;
c.Mengurangkan waktu bekerja harian;
d.Melaksanakan pemberhentian kerja sementara (lay-off) misalnya dalam bentuk penutupan sementara (temporary shutdown) dengan menawarkan gaji yang berpatutan dan membantu mereka mendapatkan kerja sementara di tempat lain sehingga operasi dapat diteruskan semula;
e.Mengurangkan gaji pekerja (Pay-Cut) yang dibuat secara adil di semua peringkat boleh dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas langkah- langkah penjimatan kos lain telah dilaksanakan.

Sekiranya berlaku keadaan yang menyebabkan kemerosotan dalam perniagaan sehingga menyebabkan majikan mengambil tindakan untuk mengurangkan tenaga kerja atau pemberhentian pekerja, majikan perlu merujuk Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja yang boleh diperolehi di laman sesawang JTKSM iaitu http://jtksm.mohr.gov.my.

Majikan dikehendaki menggunakan Borang Pemberhentian (PK) bagi tujuan melapor pemberhentian kepada JTK terdekat sekurang-kurangnya 30 hari sebelum mengambil tindakan berikut:-
f.Pemberhentian Pekerja (Retrenchment);
g.Pemberhentian Pekerja Secara Sukarela (Voluntary Separation);
h.Pemberhentian Kerja Sementara (Lay-Off); atau
i.Pengurangan Gaji (Pay Cut).

Mana-mana majikan yang gagal mematuhi arahan seperti di atas, sekiranya disabitkan kesalahan, majikan akan didenda tidak lebih daripada RM10, 000 bagi setiap kesalahan.

JTKSM juga telah menubuhkan Bilik Gerakan Pemantauan Pemberhentian Pekerja Ekoran Wabak COVID-19 di peringkat jabatan untuk merekod maklumat pemberhentian yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan memantau maklumat situasi perburuhan yang terjejas akibat penularan wabak tersebut.

KSM menyeru kepada semua majikan agar membuat saringan terhadap keberadaan pekerja masing-masing dan membantu dalam mengenalpasti sama ada terdapat pekerja mereka yang menghadiri mana-mana perhimpunan ijtimak tabligh dan perhimpunan keagamaan di Pulau Pinang. Sekiranya ada, kerjasama pihak majikan dipohon agar mengarahkan pekerja berkenaan untuk mengisytiharkan diri dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi mendapatkan nasihat serta tindakan lanjut

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian bantu majikan sarung tangan getah patuhi audit

PUTRAJAYA, 4 OKT: Kementerian Sumber Manusia akan memberi bantuan kepada majikan-majikan industri sarung tangan getah dalam menjalankan audit pematuhan sosial yang komprehensif sejajar dengan piawaian antarabangsa sebelum ia dikuatkuasakan pada 2021, kata Menterinya, M Kula Segaran.

Beliau berkata, berikutan larangan oleh pihak Amerika Syarikat (AS) yang menyekat import sarung tangan getah daripada WRP Asia Pacific Sdn Bhd kerana disyaki menggunakan buruh paksa, usaha untuk mematuhi undang-undang antarabangsa perlu dimulakan segera.

“Saya telah berunding dengan pihak industri tahun lepas dan memberi amaran tentang kesan buruk (penggunaan) buruh paksa,” katanya pada sesi dialog awam (town hall) dengan pemain industri sarung tangan getah di sini, hari ini.

Pada 1 Oktober, Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengumumkan ia telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Pegangan kepada lima produk berlainan yang diimport dari lima negara setelah disyaki menggunakan buruh paksa.

Sekatan itu turut melibatkan import sarung tangan getah oleh WRP Asia Pacific kerana dipercayai syarikat itu terlibat dalam buruh paksa.

Tahun lepas, pembuat sarung tangan Malaysia, Top Glove Corp Bhd dituduh oleh berita United Kingdom mengenai penggunaan buruh paksa.

“Walaupun kerajaan telah meluluskan laporan audit pematuhan sosial bebas oleh setiap pemain industri dan ia merupakan syarat sebelum memohon pekerja asing yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2021, saya fikir ia pasti (bahawa keperluan itu) dilakukan sendiri hari ini,” katanya.

Kula Segaran berkata, industri terbabit tidak seharusnya menunggu sehingga 2021 kerana ia merupakan isu yang mendesak pada masa ini.

“Jadi, nasihat saya kepada industri jangan menunggu sehingga 2021, sekiranya anda mahu perniagaan ini, anda perlu mematuhi peraturan sekarang dan sebab itu kerajaan bersedia membantu anda,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belum ada keputusan mansuh anti diskriminasi pengambilan pekerja

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Kementerian Sumber Manusia berkata kenyataan berhubung keputusan dicapai bagi memansuhkan peruntukan anti diskriminasi dalam pengambilan pekerja di bawah Akta Kerja 1955, adalah ‘masih terlalu awal’ memandangkan perkara itu masih dalam perbincangan antara kementerian dengan pemegang taruh.

Kementerian itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang merujuk kepada artikel yang disiarkan portal berita Malaysiakini yang bertajuk: ‘After MEF’s objection, proposed anti-discrimination provision removed’.

“Malaysiakini seharusnya faham bahawa tiada keputusan yang telah dibuat, atau boleh dibuat sehingga kabinet memuktamadkan perkara itu.

“Malang sekali bagi kita, melihat pindaan yang dicadangkan kepada Akta Kerja 1955 yang disiarkan di laman web kementerian pada bulan September dengan niat baik dan telus kepada orang ramai, sebaliknya digunakan oleh artikel itu untuk memutuskan perkara berkenaan ‘terlalu awal’, menurut kenyataan itu.

Menurutnya kementerian bekerjasama rapat dengan tiga pihak menerusi Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi menangani isu-isu yang memberi kesan terhadap pihak majikan dan pekerja, sebelum merumuskan sebarang dasar atau meminda undang-undang.

“Pihak kementerian juga menghormati pemegang taruh, dan apa jua yang mereka ingin bincangkan, di samping persepakatan secara umum, kerana mereka mewakili suara lantang pihak majikan dan pekerja. Pihak kementerian juga menggesa semua pihak supaya menunggu sehingga kabinet membuat keputusan berhubung perkara itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahfuz: Kaedah khas bantu OKU dapat sijil, tingkat peluang kerja

SUNGAI PETANI, 22 SEPT: Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan kaedah khusus untuk pensijilan orang kurang upaya (OKU), bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran golongan itu dalam sektor pekerjaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pensijilan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) itu, akan memudahkan golongan OKU mendapat sebarang sijil dalam apa-apa bidang atau kemahiran.

“Kalau dilihat, ramai golongan OKU mampu dan boleh bekerja tetapi mereka tidak ada sijil. Kesukaran untuk mendapatkan pensijilan itu adalah kerana golongan OKU juga perlu menjalani ujian sama seperti calon normal yang lain.

“Kaedah khas yang mula dirangka sejak Januari lalu itu kini (sedang dibangunkan) dalam peringkat akhir dan selepas ini diharap golongan OKU akan mudah dapat kerja dalam sektor awam atau swasta,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya Kemahiran Keusahawanan (4K) dan Kompetensi Insan Istimewa (OKU) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk pelaksanaan kaedah itu, dua ‘Industry Lead Body’ (ILB) iaitu Malaysian Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Kita mula dengan bidang automotif dahulu dan ujian pensijilan pertama bagi kaedah khas itu dijangka akan diadakan pada Oktober depan yang membabitkan 11 calon dari seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata, penganjuran Karnival 4K bertujuan memberi pendedahan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) mengenai bidang kerjaya selepas tamat belajar dan sekali gus dapat membina keyakinan mereka untuk bekerja dalam industri sebenar.

“Golongan OKU ini tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya perlu dibimbing kerana mereka juga mampu membangunkan negara. Karnival ini boleh menjadi penanda aras untuk membantu golongan ini mendapat peluang pekerjaan dan pendedahan tentang kerjaya.

“Jadi, kita akan terus adakan semua aktiviti dan strategi di peringkat kementerian untuk pastikan jumlah kebolehpasaran golongan OKU ini dapat dipertingkatkan lagi setiap tahun,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan disaran benarkan pekerja bertugas dari rumah

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kementerian Sumber Manusia menyarankan majikan supaya melaksanakan dasar kerja fleksibel dengan membenarkan pekerja menjalankan tugasan dari rumah masing-masing berikutan keadaan jerebu yang berterusan.

Kementerian itu menyatakan bahawa perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, yang mana ia adalah tanggungjawab utama majikan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat bekerja.

“Adalah penting majikan untuk menjalankan penilaian risiko dan melaksanakan langkah-langkah yang sewajarnya termasuk menentukan keperluan untuk datang bekerja, bagi memastikan risiko yang dikenal pasti dapat dikurangkan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain mematuhi Garis Panduan bagi Pengenalpastian Bahaya, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC), majikan juga digalakkan untuk melaksanakan dasar kerja fleksibel seperti membenarkan pekerja menjalankan tugasan dari rumah sekiranya keadaan menjadi lebih berbahaya kepada kesihatan dan mereka.

“Undang-undang perburuhan di Malaysia tidak melarang majikan daripada menentukan tempat pekerjaan selain daripada yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan seperti rumah pekerja, bergantung kepada keadaan tertentu seperti jerebu atau banjir, sebagai langkah sementara sehingga keadaan kembali selamat,” menurut kenyataan itu lagi.

Dibawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1994 (OSHA), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) boleh mengarahkan sebarang aktiviti pekerjaan yang terjejas akibat jerebu dihentikan dalam keadaan di mana menimbulkan bahaya kepada keselamatan dan kesihatan pekerja.

Mana-mana majikan yang didapati tidak mematuhi Arahan Menghentikan Kerja dibawah OSHA boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya sebanyak RM500 bagi setiap hari yang kesalahan tersebut berterusan.

Kementerian juga menyarankan majikan supaya memulakan persediaan bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja terhadap kesan jerebu termasuk mengenalpasti pekerja yang berisiko seperti pekerja dengan masalah jantung atau penyakit pernafasan dan menentukan kriteria untuk menghentikan kerja luar.

Majikan juga harus memastikan pekerja dengan gejala perubatan yang terkesan dengan jerebu seperti gatal tekak dan batuk, mata merah dan berair, bersin, kulit gatal dan kesukaran bernafas agar segera mendapatkan rawatan perubatan.

Majikan juga harus mengenalpasti jenis kerja luar bangunan untuk dikurangkan, menjalankan ujian pernafasan untuk pekerja yang perlu bekerja di luar, memastikan topeng muka N95 dipakai, meningkatkan kecekapan peranti pembersihan udara di tempat kerja serta melaksanakan sistem komunikasi jerebu antara majikan dan pekerja.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Tular memo majikan larang solat tidak berasas

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Isu memo yang mendakwa sebuah syarikat di Kapar, Selangor melarang pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat ketika waktu bekerja dan denda sebanyak RM500 sekiranya melanggar arahan tersebut, adalah tidak berasas.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, pegawai di Pejabat Tenaga Kerja Pelabuhan Klang, telah melakukan siasatan segera pada hari sama, sebagai respons ke atas aduan yang diterima melalui sebuah portal berita.

“Berdasarkan siasatan melalui temubual pekerja tempatan dan pekerja asing secara rawak mendapati, pekerja tidak pernah melihat memo tersebut ditampal di papan kenyataan syarikat, atau diedarkan kepada pekerja.

“Pekerja yang ditemubual juga menjelaskan, pihak syarikat tidak pernah memberi apa-apa penerangan mengenai isu berkaitan waktu solat atau sebarang perubahan polisi syarikat, dan memberi kebebasan kepada pekerja untuk solat ketika waktu kerja, serta beberapa ruang solat juga ada diwujudkan di dalam kawasan kilang,” menurut kementerian itu.

Tambah kementerian itu, pada hari Jumaat pula pihak syarikat memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan pekerja yang beragama Islam boleh menunaikan solat Jumaat, di masjid berhampiran dengan kilang.

Kementerian itu, turut menemui pengarah syarikat berkenaan dan beliau telah menafikan isu yang dihebahkan oleh media tersebut dan menganggap ia adalah sabotaj pihak tertentu, terhadap reputasi dan nama syarikat.

Malah, beliau menjelaskan bahawa tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan secara lisan atau bertulis mengenai larangan kepada pekerja untuk menunaikan solat ketika waktu kerja, dan pihak syarikat turut membuat laporan polis.

“Kesimpulannya, penyiasatan yang dijalankan ke atas syarikat ini secara keseluruhannya mendapati aduan tersebut tidak berasas. Majikan telah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955 dari masa ke masa.

“Tiada notis pematuhan yang dikeluarkan dan kes ini disyorkan selesai di peringkat aduan,” menurut kementerian itu lagi. – BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Pekerja asing monopoli: Selangor pergiat usaha banteras

SHAH ALAM, 27 JUL: Usaha mengekang lambakan pekerja asing yang memonopoli beberapa sektor pekerjaan di Selangor akan terus dipergiat menerusi penggembelengan tenaga dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), khususnya dalam aspek tindakan penguatkuasaan.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, perkara itu masih dalam perbincangan pihaknya bersama Kementerian Sumber Manusia untuk memperkemas usaha berkenaan.

“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan kementerian penting bagi membangunkan semula negara, sekali gus meleraikan isu tiada peluang pekerjaan terhadap warga tempatan.

“Saya yakin gabungan antara kedua-dua pihak ini boleh menyelesaikan masalah pekerja asing dengan baik suatu hari nanti kerana yang penting semua pihak perlu terlibat dan jangan ada satu pihak yang lepas tangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Hari Kerjaya @ Shah Alam, di Dewan Teratai Seksyen 19, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Deraman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohamad Jamil Abdul Rahim.

Pada masa sama, Rodziah berkata, pengurangan pekerja asing juga harus bermula daripada rakyat tempatan terlebih dahulu dengan tidak membenarkan perkara seumpama itu berlaku secara berterusan.

“Kadang-kadang masalah ini yang perlu ditangani oleh Kerajaan Negeri, tetapi ruang ini yang kita berikan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, ditanya isu penjaja membabitkan warga asing, ADN Batu Tiga tidak menolak kemungkinan untuk membuat satu Enakmen yang akan dibawa dan dibincangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Oleh sebab itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sudah meminta satu undang-undang kecil untuk menyelaras semua pihak berkuasa tempatan dalam menyelesaikan masalah peniaga tanpa izin, khususnya dalam kalangan penjaja,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan nafi beku pengambilan pekerja asing

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Kementerian Sumber Manusia menafikan berlakunya pembekuan pengambilan pekerja asing ke Malaysia, sebaliknya ia penolakan permohonan ekoran ketidakpatuhan majikan terhadap undang-undang perburuhan ditetapkan kerajaan.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dan komited untuk memastikan pematuhan berterusan majikan ke atas setiap garis panduan dan undang-undang perburuhan yang dikuatkuasakan dalam usaha mengurangkan amalan buruh paksa di negara ini.

Sepanjang dua tahun lalu, sebanyak 4,434 majikan dari sub-sektor restoran membuat permohonan untuk menggaji pekerja asing melalui Sistem ePPAx di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), dan daripada jumlah itu hanya 1,407 permohonan membabitkan 8,552 pekerja asing disokong, kata kenyataan itu.

“Sehingga April 2019 pula, sebanyak 796 permohonan menggajikan pekerja asing diterima. Daripada jumlah itu, sebanyak 216 permohonan membabitkan 1,840 pekerja asing disokong dan 580 permohonan ditolak.

“Daripada jumlah (yang ditolak) itu, 517 permohonan disebabkan majikan gagal mematuhi undang-undang perburuhan dan baki 63 ekoran majikan tidak mempunyai kelayakan untuk menggajikan pekerja asing,” menurut kenyataan itu.

Katanya, kebanyakan penolakan permohonan ekoran pelanggaran undang-undang perburuhan seperti Akta Kerja 1955, Akta Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda 1966.

“Selain aspek perundangan, pihak JTKSM juga melihat kepada kemudahan perumahan yang disediakan dan jika gagal menyediakan kemudahan perumahan yang sesuai kepada pekerja sedia ada, permohonan mereka tidak akan disokong sehingga majikan membuat penambahbaikan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dari 2017 hingga 2018, sebanyak 95 kertas siasatan dibuka ke atas syarikat sub-sektor restoran kerana melakukan pelanggaran undang-undang perburuhan negara.

“Sebanyak 32 syarikat didakwa di mahkamah manakala selebihnya dikompaun. Untuk 2019 sahaja, sebanyak 23 kertas siasatan dibuka dengan tiga didakwa dan 13 lagi dikompaun,” kata kenyataan itu.

-BERNAMA