Categories
SELANGOR

Kerajaan Persekutuan fokus selesai persempadanan di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 28 JAN: Kementerian Wilayah Persekutuan memberi fokus utama kepada penyelesaian isu permasalahan persempadanan di Lembah Klang yang akan dilaksanakan tahun ini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata terdapat 18 isu berkaitan persempadanan melibatkan Kuala Lumpur dan Selangor yang tidak dimuktamadkan sejak sekian lama dan perkara itu kini dalam perhatian Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan dan PTG Selangor.

“Cadangan ini diserahkan PTG Selangor untuk diselesaikan dan kita menelitinya. Semua pihak memberi pandangan dan respons, kita harap isu persempadanan dimuktamadkan secara rasmi,” katanya dalam temu bual bersama media sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di sini hari ini.

Khalid berkata isu berkenaan perlu diselesaikan segera bagi mengelak kekeliruan antara pihak berkuasa tempatan sekali gus memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan terbaik dan tiada kawasan diabaikan.

“(Contohnya timbul persoalan apabila) pihak berkuasa mana yang nak bertindak jika parit tersumbat? … jadi berbalah, ini KL atau Selangor (yang bertanggungjawab untuk ambil tindakan) begitu juga dengan penyelenggaraan jalan raya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Khalid: KWP giat usaha warta taman awam

PUTRAJAYA, 10 FEB: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) sedang mempergiatkan usaha untuk mewartakan taman awam di seluruh negara yang merangkumi sekurang-kurangnya keluasan 101 hektar di setiap negeri.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu dilakukan melalui Jabatan Landskap Negara di bawah KWP bagi mengekalkan dan melindungi taman itu agar boleh dikunjungi warga tempatan.

Katanya, usaha ini termasuk mewartakan Taman Awam Berskala Besar iaitu Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 149 hektar di Kuala Lumpur.

“Kita hendak wartakan supaya kita dapat mengekalkan dan melindungi kawasan ini yang mana setiap negeri akan ada taman yang boleh dikunjungi oleh rakyat negeri masing-masing.

“Ia adalah satu proses berterusan dan sekarang difahamkan Pahang sudah dikenal pasti 101 hektar,” katanya selepas merasmikan Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland Putrajaya, lapor BERNAMA.

Tambahnya, Perbadanan Putrajaya (PPj) merancang Putrajaya dengan pembangunan 13 taman awam dan 10 telah siap dibangunkan.

“Semua taman dibangunkan dengan konsep, tema, karakter dan persekitaran yang tersendiri serta unik menjadikan ianya nadi kepada Putrajaya sebagai Bandar Raya Taman,” katanya.

Katanya, taman awam dibina sebagai pilihan untuk pengunjung dan komuniti Putrajaya khususnya menghabiskan masa santai serta beriadah di hujung minggu dan masa terluang.

Selaras dengan aspirasi ini, Khalid berkata, Putrajaya Park’s Day adalah satu usaha PPj bagi menzahirkan Pelan Strategik Putrajaya 2016-2020 yang menggariskan beberapa teras dalam mencapai visi Ke Arah Putrajaya Mampan 2020.

“Saya menyambut baik inisiatif PPj dalam menjadikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan unggul dan berdaya saing melalui pembangunan produk pelancongan,”katanya.

Hampir 3,000 pengunjung memeriahkan program Putrajaya Park’s Day di Taman Wetland termasuk larian SHERUN dengan jarak 3 kilometer (km), 5km dan 8km.

Categories
NASIONAL

Syarikat, individu bina bangunan di tanah kerajaan diminta tampil berunding

PUTRAJAYA, 9 FEB: Syarikat atau individu yang membina bangunan di tanah kerajaan di sekitar ibu negara diminta tampil secara sukarela untuk berunding dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia untuk berbincang dengan mereka yang terbabit, selain memberikan tempoh masa mencukupi bagi memudahkan urusan pemindahan dan sebagainya.

Katanya, terdapat banyak kes salah guna tanah kerajaan dan kebanyakannya menggunakan campur tangan politik sehinggakan ada dewan orang ramai digunakan parti politik dan pendapatan itu masuk ke bahagian atau cawangan parti politik berkenaan.

“Dalam kes ini, tidak perlu tunggu untuk kementerian dedahkan. Jika rasa terbabit datang jumpa saya dan juga DBKL, kita akan uruskan kes ini dengan cara yang berbeza bergantung kepada keadaan masing-masing.

“Bagi memudahkan keadaan, datang jumpa dan ceritakan mengenai latar belakang bagaimana mendapat kebenaran membina bangunan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Putrajaya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di sisiran tasik Presint 1, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga mempunyai senarai kawasan terbabit dan akan membuat sidang media daripada semasa ke semasa bagi mendedahkan perkara itu.

Namun, katanya, sekiranya ada pihak yang tampil memberi kerjasama perkara itu akan lebih mudah untuk diselesaikan.

“Kita sedang melakukan siasatan secara menyeluruh kerana mungkin ada pihak yang telah mendapatkan kebenaran merancang (DO) atau persetujuan penduduk untuk membina bangunan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Khalid mendedahkan berlaku pencerobohan dua lot tanah kerajaan di Jalan Imbi dan selepas itu beliau turut mendedahkan dua lagi pencerobohan berlaku membabitkan Lot 33600 di Jalan Kuchai Jaya 1, Mukim Petaling dan Lot 27679 di Jalan Gombak, Mukim Setapak.

Mengulas isu pencerobohan tanah itu, beliau berkata, pihaknya memberi tempoh kepada kedua-dua pemilik bangunan untuk berjumpa dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian sehingga akhir Februari ini.

Bagi pencerobohan dua lot tanah di Jalan Imbi pula, Khalid memaklumkan, pihaknya telah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sama ada berlaku rasuah atau tidak.

“Di peringkat kementerian, kami telah berbincang dengan PTG dalam mesyuaraat Kementerian Wilayah Persekutuan serta mendapatkan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara.

“Untuk kes ini, susah sedikit kerana bangunan dibangunkan mempunyai DO walaupun tanah berkenaan bukan milik syarikat terbabit,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan, pemilik bangunan bincang selesai isu ceroboh tanah

PUTRAJAYA, 3 FEB: Pemilik bangunan yang menceroboh dua lot tanah kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang, telah menulis surat kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan memulakan perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pemilik bangunan itu bercadang untuk membeli tanah terbabit namun perbincangan lanjut perlu dibuat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Itu cadangan mereka tetapi kami masih perlu bincang. Kami juga perlu buat kaji selidik dengan penduduk sekeliling mengenai kehendak mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Tanpa Kereta sempena Hari Wilayah 2019 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Pada 16 Januari lalu, Khalid mendedahkan kes pencerobohan tanah Lot 568 milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Lot 716 milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

Beliau dilaporkan berkata, dua lot tanah seluas 0.14 hektar itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang yang dipenuhi pokok tetapi kini sudah digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.

Pada 23 Januari lalu, pejabat Khalid turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dibuat sekiranya terdapat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam memberi kebenaran merancang untuk membina struktur kekal di atas tanah terbabit.

Mengenai pencerobohan dua lagi lot tanah milik kerajaan di Mukim Petaling dan Mukim Setapak, Kuala Lumpur yang didedahkannya pada Rabu lalu, katanya, pihak pemaju telah menghubungi kementerian secara tidak rasmi.

“Mereka telah berhubung secara tidak rasmi tetapi mereka belum lagi datang kepada kami, mereka mahu tahu apakah opsyen mereka,” katanya.

Ditanya sama ada laporan kepada SPRM akan turut dibuat berhubung kes terbaharu itu, Khalid berkata, laporan akan dibuat selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, pencerobohan tanah itu membabitkan Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba di Lot 33600, Jalan Kuchai Jaya 1 Mukim Petaling dan Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana di Lot 27679 Jalan Gombak, Mukim Setapak.

Khalid berkata, tanah di Kompleks Tun Abdul Ghafar yang berkeluasan 1.97 hektar memperoleh Perintah Pembangunan daripada pihak berkuasa pada 25 April 2017 manakala Dewan Shazac Bistari Kompleks Yayasan Wangsa Perdana berkeluasan 0.28 hektar tidak mempunyai Perintah Pembangunan.

Terdahulu semasa program terbabit, Khalid menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) atas pencapaiannya sebagai pasukan pertama yang berjaya melengkapkan tujuh sukan pelbagai disiplin berturutan.

Rekod itu membabitkan tujuh jenis sukan iaitu larian, berbasikal, berenang, berkanu, mendaki tangga, terjunan base dan berkuda yang dilengkapkan dalam masa kurang enam jam oleh tujuh pegawai PPj.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim turut menyertai acara itu dalam sukan menunggang kuda sejauh 5 kilometer.

Categories
NASIONAL

Pejabat menteri Wilayah lapor SPRM kes tanah Medan Imbi

PUTRAJAYA, 23 JAN: Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pencerobohan dua lot tanah kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang.

Pegawai Tugas-tugas Khas II kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhazmi Shariff berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan suruhanjaya itu menyiasat jika terdapat unsur salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam memberi kebenaran merancang untuk membina struktur kekal di atas tanah terbabit.

“Adalah pelik bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh meluluskan kebenaran merancang di atas tanah bukan milik syarikat yang membina ataupun milik DBKL.

“Kita merasakan ada pihak yang terbabit dalam proses ini mendapat imbuhan atau habuan daripada sama ada pihak syarikat dan sebagainya,” katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan terbabit di ibu pejabat SPRM, di sini.

Beliau berkata, dokumen diserahkan kepada SPRM termasuk kronologi kes, laporan Jabatan Integriti DBKL serta laporan dan notis pemberitahuan mengosongkan tapak oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Zulhazmi berkata, notis mengosongkan premis telah diberikan kepada pemilik bangunan pada 3 Januari lalu namun tidak diendahkan syarikat terbabit.

Pada 16 Januari, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, siasatan dalaman Jabatan Integriti DBKL mendapati kedua-dua tanah itu iaitu Lot 568 merupakan milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan manakala Lot 716 adalah hak milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Ketua Setiausaha Negara.

Khalid berkata, dua lot tanah seluas 0.14 hektar (16,000 kaki persegi) itu pada asalnya adalah taman permainan dan kawasan lapang dipenuhi pokok tetapi kini digantikan dengan sebuah bangunan pejabat enam tingkat serta gerai buah-buahan.

Katanya, adalah tidak wajar untuk pihak berkuasa pada ketika itu mengatakan tidak tahu tentang penyelewengan yang berlaku di atas tanah bernilai hampir RM20 juta terbabit memandangkan terdapat bantahan dibuat oleh dua anggota Parlimen pada masa itu dan kes berkenaan turut mendapat liputan media.

Khalid berkata, arahan bagi meluluskan pembinaan bangunan dipercayai milik syarikat tempatan itu dibuat pada 2016 dan kerja pembinaan siap pada Februari tahun lalu.

SUMBER: BERNAMA