Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor pergiat kempen bebas beg plastik, fokus didik orang ramai

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan mempergiatkan kempen bebas beg plastik secara besar-besaran pada tahun ini.

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata kempen itu akan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media dalam mendidik masyarakat supaya dapat mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Kita juga menggalakkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) menganjurkan kempen kesedaran beg plastik termasuk berkaitan alam sekitar kepada komuniti,” kata Hee Loy Sian pada Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor bagi 2021/2022 di Foyer SUK di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kutipan caj beg plastik diterima Kerajaan Negeri pada tahun lalu berjumlah RM6.4 juta berbanding tahun sebelumnya RM6.6 juta.

“Jumlah kutipan menunjukkan pengurangan dan ini merupakan petanda baik seperti disasarkan.

“Buat masa ini, kadar caj beg plastik 20 sen memadai dan kita jangan bebankan pengguna. Wang kutipan akan digunakan untuk mendidik masyarakat dengan menganjurkan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya.

Pada 27 September tahun lalu, Loy Sian memaklumkan kadar caj beg plastik 20 sen dikuat kuasa di Selangor bakal dinaikkan sekiranya kempen bebas plastik sejak beberapa tahun lalu gagal mencapai matlamat.

Menurutnya, pihaknya akan meneliti jumlah kutipan setiap tahun sebelum menukar polisi caj bayaran.

Bermula Januari 2017, peniaga di Selangor tidak menyediakan beg plastik percuma dan diarah menghentikan penggunaan bekas makanan serta peralatan polisterina di semua premis.