Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM dipantau lima panel bebas, telus tanpa libat pihak tertentu

PUTRAJAYA, 2 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipantau lima panel bebas bagi memastikan agensi itu telus tanpa campur tangan mana-mana pihak sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata panel pertama merupakan panel penasihat yang bertanggungjawab menasihati dari segi dasar dan perjalanan SPRM manakala panel kedua ialah panel penilaian operasi yang memantau kes SPRM termasuk memberi pandangan untuk sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula sekiranya mereka tidak berpuas hati.

Panel ketiga pula adalah panel pencegahan dan pemeriksaan yang menasihati tentang aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat SPRM manakala panel keempat merupakan jawatankuasa aduan yang memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM.

“Boleh dikatakan kami (SPRM) terbuka kepada sebarang aduan yang melibatkan salah laku pegawai kami.

“Panel terakhir ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang melihat pencapaian SPRM sepanjang tahun dan membentangkan serta memberi nasihat kepada perdana menteri tentang prestasi SPRM pada tahun yang berkenaan,” katanya kepada Bernama pada temu bual khas baru-baru ini.

Azam berkata dengan wujudnya panel bebas yang bukan daripada pegawai kerajaan itu juga, boleh dikategorikan sebagai wakil kepada rakyat bagi memantau SPRM dari semasa ke semasa.

Beliau berkata masyarakat mahukan SPRM bertindak dengan cekap, profesional dan adil dalam mengendalikan kes-kes melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya tidak ingin mengatakan kami ini sempurna dalam menjalankan tugas kerana dalam isu-isu yang masyarakat timbulkan, SPRM sehabis baik akan cuba tanganinya. Contohnya, isu rasuah akibat pencemaran sungai dan dakwaan pencerobohan tanah haram,” katanya.

SPRM menyambut ulang tahun ke-53 semalam (1 Okt) sejak ditubuhkan pada 1967 dan badan itu sebelum ini pernah dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum menjadi suruhanjaya bebas pada 2009 dengan nama SPRM.

Suruhanjaya itu juga pernah menjadi agensi khas yang ditubuhkan bagi menjalankan penyiasatan dan penguatkuasaan di bawah Polis Diraja Malaysia dan pernah diletakkan sebagai unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam memberi pendidikan dan kempen antirasuah kepada masyarakat.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rumah SelangorKu pertama dilengkapi panel solar

PUCHONG, 1 DIS: Pangsapuri Seri Utama, Taman Puchong Utama di sini, dipilih sebagai pembangunan Rumah SelangorKu pertama di negara ini dilengkapi dengan panel solar selepas mencapai Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, projek perumahan mampu milik dibangunkan Hillcrest Gardens Sdn Bhd itu sebagai insentif kepada pemaju dalam menggalakkan penggunaan tenaga solar bercirikan lestari dan mesra alam.

“Panel solar di setiap blok bangunan ini berorientasikan arah utara-selatan untuk meminimumkan haba daripada matahari timur ke barat.

“Selain itu, ia mempunyai aliran pengudaraan dalaman semulajadi yang baik dan boleh mengurangkan penggunaan penghawa dingin malah, fasad luar dan dalam bangunan juga kelihatan lebih kemas serta tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu dan Surat Tawaran Kepada Penyewa Skim Smart Sewa di pangsapuri berkenaan di sini, hari ini.

Haniza Talha menbuat lawatan ke unit rumah contoh selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Puchong pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham; Pengarah Eksekutif Tetuan Hillcrest Sdn Bhd, Frank Goon dan Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Khairul Azam Saroni.

Terdahulu, 1,162 unit Rumah SelangorKu berjaya disiapkan pemaju dalam tempoh hampir lima tahun sejak pembinaan itu dimulakan pada 2015.

Difahamkan, projek terbabit siap sepenuhnya pada Ogos lalu, iaitu 10 bulan lebih awal dari tarikh akhir ditetapkan dalam perjanjian jual beli pertama pada Mei 2020.

Pada masa sama, Haniza berkata, pembangunan di kawasan itu menawarkan tiga pilihan jenis Rumah SelangorKu dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Jenis B berkeluasan 69.7 meter persegi dengan harga jualan RM100,000 seunit berjumlah 464 unit, C2 (83.6 meter persegi) RM195,000 seunit (464 unit) dan D (92.9 meter persegi) RM220,000 seunit (234 unit).

“Pemaju juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan penduduk antaranya tempat letak kereta bertingkat, taman permainan kanak-kanak, dewan serbaguna, gelanggang tenis dan bola keranjang, surau serta kolam renang,” katanya.