Categories
AGENSI SELANGOR

60 projek baik pulih, bina kemudahan baharu sukan setiap DUN

SHAH ALAM, 28 NOV: Kira-kira 60 projek baik pulih termasuk pembinaan kemudahan baharu sukan dilaksanakan bermula tahun depan, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata kerja naik taraf menggunakan peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta meliputi gelanggang futsal, bola tampar, badminton dan sepak takraw.

“Kita bersyukur dan terima sebaiknya peruntukan diberi Kerajaan Negeri memandangkan dana sedia ada tidak cukup, apatah lagi masih ada projek baik pulih yang perlu dijalankan.

“Kita akan kenal pasti kemudahan sukan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama kawasan kampung yang rosak dan memerlukan pembaikan untuk kegunaan orang ramai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 40 projek penyelenggaraan kemudahan sukan dilaksanakan tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM2 juta dengan kebanyakannya sudah siap.

“Ada beberapa projek sedang berjalan dengan jangkaan siap menjelang akhir tahun ini. Kita harap kemudahan sukan yang disediakan dimanfaatkan penduduk sebaiknya bagi mengelak kerosakan,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 memaklumkan peruntukan bagi projek membaik pulih dan membina infrastruktur sukan ditambah kepada RM4 juta tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata had anggaran kos bagi setiap DUN sehingga RM100,000 bagi tujuan itu.

 

Categories
SELANGOR

Peruntukan perbaiki kemudahan sukan naik RM1.1 juta

Oleh: ASRI SAPFIE

MERU, 11 MEI: Peruntukan naik taraf dan kemudahan sukan dinaikkan daripada RM800,000 kepada RM1.1 juta dengan setiap DUN mendapat peruntukan sebanyak RM20,000.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari setiap DUN melalui kerajaan tempatan berhak menentukan peruntukan itu diuruskan serta tidak perlu mendapat kelulusan di peringkat Exco.

YB Amir rasmi PLUS futsal DUN MERU (ASRI)“Diharap setiap DUN dapat membaik pulih atau menambah sekurang-kurangnya satu kemudahan sukan menggunakan peruntukan diberikan menjelang hujung tahun ini,” kata beliau kepada Selangorkini.

Beliau berharap Kejohanan Futsal Selangor Liga PLUS yang diadakan di setiap DUN menjadi medan mengenal pasti dan mencungkil bakat baru sebagai aset atlet pelapis.

Amirudin ketika merasmikan Kejohanan Futsal Selangor Liga PLUS DUN Meru turut berpuas hati dan gembira dengan sambutan memberangsangkan dari golongan belia.

“Ramai nak sertai dan selalunya jumlah penyertaan melebihi had pasukan yang kita tetapkan bagi setiap kejohanan.

“Juara bagi setiap DUN dibawa bertanding ke peringkat negeri sekaligus merancakkan lagi sukan di Selangor,” kata beliau.

Lebih 200 terlibat dengan seramai 32 pasukan datang dari seluruh DUN Meru bertanding bagi merebut hadiah terkumpul berjumlah RM2,000.

EZY