Oleh: ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 29 APR: Kemudahan disediakan Perpustakaan Awam Negeri (PPAS) bakal diperluas menerusi perancangan pembinaan pusat bacaan terbaru di Pulau Ketam.
Timbalan Pengarah PPAS, Suzliana Hamid, berkata pembukaannya diyakini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat dalam usaha menarik orang awam mencintai amalan membaca.
“Sehingga kini, kita mempunyai 96 perpustakaan awam di Selangor antaranya di kawasan desa, tujuh di kawasan daerah dan lain-lain melibatkan perpustakaan di cawangan pekan seluruh negeri.
“PPAS bakal menyediakan dua perpustakaan bergerak tidak lama lagi selain perancangan membina pusat bacaan di Pulau Ketam dengan penyeliaan PPAS negeri,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2013, jumlah pengunjung di seluruh perpustakaan Selangor mencatatkan 1.4 juta, 2014 pula 1.5 juta sementara pada 2015 adalah 1.45 juta pengunjung.
Malah, baru-baru ini PPAS melalui proses penjenamaan semula untuk dijadikan antara model perpustakaan awam negeri dengan sistem pengurusan yang lebih sistematik.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri sebelum ini berharap masyarakat Selangor lebih fokus seterusnya menyambut baik usaha pelbagai pihak menggalakkan amalan membaca dalam kehidupan seharian.
-NFN-