Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

Pemulihan berjadual bekalan air berjalan lancar

Pelan pemulihan bekalan air kepada pengguna, ekoran penutupan Loji Rawatan Air Sg Semenyih akibat pencemaran bau air mentah pada 4 Oktober 2016, sedang berjalan lancar.

Pelan pemulihan secara berjadual yang dilaksanakan sejak semalam (5 Oktober 2016) merupakan langkah efektif memastikan pengguna tidak mengalami gangguan bekalan air bagi jangka masa yang lama. Pelan pemulihan berjadual ini adalah langkah sementara sehingga bekalan air pulih sepenuhnya di kawasan yang terlibat.

Pelan ini juga dipantau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) demi memastikan kesulitan yang dialami pengguna diselesaikan secepat mungkin.

Jadual pemulihan disemak dan dikemaskinikan sehinggalah bekalan air pulih di Daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Kami memohon kerjasama pengguna menggunakan air secara berhemat demi membantu kami mempercepatkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terlibat.

Bagi mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan kami, pengguna dinasihati untuk memuat turun aplikasi telefon bimbit pintar “mySYABAS” dan melayari www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat. Sial hantar alamat premis ke SMS 15300 untuk meminta bekalan air bantuan.

Segala kesulitan amatlah dikesali.

Dikeluarkan oleh:
Amin Lin Abdullah
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Kumpulan Air Selangor

Categories
KENYATAAN MEDIA

JAIS tak keluar arahan solat hajat Konsert Selena Gomez

SHAH ALAM, 22 JULAI 2016: Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak mengeluarkan apa-apa bentuk arahan kepada seluruh masjid & surau di Negeri Selangor bagi mengadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat atau pada bila-bila masa untuk memohon kepada Allah S.W.T agar ‘Konsert Selena Gomez’ dibatalkan.

Sebagaimana masyarakat sedia maklum, ‘Konsert Selena Gomez’ bakal diadakan di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam pada 25 Julai 2016 ini. Adalah ditegaskan disini, sebarang pembatalan ‘Konsert Selena Gomez’ adalah tertakluk dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan ianya diluar bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pihak Jabatan tidak menafikan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor telah menerima beberapa permohonan dari masyarakat umum agar konsert tersebut dibatalkan, dan permohonan tersebut telah dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
Sekian, wassalam.

PENGARAH
JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS)

Categories
SELANGOR

Umno kalah teruk, MCA menang besar dalam PRK DUN Sungai Limau?

Lim Kit Siang white 01KENYATAAN MEDIA

Jika kita berpegang dengan dakwaan pemimpin MCA, Umno telah kalah teruk dan MCA pula menang besar dalam pilihanraya kecil Sungai Limau Isnin lalu.

Namun apakah kita boleh percaya kepada dakwaan para pemimpin MCA?

Pimpinan MCA, termasuk Dr. Leong Yong Kong yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah, telah memberitahu media berbahasa Cina bahawa Barisan Nasional berjaya meraih 75.27% undi kaum Cina, iaitu 892 dari 1,185 undi daripada kaum Cina dan bahawa BN gagal meraih walau satu undi tambahan daripada Melayu dalam pilihanraya kecil tersebut.

Ini bererti terdapat peningkatan 732 undi Cina untuk BN berbanding dalam pilihanraya umum ke-13, memandangkan sebelum ini MCA mendakwa BN mendapat hanya 10% dari 1,600 undi Cina pada 5 Mei 2013, iaitu hanya sekitar 892 hingga 160 undi.

Walaupun BN telah berbelanja lebih RM15 juta, calon Barisan Nasional Ahmad Sohaimi Lazim hanya berjaya menambah 465 undi untuk BN dalam pilihanraya kecil kali ini berbanding piihanraya umum yang lalu, iaitu 10,985 undi dalam pilihanraya kecil, berbanding 10,520 undi dalam PRU13.

Jika kita berpegang dengan dakwaan pemimpin MCA yang menyebut bahawa BN mendapat tambahan lebih 732 undi Cina dalam pilihanraya kecil kali ini berbanding PRU13, ertinya BN kehilangan sekurang-kurangnya 267 undi Melayu.

Apakah ini bermakna dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, pihak yang kalah paling teruk adalah Umno dan pemenang paling besar adalah MCA?

Saya serahkan kepada para pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk memutuskan sama ada hendak menerima atau tidak analisis MCA ke atas trend pengundian dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerana mungkin ada tafsiran yang lain dalam keadaan tiadanya maklumat terperinci tentang pengundian (memandangkan undi adalah rahsia) dan melihat kepada peratusan pengundi Cina yang rendah di Sungai Limau.

Namun, perkara yang nyata dan jelas adalah pilihanraya kecil Sungai Limau merupakan ujian besar buat PAS dan Pakatan Rakyat serta Umno dan BN enam bulan selepas PRU13.

Ternyata PAS dan Pakatan Rakyat telah menempuh ujian ini dengan baik sehingga mencapai kejayaan penting, apatah lagi mengambil kira faktor politik wang dan pembohongan yang disebarkan sewaktu kempen pilihanraya kecil tersebut.

PAS dan Pakatan Rakyat perlu meraikan kemenangan dalam pilihanraya kecil Sungai Limau sambil tidak lupa untuk belajar daripada kelemahan yang dilihat dalam pilihanraya kecil ini, agar PAS dan Pakatan Rakyat menjadi lebih kuat dan ampuh untuk menempuh pilihanraya di masa depan, sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar, sama ada untuk memenangi hati pengundi Melayu mahu pun Cina, India, Kadazan atau Iban.

Lim Kit Siang
Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Iskandar: Saya akan bina 5 pondok polis

iskandar speech red RMM 01

YB Iskandar A. Samad (KENYATAAN MEDIA)

“SAYA TIDAK AKAN TUNGGU PIHAK POLIS, SAYA AKAN BINA SENDIRI PONDOK POLIS”.

Tragedi yang menimpa eksekutif sebuah syarikat penerbangan, Shahrinawati Abu Bakar, yang meninggal dunia setelah disamun di Taman Cempaka, Ampang amat menyayatkan hati.

Sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Chempaka, saya ingin menyampaikan ucapan takziah saya kepada keluarga Allahyarhamah.

Saya mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat.

Juga sebagai Ahli Dewan Negeri, saya merasakan sesuatu yang drastik perlu dilakukan di kawasan tersebut untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang kembali.

Pejabat saya telah menerima terlalu banyak aduan tentang kejadian jenayah seperti ragut, samun dan pecah rumah di kawasan-kawasan di sekitar Taman Chempaka.

Pada 22 Julai lepas, lebih kurang 500 meter dari tempat Allahyarham disamun, pegawai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) yang cuba menampal notis pada sebuah gerai haram di Kg Pandan telah diserang dengan parang oleh 7 orang lelaki.

Hingga ke hari ini, tidak ada siapa yang didakwa di mahkamah berhubung kes tersebut tetapi gerai haram yang hendak disampaikan notis itu masih bebas beroperasi.

Sebagai langkah awal, Pejabat saya akan mula membina 5 pondok Polis sepertimana yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum 2013.

Dalam tahun 2008, saya pernah bertanya kepada Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika beliau merupakan Ketua Polis Negeri Selangor tentang hasrat saya untuk membina pondok-pondok Polis. Walau bagaimanapun, beliau berkata tiada jaminan pihak Polis boleh menempatkan anggota di setiap pondok yang dibina.

Tetapi suasana hari ini telah menjadi tidak terkawal. Saya tidak akan menunggu jaminan pihak Polis. Pembinaan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat pada bulan Oktober ini.

Sekiranya pihak Polis tidak dapat menempatkan anggota mereka, terdapat penduduk yang sanggup melakukan rondaan secara sukarela. Pejabat saya juga akan memberi sokongan dan bantuan kepada penduduk yang mahu memastikan keselamatan kawasan dan hartabenda mereka terjamin.

YB Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar
Negeri Selangor / Ahli Dewan Negeri Chempaka
30 Ogos 2013

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

SYABAS: Rafizi desak pengguna diberi pampasan

Rafizi Ramli – (KENYATAAN MEDIA)

syabas

SYABAS PERLU MEMBERI PAMPASAN KEPADA PENGGUNA, PKR MULA BAWA KES KE TRIBUNAL PENGGUNA

Kegagalan SYABAS menyelia dan menyenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan bekalan air yang semakin meruncing di sekitar Selangor Timur (meliputi Parlimen Pandan, Ampang, Gombak, Wangsa Maju dan Setiawangsa) benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali. Selepas kejadian yang menyebabkan gangguan bekalan air selama tiga minggu dalam bulan Disember 2012, kegagalan yang sama berulang melibatkan rumah pam yang sama.

Ini memburukkan lagi keadaan di seluruh Selangor apabila kawasan-kawasan lain seperti Puchong dan Kelana Jaya turut terjejas. SYABAS seringkali hanya memberi kenyataan mudah menyalahkan kadar penggunaan air yang kian bertambah yang menyebabkan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terbabit.

Kegagalan SYABAS untuk menyelia/menyenggara rumah pam Wangsa Maju dengan baik (untuk mengelakkan kerosakan yang berlaku dalam bulan Disember 2012 berulang) dan merancang untuk memastikan bekalan air sentiasa bertepatan dengan kadar penggunaan air semasa membayangkan kelemahan-kelemahan ketara dalam pengurusan dan operasi SYABAS.

Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang, kelemahan-kelemahan ini tidak boleh diterima sama sekali oleh pengguna. SYABAS mempunyai tanggungjawab untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan ini dan selagi gangguan berterusan akibat kelemahan-kelemahan ini, perlulah memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan bekalan air.

Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen di salah sebuah kawasan yang paling terkesan dengan gangguan bekalan ini, saya telah membuat keputusan untuk memfailkan seberapa banyak kes tuntutan terhadap SYABAS di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999, ?Jika perkhidmatan dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah.? Jika SYABAS mempunyai ketelitian dan kemahiran yang munasabah, kelemahan-kelemahan yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang telah lama dapat diatasi.

Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menghubungi seberapa banyak isirumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air dan akan memfailkan kes terhadap SYABAS untuk menuntut pampasan di Tribunal Tuntutan Pengguna. Pengguna juga boleh mengisi sendiri maklumat di blog saya www.rafiziramli.com/tribunalpengguna. Saya mensasarkan sekurang-kurangnya 1,000 kes untuk difailkan terhadap SYABAS bermula minggu depan.

Langkah untuk memaksa SYABAS bertanggungjawab kepada rakyat perlu bermula dengan memastikan SYABAS memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air. Selagi tidak ada kempen tersusun untuk memaksa SYABAS memberi pampasan kepada rakyat, selagi itulah SYABAS tidak menghiraukan kesusahan yang dihadapi rakyat setiap kali gangguan bekalan air berlaku.

Saya telah menghubungi YB Azmin Ali (Gombak), YB Zuraida Kamaruddin (Ampang), YB Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), YB Hannah Yeoh (Subang Jaya), YB Tiew Way Keng (Teratai), YB Iskandar Abdul Samad (Cempaka), YB Wong Chen (Kelana Jaya) dan YB Gobind Singh Deo (Puchong) untuk memulakan kempen tersusun memaksa SYABAS memberikan pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali ada gangguan bekalan air.

Saya juga telah menulis secara rasmi kepada Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi SYABAS untuk beliau turun sendiri ke Pandan menerangkan kepada penduduk sebab-sebab kegagalan SYABAS membekalkan air dengan baik seperti yang diamanahkan mengikut perjanjian konsesi.

*Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan
29 OGOS 2013

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Sambutan Kemerdekaan dan Jubli Emas Hari Malaysia

MB

YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – (KENYATAAN MEDIA)

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-56, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Sambutan Jubli Emas Hari Malaysia peringkat negeri pada 30 Ogos ini bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Sambutan ini akan dihadiri oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj bagi mewakili DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

Pelbagai acara telah diaturkan bagi memeriahkan sambutan tahun ini termasuklah persembahan kebudayaan dan keseniaan, perarakan dan perbarisan 43 kontinjen yang mewakili jabatan dan agensi kerajaan negeri, pertunjukkan pancaragam sekolah-sekolah serta pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.

Sambutan kali ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan kawad senyap oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pertunjukkan akrobatik ATM- TATU Red Warrior serta perarakan kereta berhias oleh Majlis Perbandaran Klang.

Majlis sambutan akan diakhiri pertunjukkan bunga api tepat jam 12 tengah malam. Sehubungan itu, kerajaan negeri menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan sambutan ini.

Tema Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan dan Jubli Emas Hari Malaysia peringkat negeri Selangor tahun ini ialah Rakyat Bersatu Selangorku Maju.

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lelaki prihatin boleh menghapus keganasan terhadap wanita

download (6)

 

Oleh Rodziah Ismail

(KENYATAAN MEDIA)

Lelaki yang bertanggungjawab dan peka tentang hak wanita yang dianugerahi oleh Tuhan dan undang-undang telah banyak membantu wanita mendapat pembelaan dan keadilan dalam keadaan mereka dicerca, didiskriminasi, didera dan diganasi secara mental, fizikal, emosi dan seksual.

Sejarah tamadun manusia telah membuktikannya. Kes video yang mempamerkan wanita dipukul semahunya oleh suami yang menjadi isu ketika ini yang telah diterbitkan ke media sosial oleh anggota keluarga lelaki mangsa adalah contoh ketara rasa tanggungjawab para lelaki yang peka dan prihatin untuk memastikan wanita-wanita di bawah perlindungan mereka mendapat keadilan dan sama sekali tidak diperlakukan sewenangnya oleh lelaki yang telah kehilangan segala pedoman dan sengaja ingin mencedera dan merosakkan kehidupan wanita, walaupun lelaki itu dituntut sebagai amanah untuk berbuat sebaliknya.

Video yang menjadi viral itu telah menerbitkan reaksi dari pihak berkuasa seperti yang dikehendaki. Pengajaran dalam kehidupan yang dibentuk oleh kepercayaan bahawa insan itu dicipta oleh Allah Yang Maha Esa menjelaskan bahawa walau apapun kesalahan wanita isteri itu, beliau tidak layak diganasi dengan apa cara sekalipun; inikan pula jika langsung tiada apa kesalahan yang diperbuat.

Apakah solusi kepada gejala sosial sedemikian dalam masyarakat yang sedang meningkat dan boleh menjadi kelaziman? Ia bukan soalan yang mudah dijawab, tetapi tidak pula mustahil dijawab dan dilaksanakan sebaik mungkin. Kesungguhan melaksanakannya sebahagian besarnya terletak kepada kuasa yang mampu mengerakkan segala jentera dan anggota yang beramanah untuk melaksanakannya.

Kerajaan persekutuan didesak untuk menghentikan sebarang diskriminasi mengenai penggemblengan maksimum anggota penguatkuasaan undang-undang dalam menangani segala bentuk keganasan terhadap insan khususnya wanita di negeri Selangor. Sementara menunggu keputusan kerajaan persekutuan sedemikian Kerajaan Negeri Selangor telah merancang untuk melaksanakan polis komuniti dan meletakkan alat pengawasan (CCTV) sebagai langkah memelihara keselamatan rakyat di kawasan-kawasan yang releven.

Disamping itu memperhebatkan advokasi (RM500 ribu telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut) mengenai Pusat Krisis Sehenti (OSCC) dan mempertingkatkan perkhidmatannya untuk mangsa keganasan terhadap diri mereka dan menambah pusat-pusat perlindungan dengan kerjasama LPHS. Usaha selari advokasi gender (yang melibatkan juga usaha memahami sensitiviti maskuliniti dan kelelakian, masculinity and manhood), perlindungan dan pendakwaan adalah juga menjadi tumpuan menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita.  Kerajaan Selangor sedang berusaha memulakan gerakan Lelaki Menentang Keganasan terhadap Wanita (Men Anti-Violence Against Women). Wajarnya isu keganasan terhadap wanita ini tidak perlu disensasikan untuk mendapatkan keadilan dan reaksi tepat para penguatkuasa. Ia adalah asas tindakan penguatkuasaan.

ibu-ibuKerajaan Negeri Selangor ingin melakukan semaksimumnya usaha-usaha pencegahan, perlindungan dan pendakwaan bagi menangani jenayah keganasan terhadap wanita. Ia memerlukan kerjasama erat kerajaan persekutuan secara tersusun dan sistematik (Kenyataan Media saya bertarikh 26 Julai 2012 adalah dirujuk). Kelekehan dan kegagalannya akan meletakkan rakyat, khususnya wanita dalam keadaan tertekan dan tidak selamat.

 

* Rodziah adalah Adun Batu Tiga merangkap Timbalan Ketua Wanita Pusat dan Ketua Wanita Selangor PKR