Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih suku kedua Maybank susut kepada RM941.73 juta

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020, susut kepada RM941.73 juta akibat impak Covid-19 berbanding RM1.94 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan hasilnya turut berkurangan kepada RM11.79 bilion daripada RM13.05 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu menyifatkan prestasi kewangan itu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengurangan kadar faedah yang membabitkan sebahagian besar pasaran serantau akibat Covid-19.

Menurut bank itu, pendapatan berasaskan dana bersih bagi suku berkenaan juga merosot pada RM326.5 juta daripada tempoh sama tahun lepas, terutamanya akibat kerugian modifikasi Satu Hari susulan pelaksanaan moratorium menyeluruh bagi pembiayaan berkadar tetap dan potongan 50 mata asas (bps) Kadar Dasar Semalam (OPR).

Ini bagaimanapun diimbangi oleh pengurangan pinjaman lebih ketara, khususnya bagi segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan gadai janji, pertumbuhan kukuh membabitkan deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) yang sebaliknya meningkatkan nisbah CASA kepada 40.2 peratus selain membiayai pelan bantuan khas untuk segmen PKS.

Setakat 14 Ogos, 2020, kumpulan itu telah menyalurkan sejumlah RM1.4 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara Malaysia kepada PKS.

Sejajar dengan persekitaran operasi yang lebih suram bagi suku terbabit, aspek kawalan kos kekal menjadi tumpuan utama kumpulan perbankan itu yang menyaksikan kos overhed berkurangan sebanyak 4.1 peratus kepada RM2.71 bilion dalam suku kedua 2020 daripada RM2.82 bilion pada suku sama tahun lepas.

Kerugian bersih rosot nilai bagi suku kedua 2020 bagaimanapun bertambah kepada RM1.74 bilion berbanding RM452.3 juta setahun lepas berikutan langkah kumpulan itu mengekalkan pendirian berhemat dan mengutamakan kemajuan masa depan berdasarkan kemungkinan penularan pandemik yang dijangka terus menjejaskan perniagaan dan individu global.

Mengulas prestasi bagi suku itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Abdul Farid Alias berkata keputusan itu hanya memaparkan apa yang dilalui oleh bank itu seperti PKP diperlukan bagi membendung penularan Covid-19, dasar susulan mengenai kadar faedah serta pendekatan proaktif membabitkan moratorium.

“Tempoh itu memberi kami peluang untuk melakukan penyelarasan sewajarnya agar dapat produktif semula dalam keadaan kini yang dikenali sebagai kebiasaan baharu.

“Selepas selesai, kami dapat menumpukan usaha untuk membantu pelanggan yang terjejas akibat pandemik itu bagi meneruskan operasi perniagaan serta kehidupan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata strategi Maybank dalam mengekalkan paras mudah tunai dan modal yang tinggi terbukti banyak membantu bank itu, malah akan terus mempertahankan lembaran imbangan lebih kukuh bagi memastikannya berupaya merebut peluang perniagaan apabila keadaan pulih semula.

Pada masa sama, katanya, bank itu akan terus mencari peluang pertumbuhan sama ada dalam segmen pengguna dan perbankan global, insurans dan perbankan Islam selain meningkatkan tawaran digital bagi menguasai bahagian pasaran lebih besar.

“Selain itu, kami akan memperhebatkan tumpuan terhadap pengurusan kos dan risiko untuk kekal berdaya tahan dalam jangka panjang,” katanya.

Berikutan persekitaran semasa yang tidak menentu akibat Covid-19, Maybank akan terus mengutamakan aspek pemeliharaan modal dan mudah tunai dan atas alasan itu ia tidak akan mencadangkan dividen interim bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MAHB catat rugi bersih RM91 juta pada suku kedua 2020

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM91.06 juta dalam suku kedua 2020 berbanding keuntungan bersih RM160 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Hasil bagi suku yang berakhir 30 Jun, 2020, itu turun sebanyak 78.4 peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya kepada RM272.2 juta sejajar dengan penurunan ketara pergerakan penumpang sebanyak 96 peratus.

MAHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata impak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dan penutupan sempadan menyebabkan hasil operasi lapangan terbang jatuh menjunam sebanyak 80 peratus kepada RM238.7 juta.

“Keseluruhannya, operasi Malaysia dan Turki mencatatkan penurunan hasil yang ketara masing-masing sebanyak 75.5 peratus kepada RM221.6 juta dan 89.0 peratus kepada RM35.1 juta,” kata syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan sehingga Jun, 2020, pengendali lapangan terbang itu mencatatkan kerugian bersih RM111.45 juta berbanding RM309.65 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala hasil menyusut kepada RM1.2 bilion berbanding RM2.5 bilion sebelumnya.

Pada masa depan, katanya, pengenalan Laluan Hijau Malaysia-Singapura yang diumumkan oleh menteri luar Malaysia dan Singapura pada 14 Julai, 2020, merupakan satu permulaan yang baik.

Sementara itu, MAHB berkata ia tidak akan mengurangkan usahanya bagi memastikan persekitaran lapangan terbang yang selamat kepada pengunjung dan memulihkan keyakinan terhadap perjalanan udara.

Mengenai impak daripada sekatan perjalanan dan larangan yang belum pernah terjadi sebelumnya terhadap industri penerbangan, syarikat itu berkata ia telah mengambil langkah awal dan segera untuk mengurangkan kesannya bagi menstabilkan syarikat dengan melaksanakan pelan mengoptimumkan kos secara agresif.

-BERNAMA