Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih suku kedua Top Glove melonjak kepada RM2.87 bilion

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd meningkat lebih daripada 24 kali ganda kepada RM2.87 bilion pada suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari, 2021 daripada RM115.68 juta pada suku kedua 2020 ketika permintaan sarung tangan global terus melonjak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu berkata ia juga memperoleh hasil jualan suku tahunan tertinggi sebanyak RM5.37 bilion pada suku kedua 2021, meningkat 336 peratus daripada RM1.23 bilion pada suku kedua 2020.

Untuk tempoh kumulatif enam bulan yang berakhir pada 28 Februari 2021, keuntungan bersihnya berjumlah RM5.23 bilion, kira-kira 22 kali ganda daripada RM227.11 bilion tahun lalu, manakala pendapatannya dalam tempoh tersebut meningkat kepada RM10.12 bilion dari RM2.44 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Top Glove juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 25.2 sen sesaham yang perlu dibayar pada 6 April, 2021.

Mengenai prestasi syarikat, Top Glove berkata angka jualannya yang kukuh dan stabil disebabkan oleh permintaan berterusan untuk sarung tangan di peringkat global.

Walaupun keuntungannya yang lebih baik kerana output jualan yang lebih tinggi, paras penggunaan yang tinggi yang meningkatkan kecekapan pengeluaran, ditambah dengan purata harga jualan (ASP) lebih tinggi seiring dengan harga pasaran.

“Keuntungan tinggi dan luar biasa kumpulan ini juga berikutan peningkatan berterusan di seluruh operasinya melalui transformasi digital, penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan dan inovasi, inisiatif kualiti dan produktiviti serta pengambilan dan pembangunan bakat (pekerja berkemahiran),” katanya.

Mengulas mengenai keputusan syarikat itu, Pengarah Urusannya Datuk Lee Kim Meow berkata prestasi kumpulan itu yang tidak pernah terjadi sebelum ini adalah hasil daripada keberkesanan inisiatif penambahbaikan yang didorong oleh teknologi syarikat yang berterusan dengan menumpukan kepada kualiti dan kecekapan kos.

“Inisiatif ini juga membolehkan kami untuk memenuhi peningkatan permintaan sarung tangan dengan cekap dan efektif,” katanya dalam satu kenyataan yang berasingan.

Mengenai pembayaran dividen 25.2 sen, Top Glove berkata ia merangkumi pembayaran dividen khas 20 peratus ditambah 50 peratus mengikut dasar dividen syarikat, berjumlah sebanyak 70 peratus pembayaran dividen.

“Jumlah dividen yang diisytiharkan untuk separuh pertama bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 41.7 sen sesaham, mewakili kenaikan 253 peratus daripada dividen tahun penuh untuk tahun kewangan 2020 sebanyak 11.8 sen sesaham,” katanya.

Pada 28 Februari, 2021, kumpulan itu berada dalam kedudukan tunai bersih sebagai RM4.06 bilion.

Menyentuh program pemvaksinan, Top Glove berkata walaupun dengan vaksin, kumpulan itu yakin bahawa permintaan sarung tangan global akan kekal kukuh.

“Walaupun permintaan mungkin akan stabil pasca pandemik, kumpulan itu berharap ia tidak akan kembali ke paras sebelum penularan Covid-19, susulan daripada peningkatan tahap kesedaran mengenai kebersihan serta ketidaktentuan terhadap jalan penyelesaian terhadap pandemik Covid-19.

“Lebih-lebih lagi, selepas mendepani cabaran akibat pandemik ini, kerajaan dijangka akan menyimpan stok sarung tangan dan pakaian pelindung diri (PPE) lain sebagai persediaan sekiranya berlaku pandemik pada masa depan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Top Glove mengekalkan pandangan optimis terhadap prospeknya kerana permintaan sarung tangan global dijangka meningkat kepada sekitar 15 peratus setahun pasca pandemik daripada tahap pra-pandemik sekitar 10 peratus setahun berikutan peningkatan penggunaan dan tahap kesedaran mengenai kebersihan yang semakin meningkat.

Untuk memastikan ia berada dalam kedudukan yang baik bagi memenuhi permintaan sarung tangan yang kukuh, pihaknya akan terus melakukan pengembangan organik, pengembangan inorganik dan pelaburan strategik.

Ia berkata Top Glove telah memperuntukkan RM10 bilion untuk perbelanjaan modal selama lima tahun daripada tahun kewangan 2021 hingga tahun kewangan 2025, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya sekarang sekitar 100 bilion sarung tangan kepada jumlah kapasiti pengeluaran lebih daripada 200 bilion sarung tangan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

DRB-Hicom catat untung bersih RM45.7 juta suku ketiga 2020

KUALA LUMPUR, 26 NOV: DRB-HICOM Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM47.50 juta atas sokongan hasil RM3.56 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September, 2020.

Tiada keputusan perbandingan bagi suku kewangan itu disebabkan perubahan tahun kewangan berakhir dari 31 Mac kepada 31 Disember.

DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini berkata pandemik Covid-19 kekal sebagai satu ancaman, dengan persekitaran perniagaan dalam negara dan seluruh dunia yang terus mencabar.

“Kumpulan sentiasa menilai strategi dan inisiatif bagi mengurangkan impak pandemik yang bermula pada Mac lepas.

Prestasi operasi tahun penuh DRB-HICOM dijangka lebih rendah berbanding tahun kewangan sebelumnya,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan awal dapati Sungai Batang Benar dicemari sebatian organik – Exco

SEREMBAN, 29 OKT: Keputusan awal analisis sampel yang diambil dari lokasi punca pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai, mendapati ia merupakan sebatian organik jenis ‘Dimethyl Disulfide’.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan berkata keputusan itu diperoleh Sabtu lepas (24 Oktober) hasil daripada analisis ke atas lima sampel tanah yang diambil di sekitar belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di sungai berkenaan.

“Dimethyl Disulfide adalah satu sebatian organik yang biasanya digunakan sebagai bahan tambahan dalam industri makanan dan juga digunakan sebagai bahan pemangkin dalam industri petrokimia.

“Walaupun maklumat telah diperoleh daripada siasatan yang dijalankan ke atas suspek dan beberapa lagi pihak yang berkaitan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan masih meneliti semua fakta kes yang telah diperoleh sepanjang siasatan sebelum rumusan dapat dibuat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini kes berkenaan yang mengakibatkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi di Selangor dihenti tugas.

Pada 5 Oktober, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan bahawa sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik tersisa ditemukan di belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di Sungai Batang Benar.

Susulan itu, tiga lelaki berumur 30-an hingga 40-an ditahan di Kota Bharu, Kelantan dengan dua daripadanya ditahan pada 6 Okt dan 12 Okt lepas, bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Berikutan pencemaran itu, ia menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih Astro susut kepada RM133.65 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) susut 21 peratus kepada RM133.65 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai, 2020 daripada RM169.34 juta sebelum ini.

Penurunan itu berikutan kemerosotan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kos pembiayaan bersih, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Margin EBITDA merosot sebanyak 1.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas, berikutan kos barangan yang tinggi, dikurangkan oleh kos kandungan yang rendah dan susut nilai belum terima.

Perolehan pada suku tahun semasa turut susut 11.8 peratus kepada RM1.09 bilion daripada RM1.24 bilion pada tahun lepas, berikutan penurunan perolehan langganan dan pengiklanan serta diimbangi oleh peningkatan jualan barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Henry Tan berkata operasi hampir dengan kapasiti penuh.

“Pemasangan telah disambung semula dan kami melihat Astro Ultra Box meneruskan trajektori pertumbuhannya, dengan lebih 100,000 kotak telah dipasang, naik 60 peratus dalam tempoh tiga bulan.

“Trend pembayaran pelanggan juga menggalakkan, dan produksi tempatan, sukan siaran langsung global dan acara lapangan telah disambung semula,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Mengenai prospek, Astro terus berhati-hati pada separuh kedua tahun kewangan 2021 berikutan ketidaktentuan akibat pandemik Covid, perubahan struktur dalam industri media dan gejala cetak rompak yang berterusan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tragedi kebakaran tahfiz: Remaja dipenjara kerana bunuh 23 individu

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong setelah didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman ke atas remaja itu yang kini berumur 19 tahun selepas mendapati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah atas 23 pertuduhan dengan sengaja membunuh 23 individu tersebut.

Remaja itu berusia 16 tahun ketika kejadian.

“Selepas mendengar keterangan semua pihak, mahkamah mendapati penama pertama (remaja itu) dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh, ” kata Azman.

Hakim itu berkata oleh kerana remaja tersebut masih di bawah umur semasa kejadian, beliau telah mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

“Terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan syarat-syarat tahanan dari semasa ke semasa,” katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu dalam mitigasi berkata anak guamnya memohon maaf kepada semua yang terlibat dan berkata pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap hukuman hari ini.

Pada 28 Jan 2020, Azman mengarahkan remaja itu membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes saman LHDN terhadap Nooryana Najwa 30 Jun

SHAH ALAM, 14 MEI: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh baharu keputusan permohonan Nooryana Najwa, anak perempuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menggantung prosiding saman oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada mahkamah, kes itu yang sepatutnya ditetapkan untuk keputusan hari ini telah dilapangkan berikutan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, yang mendengar permohonan tersebut, bersidang sebagai panel Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, pihak mahkamah telah mengeluarkan surat kepada pihak-pihak terlibat pada 9 Mei lepas memaklumkan bahawa mereka perlu hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes pada 10.30 pagi 30 Jun depan bagi menetapkan tarikh baharu.

Mahkamah turut menetapkan hari sama (30 Jun) untuk menetapkan tarikh keputusan permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman terus.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi.

Nooryana Najwa, 32, membuat permohonan bagi menggantung prosiding tersebut sementara menunggu rayuannya terhadap penilaian pentaksiran semula cukai LHDN selesai.

LHDN selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 24 Julai tahun lalu dengan menamakan Nooryana Najwa selaku defendan.

Penyataan tuntutan LHDN menyebut bahawa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.

Oleh itu, LHDN menuntut daripada defendan jumlah RM10,335, 292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan STPM diumum 25 Februari – MPM

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 diumum pada 25 Februari ini, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

MPM dalam kenyataan memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah pada tarikh berkenaan mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian pula akan memperolehnya melalui pos.

“Calon juga boleh menyemak keputusan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT jarak no kad pengenalan dan menghantarkannya ke 15888.

“Mereka juga boleh membuat semakan secara dalam talian dengan melayari portal MPM di alamat http://www.mpm.edu.my mulai pukul 12 tengah hari pada tarikh berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun lepas 44,823 calon menduduki peperiksaan STPM di 652 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 44,501 atau 99.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, calon sekolah swasta (167 atau 0.37 peratus), manakala calon persendirian (128 atau 0.29 peratus) dan 27 atau 0.06 peratus calon sekolah kerajaan negeri.

-BERNAMA