Categories
NASIONAL

Aziz Bari: Negeri Sembilan Ibarat Pandu Kereta Tanpa Insurans

aziz bari 2

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pakar Perlembagaan, Dr Aziz Bari berkata Kerajaan Negeri Sembilan yang ada hari ini sama seperti memandu kereta yang tamat tempoh  insuransnya.

Ini kerana Kerajaan Negeri Sembilan yang mendapat mandat dalam Pilihan  Raya Umum ke 12 (PRU-12) pada 2008 lalu sudah terbubar secara automatik pada 26 Mac lalu.

“Ini macam bawak kereta selepas insuransnya sudah mati, ini perkara yang tidak wajar dan saya fikir orang Negeri Sembilan kena ambil maklum perkara ini,” kata Dr Aziz Bari kepada TV Selangor hari ini.

Beliau menambah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya sudah membuat persiapan dan memaklumkan kepada rakyat Negeri Sembilan tentang tindakan yang akan diambil dalam isu pembubaran DUN negeri itu.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan tiada kena mengena dengan persekutuan, jadi seolah-olah walaupun kerajaan sudah tamat, Dewan (Undangan Negeri) sudah bubar dan kerajaan sementara tak dilantik secara formal, SPR masih buat tak tahu sahaja.

“Jadi secara tidak langsung SPR memberi kelebihan tak sepatutnya kepada BN, sepatutnya SPR dah buat persiapan kerana seperti saya katakan tadi Negeri Sembilan tidak ada kena mengena dengan Parlimen yang tak bubar.

“Rakyat Negeri Sembilan tidak harus pun bayar gaji Kerajaan Negeri Sembilan yang sudah tidak sah lagi itu hanya kerana (Datuk Seri) Najib (Razak) tak bubar,” ujar beliau lagi.

Beliau juga menggesa rakyat Negeri Sembilan menghukum Umno-BN dalam PRU-13 nanti atas tindakan yang sengaja bagi memanjangkan kuasa mereka.

Selepas mendapat mandat melalui PRU-12 pada 2008 lalu, DUN Negeri Sembilan memulakan persidangan pertama mereka pada 26 Mac 2008.

Selepas genap lima tahun pentadbiran, mandat tersebut tamat secara automatik pada pada 26 Mac lalu, yang merupakan kali pertama berlaku dalam sejarah pilihan raya negara ini.

Bagaimanapun selepas pembubaran itu SPR tidak memaklumkan apa-apa tindakan yang sepatutnya diambil oleh badan yang sepatutnya bebas dari pengaruh mana-mana parti politik.

Keadaan tersebut sekaligus memberi kelebihan kepada Umno-BN yang mentadbir Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan.