Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Yakin Saifuddin Mampu Bantu Laksana Manifesto PR Di Selangor

SUK Saifudin copy

SHAH ALAM 5 JUN : Pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar dilihat dapat membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan pada Pilihan Raya Umum Ke 13 lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana individu yang layak bagi membantu menjayakan usaha Kerajaan Negeri.

“Tak payah bincang (perjelas) apa yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk mencari individu yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan manifesto yang kita bentangkan dalam PRU13 lalu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Selangor, di Pejabat Kerajaan Negeri, di sini.

Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Saifuddin bersama pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada minggu depan bagi membincangkan usaha meningkatkan pembangunan luar bandar yang akan diterajui Setiausaha Agung PKR itu.

Pelantikan Saifuddin diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Kali Ke 9 parti itu di Petaling Jaya bulan lalu.

Dalam masa yang sama, katanya, isu tuntutan PAS dan DAP terhadap jawatan yang setara dengan Saifuddin turut akan dibincangkan dalam pertemuan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Selangor : Rizab Simpanan Selangor Dibelanja Bangunkan Luar Bandar

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 04

PETALING JAYA 25 MEI : Simpanan Rizab Selangor yang berjumlah RM 2.6 bilion akan digunakan secara berhemah untuk membangunkan kawasan luar bandar di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah mengumbal rancangan tiga tahun untuk membangunkan kawasan desa di negeri terkaya itu supaya rakyat di pendalaman dapat menikmati kualiti hidup yang setaraf dengan mereka di bandar.

Beliau juga berkata pelan tiga tahun itu merangkumi usaha untuk mempertingkatkan pendapatan penghuni kawasan pendalaman.

Pada masa yang sama, wang rizab yang dibelanjakan akan ditambah dengan mencari sumber pendapatan baru bagi Kerajaan Negeri.

“Duit itu akan dijaga dengan baik dan dilihat ke mana wang itu dibelanjakan.

?Saya akan mencari mereka yang telah menyalahgunakan duit rakyat dan dikembalikan dalam dana simpanan negeri supaya dapat digunakan untuk rakyat.

“Dari masa ke semasa saya akan mengumumkan apa yang dilakukan dan hal yang akan dilakukan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Ucapan Penggulungan Kongres PKR Kali Ke-9 yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan berkata bahawa beliau akan menumpukan perhatian kepada pembangunan kawasan pendalaman Selangor di dalam penggal keduanya sebagai Menteri Besar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah : Saman terhadap Kerajaan Negeri bermotif politik

faekah-husin-22

KLANG 29 MAC : Saman pemimpin Umno yang kononnya mahu menolong ibu tunggal dan warga emas terhadap Kerajaan Negeri bermotifkan politik demi mewujudkan perspektif negatif terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin berkata, peguam pemimpin Umno juga menggunakan muslihat untuk mengumpul tandatangan untuk saman tersebut dengan menjanjikan wang kepada mereka yang memberi tandatangan.

Faekah berkata tujuan tindakan hanyalah bagi memenangkan Umno-BN dalam pilihanraya dan merampas Selangor tetapi bukan untuk memenangi kes di mahkamah.

“Apabila kita memohon untuk pembatalan kes, mahkamah menolak dan nak mendengar kes secara perbicaraan. (Datuk Seri) Noh Omar tweet saya 1 – 0 Faekah (kes ibu tunggal), saya sabar. Lepas itu (kes) warga emas, kita cuba batalkan, mahkamah tolak juga.

“Noh Omar tweet saya lagi 2 – 0 Faekah. Saya jawab Datuk Seri peguam, kita belum lawan lagi, belum perbicaraan. Dia jawab dari segi politik dia dah menang.

“Maknanya matlamat mereka adalah untuk adudomba dan propaganda,” katanya dalam ceramah PR “Suara Wanita Suara Perubahan” di Kampung Bukit Naga di sini malam tadi.

Faekah menambah, menurut maklumat yang diterima kes tersebut akan ditamatkan selepas pilihanraya berakhir.

Cara pengumpulan tandatangan golongan ibu tunggal dan warga emas juga, tegasnya, dilakukan secara tipu muslihat oleh peguam yang dilantik Umno.

Usaha tersebut cuba mengaitkan Kerajaan Negeri dengan menjanjikan bantuan kewangan kepada mereka yang menurunkan tandatangan dalam borang yang diedarkan ke seluruh Selangor.

Sedangkan, katanya, tandatangan dikumpulkan itu hanya bertujuan untuk menyaman Kerajaan Negeri.

“Dia nak bertanding di Kota Anggerik, itu yang dia tunjukkan dia lebih Umno dari Umno. Itu yang dia kumpulkan semua wanita.

“Dari maklumat yang kita dapat di mana dia taburkan ke rumah-rumah di Puchong, dia tulis di situ mana-mana ibu tunggal yang mahu RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor sila turunkan nama dan tandatangan,” katanya.

Baru-baru ini Exco Selangor, Elizabeth Wong mendedahkan bahawa borang diedarkan kepada warga emas dengan menjanjikan bahawa Kerajaan Selangor akan memberi elaun sekiranya mereka memberi tandatangan.

Raja Muda Sulu Punyai IC Biru, Bekas Kakitangan Kerajaan – INFO 12


Sinopsis

Info 12 Untuk 210322013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 21 MAC 2013 :

1. Pemimpin penceroboh di Lahad Datu, Sabah yang menggelar dirinya sebagai Raja Muda Sulu, Azzimuddie Kiram didapati seorang rakyat Malaysia dan pernah bertugas sebagai Pegawai Pentadbir Muda di Pejabat Daerah Kudat.

2.Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengurangkan bayaran cukai taksiran sebanyak 50 peratus kepada orang kelainan upaya (OKU) yang memiliki rumah di seluruh Selangor.

3. Tanah bagi projek Datum Jelatek bukan tanah rizab Melayu sebaliknya milik Kerajaan Negeri.

4. Pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor terus mendapat pujian atas kegigihannya memastikan rakyat yang menduduki sebidang tanah pada masa yang panjang, diberikan hak milik terhadap tanah tersebut.

5. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 19 April depan bagi mendengar keputusan berhubung permohonan membatalkan pertuduhan ke atas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badril Hisham Shaharim (CheguBard) dalam kes himpunan Bersih 3.0.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL SELANGOR

DNS Tetap Akan Dibubar Akhir Mac Sekiranya …

suk pakatan selangor

KUALA LUMPUR 17 MAC: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan Dewan Negeri Selangor (DNS) tetap akan dibubarkan hujung bulan ini sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak membubarkan Parlimen pada masa yang sama.

Abdul Khalid berkata, sehingga kini beliau masih menunggu pengumuman Najib sebelum membuat keputusan untuk membubarkan DNS bagi mendapat mandat baru daripada rakyat Selangor.

“I am waiting for the PM. Tapi saya akan buat keputusan jika tidak berlaku pembubaran dewan Parlimen sebelum akhir bulan Mac, saya akan lakukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya pemberita sewaktu mengadakan sidang media membantah pemungut parkir yang didakwa tidak berlesen di pasaraya Giant Taman Connought, Cheras hari ini.

Sebelum ini, Abdul Khalid pernah menyatakan Kerajaan Negeri merancang untuk membubarkan DNS pada hujung bulan ini.

Akhir bulan lalu, beliau turut mengesahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menyatakan persetujuan dan tiada halangan untuk pembubaran DNS.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno Salahguna Sekolah Untuk Kepentingan Politik

SHAH ALAM, 2 NOV: Beberapa pemimpin Umno yang dijangka akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 didakwa menggunakan sekolah untuk raih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Kegiatan mereka dikesan apabila terdapat beberapa bakal calon tersebut hadir dalam majlis penyampaian anugerah kecemerlangan di beberapa sekolah di Selangor meskipun tidak mendapat jemputan oleh pihak sekolah.

Kehadiran mereka itu menyebabkan pihak sekolah ‘terpaksa’ memberikan layanan istimewa sebagaimana tetamu kehormat lain dan diberikan tempat duduk di barisan hadapan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabat beliau di sini hari ini.

“Saya juga dapat maklumat bakal calon Parlimen Shah Alam serta calon-calon Dun mereka hadir dalam majlis di sebuah sekolah di Shah Alam minggu lepas, tetapi bila pemimpin Pakatan Rakyat (PR) pula tak dibenarkan,” ujar beliau.

Abdul Khalid juga berkata, walaupun Kerajaan Negeri memberi tanah kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah, pemimpin Kerajaan Negeri dan pemimpin lain dari PR tetap tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke kawasan sekolah termasuk untuk menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Julai lalu, Kerajaan Negeri membidas tindakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang menghalang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghadiri majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di SMK Sultan Sulaiman, Bestari Jaya.

Meskipun Abdul Khalid tidak dapat memasuki sekolah tersebut namun beliau tetap memberi sumbangan sebanyak RM 24,000 dari Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Laporan Audit : Hasil Selangor Meningkat 114.3 Peratus

 

 

SHAH ALAM 15 OKT : Laporan Audit Negara yang dibentangkan hari ini mendapati Kerajaan Negeri Selangor mencatatkan peningkatan kutipan hasil sebanyak RM 62.50 juta pada tahun 2011 berbanding tahun sebelumnya.

Pada keseluruhannya, hasil yang dikutip Kerajaan Negeri pada tahun 2011 adalah berjumlah RM 1, 634 juta berbanding RM 1, 571.50 juta pada 2010.

Bardasarkan Laporan Audit juga, Hasil Sebenar yang dikutip Kerajaan Negeri ini juga melebihi Anggaran Hasil sebanyak RM 204 juta atau 114.3 peratus.

Kerajaan Negeri memungut tiga jenis hasil meliputi Hasil Cukai sebanyak RM 534.32 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 791.18 dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 308.50 juta.

Analisis Audit menunjukkan Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai mencatatkan peningkatan sejumlah RM 62.50 juta walaupun Terimaan Bukan Hasil mengalami sedikit penurunan.

Penyumbang utama hasil Kerajaan Negeri adalah terdiri daripada Premium Geran Tanah, Cukai Tanah Semasa dan Pemberian Jalan Raya/Lorong.

Jumlah hasil yang meningkat ini membolehkan Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangan 2011 dengan surplus berjumlah RM 180.50 juta iaitu peningkatan berjumlah RM 56.26 juta atau 45.3 peratus berbanding 2010.

Pada tahun 2010 Kerajaan Negeri hanya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM 1, 571.50 juta dengan catatan surplus RM 124.24 juta.

Categories
NASIONAL

Unisel Umum Pembekuan PTPTN Ditarik Balik

SHAH ALAM 8 JUN : Pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap pelajar-pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) secara rasminya ditarik balik, umum Naib Canselor Unisel, Prof. Dr Anuar Ahmad.

Menurut Dr Anuar, pihaknya menerima surat daripada Pejabat Menteri Pengajian Tinggi awal pagi tadi berkenaan penarikan pembekuan pinjaman tersebut.

“Dengan penarikan itu, pelajar-pelajar baru kini boleh mula memohon kembali pinjaman PTPTN bermula malam ini atau selewat-lewatnya esok pagi.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang menyumbang kepada keputusan yang menggembirakan ini termasuk pihak kementerian dan Kerajaan Negeri,” jelas beliau dalam satu sidang media di Unisel sebentar tadi.

Mengelak untuk mengulas lanjut alasan yang dikemukakan pihak kementerian mengenai pembekuan yang dikenakan sebelum ini, Dr Anuar bagaimanapun tidak menolak segalanya berpunca daripada perbezaan ideologi politik.

“Kami sebagai pentadbir tidak mahu melibatkan diri atau memberi komen mendalam berkenaan perkara ini tetapi kami juga tidak mahu pendidikan pelajar-pelajar Unisel terganggu.

“Atas sebab itu, kami mengikut segala prosedur yang digariskan, kami membuat rayuan secara hitam putih seperti yang diminta, kami mengadakan perbincangan dengan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan bagi mengembalikan hak pelajar-pelajar untuk mendapatkan pinjaman,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga dilihat enggan memberi sebarang komen berkenaan keprihatinan dan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri berhubung isu tersebut bagaimanapun menerima baik idea pendidikan percuma.

“Namun semuanya bergantung kepada keberdayaan sesebuah kerajaan yang memerintah asalkan perjalanan pendidikan berjalan baik.

“Kami juga akan sentiasa patuh pada dasar yang ditunjangi mana-mana kerajaan yang memerintah,” ulasnya sambil menambah Kerajaan Negeri banyak membantu dalam mengurangkan kos operasi Unisel.

Sebelum ini, PTPTN membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.