Categories
NASIONAL

Dihalang Masuk Sabah: SPR Digesa Tegur Kerajaan Sementara Sabah

tian chua pc pkr 01

PETALING JAYA 8 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk menegur Kerajaan Sementara Sabah susulan halangan Naib Presiden PKR, Tian Chua daripada memasuki Sabah baru-baru ini.

Beliau dihalang daripada memasuki Sabah sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu sebelum ditahan oleh Jabatan Imegresen Negeri yang memberi alasan Kerajaan Sementara Sabah yang mengeluarkan larangan berkenaan.

Turut bersama Tian Chua ketika di lapangan terbang, Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu tetapi beliau dibenarkan memasuki Sabah dengan menggunakan pas sementara.

Tian Chua berkata, sekarang ini sudah memasuki tempoh kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan Kerajaan Sabah tidak boleh mengeluarkan sesuatu arahan bagi menghalang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk datang berkempen di Sabah.

“Isu sekarang ialah, Parlimen sudah dibubarkan dan kita sudah sampai masa berkempen, dimana semua parti berhak untuk menyampaikan mesej kepada seluruh negara yang akan mengundi masa PRU nanti.

“Dengan menggunakan hak ini, adalah jelas menyalahgunakan kuasa.

“Kita juga desak SPR untuk membuat satu pendirian, samada Kerajaan Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa untuk menghalang ahli-ahli politik untuk datang berkempen,” katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR, hari ini.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj terhadap dirinya yang kini sedang dibicarakan di mahkamah berikutan tragedi di Lahad Datu baru-baru ini.

“Biarlah mahkamah tentukan, kalau saya disabitkan kesalahan pun. Tidak ada peruntukan dalam undang-undang untuk menghalang penjenayah atau apa yang disabit kesalahan untuk memasuki Sabah,” ujarnya lagi.