Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Trek kereta kawalan jauh aras bumbung pertama buka di SACC Mall

SHAH ALAM, 8 NOV: Trek kereta kawalan jauh (RC) pertama di aras bumbung dibuka di SACC Mall, di sini semalam.

Ketua pegawai eksekutif PKNS Real Estate (PREC) berkata SACC Mall RC Park juga adalah trek aras bumbung ketiga Asia Tenggara merupakan inisiatif Kerajaan Negeri mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) selain mengikuti perkembangan semasa.

Fakru Radzi Ab Ghani berkata pembukaan di aras bumbung pusat beli-belah itu juga bakal menghidupkan industri peruncitan pusat beli-belah berkenaan selain PKNS Shah Alam yang terletak bersebelahan.

“Kami percaya penganjuran bersama SACC Mall dan Bazaarlokal ini menjadi aktiviti luar yang hebat kerana menepati cita rasa semua generasi terutamanya golongan muda,” katanya.

Sebagai simbolik pembukaan, Fakru Radzi berkata syarikat RC Planet menganjurkan pertandingan RC Car Tamiya disertai 80 peserta bermula 10 pagi hingga enam petang semalam.

Sementara itu Pengarah RC Planet Suah Kim Heng berkata individu yang mahu mencuba boleh mendapatkan kereta permainan itu dari premisnya yang terletak di aras lima SACC Mall.

“Mereka boleh terus menggunakan trek RC pada kadar RM20 sehari. Peluang ini perlu dikongsikan kepada lebih ramai lagi yang memiliki hobi sama,” katanya.