Categories
NASIONAL

Mercu tanda ‘Kerinchi’ bakal didirikan

OLEH AFIX REDZUAN

BANGSAR, 30 JUN: Satu mercu tanda yang memaparkan sejarah kawasan Kerinchi bakal didirikan dengan kerjasama syarikat UOA Development dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang hujung tahun ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan dilaksanakan sebagai memenuhi janji kempen pilihan raya beliau yang sebelum ini mendapat reaksi positif daripada penduduk setempat.

Menurutnya, perbincangan masih dijalankan dan beliau berharap ia dapat direalisasikan dengan kerjasa semua pihak.

“Kita telah mencapai satu keputusan yang disifatkan situasi ‘menang-menang’. Kita akan menetapkan atau membina dua pintu gerbang bahawa mereka memasuki kawasan Kerinchi.

“Kita akan mengenalpasti kawasan sesuai dan lokasi sebenar bermulanya penempatan di Kerinchi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Kompleks Sukan Pantai Eco Park, Pantai Dalam.

Katanya, Pejabat Parlimen Lembah Pantai dengan kerjasama syarikat UOA Development juga bersedia untuk mencari dan menyaluarkan dana kepada NGO yang sesuai bagi melestarikan kembali sejarah Kerinchi yang difahamkan mula dibuka sejak 1880an.

Dalam membangkitkan lagi sejarah Kerinchi, satu festival kesenian yang dinamakan ‘Ini Kerinchi Lah’ akan turut dianjurkan.

Fahmi berkata, ia akan dianjurkan selepas pembinaan mercu tanda Kerinchi selesai.

Selain itu, dalam ucapannya turut dimaklumkan beliau telah mengemukakan beberapa permasalahan rakyat untuk diangkat pada sesi Dewan Rakyat akan datang disamping mencari penyelesaian kesesakan trafik di Taman Bukit Angkasa & Jalan Bangsar.

“Saya sebagai Ahli Parlimen yang buta warna, saya tetap mewakili anda semua di Lembah Pantai. Saya perlu bawa suara mereka ke Parlimen.

“Soalan yang dibangkitkan adalah berkaitan lif-lif projek perumahan rakyat, berkaitan status dan penyelenggaraan kerana sering dapat aduan daripada penduduk sekitar.

“Saya juga akan pertahankan isu anggota polis terutama berkaitan elaun dan kuarters kediaman mereka,” katanya.

Kemeriahan sambutan Aidilfitri peringkat Parlimen Lembah Pantai turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Fahmi turut mengambil kesempatan beramah mesra bersama pengunjung dan menyampaikan duit raya.