Categories
AGENSI SELANGOR

LZS tawar latihan, kerja dalam sektor ladang kepada asnaf

SHAH ALAM, 5 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menawarkan kursus percuma kepada golongan asnaf negeri ini bagi mendapat pekerjaan dalam sektor perladangan di Sime Darby Plantation Berhad.

Agensi berkata mereka yang melengkapkan latihan selama satu hingga dua bulan berpeluang memperoleh sijil industri dan diambil bekerja dalam bidang teknikal serta operasi.

Menurutnya, latihan diberi berdasarkan modul dibangunkan Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM (iCEPS) dan Sime Darby Plantation.

“Kos latihan, tempat tinggal dan keseluruhan kos program adalah percuma.

“Penawaran gaji selepas latihan bermula dari RM1,200. Terdapat 5,873 kekosongan pelbagai jawatan di Sime Darby Plantation di seluruh negara,” katanya di Facebook hari ini.

LZS berkata permohonan dibuka sepanjang tahun dan golongan asnaf berminat boleh mendaftar di https://bit.ly/Uitm-Simedarby-LZS.

Categories
AGENDA NASIONAL

Teraju: Hanya 27 peratus graduan Bumiputera dapat kerja tahun lalu

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Hanya kira-kira 73,400 atau 27 peratus graduan Bumiputera dapat memenuhi peluang pekerjaan sektor swasta yang ditawarkan pada 2020 berbanding 103,900 atau 40 peratus pada 2019, menurut Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Kajian Teraju mendapati penurunan peluang pekerjaan kepada graduan Bumiputera berkenaan antaranya berpunca daripada pengurangan peluang pekerjaan di pasaran sebanyak 29.3 peratus bagi kedua-dua tahun berkenaan.

“Sekiranya dilihat secara teliti, pengurangan peluang pekerjaan disebabkan negara sedang dilanda pandemik Covid-19,” menurut dapatan kajian Teraju bertajuk ‘Kesan Pandemik Terhadap Peluang Pekerjaan Di Kalangan Graduan Bumiputera’ yang dijalankan menerusi Unit Penyelidikan, Analitik dan Teknologi Maklumat (RAIT) agensi itu.

Dapatan kajian Teraju itu diperolehi melalui dua kaedah iaitu, mengenal pasti saiz graduan Bumiputera di IPTA dan IPTS dengan membuat perbandingan antara tahun serta komposisi kaum bagi melihat impak sebenar wabak Covid-19 kepada graduan dihasilkan pada ketika ini.

Kaedah kedua pula, agensi itu mengadakan kajian dengan meneliti ketidaksamaan dalam peluang pekerjaan dalam tahun sama dan membandingkannya dengan bilangan graduan Bumiputera dihasilkan pada tempoh sama.

Kajian tersebut menggunakan sumber sekunder melibatkan laporan kaji selidik kadar pengangguran, statistik Bumiputera 2020 dan statistik pekerjaan suku keempat 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia.

Menurut kajian berkenaan, berdasarkan data dan maklumat graduan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), secara keseluruhannya, mendapati saiz graduan Bumiputera dihasilkan meningkat seramai 259,659 iaitu 84 peratus, diikuti kaum Cina seramai 35,904 (12 peratus) dan kaum India seramai 12,055 (empat peratus) sepanjang 2017 sehingga 2020.

Kajian Teraju yang memetik sumber Statistik Graduan Jabatan Statistik Malaysia 2020 pula mendapati jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya dan 70 peratus daripadanya adalah graduan Bumiputera.

Kajian berkenaan juga mendapati sebahagian besar jumlah graduan menganggur berkenaan adalah terdiri daripada kumpulan B40 dan M40 yang bergantung kepada gaji dan upah sebagai sumber pendapatan utama mereka.

“Mengambil kira keadaan ini, graduan institusi pendidikan terutamanya bagi Bumiputera, sangat terdedah kepada kejutan ekonomi negatif seperti pengangguran, disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan sebagainya. Ini kerana jurang agihan pendapatan Bumiputera adalah besar dan sumber kewangan mereka yang terhad,” menurut kajian itu.

Menurut Teraju, berdasarkan kajian khas berkaitan kesan Covid-19 terhadap saiz graduan Bumiputera dan bukan Bumiputera IPTA serta IPTS yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lepas pula, menunjukkan hampir 270,000 graduan Bumiputera dihasilkan iaitu peningkatan hampir 10 peratus berbanding 2018.

“Ini adalah selari dengan pertumbuhan jumlah graduan di Malaysia iaitu seramai 316,000 orang graduan yang diunjurkan pada 2020, berbanding hanya hampir 300,000 orang graduan pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 5.4 peratus dari 2018,” menurut kajian itu.

Kajian berkenaan yang memetik sumber Jabatan Perangkaan Malaysia juga mendapati corak penawaran pekerjaan mula menurun secara keseluruhan, bermula dari suku ketiga 2019 sehingga suku keempat 2020.

“Pewujudan peluang pekerjaan dalam kategori mahir telah menurun secara drastik kepada 3,600 pekerjaan pada suku kedua 2020, berbanding lebih 12,000 pewujudan pekerjaan pada suku sama 2019, iaitu penurunan sebanyak 70 peratus.

Sehubungan itu, Teraju telah merangka beberapa inisiatif dalam memperkasakan dan meningkatkan penyertaaan Bumiputera dalam pasaran tenaga kerja mahir, selaras dengan hala tuju Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB2030) yang bakal dilancarkan.

“Sebagai sebuah agensi penyelaras utama dalam pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, Teraju menubuhkan Pusat Kecemerlangan Bumiputera (CoE) bagi menyediakan pendidikan dan latihan bermula dari usia awal kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi, selain program pembangunan profesional lain seperti program celik kewangan, keusahawanan dan kursus pelbagai disiplin untuk Bumiputera,” menurut kajian tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: 15 syarikat besar terus tawar kerja ketika pandemik

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Kajian oleh LinkedIn mengenal pasti 15 syarikat utama di Malaysia terus mengambil pekerja baharu walaupun berlaku pandemik yang menjejaskan aktiviti perniagaan.

Menurut GKK Consultants Sdn Bhd (GKK), tinjauan oleh laman web rangkaian sosial untuk profesional perniagaan itu mendedahkan terdapat lebih 45,000 pekerjaan sedang menunggu untuk diisi di negara ini.

Majikan utama itu terdiri daripada syarikat tempatan dan syarikat multinasional, termasuklah Petronas, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Malayan Banking Bhd dan Axiata Group.

GKK, perunding sumber manusia dan latihan yang bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), berkata tinjauan itu menunjukkan majikan ini menawarkan tempat kepada mereka yang mencari pekerjaan dalam organisasi mereka untuk mengembangkan kerjaya profesional mereka.

“Walaupun tinjauan itu memperincikan syarikat utama di Malaysia yang berkembang pesat selama bertahun-tahun, terdapat banyak ciri-ciri positif dan contoh yang dapat diikuti dan dicontohi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sistem pengurusan mereka sendiri,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GKK Gajendran Balasingham dalam kenyataan hari ini.

Metodologi LinkedIn meliputi tujuh bidang utama, iaitu kemajuan kerjaya, kemajuan dan peningkatan, kemahiran sumber manusia, kestabilan syarikat, kepelbagaian gender dan latar belakang pendidikan.

“Tidak kira betapa kecil tenaga kerja mereka, apa yang menjadi perhatian ialah penekanan majikan terhadap pertumbuhan pekerja, latihan yang berterusan dan peningkatan kemahiran serta menjejaki kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja terutamanya dalam tempoh tidak menentu ini,” katanya.

Walaupun banyak PKS terpaksa ditutup berikutan kesukaran kewangan, banyak juga yang tidak menentu, mengubah strategi perniagaan mereka dan terus bertahan selain masih mengekalkan kekuatan pekerja dengan harapan keadaan akhirnya akan bertambah baik.

Lebih 67,000 orang diberhentikan hanya antara Januari dan Julai tahun lepas.

“Bersama dengan Perkeso dan Dana Pembangunan Sumber Manusia, GKK mengadakan kursus dan latihan untuk membantu pekerja ini meningkatkan kemahiran mereka dengan tujuan memaksimumkan kelebihan daya saing mereka,” kata Gajendran.

Dengan kemahiran baharu ini, mereka dilengkapi dengan lebih baik untuk bekerja semula.

“Kami telah menjalankan kira-kira 80 sesi dengan matlamat untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran semasa yang dijangka dalam sektor mereka dan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Setakat ini, lebih 500 pekerja yang telah diberhentikan telah dilatih semula di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) yang dibayar oleh Perkeso,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: NIOSH minta majikan perhalusi semula risiko tempat kerja

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) meminta majikan supaya memperhalusi semula penilaian risiko dan menambah baik prosedur kerja bagi industri berisiko tinggi dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di tempat kerja.

Pengerusinya Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata tindakan itu penting terutama bagi industri yang berisiko mendedahkan pekerja secara langsung dengan pesakit atau pelawat yang bergejala.

“Majikan perlu bertanggungjawab dan prihatin ke atas keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja. Terutama yang menggaji pekerja bukan warganegara, majikan perlu memastikan pekerja menjalani saringan swab test (ujian calitan) terlebih dahulu dan hanya mereka yang negatif sahaja dibenarkan bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, majikan juga perlu sentiasa memantau kemudahan tempat tinggal, penjarakan fizikal dan pematuhan tatacara operasi piwai (SOP) di tempat kerja antaranya pemakaian pelitup muka dan menjaga kebersihan.

Beliau turut mengingatkan majikan dan pekerja supaya mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKPP) 1994 serta semua undang-undang berkaitan pekerjaan selain mengamalkan langkah kawalan kendiri yang ketat untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

“NIOSH ingin menyeru agar kita semua dapat bersama-sama dalam mengharungi saat sukar ini secara kolektif dan membantu pihak kerajaan menurunkan kadar jangkitan kepada dua digit dan akhirnya mencapai angka sifar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Lebih 9,000 individu hilang kerja setakat September

SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 9,423 individu di negeri ini diberhentikan kerja antara 1 Januari hingga 30 September lalu, kata EXCO pembangunan modal insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata laporan oleh Jabatan Tenaga Kerja Selangor melibatkan 8,165 pekerja tempatan dan 1,258 pekerja asing.

Menurutnya, antara sektor terkesan ialah pembuatan, pembinaan, borong dan peruncitan, professional dan teknikal, penginapan, makanan serta pengangkutan.

“Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19 berlanjutan hingga suku kedua 2020, berlaku pengurangan bilangan penduduk bekerja dalam tempoh tersebut.

Mohd Khairuddin Othman pada sesi soal jawab sempena sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bilangan penganggur pula naik kepada 161,300 orang pada kadar 4.6 peratus,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mohd Khairuddin berkata kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati majoriti penganggur berada dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun iaitu seramai 47,700 orang.

Menurutnya, ia diikuti penduduk berusia 25 hingga 34 tahun (35,600), 35 hingga 44 tahun (11,200) dan 45 tahun ke atas (8,900).

“Penganggur di bandar seramai 98,700 orang, manakala luar bandar berjumlah 4,700,” katanya lagi.

Mengikut pindaan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 2019, minimum usia 13 tahun dibenarkan bekerja secara ringan tanpa mendatangkan bahaya, keburukan dan menjejaskan persekolahan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gaji pekerja asing, kereta terbang antara isu penting Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Usaha kerajaan mengurangkan kadar guna pekerja asing serta perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu penggajian pekerja asing yang mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan itu akan diajukan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada Menteri Sumber Manusia semasa sesi soal jawab lisan.

Abdul Azeez juga dijangka bertanyakan keberhasilan usaha mengurangkan kadar pengangguran warga tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19.

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAKATAN-Lumut) dijadual bertanyakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang dan sama ada ia masih diteruskan di bawah kementerian itu.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) akan mengajukan soalan mengenai rasional mewujudkan kementerian khusus yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan air serta objektif dan fokus utama kementerian berkenaan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-14 ini akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, dijangka melibatkan tujuh kementerian.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan Aturan Mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Wartawan maut selepas kerja lebih masa 159 jam

TOKYO, 6 OKT: Penyiar awam Jepun berjanji untuk memperbaharui amalan kerja mereka selepas seorang wartawan muda maut ekoran kegagalan jantung selepas melakukan kerja lebih masa selama 159 jam, dalam tempoh sebulan, lapor AFP.

Wartawan NHK, Miwa Sado, 31, yang membuat liputan berita politik di Tokyo, didapati maut di atas katilnya pada Julai 2013, dalam keadaan memeluk telefon bimbitnya.

Setahun kemudian, pihak berkuasa Jepun berkata, kematiannya dikaitkan dengan tempoh kerja berlebihan.

NHK akhirnya mendedahkan kes itu empat tahun kemudian, selepas mendapat tekanan daripada ibu bapa Sado untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Kes itu sekali lagi menyoroti masalah di Jepun yang terkenal dengan kerja keras atau melebihi masa yang menyebabkan banyak kematian berlaku dalam kalangan rakyatnya.

Kejadian terbabit menjadi satu tamparan buat NHK untuk melawan budaya kerja lama yang diamalkan di negara itu dan berjanji memperbaiki waktu kerja di bahagian penyiaran.

Agensi berita terbabit sebelum ini aktif melaporkan kematian tragis di syarikat lain, termasuk pembunuhan seorang wanita muda, di agensi pengiklanan utama Dentsu, pada 2015 selepas bekerja lebih 100 jam selama sebulan.

“Kami mohon maaf atas kehilangan seorang wartawan yang sangat baik dan mengambil serius kematiannya ekoran kerja berlebihan,” kata Presiden, Ryoichi Ueda.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Malaysia bakal hilang 65% pekerjaan pada 2027?

OLEH AKMAL NASIR

Saya ambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa peningkatan penggunaan kemajuan teknologi dapat melihat Malaysia kehilangan 65 peratus daripada pekerjaan semasa pada tahun 2027.

1. Bagi saya, tenaga kerja mahir tempatan perlu diperkasakan dengan kemahiran untuk memanfaatkan bakat dan potensi mereka yang sepatutnya sejak dahulu.

Ketika ini hanya 28 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi dan jumlah itu satu angka yang agak rendah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain yang telah mencapai tahap 40 peratus tenaga kerja mahir di kala­ngan rakyatnya.

Jumlah ini ternyata tidak selari dengan keperluan ekonomi abad ke-21 yang menekankan penguasaan kemahiran yang tinggi, penguasaan teknologi maklumat (IT), kreativiti dan inovasi.

Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja berkemahiran tinggi daripada keseluruhan tenaga kerja sebagai usaha menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

2. Saya melihat trend ekonomi digital dunia bergerak terlalu pantas tetapi bagi Malaysia? Pada tahun 1985, Malaysia banyak bergantung kepada pelaburan luar dan pemindahan teknologi melalui Dasar Pandang ke Timur yang diharapkan menjadi alat untuk membawa Malaysia ke status negara maju.

Manakala sebelum tahun 1985, Malaysia bergantung kepada hasil eksport komoditi. Berikutan kejatuhan harga komoditi dunia bermula pada tahun 1985, Malaysia ditransformasi kepada negara perindustrian. Namun, kajian menunjukkan syarikat multinational tidak berminat memindahkan teknologi mereka ke negara lain.

Nyata sekali pemindahan teknologi tidak berlaku mengikut seperti yang kita rancangkan. Tidak seperti Malaysia, Korea dan Taiwan tidak bergantung kepada pemindahan teknologi malah mereka sendiri belajar dan mencipta teknologinya tersendiri.

3. Jelas menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara gagal meskipun hampir ke tahun 2020. Semakin maju sesebuah negara, semakin canggih pula cara penyelewengan dan penipuan yang berlaku di dalam bidang perdagangan atau politik.

Segalanya akan gagal jika rakyat tidak rajin dan berdisiplin. Tanpa sifat seperti jujur dan amanah maka akan berlaku penipuan, di mana satu pihak cuba menjatuhkan dan merosakkan pihak yang lagi satu.

Kejayaan wawasan juga tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi atau kesempurnaan sesuatu sistem yang diamalkan.

4. Pencapaian kebendaan atau ekonomi semata-mata tidak menggambarkan atau membuktikan kemajuan yang sebenarnya. Apalah ertinya kekayaan material jika kehidupan anggota masyarakat terancam oleh berbagai jenis jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.

5. Sumber negara yang paling penting ialah rakyatnya. Pembangunan sumber tenaga manusia banyak bergantung kepada perubahan nilai dan sikap dikalangan penduduknya

Etika juga merupakan tingkah laku atau perangai yang boleh dibandingkan dengan tabiat dan kelakuan manusia. Tabiat terbina di atas tiga unsur iaitu ilmu, kemahiran dan keinginan.

Ketiga-tiga unsur penting itu perlu diasah dan dipupuk dan seterusnya dihayati bagi melahirkan individu yang dinamik dan dapat meningkatkan hasil kerja yang cemerlang.

*Akmal Nasir adalah Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN