Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Provokasi cemar keharmonian perbahasan

AYER KEROH, 7 DIS: Pembahas Wanita KEADILAN membidas tindakan provokasi beberapa perwakilan sebelumnya kerana didakwa tidak menyentuh mengenai Ucapan Dasar Presiden sebaliknya mengeluarkan tohmahan dan ayat yang bersifat provokatif.

Nurainie Haziqah Shafii berkata, kongres ini sepatutnya menjadi medan bagi membahaskan usul yang bersifat dasar dan polisi bagi rakyat bukan usaha untuk menyerang mana-mana pihak.

“Ini bukan masa membaling batu dan mengeluarkan kata-kata provokatif. Ini masa untuk bersatu.

“Ambil contoh kongres wanita semalam, semua 14 pembahas dari setiap negeri membahaskan usul yang produktif bagi wanita. Sebab itu kongres wanita semalam berjalan lancar tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Seperti Ketua Srikandi KEADILAN dalam ucapannya, menyuarakan hasrat agar wanita diangkat sebagai pembuat keputusan utama dalam kerajaan.

“Bagaimana mahu kita mulakan cara (untuk mengangkat wanita sebagai pembuat keputusan)? Mulakan di sini (Melaka). Angkat wanita sebagai senator,” katanya.

Sesuai dengan matlamat 30 peratus pembuat keputusan terdiri daripada golongan wanita, beliau menyatakan pendapat agar sayap wanita KEADILAN terus diberi mandat dan autonomi untuk mengangkat martabat wanita.

Beliau turut memuji Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai dokumen penting dasar Kerajaan Pakatan Harapan yang selari dengan asas perjuangan KEADILAN.

Nurainie Haziqah turut menggesa anggota KEADILAN terutama wanita agar lebih rajin turun ke bawah dan memberi pencerahan mengenai dasar ini.

Dalam sesi perbahasan itu, ucapan pembahas daripada Ketua Cabang Hulu Rajang dari Sarawak, Abun Sui Anyit antara yang mencuri tumpuan.

Katanya, sikap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengenepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan parti patut dijadikan contoh oleh anggota parti.

“Kebersamaan ini akan menjadikan parti kita lebih kuat dan lebih dinamik untuk memimpin negara kita pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, jalinan kerjasama yang dipamerkan mereka juga dapat menguatkan moral anggota KEADILAN Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Perkara sama turut disentuh pembahas Pulau Pinang, Gooi Hsiao-Leung dan Perlis, Bb Shahinaz Ghulam Hyder yang menekankan soal penyatuan dalam KEADILAN bagi mendepani cabaran akan datang.

Bb Shahinaz dalam perbahasannya turut menyarankan kepada Anwar untuk lebih kerap turun bertemu pimpinan Negeri Perlis terutama pada musim buah harumanis.

Wakil Sabah Adamn Fistival pula menggesa akar umbi mematuhi peraturan parti dan tidak menggangu keharmonian parti.

Wakil tunggal Orang Asal dari Pahang, Yusri Ahon pula berharap Kerajaan Persekutuan melaksanakan manifesto terutama melibatkan Orang Asal.

“Laksana manifesto terutama melibatkan Orang Asal termasuk penutupan Lynas. Jangan sampai Orang Asal berpatah arang, berkerat rotan baru nak terngadah,” katanya.