Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan hutan diarah kenal pasti lokasi risiko, pasang sistem amaran elak bencana

KUALA LUMPUR 11 JAN: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diarah supaya segera mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dilanda bencana di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah itu sebagai tindakan serta-merta untuk mengelakkan insiden lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat serta banjir besar, baru-baru ini.

Beliau berkata setakat ini JPSM telah menggunakan aplikasi sistem Forest Monitoring using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara masa nyata.

“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan berkenaan selamat kepada penduduk setempat serta orang awam.

Takiyuddin menjelaskan dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Beliau berkata SFM merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (SMS), Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I).

“Selain itu, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan atau enakmen perhutanan di negeri-negeri,” katanya.

Takiyuddin berkata kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada tahun 2016.

Justeru, beliau berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) komited dalam memastikan kekayaan sumber asli kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tindakan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040, selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat dipersetujui dalam Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putarajaya yang dipengerusikan beliau.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jepun ingin kongsi pengalaman, kepakaran urus bencana dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Kerajaan Jepun menyatakan hasrat untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di bidang pengurusan risiko bencana dengan Malaysia dalam usaha mengurangkan kesan bencana ke atas manusia di peringkat global.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko berkata Negara Matahari Terbit itu berharap untuk membangunkan kerjasama selanjutnya dengan Malaysia dalam bidang pengurusan risiko bencana yang akan menjadi tonggak penting kerjasama antara kedua-dua negara.

“Seperti banjir besar yang melanda Malaysia baru-baru ini, saya harap kita dapat menjalin kerjasama lebih lanjut memandangkan kerajaan Jepun giat berkongsi pengalaman dan kepakaran sedemikian di peringkat global dalam usaha mengurangkan kesan bencana kepada rakyat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Misi Bantuan Pascabanjir Kedutaan Jepun dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Pusat Pelancongan Malaysia di sini hari ini.

Takahashi berkata penilaian lanjut diperlukan untuk mewujudkan strategi jangka panjang dalam kerjasama pengurusan risiko bencana antara kedua-dua negara.

“Masih terlalu awal untuk menyatakan secara khusus apa yang kita (kerajaan Jepun) boleh tawarkan… Kita perlu berbincang dengan kerajaan Malaysia bagi mengetahui apa yang boleh dilaksanakan di sini,” katanya.

Sementara itu, Takahashi berkata Malaysia dan Jepun telah melalui hubungan dua hala yang sangat baik melalui Dasar Pandang ke Timur yang akan menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini.

Beliau berkata dasar berkenaan menyediakan peluang untuk mengeratkan lagi hubungan menerusi program latihan dan interaksi di peringkat akar umbi serta pertukaran budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dan Jepun.

“Saya yakin hubungan ini terus berkembang pada tahun mendatang dan saya tidak sabar-sabar untuk berbincang dengan rakan-rakan Malaysia cara meningkatkan hubungan ini untuk generasi masa depan,” katanya.

Takahashi hari ini menghadiri majlis Misi Bantuan Pascabanjir iaitu kerjasama antara Kedutaan Jepun dan MOTAC, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Alumni Program Persahabatan ASEAN-Jepun Abad Ke-21 Malaysia dan Homestay Malaysia.

Misi yang dirasmikan oleh Takahashi dan Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Noor Zari Hamat telah mengumpul sejumlah RM150,000 dan akan diagihkan dalam bentuk wang tunai dan bantuan banjir di lapan lokasi di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan pada 8 dan 9 Jan ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
ADN SELANGOR

Negeri, pusat perlu teruskan kerjasama tangani wabak demi rakyat

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerjasama Kerajaan Selangor dan persekutuan bagi menangani pandemik Covid-19 perlu diteruskan demi keselamatan rakyat, kata ketua pembangkang.

Datuk Rizam Ismail berkata meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpengalaman luas mendepani wabak, namun agensi negeri dan wakil rakyat lebih mahir mengurus kebajikan rakyat.

“Dalam keadaan sekarang kerajaan persekutuan atau Selangor tidak boleh bergerak sendiri menyelesaikan masalah tanpa penglibatan wakil rakyat atau pemimpin setempat.

“Apa yang dapat saya simpulkan kegagalan melawan Covid-19 disebabkan tiada keseragaman gerak kerja atau kebersamaan KKM, negeri dan pemimpin daerah mengurus pandemik,” katanya pada ucapan perbahasan dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau juga kesal data pesakit Covid-19 dan penerima vaksin oleh KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor tidak digunakan sebaiknya selain tidak dikongsi dengan negeri.

Selain itu, Rizam yang juga wakil rakyat Sungai Air Tawar berkata kerjasama kelompok perlu dititikberatkan supaya perancangan dibuat sebaiknya sekali gus mencapai imuniti kelompok.

“Saya kira Kerajaan Negeri memberikan pelbagai idea mengatasi masalah ini. Pelbagai inisiatif serta bantuan diberi bagi memastikan rakyat boleh meneruskan hidup seperti biasa,” katanya.

Pada 15 Jun, Kerajaan Selangor dan persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Sebelum ini, hanya 43,000 orang disuntik setiap hari di negeri ini tetapi pelbagai langkah baharu diambil dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 bagi meningkatkan suntikan vaksin.

Categories
AGENDA GLOBAL

Asean: Ikrar kerjasama, komitmen tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Menteri Pertahanan Asean komited untuk saling bekerjasama dalam mengendalikan jangkitan Covid-19 yang telah menjejaskan kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi serta keselamatan dan kestabilan serantau.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) di Hanoi, Vietnam, negara anggota mengesahkan komitmen mereka ke arah meningkatkan kerjasama, termasuk dalam kerjasama perubatan ketenteraan dan perkongsian maklumat, untuk memastikan persekitaran aman, selamat dan stabil.

Menteri berkenaan bersetuju untuk memanfaatkan Rangkaian Pakar Pertahanan Kimia, Biologi dan Radiologi Asean untuk meningkatkan jaringan profesional, dan menggalakkan kerjasama saintifik dalam mengendalikan wabak penyakit berjangkit.

“Kami (Menteri Pertahanan Asean) dengan ini berikrar untuk kekal komited dalam melaksanakan tugas kami dan kekal bersatu dalam usaha menangani wabak Covid-19 untuk kebaikan rakyat negara Asean,” menurut kenyataan itu.

Dalam mengendalikan Covid-19, menteri berkenaan menggesa kerjasama padu menerusi pelbagai forum termasuk Pusat Perubatan Ketenteraan Asean; Persidangan Ketua Turus Perubatan Ketenteraan Asean, Persidangan Perubatan Ketenteraan Asean serta kerjasama dengan rakan luar mereka dalam Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Ketenteraan, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean-Campur (ADMM-Campur).

Kenyataan itu juga menggalakkan inisiatif dan cara baharu yang akan menyumbang kepada usaha Asean secara menyeluruh untuk menangani berita palsu berkaitan jangkitan Covid-19 dan memastikan rakyat mendapat maklumat betul mengenai keadaannya.

Menteri Pertahanan Asean berkenaan turut merakamkan simpati kepada negara, komuniti dan individu yang terkesan dengan wabak itu.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerjasama dengan Umno bukti PAS redha khianati amanah rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Tindak tanduk PAS menjalin kerjasama dengan Umno membuktikan parti itu merelakan pelbagai pengkhianatan Umno terhadap rakyat dan negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, parti seperti itu wajar ditolak rakyat khasnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia.

“Walaupun dulu kawan kita tetapi sekarang dia dah kawan dengan Umno-Barisan Nasional (BN). Sekarang, ceramah pun dia dengan Umno-BN.

“Kalaulah dah berkawan dengan Umno-BN maknanya kerosakan yang dibuat selama ini, pencurian dibuat Najib Razak, rosaknya asas ekonomi negara yang dibuat Umno-BN selama ini diredhai oleh seorang lagi calon yang kononnya nak bawa suara rakyat,” katannya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PAKATAN) PRK DUN Seri Setia, di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, pengundi di Selangor jangan terpedaya dengan janji PAS kononnya mahu melaksanakan proses semak dan imbang antara pembangkang serta kerajaan.

Katanya, persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung baru-baru ini membuktikan proses imbang dan semak di dewan itu sedang berjalan dengan baik.

Beliau berkata, pada persidangan DNS lalu, seramai 35 wakil rakyat termasuk tiga daripada lima pembangkang memainkan peranan berkesan dengan tampil memberi teguran kepada Kerajaan Negeri berhubung dasar.

Categories
NASIONAL

PKR sedia jalin muafakat dengan pihak dukung agenda reformasi

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 JULAI: PKR bersedia menjalinkan muafakat dengan pihak yang bersetuju untuk mendukung agenda reformasi dalam Pakatan Rakyat (Pakatan).

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata Pakatan dijangka akan terus berkembang selagi pihak yang bersama gabungan itu komited terhadap polisi yang dibawa.

“Sebelum ini ada Barisan Alternatif, selepas 2008 ada Pakatan dan ia akan terus berkembang.

invest 3“Sekarang kita ada tiga anggota, mungkin selepas ini lima atau enam asalkan mereka komited terhadap reformasi yang diperjuangkan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Invest Selangor di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) diserap dalam Gabungan Harapan Baru (GHB), beliau meminta supaya tiada spekulasi dibuat berhubung perkara itu.

Sebaliknya, beliau berkata, adalah lebih baik jika ia disahkan sendiri pihak berkenaan.

“Saya baca berita itu tetapi bukan posisi saya untuk komen, jadi adalah lebih baik jika dapat pengesahan daripada kepimpinan GHB.

invest 2“Jangan buat spekulasi kerana saya tidak tahu perkara itu ada kebenaran atau tidak. Saya ingat lebih baik perkara itu dirujuk kepada pihak yang terlibat dalam gerakan berkenaan,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Berhubung kemungkinan KITA diterima dalam Pakatan, Mohamed Azmin berkata, ia perlu dibincang terlebih dahulu dan bergantung kepada persetujuan polisi dalam Pakatan.

Terdahulu, GHB mensasarkan untuk mengambil alih KITA dan melancarkan semula pada Hari Merdeka sebagai alternatif kepada PAS.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR terbuka jalin kerjasama atas prinsip keadilan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersedia menjalin kerjasama dengan semua pihak atas prinsip menegakkan keadilan untuk rakyat Malaysia bukan berdasarkan emosi.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata ia termasuk mengadakan kerjasama dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

tian chua pic“Kita harus berbincang secara kolektif apa yang harus dibuat. Kita tak tawar kerjasama kerana emosi tetapi melihat apa agenda yang akan dibawa oleh mana-mana ahli politik sama ada Tun Dr Mahathir, Muhyiddin atau sesiapa sahaja.

“Paling penting adalah apa agenda yang mereka perjuangkan. Sebelum kita buat sebarang keputusan arah tuju, kena lihat apakah hakikat, hasilnya dan perjuangan ini akan bawa ke mana.

“Kita akan berbincang dalam sehari dua dan memantau keadaan dari semasa ke semasa sebelum buat keputusan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Muhyiddin digugurkan daripada kerusi Timbalan Perdana Menteri dalam satu rombakan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rombakan itu dikaitkan dengan percubaan Najib untuk menyelamatkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan juga siasatan 1MDB.

-NFN-

Categories
NASIONAL

AMK Gesa PR Asak ROS Luluskan Pendaftaran PR

kongres PKR 3

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa agar Pakatan Rakyat (PR) mengasak Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya segera meluluskan pendaftaran PR sebagai sebuah entiti.

Ini kerana menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kegagalan berbuat demikian hanya menyukarkan untuk PR bergerak sebagai sebuah entiti sehingga berlaku pertembungan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Ia masih menunjukkan kelemahan PR untuk menjamin kesatuan dan kerjasama dalam memfokuskan sasaran dengan menumbangkan satu sahaja musuh; BN.

“Sehubungan itu, sudah sampai masanya, bagi PR terus menggasak ROS bagi meluluskan PR sebagai sebuah entiti dengan fokus ‘satu parti, satu bendera, satu pengerusi dan satu manifesto,” ujar Shamsul dalam ucapan dasarnya dalam Kongres AMK di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Sebelum ini, PR mengemukakan permohonan pendaftarannya pada 2010 namun menghadapi halangan yang mana ROS mengkehendaki ia didaftar sebagai ?Pakatan Rakyat Malaysia?.

ROS turut menolak pendaftaran PR dengan alasan Datuk Zaid Ibrahim yang ketika itu bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran tersebut sudah keluar dari PR.

PR selepas itu memasukan pendaftaran baru dengan menamakan Datuk Kamaruddin Jaffar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja PR yang baru.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada 3 Januari lalu, sehingga kini RoS masih tidak  memberikan sebarang jawapan terhadap permohonan tersebut.