Categories
AGENDA NASIONAL

Dulu jururawat kini jadi anggota bomba

SEREMBAN, 7 MAC: Minat yang mendalam terhadap tugasan berat dan lasak mendorong Normaisarah Ibrahim, 31, meninggalkan kerjayanya sebagai jururawat tujuh tahun lepas demi memenuhi cita-cita menjadi seorang anggota bomba dan penyelamat.

Normaisarah berkata meskipun kerjaya berkenaan didominasi kaum lelaki, namun beliau mahu membuktikan dirinya setanding dengan mereka, sekali gus mampu menggalas tugas sebagai anggota bomba yang sentiasa bersiap sedia menempuh segala cabaran.

“Saya sukakan cabaran dan meminati kerjaya dalam bidang yang memerlukan kita bergerak aktif, oleh sebab itu saya beralih menjadi anggota bomba yang memang telah lama saya idamkan.

“Ditambah pula saya suka berinteraksi dengan masyarakat. Menerusi kerjaya ini, saya boleh menabur bakti kepada mereka menerusi aktiviti khidmat masyarakat, penyelamatan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan ini berkata, beliau mula berkhidmat sebagai anggota bomba pada 2017 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dan antara tugas pertamanya ialah memadam kebakaran dan tugasan khidmat khas seperti menyelamat mangsa kemalangan.
Bagaimanapun, Normaisarah berkata sejak tiga tahun lepas, beliau ditugaskan di unit khas medik Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang memberi perawatan awal kepada mangsa terlibat dalam kemalangan.

Berkelulusan Diploma Kejururawatan dari Masterskill University College of Health Sciences, Kuala Lumpur pada 2011, wanita kental ini berkata pengalamannya sebagai jururawat juga turut diaplikasikan ketika bertugas di unit EMRS dengan lebih baik.

“Dua hari lepas, saya terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan, dua maut dan tiga lagi cedera akibat tersepit. Melalui pengalaman, saya dapat menilai tahap kesedaran mangsa kemalangan dengan cepat serta memberi rawatan awal kepada mereka yang cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Bercerita lanjut, Normaisarah berkata antara tugasan yang paling mencabar ialah sewaktu melakukan penugasan kecemasan harian yang prosedurnya dilaksanakan dengan lebih ketat susulan negara dilanda pandemik Covid-19.

Jelasnya, setiap anggota perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan iaitu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) walaupun berdepan dengan kes kecemasan biasa.

“Apabila menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kemalangan jalan raya atau kebakaran, kami perlu memakai PPE dalam keadaan cuaca panas ditambah perlu memegang hos seberat 16 kilogram untuk memadam kebakaran,” katanya yang telah terlibat lebih 30 kes operasi memadam kebakaran dan khidmat khas.

Normaisarah menasihati golongan muda terutama wanita yang mahu menceburi kerjaya sebagai anggota bomba dan penyelamat perlu mempunyai mental dan fizikal yang kuat selain tidak mudah putus asa.

“Saya percaya kita sebagai wanita mampu mengalas tugas ini dengan baik setanding dengan lelaki,” katanya yang menyimpan hasrat untuk menjadi pegawai bomba wanita yang berjaya dan memberikan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan mahu sektor latihan kemahiran dibenar operasi

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) meminta kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan sektor latihan kemahiran di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) serta program penempatan kerjaya beroperasi termasuk merentas daerah atau negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Setiausaha Agung PKPB Muhammad Rizan Hassan berkata ini kerana pelatih kemahiran hanya boleh diberi latihan 30 peratus secara teori dalam talian manakala selebihnya memerlukan mereka berada di lapangan.

Beliau berkata mereka perlu berada di lapangan kerja bagi pelaksanaan latihan praktikal dan tanpa kehadiran secara bersemuka akan memberi implikasi besar kepada kompetensi mereka untuk diterima bekerja.

“Tambahan pula, mereka adalah golongan belia yang sedang kita persiapkan untuk memasuki pasaran kerja sektor penting negara seperti perkilangan, pembuatan, pertanian dan lain-lain.

“Begitu juga bagi Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)… beberapa program bersifat teknikal yang memerlukan kehadiran fizikal di tempat latihan perlu diteruskan seperti biasa,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan kursus teknikal di bawah inisiatif itu adalah jangka pendek yang kurang sebulan dan tanpa latihan praktikal, adalah amat sukar bagi peserta memahami ilmu kemahiran yang diajar.

“Di tambah pula, peserta yang menyertai program ini akan terus diserapkan bekerja dengan majikan-majikan yang telah bersedia menerima mereka.

“Manakala, program PenjanaKerjaya Perkeso juga menerima impak apabila halangan merentas daerah dan negeri menyebabkan pencari kerja tidak berpeluang mendapatkan pekerjaan dalam suasana ekonomi mencabar… pencari kerja memerlukan pekerjaan dengan segera dan kelonggaran perlu diberikan kepada kumpulan ini,” katanya.

Muhammad Rizan berkata semua gerak kerja Skim Perantisan Nasional (SPN) dan inisiatif peluang kerjaya oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti pameran dan taklimat kerja serta temuduga terbuka juga perlu dibenarkan dalam skala kecil.

“Usaha membantu golongan Belia NEET (Not in Employment, Education and Training) termasuk belia menganggur, belia lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi atau kemahiran perlu digerakkan dengan serius dan pantas… kumpulan ini boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi atau pun pengangguran,” katanya.

Beliau berkata penangguhan latihan dan halangan-halangan untuk kesemua senario itu hanya akan menyebabkan mereka yang terlibat hilang minat meneruskan latihan dan majikan berdepan tiada tenaga kerja yang diharapkan manakala hasrat kerajaan untuk penggantian pekerja asing juga semakin sukar dicapai.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

2,000 keluarga dijangka keluar senarai asnaf

SHAH ALAM, 17 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka 2,000 keluarga keluar daripada senarai asnaf hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata program Blueprint Pembangunan Asnaf tahun lalu berjaya membantu golongan itu dari aspek modal serta pendidikan.

“LZS tidak fokus generasi pertama saja malah generasi kedua diberi bantuan pelajaran dan kemahiran. Apabila mereka bekerja kita harap mereka akan bantu keluarga.

“Setakat ini 16,000 anak asnaf dibantu dan 8,000 masih belajar termasuk di luar negara dalam pelbagai bidang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sistem e-Perjanjian, hari ini.

Beliau menjelaskan LZS turut membantu anak golongan itu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian selain memberi kursus membuat pengenalan diri (resume) serta cara menghadiri temu duga.

“Sekarang kita laksanakan Kempen Jom Kerja di beberapa syarikat seperti Pasar Raya Mydin, Proton, Mr DIY dan Top Glove. Melalui kempen ini kita bantu mereka cari pekerjaan,” katanya.