Categories
AGENDA NASIONAL

Kudrat terbatas akibat kemalangan, tetap gigih beri khidmat tunda kereta percuma

DENGKIL, 28 DIS: Walaupun kesihatan diri kurang memuaskan ekoran kecederan teruk selepas terlibat dalam kemalangan tiga tahun lepas, situasi itu tidak melunturkan niat murni K Maniam Rajoo, 46, untuk menawarkan perkhidmatan tunda kereta dan motosikal secara percuma kepada mangsa banjir dekat sini.

Beliau berkata selepas mengalami patah di kedua-dua belah tulang rusuk, leher serta kaki kanan akibat kemalangan itu, pergerakan dan tenaga beliau tidak seperti sebelumnya, namun apabila kudratnya didamba bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan, terutama di saat yang kritikal, beliau tetap bangkit untuk menyahut panggilan.

Katanya susulan kejadian banjir besar 18 Dis lepas, beliau bersama empat rakannya turut menyumbang tenaga mereka dengan ikhlas, tanpa bayaran, untuk menunda kereta serta motosikal, sebaik sahaja dihubungi beberapa jiran yang meminta mereka menunda kenderaan agar tidak ditenggelami air, atau untuk dihantar ke bengkel.

K Maniam Rajoo memastikan motosikal yang terjejas dibawa dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pusat servis ketika tinjauan di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Kesemua jiran dan rakannya itu tinggal berhampiran kawasan kediamannya di Pangsapuri Jenderam Indah, di sini.

“Mereka tahu saya buat bisnes (perniagaan) perkhidmatan tunda dan saya ada lori kren. Ketika itu (18 Dis) air sudah mulai naik paras pinggang orang dewasa di kawasan kediaman kami,” kata bapa kepada tiga anak itu kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

“Saya pun bergegas ke lokasi sekitar pukul 8 malam berdasarkan maklumat dari pemanggil. Kami tunda kereta dahulu ke tempat tinggi,” katanya yang mempunyai tiga lori kren bagi muatan lima tan, 10 tan dan 15 tan.

Menurutnya sehingga kini 20 kereta dan 15 motosikal telah ditunda ke bengkel bagi tujuan pembaikan setelah banjir surut sejak tiga hari lepas.

“Saya harap perkara ini dapat diuar-uarkan sebab ramai tidak tahu saya tawarkan perkhidmatan ikhlas ini secara percuma. Niat saya ikhlas, jadi saya bantu untuk tunda sampai ke bengkel yang mereka tetapkan supaya mereka puas hati dengan perkhidmatan saya dan mempercayai saya,” kata beliau yang berasal dari Changlun, Kedah.

Sementara itu pemilik bengkel motosikal NPS Motorcycle Workshop, A Devarajoo, 42, berkata beliau mengenakan harga berpatutan kepada pemilik yang menghantar motosikal mereka untuk dibaiki setelah rosak akibat bencana banjir, memandangkan mereka perlu membiayai pelbagai kos kerosakan barangan lain.

A Devarajoo membaiki motosikal milik salah seorang mangsa banjir di bengkel miliknya, NPS Motorcycle Workshop di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Anak jati Selangor itu berkata dengan bantuan dua pekerjanya, beliau sedaya upaya akan menyiapkan kerja-kerja pembaikan motosikal agar dapat dipulangkan kepada pemilik dengan segera, dan biasanya kos yang dikenakan adalah antara RM100 dan RM200 sahaja.

“Biasanya motosikal yang ditenggelami banjir akan rosak pada bahagian ‘palam pencucuh’ dan penapis udara. Selepas baiki, saya akan servis dengan menukar minyak hitam,” katanya yang baharu memulakan operasi bengkel di Kampung Lalang, di sini tiga bulan lepas.

Pemilik bengkel kereta ZAS Auto, Mohd Hamizul Jubri, 46, pula berkata sehingga kini beliau menerima hampir 10 kereta daripada pemilik di sekitar Dengkil dan Shah Alam yang perlu dibaiki selepas rosak akibat banjir.

Mohd Hamizul Jubri memulakan kerja mengasingkan bahagian-bahagian dalam kereta yang diselaputi lumpur di bengkel miliknya ZAS Auto, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Mekanik yang telah membuka bengkel sejak empat tahun lepas itu berkata antara masalah yang dihadapi kereta ditenggelami air adalah masalah elektrik, enjin atau ‘gear box’ dan sistem penghawa dingin dimasuki air.

“Walaupun kerja agak rumit, tapi saya anggap kereta-kereta ini macam kereta saya sendiri. Saya akan buat kerja dengan teliti agar pemilik berpuas hati dan tiada istilah harga tinggi. Saya caj pada harga berpatutan yang penting mereka puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Yan: Peruntukan RM1.1 juta baik pulih sawah musnah

ALOR SETAR, 28 OGOS: Sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat fenonema kepala air, pada 18 Ogos lepas.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) peruntukkan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut, Isnin lepas.

“Peruntukan berjumlah RM495,000 (daripada RM1.1 juta) akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

“Sementara RM555,000 untuk kegunaan membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, putaran tanah sawah, meratakan tanah dan pemulihan kesuburan tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.

Dalam pada itu, pelbagai agensi dan jabatan berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha memulih dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan.

Sementara itu, MAFI memaklumkan laporan keseluruhan kerosakan khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000 ekoran bencana itu.

Nilai itu meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Wujudkan sistem talian khas bersepadu, tangani jalan rosak – pakar

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Masalah jalan berlubang yang umpama mimpi ngeri bagi pengguna dilihat bagai tiada penghujung kerana kebanyakannya lambat diselesaikan berikutan ketiadaan penyelarasan bagi setiap aduan jalan rosak, kata pakar.

Timbalan Pengarah Institut Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengurusan Mampan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Prof Ir Dr Ahmad Kamil Arshad berkata sistem talian khas bersepadu melibatkan koordinasi semua pemilik jalan antara langkah terbaik yang boleh diguna bagi menyelaraskan setiap aduan jalan rosak atau berlubang ditangani segera.

“Pihak yang menyelenggara sesuatu jalan itu lazimnya sudah mengetahui ia di bawah tanggungjawabnya, namun masih ramai pengguna tidak tahu untuk menyalurkan aduan dan mereka akan menyalahkan satu pihak sahaja, jadi aduan mungkin akan lambat atau tidak sampai,” katanya.

Ahmad Kamil berkata selain penyelenggaraan jalan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR), kebanyakan jalan di negara ini termasuk jalan bandaran dimiliki oleh agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya berpandangan jalan di bawah seliaan JKR dan konsensi lebuh raya tidak banyak masalah kerana mereka mempunyai pegawai terlatih dan pengawasan mereka juga secara berkala, namun tidak bagi PBT yang tidak ada pasukan tindak balas yang dapat menerima aduan dan memulakan tindakan membaiki kerosakan jalan.

“Seharusnya, PBT mewujudkan pasukan tindak balas itu dan juga mereka perlu dilatih dengan kemahiran supaya setiap penyelenggaraan jalan dijalankan secara optimum dan cekap bagi mengurangkan masalah sama berulang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata selain faktor jalan lama, kepadatan trafik yang tinggi dan kenderaan berat; jalan rosak dan berlubang yang berlaku berulang-ulang disebabkan kurang pengawasan daripada pihak bertanggungjawab.

Selain itu, Ahmad Kamil menggesa supaya pihak utiliti seperti pengurusan air dapat melakukan penilaian risiko lebih awal di kawasan paip lama yang perlu diganti sebelum berlakunya kejadian kebocoran yang akan menjejaskan struktur keadaan jalan.

“Ada jalan berlubang berpunca daripada air bertakung dan mengalir di tanah dasar turapan yang melembutkan turapan itu. Meskipun proses turapan tar menggunakan bahan berkualiti, tetapi jika ada punca lain yang tidak diatasi, kerosakan jalan tetap akan berlaku,” katanya.

Sependapat dengan cadangan itu Profesor Pengangkutan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata banyak pihak yang berkuasa ke atas sesuatu jalan dan tiada tanda yang jelas pemilikan jalan antara punca penyelenggaraan jalan tidak dapat diselesaikan secara efektif.

Beliau berkata penandaan bagi milik jalan hanya ada di lebuh raya namun kebanyakan jalan lain ia tidak jelas dan mengelirukan pihak mana sepatutnya dipertanggungjawabkan.

“Sistem aduan hotline bersepadu boleh digunakan dengan turut memaparkan maklumat pemilik jalan seperti dalam aplikasi Waze. Dengan langkah mendedahkan identiti tuan punya jalan, sikap akauntabiliti kepada pihak yang berkenaan dapat ditekankan,” katanya.

Sementara itu, JKR dalam satu kenyataan kepada Bernama memberitahu selain kempen ‘Aku Janji Zero Pothole’, pihaknya akan memperkenalkan tatacara operasi piawai (SOP) yang baharu untuk semua utiliti bagi mencapai kaedah mitigasi lebih menyeluruh bagi membaiki struktur yang rosak disebabkan kerja utiliti di sepanjang jalan di bawah seliaan jabatan itu.

JKR turut memaklumkan pihaknya sedang berkolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membangunkan sistem ‘weight-in-motion’ (WiM) bagi merakam dan mengesan kenderaan yang membawa beban gandar yang berlebihan semasa melalui lokasi pengukuran tersebut.

“Sistem berkenaan dapat membantu, JKR dan JPJ memperoleh data berkaitan kenderaan lebih had muatan yang boleh memberi kesan terhadap jalan di bawah seliaannya,” menurut kenyataan itu.

Mengenai spesifikasi turapan untuk sesuatu jalan, JKR memaklumkan ia dilaksanakan berdasarkan kepada Standard Specification For Road Works Section 4: Flexible Pavement iaitu yang terkini dan selari dengan piawaian antarabangsa seperti AASHTO, Australian Standard dan British Standard yang disesuaikan dengan persekitaran tempatan.

Dalam pada itu, Pengasas Ikatan Silaturahim Lando Brotherhood Azlan Sani Zawawi yang telah melakukan aktiviti sukarela tampalan jalan sejak 2007 berkata PBT digesa menggunakan turapan sementara jenis cold mix yang berkualiti tinggi bagi membaiki fizikal jalan raya rosak termasuk yang berlubang.

Azlan Sani berkata penggunaan bahan turapan yang mengandungi bitumen tinggi itu lebih praktikal berbanding jenis hot mix yang lazimnya digunakan bagi kerja pembaikan jalan dan mengambil masa lama.

“Pada umumnya, kaedah hot mix dilakukan dengan membaiki jalan yang rosak termasuk berlubang akan mengambil masa kerana memerlukan jentera berat bagi memotong jalan tersebut sebelum jalan itu dibersih dan diturap dengan tar yang baharu.

“Namun, dengan kaedah cold mix jalan yang berlubang dapat dibaiki dengan cepat menggunakan hand compactor selain hanya kos yang rendah diperlukan bergantung kepada tahap kerosakan jalan tersebut,” katanya.

– BERNAMA