Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN gesa SPRM ganda usaha siasat Kertas Pandora

SHAH ALAM, 23 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menggandakan usaha menyiasat Kertas Pandora membabitkan individu berpengaruh yang didakwa memiliki akaun luar pesisir.

Tindakan itu untuk menentukan sama ada duit terbabit berasal daripada sumber sah atau kegiatan yang melanggar undang-undang, tegas majlis presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan ketua pembangkang sungguhpun beliau tidak memiliki sumber dan kepakaran siasatan khas,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Dalam kenyataan sama, majlis presiden terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).

Tegas mereka, sebanyak 88 peratus atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan turut dibayar meski kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

“Oleh itu, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek yang gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tegas HARAPAN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Negara sedia bantu siasat isu Kertas Pandora, kata menteri kewangan

SHAH ALAM, 11 OKT: Bank Negara Malaysia sedia bekerjasama dengan agensi penguat kuasa untuk menyiasat pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan melibatkan beberapa nama besar.

Menteri kewangan berkata sebarang aktiviti mencurigakan akaun luar pesisir sentiasa dipantau bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan badan terlibat termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam.

“Kalau ada isu yang timbul inilah agensi bertanggungjawab, kalau ada isu perlu disiasat maka Bank Negara sebagai pihak berkuasa berwibawa bawah AMLA sedia bekerjasama dan panjangkan sokongan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab isu dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perkara itu dibahaskan kerana membabitkan kesan kewangan besar terhadap negara.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Pendedahan Kertas Pandora libat kewangan negara

SHAH ALAM, 11 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan keputusan speaker Dewan Rakyat menolak untuk membahaskan isu Kertas Pandora berikutan pendedahan itu membabitkan kesan kewangan yang besar terhadap negara.

Ketua pembangkang berkata Datuk Azhar Azizan Harun harus membenarkan usul berkenaan dan pihak terbabit perlu memberi jawapan di Parlimen kerana masalah itu ternyata lebih meruncing susulan lebih banyak maklumat timbul.

Menurut ahli Parlimen Port Dickson, lebih mengecewakan speaker bertindak seolah-olah ‘peguam’ kepada nama besar dikaitkan dalam pendedahan berkenaan dengan memberikan jawapan bertentangan.

“Yang Dipertua hendak jadi peguam bagi pihak perasuah sebab apa? Saya ada dokumen bagaimana seorang menteri umpamanya boleh simpan pemain saham di sana.

“Kemudian ini bukan pengaliran keluar (dana dari Malaysia)? dari mana? dari langit? Maksudnya dari sini, sebab itu saya kait tiga perkara iaitu Laporan Integriti Kewangan Global 2012, Kertas Panama 2015 disusuli 2021 (Kertas Pandora) yang jumlah ratusan bilion,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar membantah penjelasan Azhar yang memaklumkan pendedahan dalam Kertas Pandora itu bukan berkaitan pengeluaran dana daripada Malaysia ke luar negara sebaliknya berkaitan pemegang saham di syarikat pesisir.

Pada 4 Oktober lalu, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat segera membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara melibatkan beberapa nama besar.

Bagaimanapun, Azhar menolak usul itu atas tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan aturan urusan mesyuarat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kemuka rayuan mohon benarkan usul isu Kertas Pandora dibahas

SHAH ALAM, 7 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perbahasan mengenai pendedahan Kertas Pandora dibenarkan.

Ketua pembangkang menerusi surat rayuan kepada Datuk Azhar Azizan Harun memohon supaya usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora itu yang ditolak semalam disegerakan.

“Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan.

“Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbang dengan sesegera mungkin,” katanya di Facebook hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat menolak usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara.

Azhar menolak usul atas alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan Aturan Urusan Mesyuarat.

Beliau sebaliknya mencadangkan agar perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan untuk penelitian lanjut dengan tempoh yang lebih lama berbanding ia dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen tolak usul bahas isu Kertas Pandora babit dana pemimpin negara

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dewan Rakyat hari ini menolak usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora yang didakwa membabitkan fail kewangan sulit beberapa pemimpin negara.

Usul yang dikemukan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ditolak Yang Dipetua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun atas alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan itu mengetepikan urusan-urusan yang telah ditetapkan Aturan Urusan Mesyuarat.

Azhar sebaliknya mencadangkan agar perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan untuk penelitian lanjut dengan tempoh yang lebih lama berbanding ia dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

“Saya bersetuju dengan Yang Berhormat (Anwar) bahawa perkara itu (Kertas Pandora) menepati elemen ia suatu perkara tertentu, ia perkara berkepentingan awam dan ia perkara penting yang perlu disiasat.

“Tetapi saya mendapati ia (usul) tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan kita ini didahulukan dengan Aturan Urusan Mesyuarat dan jika hendak ditepikan, maka sesuatu perkara yang hendak dibawa itu (usul) mestilah perlu disegerakan.

“Pada pendapat saya, kita ada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen termasuk bidang ekonomi yang merangkumi MOF (Kementerian Kewangan) dan saya rasa lebih sesuai jika perkara ini dibawa ke jawatankuasa pilihan khas tersebut untuk didalami dengan lebih teliti dengan masa lebih panjang, oleh itu saya terpaksa menolak usul Yang Berhormat,” katanya.

Terdahulu Anwar meminta untuk menyegerakan usul membahaskan pendedahan Kertas Pandora. Pemberitahuan bersurat memohon mengemukakan usul itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 4 Okt.

Dalam usulnya, ketua pembangkang itu meminta dewan yang bersidang membincangkan laporan Kertas Pandora yang mendedahkan kemungkinan transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara disebut melibatkan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Azhar menjelaskan terdapat kekangan peraturan untuk membincangkan isu itu kerana pendedahan Kertas Pandora itu adalah daripada laporan media berdasarkan kebocoran maklumat daripada berapa agensi.

“Dalam Peraturan 23 (1) (i) menjelaskan bahawa; sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan berkenaan dengan betul atau tidaknya penerangan-penerangan dalam surat khabar atau penerangan-penerangan yang dikeluarkan oleh seseorang bagi dirinya sendiri atau penerangan badan-badan kewangan.

“Dan jika saya baca peraturan ini bersekali dengan 18 (7) (c), itu pun satu kekangan peraturan… saya akui perkara (usul) ini penting… saya syor Yang Berhormat ambil prosedur lain dalam perkara ini. Jadi saya rasa cadangan (rujuk jawatankuasa pemilihan khas) itu lebih efektif daripada kita kena ketepikan Aturan Urusan Mesyuarat membincangkannya” katanya.

Peraturan 18 (7) (c) menyatakan apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam Peraturan-peraturan Mesyuarat.

— BERNAMA