Categories
AGENDA NASIONAL

Sambung bicara kes 1MDB babit Najib, Arul Kanda 15 Jun

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan selama 15 hari bermula 15 Jun depan untuk menyambung perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 15 hingga 18 Jun, 27 hingga 30 Julai, 10 hingga 13 Ogos dan 24 hingga 26 Ogos untuk perbicaraan kes itu semasa sebutan di hadapannya hari ini.

Beliau turut mengingatkan pihak pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria dan Nadia Zulkefli supaya menyediakan pernyataan saksi sekurang-kurangnya seminggu sebelum tarikh perbicaraan.

Ditanya berapa orang saksi lagi yang akan dipanggil memberi keterangan, Rozaliana berkata lima saksi pendakwaan masih belum disoal balas oleh pihak pembelaan dan 20 saksi lagi akan dipanggil memberi keterangan.

Najib diwakili peguam Nur Syahirah Hanapiah sementara Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Setakat ini, seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB, MKD berjaya ketepikan Award Persetujuan terhadap IPIC

KUALA LUMPUR, 27 NOV: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan Award Persetujuan terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS) di Mahkamah Rayuan di London.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Mahkamah Rayuan itu telah meminda keputusan Mahkamah Tinggi England yang menghentikan permohonan oleh 1MDB dan MKD untuk mengetepikan Award Persetujuan yang dikemukakan oleh pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap entiti Emiriah Arab Bersatu (UAE) sementara menunggu prosiding timbang tara yang dimulakan oleh IPIC dan Aabar PJS di London.

Oleh itu, Mahkamah Tinggi mengarahkan timbang tara untuk memulakan mana-mana prosiding mahkamah.

Menurut kenyataan itu, berikutan keputusan hari ini, permohonan 1MDB dan MKD untuk mengetepikan Award Persetujuan kini boleh diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi di London.

Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Canselor Sir Geoffrey Vos, Lord Justice Newey dan Lord Justice Males juga memerintahkan prosiding timbang tara selari yang dimulakan oleh kedua-dua pihak untuk dihalang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, jika Malaysia berjaya, negara akan, sebagai tambahan kepada hak-hak lain, dapat meneruskan usaha mendapatkan US$3.5 bilion yang dibayar oleh dana 1MDB kepada syarikat subsidiari IPIC.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bustari Yusof pulangkan RM3.68 juta duit 1MDB kepada kerajaan

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusof telah memulangkan wang berjumlah RM3,683,117.94 yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada prosiding sebutan permohonan melucut hak harta itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah di sini, hari ini.

Allan berkata pihak SPRM telah menerima cek berjumlah RM3,683,117.94 juta daripada pihak Bustari semalam.

“Sehubungan itu, pendakwa raya selaku pemohon telah menarik balik permohonan lucut hak terhadap Bustari selaku responden.

“Pihak pendakwaan turut diberikan arahan untuk menyahbekukan akaun Bustari,” katanya.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Bustari mengesahkan bahawa cek itu telah diserahkan kepada pihak SPRM semalam.

“Terima kasih kepada pihak pendakwaan kerana telah menarik balik permohonan lucut hak. Mohon permohonan lucut hak itu dibatalkan,” katanya yang turut dibantu oleh peguam Tiara Katrina Fuad.

Hakim Sequerah kemudiannya membatalkan permohonan lucut hak berkenaan dan berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana berjaya mencapai penyelesaian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya baru-baru ini dilaporkan berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib didakwa arah padam nama Jho Low dalam laporan akhir audit 1MDB

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Datuk Seri Najib Tun Razak selaku perdana menteri dan menteri kewangan didakwa telah mengarahkan perenggan berhubung Penyata Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berbeza dipadamkan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Mengikut Lampiran A dalam pertuduhan pindaan yang dibaca jurubahasa mahkamah, Najib juga dituduh mengarahkan nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang hadir dalam Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 26 September 2009 tidak direkodkan dalam senarai kehadiran mesyuarat tersebut walaupun sebenarnya Jho Low hadir.

Lampiran itu juga antaranya menyatakan Najib didakwa telah mengarahkan pindaan pada perenggan 2.1.3 laporan itu dengan menyatakan bahawa Lembaga Pengarah Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang ditandatangani oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Pengarah TIA, Tan Sri Ismee Ismail untuk meneruskan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

Bagaimanapun laporan asal menyatakan bahawa terbitan IMTN mendapat kecaman daripada pelbagai pihak antaranya Menteri Besar Terengganu (Diperbadankan) yang telah memberi amaran keras melalui surat bertarikh 29 Mei 2009 kepada AmBank yang didakwa terlibat dalam salah laku dan ketidakakuran semasa terbitan IMTN itu.

Najib juga selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu didakwa telah mengarahkan perenggan 2.1.6 dan 2.1.7 dalam laporan itu dipadamkan.

Antara isi kandungan kedua-dua peranggan yang diarah dipadamkan itu menyatakan Shahrol Azral mengakui terbitan bon IMTN terpaksa diteruskan kerana perjanjian program yang ditandatangani pada 15 Mei 2009 merupakan satu ‘bought deal’ di mana AmBank sebagai ‘lead arranger’ dan ‘primary subscriber’ telah mendapat langganan pasaran sekunder bagi terbitan bon tersebut.

Ahli Parlimen Pekan itu turut dituduh mengarahkan keseluruhan perenggan 4.2 bertajuk “Serahan Penyataan Kewangan Yang Berbeza” dalam laporan itu dipadamkan yang mana laporan asal menyatakan 1MDB perlu menyerahkan satu salinan penyata kewangan tahunan Kumpulan 1MDB yang telah diaudit kepada pemegang sahamnya iaitu Menteri Kewangan Diperbadankan.

Isi kandungan perenggan yang didakwa diarah dipadamkan antara lain turut menyatakan semasa mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 18 Disember 2015, seorang ahli PAC membangkitkan isu adakah benar terdapat dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014, yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan institusi kewangan yang memberi pinjaman kepada syarikat itu.

Dalam perenggan yang diarah dipadamkan itu juga dinyatakan penyata kewangan telah diaudit di mana Laporan Juruaudit Tetuan Deloitte telah dikeluarkan pada 5 November 2014, bagaimanapun semakan Jabatan Audit Negara (JAN) mendapati wujud beberapa perbezaan antara penyata kewangan yang dikemukakan oleh 1MDB kepada SSM dengan salinan yang diserahkan kepada MKD dan institusi kewangan.

Najib juga didakwa mengarahkan supaya perkataan dalam Laporan Juruaudit Tetuan Deloitte diubah iaitu perkataan “the Group” merujuk kepada 1MDB dalam perenggan ‘Available-For-Sale-Investments – Investment in segregated portfolio company’ kepada SSM manakala perkataan “Brazen” merujuk kepada syarikat Brazen Sky Ltd yang ditubuhkan oleh Jho Low, dalam perenggan sama kepada MKD dan institusi kewangan.

Najib turut didakwa mengarahkan pemadaman ayat pada perenggan yang menyatakan ‘memandangkan terdapat perbezaan yang ketara pada kedua-dua penyata kewangan tersebut adalah wajar pihak berkuasa yang terlibat membuat siasatan lanjut terhadap perbezaan tersebut’.

Bagaimanapun Najib, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan iaitu menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda seperti di Lampiran A sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu perdana menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Pindaan terhadap pertuduhan itu adalah dengan menambah Lampiran A iaitu dengan menyatakan perincian perenggan yang diarah dipadam dan dipinda.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Pertuduhan pindaan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah. Najib dan Arul Kanda masing-masing berkata, “Faham dan minta dibicarakan”.

Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes Najib dan Arul Kanda selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan.

Perbicaraan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nik Faisal diambil bekerja dengan 1MDB daripada syarikat Jho Low

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Nik Faisal Ariff Kamil diambil bekerja dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2011 daripada UBG (Utama Banking Group), syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho.

Bekas Ketua Pegawai Ekskeutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Nik Faisal dilantik ketua pegawai pelaburan (CIO) 1MDB selepas pelantikannya dipersetujui oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebenarnya, pada awalnya saya bertanya kepada Casey Tang (Pengarah Eksekutif 1MDB) sama ada beliau bersedia untuk memegang jawatan CIO….sebelum saya bertanya Jho Low sama ada beliau mempunyai cadangan lain. Beliau mencadangkan Nik Faisal… itulah bagaimana nama Nik Faisal muncul,” katanya.

Nik Faisal merupakan bekas CEO SRC International Sdn Bhd.

Saksi pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada perbicaraan kes yang dihadapi bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.

Semasa ditanya sama ada beliau boleh mengemukakan surat pelantikan Nik Faisal, Shahrol Azral, 49, berkata beliau akan cuba mendapatkan surat berkenaan daripada pegawai penyiasat kes tersebut.

Untuk rekod, Casey Tang dan Shahrol Azral dibawa berkhidmat dengan 1MDB oleh Jho Low.

Mengenai pelantikan peguam am 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, saksi itu berkata beliaulah yang bertanya kepada Jho Low sekiranya Jasmine boleh dibawa masuk.

“Jasmine juga daripada syarikat Jho Low, UBG. Pada mulanya Jho Low agak keberatan tetapi beliau berkata jika Jasmine berkata ya, beliau pun bersetuju. Saya ingat saya makan tengah hari dengan Jasmine dan berbincang dengannya mengenai peluang berkenaan (di 1MDB).

“Mengenai pelantikan Datuk Ong Gim Huat sebagai pengarah bukan eksekutif, beliau juga dibawa masuk oleh Jho Low. Kami dalam proses pengembangan syarikat dan cuba untuk mencapai aspirasi 1Malaysia Najib. Jho Low kata beliau telah berbincang dengan Datuk Seri Najib mengenainya,” kata saksi itu.

Menjelas lanjut kepada Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata Ong merupakan ahli perniagaan yang bebas dan bersih.

Muhammad Shafee kemudian merujuk minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB yang menyatakan Ong memaklumkan lembaga bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta laporan risiko suku tahunan 1MDB.

Shahrol Azral berkata beliau enggan menyediakan dokumen berkenaan kepada PAC pada mulanya kerana anggota jawatankuasa itu terdiri daripada pembangkang yang mungkin menerimanya di luar konteks dan memutarbelitkannya.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau menyerahkan dokumen berkenaan kepada PAC yang seterusnya menyebabkan pihak pembangkang mengadakan sidang akhbar.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mata bengkak Najib, kehadiran di Tanjung Piai timbulkan perdebatan

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa ia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan untuk mengelirukannya.

Ini ekoran kehadiran Najib pada hari penemaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada Sabtu di sebalik mendapat cuti sakit (MC) satu hari daripada menghadiri perbicaraan itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat peringatan itu berikutan permohonan oleh pendakwa utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram supaya mahkamah mengenakan sekatan ke atas bekas perdana menteri itu.

“Mahkamah ini tidak akan bertolak ansur dengan apa-apa percubaan untuk mengelirukannya. Sekiranya keperluan itu timbul, mahkamah tidak akan teragak-agak untuk mengenakan hukuman atas penghinaan.

“Tetapi setelah mendengar kedua-dua belah pihak, mahkamah tidak melihat sebarang keadaan untuk mengenakan sekatan,” kata Hakim Sequerah setelah mendengar hujahan kedua belah pihak.

Terdahulu, Sri Ram menegaskan bahawa pihak pendakwaan telah menerima arahan daripada Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas untuk meminta mahkamah mengenakan sekatan terhadap Najib dengan menyekatnya sekitar Wilayah Persekutuan dan melaporkan diri kepada balai polis yang paling dekat dengan rumahnya setiap hari Sabtu bermula 9 pagi.

Sri Ram berkata, pihaknya memohon perkara ini kerana adalah satu keajaiban masalah mata boleh sembuh dengan pantas selepas Khamis dan Najib kemudian boleh berada di Johor.

Beliau berkata orang ramai membantah dan pihak pendakwaan menerima banyak aduan dan satu laporan polis juga telah dibuat oleh seseorang terhadap isu tersebut.

“Kami katakan bahawa tertuduh menyalahgunakan MC untuk mendapatkan penangguhan dan memanjangkan perbicaraan. Perlu ada sekatan kerana menghina prosiding mahkamah,” kata Sri Ram.

Bagaimanapun, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa Thomas tidak melakukan penyelidikan yang betul dan hanya mengeluarkan arahan kepada pasukan pendakwaan ketika beliau (Thomas) berada di luar negara.

Muhammad Shafee berkata MC tersebut hanya untuk satu hari dan Najib berupaya pergi ke Johor kerana kegatalan pada matanya telah hilang, namun bengkaknya masih ada.

Beliau mencabar individu yang membuat laporan polis itu agar berani tampil ke mahkamah and membuat aduan.

Khamis lepas, perbicaraan terpaksa ditangguhkan kerana Najib memperoleh MC satu hari kerana alergi mata yang dikatakan membuatkan matanya membengkak dengan kerengsaan dan kesakitan.

Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah diteruskan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sebahagian individu telah beri respon berhubung kompaun 1MDB

PUTRAJAYA, 2 NOV: Sebahagian daripada individu dan entiti yang diberikan kompaun berkaitan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah memberikan respon meminta diberikan masa, pengecualian ataupun bersedia bekerjasama dalam mendedahkan penerima akhir wang tersebut, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“(Mereka) sama ada meminta pengecualian, penyelesaian, cara pembayaran ataupun mereka bersedia untuk bekerjasama untuk memberitahu kami, siapa sebenarnya yang menggunakan wang tersebut. Kami gembira untuk mendapat maklumat supaya kami boleh meneruskan siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya selepas Malam Apresiasi Media di sini malam tadi.

Beliau berkata ada antara mereka (penerima kompaun) menghantar surat representasi yang menyatakan ingin membayar, tetapi tidak dapat mampu bayar jumlah yang dituntut dalam kompaun tersebut.

Katanya ada juga yang sedia untuk membayar, tetapi mereka bukan penerima terakhir.

“Jadi jika mereka bersedia beri kita kerjasama untuk memaklumkan siapa yang menerima akhirnya duit tersebut secara salah, jadi kami akan pergi kepada orang tersebut,” katanya.

Latheefa berkata, ada sebilangan mereka telah membuat laporan polis dan kini SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya menyiasat perkara itu lebih lanjut.

Mengenai isu penyeludupan rentas sempadan, Latheefa berkata siasatan masih diteruskan dan ia bergantung kepada kerjasama pihak polis dan kastam.

“Ia satu operasi yang berterusan dan polis telah membuat tangkapan dan pertukaran. Kami harap lebih ramai orang akan tampil untuk bantu siasatan dalam mencegah bolos sempadan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lembaga Pengarah 1MDB tidak tahu perjanjian pinjaman ratusan juta

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah tahu tentang perjanjian pinjaman bernilai US $ 700 juta yang ditandatangani oleh syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Ltd (JVC) pada tahun 2009, sebelum perjanjian usaha sama sebenar antara kedua-dua syarikat itu.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang mendedahkan hal itu berkata, beliau tidak terlibat dalam perbincangan perjanjian pinjaman itu.

Shahrol Azral disoal balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada hari ke-25 perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan 1MDB.

Muhammad Shafee: Lembaga tidak pernah tahu mengenai perjanjian ini pada 29 September 2009, sebelum perjanjian JV?

Shahrol Azral: Betul

Muhammad Shafee: Jika perjanjian pinjaman ini telah dibentangkan kepada lembaga, mereka tidak akan bersetuju dengan terma-terma tersebut? Shahorl Azral menjawab “Saya setuju dengan itu”.

Ketika ditanya mengapa dia tidak memeriksa perkara tersebut dengan Najib, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, semuanya itu diuruskan oleh Casey Tang (pengarah eksekutif 1MDB) dan dia mengandaikan Casey dengan pengalamannya yang unggul, akan memastikan segala-galanya teratur.

Kepada soalan lain, saksi bersetuju bahawa dia tidak pernah melihat perjanjian pinjaman sepanjang memegang jawatannya di 1MDB dari tahun 2009 hingga 2016.

“Saya telah ditunjukkan dokumen ini (perjanjian) semasa siasatan, saya tidak ingat sama ada saya melihatnya pada tahun 2009,” katanya.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.

–BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 peratus setuju bayar kompaun 1MDB

PUTRAJAYA, 18 OKT: Kira-kira 10 peratus daripada 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyatakan persetujuan untuk membayar kompaun selepas menerima notis pada 7 Oktober lepas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki berkata, mereka yang bersetuju itu sedia untuk membayar secara ansuran dan “ia akan dibincangkan kemudian”.

Beliau berkata, 40 peratus daripada individu dan entiti terlibat mahu mengambil tindakan mahkamah manakala 45 peratus lagi menghantar surat untuk membuat rayuan.

“Tiga individu tidak mahu terima notis kompaun,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Turut menyertai sidang media berkaitan pembolosan sempadan negara akibat daripada aktiviti rasuah itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

Azam berkata jumlah kutipan daripada 80 individu dan entiti itu akan diumumkan kemudian.

Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan antara yang tersenarai dalam notis kompaun 1MDB itu, yang mempertikaikan cara pengiraan, Azam berkata SPRM mengikut undang-undang di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Kalau ada pihak yang mempertikaikan tentang cara pengiraan, itu terpulang. SPRM hanya mengikut undang-undang dan tidak ada silap pengiraan di sini,” katanya.

Mengenai proses tuntutan wang daripada 1MDB, Azam berkata satu pasukan telah ditubuhkan beberapa tahun lepas bagi mengesan aset 1MDB di seluruh dunia.

“Pasukan ini sedang cuba mengesan di mana aset-aset itu berada dan pihak mana yang boleh bekerjasama kerana ia banyak melibatkan bidang kuasa termasuk negara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland. Setiap pihak ini ada bidang kuasa tersendiri,” katanya.

Azam berkata pasukan itu akan menghubungi pihak penyiasat di negara tersebut untuk berbincang dan mendapat maklumat lanjut bagi mengesan aset 1MDB yang diselewengkan ke negara berkenaan.

Mengenai penahanan dua pegawai Felda di Pahang berhubung siasatan membabitkan pembelian Stadium Jengka, Azam mengesahkan penahanan tersebut dan kedua-dua individu itu direman lima hari.

Beliau berkata kes adalah berkaitan salahguna kuasa dan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low penghubung utama 1MDB dengan Najib

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merupakan satu-satunya penghubung antara ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika itu dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, bagaimanapun berkata Jho Low tidak mempunyai jawatan rasmi dalam 1MDB dan juga bukan penasihat khas syarikat.

Semasa perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Jho Low merupakan penasihat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB pada September 2009.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mewakili Najib pada hari ke-19 perbicaraan bekas perdana menteri itu melibatkan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Apakah jawatan Jho Low dalam 1MDB?

Shahrol Azral: Dia tidak mempunyai jawatan rasmi di 1MDB.

Muhammad Shafee: Apakah jawatan tidak rasminya dalam 1MDB?

Shahrol Azral: Dia merupakan penghubung antara 1MDB, saya dan pemegang saham tunggal Datuk Seri Najib.

Muhammad Shafee: Ini yang Jho Low dakwa pada masa itu, yang dia adalah penghubung.

Semasa ditanya siapa pemegang saham tunggal 1MDB pada Oktober 2009, Shahrol Azral berkata adalah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Najib, 66, yang juga bekas Menteri Kewangan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan pertuduhan 21 pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Diserang isu 1MDB, pejabat PM terpaksa pertahan Najib

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendedahkan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa banyak serangan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada penghujung 2014 sehinggakan Pejabat Perdana Menteri terpaksa mempertahankan Najib kerana percaya ia konspirasi kepada bekas perdana menteri itu.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata pada penghujung 2014 dan awal 2015, adalah tahun yang sukar bagi pejabat perdana menteri dan Najib sendiri kerana banyak rencana dan dokumen yang dikatakan bukti-bukti mengenai isu penyelewengan 1MDB telah dikeluarkan.

“Pada waktu itu juga terdapat begitu banyak serangan mengenai isu 1MDB dan kami di pejabat perdana menteri mengambil keputusan untuk ‘mempertahan’ kerana kami percaya itu adalah konspirasi kepada Datuk Seri Najib, ” kata Amhari Efendi ketika pemeriksaan semula oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga timbalan pendakwa raya kanan pada perbicaraan hari ke-11 kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Disoal Sri Ram siapa yang dimaksudkan dengan ‘kami’?, saksi pendakwaan kelapan itu menjawab: “ Secara spesifiknya Allahyarham Datuk Azlin Alias (ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) dan saya tetapi secara amnya pegawai senior di pejabat perdana menteri”.

Menceritakan dengan lebih lanjut, Amhari Efendi berkata pejabat pengurusan perdana menteri sering diketengahkan mengenai isu 1MDB.

“Sebagai contoh isu pengeluaran dokumen yang mengatakan duit PetroSaudi adalah duit salah guna wang 1MDB dan isu gaya hidup Jho Low yang dikatakan mewah dan cerita mengenai ‘Wolf of The Wall Street’ yang dikatakan duit itu adalah dari duit 1MDB,” katanya yang memaklumkan perkara itu berlaku antara Januari dan Februari 2015 kerana Azlin meninggal dunia pada April tahun sama.

Disoal Sri Ram apa yang saksi itu faham mengenai “Duit 1MDB la bro”, Amhari Efendi menjelaskan ayat itu dilafazkan oleh Azlin kepadanya selepas Allahyarham turun dari pejabat Datuk Seri Najib.

“Setahu saya tidak ada isu yang paling hangat diperkatakan selain daripada duit 1MDB yang diselewengkan…isu mengenai ‘Wolf of The Wall Street’ dan isu PetroSaudi merujuk kepada masalah paling hangat dan sukar pada waktu itu,” katanya.

Sri Ram: ‘Wolf of The Wall Street’ itu merujuk kepada apa?

Saksi itu menjawab: Filem yang dikeluarkan oleh Riza Aziz iaitu anak tiri Najib.

Amhari Efendi juga menafikan bahawa beliau adalah pemilik Tycoon Gain Ltd dan Aabar Investment PJS Ltd (BVI).

Sementara itu, saksi utama pihak pendakwaan itu berkata beliau tidak pernah menerima sebarang arahan daripada bekas majikannya itu untuk membuat laporan polis ketika isu penyelewengan dana 1MDB hangat diperkatakan sejak 2015.

Sri Ram: Pada bila-bila masa, 2015 hingga 2018, adakah kamu menerima sebarang arahan daripada tertuduh (Najib) supaya membuat laporan polis?

Amhari Efendi: Tidak.

Sri Ram: Ada arahan (daripada tertuduh) untuk membuat laporan kepada SPRM?

Amhari Efendi: Tidak.

Amhari Efendi, yang dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan sejak 3 Sept lepas, hari ini selesai memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan memberi keterangan.

-BERNAMA