Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah jangkitan harian turun lebih 2,800 kepada 24,466 kes

SHAH ALAM, 28 FEB: Angka jangkitan harian Covid-19 turun 2,833 kes kepada 24,466 kes semalam berbanding kelmarin, dengan jumlah pesakit serius masih rendah.

Ketua pengarah kesihatan menjelaskan 24,361 kes atau 99.57 peratus dalam kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (bergejala ringan).

“Daripada kes yang dilaporkan hari ini, 105 kes (0.43 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Majoriti pesakit masih dalam kategori 2, berikut pecahan kes mengikut kategori:

  • Kategori 1: 8,704 kes (35.58 peratus)
  • Kategori 2: 15,657 kes (63.99 peratus)
  • Kategori 3: 51 kes (0.21 peratus)
  • Kategori 4: 34 kes (0.14 peratus)
  • Kategori 5: 20 kes (0.08 peratus)

Jumlah terkumpul di negara ini 3,419,636 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 babit kanak-kanak meningkat 160 peratus

PUTRAJAYA, 17 FEB: Malaysia mencatat peningkatan kes Covid-19 sebanyak 160 peratus dalam kalangan kanak-kanak bagi minggu epid kelima hingga minggu epid keenam tahun ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia menunjukkan peningkatan dari 6,524 kes pada minggu epid kelima kepada 16,959 kes pada minggu epid keenam melibatkan kanak-kanak dengan usia baru lahir hingga 11 tahun.

“Dari segi pecahan angka, daripada 6,524 kes berkenaan, 2,282 kes adalah kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun manakala 4,242 kes ialah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Bagi 16,959 kes pula, beliau berkata ia melibatkan 6,163 kes dalam kalangan kanak-kanak berusia baru lahir hingga empat tahun dan 10,796 kes melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Merujuk kepada peningkatan kes agak membimbangkan itu, Khairy menyeru agar orang ramai membawa anak masing-masing menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dan segera menerima vaksin Covid-19 seperti ditetapkan.

Beliau berkata pendaftaran PICKids juga agak rendah dalam negara dengan angka belum mencapai sejuta pendaftaran.

“Saya juga memohon kerjasama majikan untuk membenarkan pekerja mereka membawa anak untuk janji temu vaksinasi,” katanya.

Menjawab kebimbangan orang ramai mengenai peningkatan kemasukan kes Covid-19 ke hospital, Khairy berkata biarpun angka kes meningkat, vaksin Covid-19 menunjukkan keberkesananan yang baik dalam melindungi individu daripada jangkitan lebih teruk.

Memberi contoh kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam (16 Februari) iaitu sebanyak 1,269 kes, beliau berkata 428 kes atau 33.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 841 kes lagi atau 66.3 peratus adalah pesakit kategori satu dan dua.

Bagi kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima dilaporkan semalam juga, katanya antara 75 kes yang dilaporkan adalah sama ada tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan telah menerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum menerima dos penggalak.

Beliau turut menjelaskan antara sebab pesakit Covid-19 kategori satu dan dua dimasukkan ke hospital adalah kerana isu medical emergency antaranya menghidap penyakit komorbid tidak terkawal, baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit tidak terkawal, kes obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi dan keadaan rumah kurang sesuai.

Bagi kes melibatkan kanak-kanak pula, ia disebabkan kekurangan air dalam badan, demam berpanjangan dan kelesuan, mempunyai penyakit kronik dan juga disebabkan tiada penjaga.

Berikutan gelombang Omicron yang aktif, Khairy juga menyarankan majikan untuk mengelakkan urusan pekerjaan secara fizikal seperti mesyuarat dan perjumpaan, sebaliknya menggalakkan konsep bekerja dari rumah.

Mengenai perkembangan dos penggalak Covid-19, beliau turut menyarankan agar individu yang masih belum mendapat janji temu dos penggalak untuk terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan dan menerima vaksin mereka.

Berdasarkan data di laman web CovidNow setakat semalam, sebanyak 13,607,475 atau 57.8 peratus populasi dewasa dalam negara menerima dos penggalak Covid-19; sejumlah 22,940,521 individu atau 97.5 peratus telah lengkap vaksinasi, manakala 98.7 peratus atau 23,217,374 menerima sekurang-kurangnya satu dos.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 rekod jumlah tertinggi 27,831 kes hari ini

SHAH ALAM, 16 FEB: Virus Covid-19 terus merebak pantas dengan merekodkan lonjakan ketara sehingga 27,831 kes hari ini, jumlah tertinggi sejak pandemik.

Sebanyak 22,133 kes direkodkan semalam selepas berada pada paras 21,000 selama dua hari berturut-turut, namun jumlah pesakit serius masih rendah.

Ketua pengarah kesihatan berkata sebanyak 27,734 kes atau 99.65 peratus dalam kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (bergejala ringan).

“Daripada jumlah yang direkodkan hari ini, 97 kes (0.35 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter.

Majoriti pesakit dalam kategori 2, berikut pecahan kes mengikut kategori:

  • Kategori 1: 7,606 kes (27.33 peratus)
  • Kategori 2: 20,128 kes (72.32 peratus)
  • Kategori 3: 59 kes (0.21 peratus)
  • Kategori 4: 28 kes (0.10 peratus)
  • Kategori 5: 10 kes (0.04 peratus)

Jumlah terkumpul di negara ini ialah sebanyak 3,111,514 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

97.8 peratus kes baharu Covid-19 babit kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Sebanyak 97.8 peratus atau 3,428 kes daripada keseluruhan 3,504 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. berkata baki 76 kes baharu atau 2.2 peratus merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 408 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 206 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes sembuh yang dilapor hari ini adalah 4,401 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,606,309,” katanya.

Menurutnya enam kluster baharu dikenal pasti sekali gus menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 246 daripada keseluruhan 6,043.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 12 Dis mengikut negeri menyaksikan Melaka mencatatkan nilai tertinggi sebanyak 1.02, diikuti Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing 1.01, serta Pahang (1.00).

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM buat simulasi tindak balas krisis hadapi lonjakan kes Covid-19

SHAH ALAM, 16 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk menjalankan simulasi susulan kadar kebolehjangkitan kembali melepasi nilai 1, sejak beberapa hari lalu.

Menteri kesihatan Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Twitter semalam meminta KKM dan beberapa agensi membuat penilaian terhadap kebarangkalian situasi terburuk penularan jangkitan dan mengadakan simulasi tindak balas krisis, lapor Berita Harian.

“Program Tabletop Exercise Covid-19 KKM 2021 berlangsung sejak beberapa hari lalu. Kita mesti bersedia untuk lonjakan kapasiti penjagaan kesihatan kita. Rt (kadar kebolehjangkitan) kini pada 1.05,” katanya.

KKM menerusi beberapa hantaran di Twitter, menyatakan program itu dianjurkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Perkhidmatan Hospital (CPRCPH), Program Perubatan dengan kerjasama ‘Subject Matter Expert’ Perkhidmatan Perubatan Kecemasan KKM selama tiga hari bermula 13 November sehingga semalam.

KKM berkata objektif latihan simulasi itu sebagai langkah proaktif menghadapi kemungkinan keadaan kritikal pada masa akan datang, melalui gambaran simulasi untuk merancang dan membuat tindakan secara strategik.

Sementara itu, laman web COVIDNOW turut menunjukkan peningkatan kes dianggarkan sebanyak 5,800 kes atau 17 peratus dalam tempoh tujuh hari lalu.

Kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital turut meningkat iaitu dianggarkan 1,259 kes atau sembilan peratus dalam tempoh tujuh hari lalu, dengan penggunaan katil hospital pada kadar 69 peratus setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data sama, Putrajaya mencatatkan peningkatan kes tertinggi sejak tujuh hari lalu iaitu sehingga 82 peratus dan Perlis menunjukkan kadar peningkatan kes terendah iaitu tiga peratus.

Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan kemasukan ke hospital tertinggi iaitu 115 peratus sejak tujuh hari lalu namun kadar penggunaan katil hanya pada paras 49 peratus setakat tengah malam tadi.

Beberapa negeri turut mencatatkan kadar penggunaan katil hospital melebihi 80 peratus iaitu Kelantan dengan 84 peratus, Melaka (83 peratus), Kedah (81 peratus) diikuti Negeri Sembilan (78 peratus), Perak (74 peratus), Johor (72 peratus) dan Selangor (71 peratus).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

97.9 peratus daripada kes baharu Covid-19 babit individu kategori satu dan dua

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Sejumlah 97.9 peratus atau 7,126 daripada 7,276 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi, melibatkan individu dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 150 kes atau 2.1 peratus pula terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima.

Kategori tiga merujuk kepada individu yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes baharu itu 7,266 kes melibatkan penularan dalam negara membabitkan 6,869 warganegara dan 397 rakyat asing manakala 10 kes adalah kes import membabitkan dua warganegara dan lapan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata 10,555 kes sembuh dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 2,217,057.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 724 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 683 yang disahkan positif Covid-19 manakala 41 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Sebanyak 398 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 297 yang disahkan positif Covid-19 manakala 101 lagi adalah kes disyaki, kemungkinan (suspected, probable) dan dalam siasatan.

Beliau turut memaklumkan 14 kluster baharu dikesan dengan enam kluster membabitkan kluster tempat kerja, lima kluster membabitkan penularan dalam komuniti, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster membabitkan pendidikan lain serta kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.88 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.08.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik dalam laman GitHub dan laman sesawang COVIDNOW menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 247 kes baharu babit kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Sebanyak 2.2 peratus atau 247 daripada 11,332 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi membabitkan kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 11,085 kes atau 97.8 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua atau bergejala ringan.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 23 adalah kes import melibatkan 18 warganegara dan lima rakyat asing manakala 11,309 kes pula melibatkan penularan dalam negara membabitkan 10,475 warganegara dan 834 rakyat asing.

“Sebanyak 14,160 kes sembuh turut dicatat menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 2,020,099 iaitu 91 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata terdapat 986 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 848 yang disahkan positif Covid-19 manakala 138 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 574 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 369 yang disahkan positif Covid-19 manakala 205 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 15 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya membabitkan penularan dalam komuniti dan enam lagi berkaitan tempat kerja.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.90 manakala Pahang mencatat nilai 1.0.

Kesemua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Perlis dan Putrajaya masing-masing 0.99; Kelantan, Perak, Terengganu dan Melaka masing-masing 0.97; Sarawak dan Johor masing-masing 0.93; Pulau Pinang (0.90); Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing 0.88; Sabah (0.86); Kedah (0.85); Kuala Lumpur (0.84); manakala Labuan (sifar).

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan dalam laman Github dan laman sesawang CovidNow menerusi https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Covid-19 negeri dijangka terus menurun, capai paras minimum

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kes Covid-19 di Selangor dijangka terus menurun pada minggu akan datang berdasarkan corak jangkitan beberapa hari kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata kes harian dan mingguan di negeri ini juga dijangka mencapai tahap minimum yang disebut sebagai paras endemik.

“Mengikut trend kes harian dan mingguan terkini yang terus menunjukkan penurunan, dapat dijangkakan bahawa akan terdapat penurunan berterusan pada minggu-minggu mendatang.

“Penurunan perlu dikekalkan atau ditambah baik dengan meningkatkan lagi program imunisasi Covid-19 di Selangor terutama membabitkan golongan sasar seperti pekerja tempatan dan asing serta remaja yang bakal kembali ke sekolah tidak lama lagi,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman.

Sementara itu, beliau berkata saringan kepada individu bergejala perlu terus ditumpukan sebagai strategi mengawal penularan wabak di negeri ini.

“Mereka yang bergejala digalak mendapatkan rawatan segera tanpa berlengah kerana langkah ini akan memberikan impak positif dalam mengawal pandemik di Selangor,” katanya.

Selangor mencatatkan jangkitan paras 2,000 tiga hari berturut-turut mulai Isnin. Sebanyak 2,989 kes direkodkan semalam, 2,107 kelmarin manakala 2,126 kes pada Isnin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah jangkitan di Selangor menurun kepada 2,126 kes, kembali paras awal Julai

SHAH ALAM, 6 SEPT: Jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor menunjukkan penurunan ketara kepada 2,126 kes hari ini, lebih kurang angka sekitar Mei atau Jun lalu.

Angka yang dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia di Facebook menunjukkan jumlah jangkitan di negeri itu menurun lebih 1,500 kes berbanding 3,886 semalam.

Selain mendapat jumlah suntikan vaksin yang tinggi, Selangor menunjukkan aliran menurun angka jangkitan sekitar 3,000 hingga 4,000 kes sejak lebih seminggu lepas.

Jumlah jangkitan nasional turut menurun kepada 17,352 kes hari ini berbanding 20,396 semalam dengan Sarawak mendahului negeri lain dengan 3,714 kes berbanding 3,747 sehari sebelumnya.

Jangkitan di Johor masih tidak banyak berubah dengan catatan 2,101 kes berbanding 2,165 semalam.

Selain itu, lima negeri mencatat jumlah jangkitan harian empat angka tetapi di bawah paras 2,000 kes iaitu Sabah dengan 1,844, Kedah (1,599), Pulau Pinang (1,558), Kelantan (1,213) dan Perak (1,082).

Jumlah jangkitan di negeri dan wilayah lain seperti berikut:

Terengganu – 700
Pahang – 463
Kuala Lumpur – 398
Melaka – 295
Negeri Sembilan – 193

Perlis – 38
Putrajaya – 23
Labuan – 5

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangkitan baharu 20,988 kes, Selangor kembali paras 4,000

SHAH ALAM, 2 SEPT: Jangkitan baharu Covid-19 kembali meningkat kepada 20,988 kes hari ini berbanding 18,762 semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Data yang dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook menunjukkan kes di Selangor meningkat sedikit kepada 4,073 kes selepas mencatat 3,711 semalam.

Peningkatan kes turut berlaku di Sarawak yang menghampiri paras 3,000 kes dengan mencatatkan 2,992 kes berbanding 2,414 semalam.

Tiga negeri lain turut mencatatkan kes di paras 2,000 iaitu Kedah dengan 2,455, Sabah (2,329) dan Johor (2,145).

Sementara dua negeri lagi mencatat jumlah jangkitan lebih 1,000 kes iaitu Pulau Pinang (1,600) dan Kelantan (1,247).

Angka jangkitan di negeri dan wilayah lain seperti berikut:

Perak – 990
Terengganu – 987
Kuala Lumpur – 731
Pahang – 599
Melaka – 407
Negeri Sembilan – 301
Perlis – 90
Putrajaya – 37
Labuan – 5

Categories
AGENDA NASIONAL

18,762 kes baharu Covid-19, Selangor kembali paras 3,000

SHAH ALAM, 1 SEPT: Sebanyak 18,762 jangkitan baharu Covid-19 dicatat hari ini, menurun berbanding 20,897 kes semalam, menurut ketua pengarah kesihatan.

Data yang dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook menunjukkan Selangor kembali menunjukkan trend menurun kepada 3,711 kes selepas mencatat 4,371 semalam. Negeri ini merekodkan 3,567 kes kelmarin.

Dua negeri masih mencatatkan kes di paras 2,000 iaitu Sabah dengan 2,430 kes manakala Sarawak (2,414).

Sementara empat negeri lagi mencatat jumlah jangkitan lebih 1,000 kes: Johor (1,993), Pulau Pinang (1,762), Kedah (1,585) dan Kelantan (1,504).

Angka jangkitan di negeri dan wilayah lain seperti berikut:

Perak – 899
Pahang – 715
Kuala Lumpur – 573
Terengganu – 506
Melaka – 309
Negeri Sembilan – 291

Putrajaya – 34
Perlis – 33
Labuan – 3

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah jangkitan Covid-19 di Selangor turun ke paras 3,000 kes

SHAH ALAM, 30 OGOS: Selangor yang selalunya merekodkan jumlah tinggi menunjukkan trend menurun selama beberapa hari mutakhir kepada paras 3,567 kes hari ini walau jumlah nasional tidak banyak menurun.

Dengan 6,936 kes pada Khamis lalu, negeri itu menunjukkan aliran menurun jumlah jangkitan harian kepada 5,920 (Jumaat), 5,814 (Sabtu) dan 4,591 kes (semalam). Selangor mula merekodkan jumlah paras lebih 3,000 kes pada awal Julai.

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara menurun sedikit kepada 19,268 kes hari ini berbanding 20,579 kes semalam, menurut angka ketua pengarah kesihatan.

Data yang dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook menunjukkan empat negeri lain mencatatkan kes di paras 2,000 iaitu Sabah dengan 2,310 kes, Johor (2,265), Kedah (2,084) dan Sarawak (2,028).

Sementara tiga negeri lagi mencatat jumlah jangkitan lebih 1,000 kes: Pulau Pinang (1,780), Kelantan (1,308) dan Perak (1,144).

Angka jangkitan di negeri dan wilayah lain seperti berikut:

Pahang – 788 kes
Kuala Lumpur – 672
Terengganu – 544
Melaka – 395

Perlis – 71
Putrajaya – 41
Labuan – 2