Categories
AGENDA NASIONAL

Budak lima tahun maut didera ibu kandung, kekasih

JOHOR BAHRU, 4 DIS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai menjadi mangsa dera di sebuah rumah di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata polis menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah hari.

Beliau berkata petugas HSA memaklumkan bahawa mangsa telah dihantar ke hospital oleh ibu kandungnya.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas badan mangsa mendapati terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama ibu kandung dan bapa angkatnya yang merupakan kekasih ibunya serta seorang adik dan kakak mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal oleh pihak hospital terhadap mangsa mendapati mangsa telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Katanya proses bedah siasat akan dijalankan pagi ini di HSA selepas keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa diperolehi.

Dzulkhairi berkata bahagian forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor telah menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan ‘poly pipe’ di atas sofa dan kesan darah di rumah berkenaan.

Susulan itu, pihak polis telah menahan ibu mangsa yang berusia 35 tahun di HSA dan kekasihnya berusia 32 tahun di Nusa Bestari bagi membantu siasatan, manakala adik dan kakak mangsa sedang menjalani pemeriksaan kesihatan di HSA.

Katanya pemeriksaan rekod lampau terhadap kedua-dua individu itu didapati, mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kesalahan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera kakak mangsa sebelum ini.

“Selain itu, mereka mempunyai empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah, reman akan dimohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,076 kes dera kanak-kanak di Selangor hingga September

SHAH ALAM, 1 DIS: Sebanyak 1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di Selangor antara Januari hingga September tahun ini, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Daripada jumlah itu, sebanyak 527 kes membabitkan penderaan fizikal, gangguan seksual (514) dan penderaan emosi (35), maklum Dr Siti Mariah Mahmud.

“Berdasarkan statistik polis Selangor, penderaan kanak-kanak di negeri ini dibahagikan kepada tiga kategori tanpa mengkhususkan kepada kes pedofil,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung kes pedofilia dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Selangor memiliki 11 Pasukan Perlidungan Kanak-Kanak di setiap daerah untuk menyokong khidmat perlindungan kanak-kanak dalam komuniti.

Menurutnya, pasukan itu juga bertanggungjawab menyelaras aktiviti di 17 pusat aktiviti kanak-kanak (PAKK) di setiap daerah mengikut keperluan masyarakat.

“PAKK setiap daerah boleh berfungsi sebagai tempat rekreasi, pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis, pusat sukan dan riadah.

“Usaha ini untuk membantu mencegah kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, ponteng sekolah, kerosakan akhlak dan lain-lain masalah sosial,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kes dera kanak-kanak antara aduan diterima talian SELamat

SHAH ALAM, 16 NOV: Empat daripada 10 aduan diterima melalui talian khas SELamat membabitkan keganasan rumah tangga termasuk satu kes penderaan kanak-kanak.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata kes dera itu dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut manakala selebihnya diberi kaunseling.

“Kes keganasan rumah tangga dirujuk ke kaunselor kerana mangsa mahu menyelamatkan perkahwinan. Enam lagi panggilan melibatkan agensi kerajaan, vaksin dan operasi talian,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki.

SELamat yang dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga beroperasi sejak 3 November lalu dengan menghubungi talian 03-64195027.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan WBS bersama kumpulan sukarelawan.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri turut melancarkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu orang ramai meluahkan tekanan yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik.

Categories
AGENDA NASIONAL

Teliti semula SOP pusat asuhan, elak isu dera

PASIR MAS, 27 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula tatacara operasi piawai (SOP) di pusat asuhan atau taman didikan kanak-kanak (Tadika), katanya Timbalan Menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, penelitian semula itu bagi memastikan keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan, sekali gus mengelakkan berlaku isu penderaan.

“Kita akan meneliti semula SOP di pusat asuhan, bagi memastikan keselamatan kanak-kanak supaya tidak berlaku lagi insiden perderaaan seperti klip video yang tular di laman media sosial semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Malaysia Prihatin di Kompleks Tarbiyah Islamiyah, Chetok, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM yang juga Ketua Jajahan Pasir Mas Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Semalam tular video berdurasi 10 saat yang mencetuskan kemarahan orang awam, susulan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, KPWKM memandang serius isu berkenaan, dan berharap tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang berkaitan.

“KPWKM juga sudah dimaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan untuk kes itu.

“Malah, bagi ibu bapa yang terkesan dengan insiden ini, kami turut menyediakan pegawai pelindung dan menerusi Lembaga Kaunselor Malaysia, kita turut menyediakan pakar-pakar kaunseling untuk membantu mereka yang menghadapi trauma atau isu-isu seumpama ini,” katanya.

Siti Zailah turut menyeru kepada semua pihak, supaya sekiranya mendapat isu atau berita seumpama itu untuk melaporkan kepada KPWKM dan PDRM, melalui saluran Talian Kasih 15999 atau menerusi aplikasi WhatsApp 0192615999.

“KPWKM turut menyarankan kepada ibu bapa, agar menyelidik terlebih dahulu latar belakang pengasuh dan adakah tempat itu berdaftar atau sebaliknya. Banyak kes yang kita dengar kadang-kadang tempat asuhan belum mendaftar, kadang-kadang pengasuh tu tidak pernah mendapat latihan.

“Perkara-perkara sebegini ini amat penting untuk memastikan keselamatan anak-anak, ibu bapa harus peka dan mengambil perhatian sebelum menghantar anak-anak ke pusat asuhan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kesal kes dera pelajar berterusan, ambil tindakan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal gejala buli dan dera pelajar masih berlaku di peringkat sekolah.

Ketua pembangkang itu berkata Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak segera bagi menangani isu berkenaan.

“Budaya sial dalam kalangan pelajar mendera kawan masih berleluasa. Kejadian sedemikian berterusan meskipun pernah mengakibatkan kematian dan kecederaan parah.

“Saya menuntut pihak sekolah, Kementerian Pendidikan dan PDRM untuk bertindak segera,” katanya menerusi Facebook hari ini

Beliau menegaskan video kejadian buli yang berlaku perlu disebar luas sehingga tindakan tegas diambil terhadap pelaku.

Dalam hantaran sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkongsi satu video kejadian buli yang berlaku di Tanah Merah, Kelantan.

Memetik laporan Harian Metro, tiga pelajar yang dipercayai membelasah rakannya di asrama sekolah menengah berkenaa direman empat hari bermula 10 September lalu.

Ketiga-tiga remaja itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

39 peratus kes dera dilakukan ibu kandung

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Tanggapan yang sering mengaitkan ibu tiri dengan sifat yang negatif mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini apabila rekod penderaan kanak-kanak pada tahun lepas mendapati lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera, dilakukan ibu kandung.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendapati golongan bapa mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pihak pengasuh taska atau penjaga pusat jagaan melibatkan 29 kes (enam peratus), manakala kes yang melibatkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes sahaja.

Timbalan Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata jumlah itu antara kes yang diperoleh daripada 25,868 panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 sepanjang tahun lepas.

“Sepanjang tahun lepas sahaja panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih meningkat lebih 70 peratus berbanding 15,046 panggilan tahun 2018 dan ini menunjukkan semakin ramai orang awam sedar dengan perkhidmatan yang disediakan ini.

“Panggilan tertinggi yang dicatatkan adalah melibatkan penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga termasuk mangsanya melibatkan golongan lelaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) ‘Kesedaran Kanser Kanak-Kanak’ antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RMHC) dan Lions Club International di Rumah McDonald (RMH) Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Pada majlis itu, Yeoh turut merasmikan Lions Wonderland yang turut dihadiri Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Malaysia Datuk Javern Lim Chong Hee dan Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RHMC) Malaysia Azmir Jaafar.

– BERNAMA