Categories
NASIONAL

Anwar: “Saya tiada masalah dengan keputusan jika berdasarkan fakta”

Oleh: AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 29 OKT: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kompleks Istana Kehakiman pada jam 9.00 pagi bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta keluarga bagi mendengar penghujahan hari kedua kes Fitnah 2.

Beliau disambut kumpulan penyokong yang berkumpul di luar pagar sebelum masuk ke mahkamah.

Anwar juga mengambil kesempatan bersalaman dengan penyokong beliau.

IMG_4353“Saya tiada masalah dengan keputusan kes jika dibuat berdasarkan fakta. Saya percaya hakim akan melihat kepada fakta,” katanya kepada media.

Pasukan peguambela diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram, sementara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwa.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan Anwar tidak bersalah dalam kes Fitnah 2 selepas Hakim Datuk Mohd Zabidin Diah membuat keputusan dengan alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa, selain pihak pendakwaan gagal membuktikan beliau melakukan perbuatan itu.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar dan pada 24 April lalu, beliau memfailkan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun melalui peguam Zaleha Al-Hayat iaitu pembantu mendiang Karpal Singh di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 35 alasan rayuan kenapa sabitan dan hukuman terhadapnya perlu diketepikan.

-NFN-