Categories
AGENDA NASIONAL

Kes sporadik boleh dikenal pasti dengan sistem berkesan, teknologi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kes sporadik yang menjadi punca peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 boleh dikesan sekiranya Malaysia mempunyai kaedah pengesanan kontak berkesan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata pada masa ini pihak berkuasa tidak dapat mengikuti rangkaian penularannya.

“Itulah peranan pengesanan kontak, sangat penting kalau hanya berpandukan separa manual atau manual sepenuhnya, minta maaf MySejahtera hanya satu aplikasi imbasan QR sahaja.

“Kunci kejayaan negara seperti Singapura yang menggunakan Bluetooth, kesan semuanya…Taiwan, Korea Selatan terkait soal pengesanan kontak pantas bukan meletakkan pegawai pusat kesihatan daerah untuk membuat ratusan panggilan sehari,” katanya.

Bekas menteri kesihatan itu berkata demikian ketika berbahas pada hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melahirkan kekecewaan apabila kerajaan pusat tidak berkongsi data yang penting bagi memerangi wabak itu.

“Begitu juga kami di Selangor, apabila menjalankan kegiatan kecerdasan buatan (AI) untuk belajar pergerakan (wabak), datanya tiada.

“Apabila tiada perkongsian itu kamu hendak kami bertempur, kamu menolak kami ke gelanggang tetapi kamu membutakan mata kami dan mengikat tangan kami di belakang,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laksana ‘serampang tiga mata’ serentak, tangani jangkitan sporadik Covid-19

SHAH ALAM, 26 JUN: Kaedah ‘serampang tiga mata’ perlu dilaksana serentak kerajaan bagi menangani gelombang ketiga pandemik Covid-19 terutama membabitkan kes sporadik.

Ia melibatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengesanan aktif menerusi kaedah FTTIS iaitu kenal pasti (finding), pengujian (testing), pengesanan (tracing), kuarantin (isolation) dan sokongan (support) serta mempertingkat vaksinasi.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata setiap kaedah memainkan peranan dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan tidak boleh laksanakan PKP tanpa ada tindakan susulan FTTIS. Ia menyebabkan jangkitan tidak dapat dikesan dan keluar kes sporadik.

“Kaedah terakhir ibarat peluru iaitu vaksin bagi hentikan wabak. Jangan pertikaikan mana lebih penting kerana ini merupakan strategi berkesan,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian pada program Juru Bicara Rakyat:’Kad Laporan PH: Memerangi Covid-19 dianjur Studio Birumuda dengan kerjasama Unit Pendidikan AMK Malaysia dan Institut Darul Ehsan menerusi Facebook pada Khamis.

Bekas menteri kesihatan berkata kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan ketua pengarah kesihatan akan gagal sekiranya tidak dapat menangani jangkitan terutama penularan kes sporadik yang meningkat ketika ini.

Isnin lalu Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 151,725 kes sporadik atau 38.0 peratus daripada keseluruhan kes dicatatkan di Selangor manakala Kuala Lumpur merekodkan 44,517 kes (11.2 peratus) meskipun PKP penuh dilaksanakan sejak tiga minggu lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFO: Kes sporadik ancam golongan berisiko tinggi

SHAH ALAM, 22 JUN: Peningkatan kes sporadik Covid-19 boleh membahayakan individu dalam golongan berisiko tinggi,” kata pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO).

Justeru, Dr Mohammad Farhan Rusli berkata individu kes sporadik perlu diasingkan segera bagi mencegah penularan wabak dan keselamatan orang sekeliling.

Individu berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit dengan penyakit kronik, mereka yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.

“Apabila golongan berisiko tinggi berada bersama individu daripada kes sporadik, secara tidak langsung mereka terdedah dengan bahaya sehingga ada sebahagiannya perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Golongan yang tidak menerima vaksin juga antara yang berisiko jika berada bersama individu kes sporadik. Penting untuk mengasingkan individu kes sporadik demi keselamatan orang lain,” katanya.

Selain itu, Mohammad Farhan berkata saringan Covid-19 perlu dipertingkat dan menyeluruh bagi membantu mengesan kes sporadik.

“Ujian saringan perlu dilakukan secara besar-besaran supaya kes sporadik dapat diasingkan dan penyebarannya dapat dihentikan agar sesuatu komuniti selamat,” katanya.

Semalam, Selangor merekodkan kes sporadik Covid-19 tertinggi dengan catatan 151,727 kes. Daerah yang mencatat kes tinggi ialah Petaling 3,905 diikuti Hulu Langat (2,783) dan Klang (2,482).

Categories
AGENDA NASIONAL

69 peratus jangkitan Covid-19 bersifat sporadik, tidak bergejala

SHAH ALAM, 21 JUN: Sebanyak 69 peratus jangkitan Covid-19 di Malaysia antara 1 Januari hingga 19 Jun lalu bersifat sporadik dan tidak bergejala, kata ketua pengarah kesihatan.

Peratusan itu bersamaan 398,846 daripada keseluruhan 578,105 kes bagi tempoh berkenaan dengan Selangor mencatat 151,725 kes, Kuala Lumpur (44,517) serta Sarawak (40,889).

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada minggu epid (ME) ke-24 iaitu antara 13 hingga 19 Jun, Lembah Klang merekod jumlah kes sporadik tertinggi.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei lepas dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes kluster pada ME ke-24 (13 hingga 19 Jun), namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara,” katanya dalam kenyataan.

Kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

Kes-kes sporadik dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun daripada saringan kes bergejala. Bagaimanapun, kebanyakan tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti orang sekeliling.

Justeru, Dr Noor Hisham menyeru masyarakat mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri bagi mengelak peningkatan kes sporadik dan kes Covid-19 tidak bergejala.

Berikut tindakan kesihatan awam kendiri yang boleh diambil oleh masyarakat:

– Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar
– Sekiranya perlu keluar, patuhilah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN)
– Optimakan penggunaan teknologi komunikasi untuk kekal berhubung dengan sahabat-sahabat dan sanak-saudara
– Gunakan perkhidmatan dalam talian membuat pembelian
– Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan. Bawa keputusan ujian dan hadir ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan untuk penilaian lanjut. Untuk senarai terkini CAC rujuk: http://covid19.moh.gov.my/hotline
– Sekiranya dibenarkan untuk menjalani Home Surveilance Order (HSO), patuhilah segala peraturan. Jangan bercampur dengan ahli keluarga atau keluar dari rumah dalam tempoh ini. Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan dengan segera
– Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin Covid-19 sebagai langkah menyahut seruan kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majoriti kes baharu, kematian Covid-19 merupakan kes sporadik

SHAH ALAM, 6 JUN: Jumlah kes baharu dan kematian akibat sporadik Covid-19 kini membimbangkan apabila berlaku peningkatan ketara dalam tempoh 1 April [Minggu Epidemiologi (ME) ke-13] hingga semalam.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan jumlah kumulatif kes dilaporkan pada minggu tersebut iaitu sehingga 3 April adalah sebanyak 8,968 kes dengan 52 peratus daripadanya adalah kes sporadik.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada ME ke-22 iaitu sehingga semalam, jumlah kes dilaporkan adalah 52,040 dengan 84.3 peratus adalah sporadik.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata bagi kes kematian akibat Covid-19 pada ME ke-13 iaitu sehingga 3 April sebanyak 26 bagi kategori sama dikesan daripada 35 kematian.

Katanya, lebih membimbangkan angka itu melonjak tinggi dan sehingga semalam iaitu pada ME ke-22 sebanyak 641 kes telah dilaporkan dengan 559 kematian daripadanya adalah sporadik.

“Keadaan ini adalah amat membimbangkan kerana majoriti jangkitan baharu dan kematian Covid-19 adalah merupakan kes sporadik ketika ianya dilaporkan.

“Kes tersebut bermakna jangkitan yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak kes sporadik, 80 peratus menular dalam masyarakat

SHAH ALAM, 4 JUN: Orang ramai diingatkan terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah jangkitan Covid-19 berikutan wabak berkenaan sedang merebak luas dalam komuniti.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 1 Mei, 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dalam negara merupakan kes sporadik.

“Amalkan SOP yang ditetapkan….Elakkan berlakunya kes sporadik,” pesan Cawangan Promosi Kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menerusi Facebook.

Kes sporadik diperincikan seperti berikut:

– Tidak diketahui punca jangkitannya
– Tidak dapat dikait dengan kes-kes lain atau kluster
– Berlaku secara terpencil dan rawak

Semalam Malaysia mencatat 8,209 jangkitan baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 595,374 kes semuanya.