Categories
AGENDA NASIONAL

Kes SRC: Najib gagal hadir, mahkamah beri kata dua

PUTRAJAYA, 7 DIS: Mahkamah Rayuan hari ini menegaskan ia boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibawa ke mahkamah berikutan kegagalan bekas perdana menteri itu hadir pada prosiding permohonan beliau untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd, hari ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata mahkamah mempunyai dua pilihan sama ada untuk membatalkan wang ikat jamin dan mengeluarkan waran tangkap ke atas Najib untuk dibawa ke mahkamah serta-merta atau mengadakan prosiding secara dalam talian (online).

“Kami bagi dua pilihan, pertama, kami boleh membatalkan jaminan dan wang jaminan boleh dirampas. Kami akan mengeluarkan waran tangkap dan menangkap Najib serta-merta dan dibawa ke mahkamah.

“Pilihan kedua, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (COJA), mengadakan prosiding melalui online tanpa mendapatkan persetujuan kedua belah pihak.

“Kami ada pengalaman prosiding dijalankan melalui online walaupun pihak-pihak berada di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun. Ini kan pula di Malaysia,” kata kata Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Hakim Abdul Karim juga memutuskan untuk meneruskan prosiding keputusan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman berhubung penyelewengan dana SRC, yang ditetapkan esok.

Terdahulu, peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Najib, memohon prosiding hari ini dan esok ditangguhkan berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual kepada anak peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu Muhammad Farhan yang disahkan positif Covid-19.

“Saya mahu kamu maklumkan kepada pihak peguam yang mereka boleh bekerja dari rumah. Esok tetap esok, kami belum buat keputusan untuk tangguh. Kita dengar permohonan (memasukkan bukti baharu) hari ini. Ia (esok) hanya untuk keputusan, semua hujahan sudah tamat enam bulan lalu.

“Ini adalah arahan saya, kes hari ini akan didengar pada jam 12.30 tengah hari ini. Saya akan putuskan dengan sewajarnya hari ini,” kata Hakim Abdul Karim.

Pada 1 Dis lepas, Najib memfailkan permohonan itu memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib, 68, berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 Nov lepas berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah US$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak wajar guna sumbangan Arab Saudi beli jam tangan mewah – Anifah

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu adalah tidak wajar bagi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membeli jam tangan mewah untuk isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan sumbangan yang dikatakan daripada Arab Saudi.

Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, 67, berkata beliau bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berhubung penggunaan sumbangan yang dikatakan daripada Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

Sithambaram: Beli jam tangan Chanel berharga setengah juta ringgit untuk isteri Najib, adalah penggunaan yang tidak wajar?

Anifah: Sudah tentu tidak (wajar).

Sebelum ini, dikemukakan di mahkamah bahawa Najib membelanjakan US$130,625 (RM466,330.11) di butik Chanel di Honolulu, Amerika Syarikat pada 2014 untuk membeli seutas jam tangan mewah sebagai hadiah harijadi Rosmah.

Terdahulu, semasa membacakan kenyataan saksinya bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata difahamkan Raja Abdullah tidak mahu sumbangan wang itu “disalurkan secara tidak jelas” kerana ia mungkin mendatangkan masalah dalam penyalurannya dan meletakkan wang itu dalam akaun peribadi Najib bagi mmebolehkan menjadikannya lebih mudah dikawal.

Anifah, yang merupakan saksi keenam pihak pembelaan memberitahu mahkamah bahawa bekas perdana menteri ada bertanya pendapatnya tentang sumbangan kewangan dipindahkan ke dalam akaun bank peribadinya.

“Saya beri jaminan kepada beliau bahawa ia tidak apa-apa kerana sumbangan itu untuk digunakan bagi tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan politik dan adalah menjadi amalan biasa dalam UMNO bagi presiden parti bertanggungjawab secara peribadi terhadap sebahagian besar dana politik,” katanya.

Katanya Najib memberitahunya bahawa sumbangan itu untuk tujuan CSR dan Kabinet tidak dimaklumkan berhubung sumbangan itu kerana ia merupakan sumbangan peribadi daripada Raja Abdullah kepada Najib.

Kepada soalan lain, Anifah berkata beliau tidak pernah bertemu dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semasa beliau memegang jawatan sebagai menteri luar.

Sebelum prosiding berakhir hari ini, peguam mewakili Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa laporan oleh seorang pakar tulisan tangan mengenai tandatangan Najib pada 13 dokumen utama SRC International Sdn Bhd akan siap pada 26 Februari.

“Pakar telah selesai memeriksa dokumen yang dipertikaikan semalam dan boleh menyiapkan laporan itu, selewat-lewatnya pada 26 Februari. Sekiranya pakar lambat menyerahkan laporannya itu kami akan memberikan laporan itu kepada pihak pendakwaan dalam tempoh 12 jam,” katanya.

Bagaimanapun, Sithambaram berkata, mustahil untuk pihak pendakwaan meneliti laporan itu dalam masa singkat.

Berikutan itu, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan pihak pembelaan untuk memberi maklumat terkini mengenai laporan itu pada Isnin.

Muhammad Shafee juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengaturkan pegawai penyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikenali sebagai Nasarudin, untuk memberi keterangan pada Isnin minggu depan sebagai saksi ketujuh pihak pembelaan.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berhubung dengan dana SRC.

Perbicaraan bersambung Isnin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu hingga tiga bulan diperlukan lulus Jaminan Kerajaan – Mohd Irwan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu tempoh masa purata yang diperlukan Kabinet untuk memutuskan permohonan bagi Jaminan Kerajaan ialah satu hingga tiga bulan.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata berdasarkan pengalamannya, ia bergantung kepada kepentingan keperluan Jaminan Kerajaan itu.

“Ia bergantung pada keadaan… satu hingga tiga bulan… kadang-kadang ia mengambil masa kurang sebulan…. tapi biasanya satu hingga tiga bulan,” kata beliau semasa pemeriksaan utama oleh peguam Farhan Read yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Irwan berkata beliau tidak tahu jika ada permohonan sedemikian yang diluluskan dalam tempoh kurang sebulan sambil menegaskan bahawa ia selalunya akan mengambil masa selama sebulan secara purata.

Bagaimanapun, Mohd Irwan berkata beliau tidak terlibat dengan kelulusan bagi Jaminan Kerajaan 2011 untuk pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd, manakala bagi Jaminan Kerajaan kedua berkaitan pinjaman RM2 bilion pada 2012, beliau hanya menandatangani memorandum bagi Jaminan Kerajaan untuk dibentangkan dalam Kabinet.

Semasa prosiding sebelum ini, bekas Timbalan Setiausaha di bahagian pelaburan strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, memberi keterangan bahawa SRC International datang ke kementerian itu untuk membincangkan keperluan ‘segeranya’ bagi mendapatkan Jaminan Kerajaan pada 15 Ogos 2011, dan kertas itu telah dibentang serta diluluskan Kabinet dalam mesyuaratnya bertarikh 17 Ogos 2011.

Afidah Azwa berkata perkara ini adalah luar biasa kerana kelulusan pantas sedemikian bagi Jaminan Kerajaan tidak pernah berlaku sebelum beliau dimaklumkan bahawa SRC International adalah syarikat Najib.

Memperjelas mengenai Jaminan Kerajaan, Mohd Irwan berkata jika sesebuah syarikat boleh membuktikan bahawa ia memiliki projek pada masa hadapan dan menunjukkan bahawa ia mampu menjana pendapatan, maka ia layak mendapat Jaminan Kerajaan.

“Mereka hendaklah mampu membayar balik faedah dan pinjaman pokok… projek-projek seperti empangan hidroelektrik Bakun telah diberikan Jaminan Kerajaan kerana ia telah terbukti menjana pendapatan,” katanya.

Prosiding hari ini berakhir selepas Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V.Sithambaram berkata beliau tidak mempunyai soalan manakala pihak pembelaan turut memilih untuk tidak memeriksa balas Mohd Irwan.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tuduhan Tun M campur tangan kes Najib tidak berasas – Anwar

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Dakwaan kononnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tuduhan tidak berasas sama sekali, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata proses undang-undang di negara ini berjalan dengan telus serta bebas dan ia perlu dihormati.

“Saya tidak mahu masuk campur …keputusan hakim (adalah) minta Najib bela diri, jadi proses undang-undang masih berterusan.

“Saya fikir kita tidak patut layan sesetengah dakwaan kecuali mereka memberikan fakta atau bukti untuk menyokongnya, jika tidak kita patut biarkan proses (undang-undang) diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ahli Majlis Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam mendakwa Dr Mahathir terlibat campur tangan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri itu.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib terkejut diarah bela diri – Peguam

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut diperintah untuk membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas perdana menteri itu menjangkakan beliau dibebaskan bagi semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

“Najib menjangkakan pembebasan bagi semua pertuduhan kerana kami telah mematahkan pertuduhan (semasa penghujahan) malah semasa kes pendakwaan,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Muhammad Shafee mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengarahkan Najib, 66, membela diri atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana itu.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember, dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata pasukan pembelaan mengharapkan pembebasan di peringkat ini kerana mereka yakin telah mengemukakan hujahan yang baik di mahkamah berdasarkan fakta dan undang-undang.

Bagaimanapun beliau berkata perbicaraan tidak boleh dijangka memandangkan pandangan (pembelaan) dan pandangan orang lain adalah berbeza.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata perbicaraan di peringkat pembelaan dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar cerita sebenar daripada Najib kerana bekas perdana menteri itu mempunyai versi apa yang berlaku dalam SRC.

“Setakat apa yang dia (Najib) tahu dan apakah perkara yang boleh beliau pertikaikan berhubung sama ada beliau mengawal SRC, yang kami katakan dia tidak pernah mengawal SRC sebagai menteri kewangan. Najib akan memberi keterangan apakah yang sebenarnya berlaku di Kementerian Kewangan,” katanya.

Peguam itu juga berkata beberapa saksi profesional yang beliau enggan namakan, dijangka dipanggil memberi keterangan semasa peringkat pembelaan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan giat ambil tindakan untuk dapatkan kembali dana KWAP

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Kerajaan melalui syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) sedang giat mengambil tindakan sivil untuk mendapatkan semula dana RM4 bilion yang dipinjam SRC daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memperoleh semula seberapa banyak daripada RM4 bilion dana tersebut.

“Kerajaan melalui SRC sedang giat mengambil tindakan sivil untuk tujuan tersebut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjejak wang berkenaan, selain bekerjasama dengan penasihat undang-undang untuk menentukan tindakan sivil yang boleh diambil bagi mendapatkan kembali aset SRC.

“Segala dana yang dapat dikembalikan kepada SRC dalam usaha di atas akan digunakan untuk membayar balik pinjaman KWAP,” katanya.

Menurut Lim, langkah-langkah untuk mengembalikan wang itu tidak termasuk sebahagian dana SRC berjumlah RM42 juta yang didakwa telah diselewengkan dari SRC, merupakan perkara subjek tujuh pertuduhan jenayah yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lim berkata langkah ini akan mengurangkan beban kerajaan untuk membayar balik pinjaman tersebut bagi pihak SRC, dan menambah peruntukan untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

SRC ialah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012, dan beban kewangannya (SRC) kini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan.

Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (US$1.1 bilion) dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland (lebih US$800 juta), Bank Julius Baer & Co. Ltd di Hong Kong (US$250 juta) dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (US$ 60 juta).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes SRC: Pembelaan fail notis usul mahu batal pertuduhan Najib

KUALA LUMPUR, 9 APR: Pihak pembelaan yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memfailkan notis usul supaya tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib dibatalkan atas alasan ia cacat.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed berkata, pihaknya telah menerima notis usul berserta afidavit berhubung perkara itu pagi tadi.

“Pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit balasan pada 15 April dan pembelaan akan menjawab pada 19 April. Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan masing-masing pada 22 April,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som, di sini.

Budiman Lutfi bagaimanapun berkata, tarikh pendengaran bagi notis usul itu belum ditetapkan lagi, berkemungkinan antara 22 dan 26 April ini.

Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Dalam notis usul yang difailkan pada 3 April lepas, Najib memohon supaya tujuh pertuduhan terhadapnya digantung atau dibatalkan atas alasan pertuduhan itu adalah satu daripada penyalahgunaan proses mahkamah dan cacat dari segi bentuk dan isi pertuduhan.

Pada 3 April lepas, pada hari pertama perbicaraan kes itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihak pembelaan mahu memfailkan notis usul supaya tujuh pertuduhan terhadap Najib dibatalkan atas alasan ia cacat.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram atas dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan kes itu akan bersambung 15 April ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rabu depan keputusan rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA, 5 APR: Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan terhadap empat rayuan akhir bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk satu oleh pihak pendakwaan berhubung kes SRC International Sdn Bhd., Rabu depan.

Panel tujuh hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas selesai mendengar hujah pihak pendakwa dan pembelaan sejak semalam.

Najib, 66, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan beliau bagi mendapatkan dokuman tambahan serta perintah tegar siar bagi menghalang media dan orang awam membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit kes SRC International.

Selain itu, langkah Peguam Negara menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan terhadap Najib daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi manakala pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan meminta Pejabat Peguam Negara menunjukkan surat lantikan pendakwa sementara, Sulaiman Abdullah.

Terdahulu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes anak guamnya akan selesai lebih cepat jika pendakwaan membekalkan dokumen-dokumen yang diminta oleh mereka.

Memetik kes tuduhan rasuah dan penipuan oleh bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, Muhammad Shafee​​​​​​, yang mewakili bekas menteri itu​, berkata pihak pemdakwaan dan pembelaan telah bertukar-tukar dokumen berhubung kes tersebut.

“Perbicaraan kes tersebut dijadualkan selama empat bulan tetapi kita menyelesaikan perbicaraan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh tiga minggu,” katanya.

Sementara itu, peguam bersama, Harvinderjit Singh berkata, dokumen seperti kenyataan saksi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan kenyataan saksi dirakam oleh pegawai penyiasat mengikut kes di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 perlu diberikan kepada pihaknya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya (Ad-Hoc), Datuk V. Siithambaram berkata, pihak pendakwaan tidak bercadang menggunakan dokumen-dokumen yang dimohon oleh pembelaan sebagai sebahagian daripada kes pendakwaan.

“Pemberian perintah yang dituntut oleh pihak pembelaan secara jelas bermakna kesemua kertas penyiasatan (IP) perlu diberikan kepada mereka. Kesimpulannya ialah pada masa depan seluruh IP perlu diserahkan kepada pembelaan bagi semua kes SPRM dan AMLATFA,” katanya.

Beliau juga turut berkata, pihak pembelaan mahu pendakwa mengemukakan semu pernyataan saksi dan dokumen di mana ia boleh dilakukan semasa perbicaraan.

Katanya, pihak pendakwaan setakat ini telah menyerahkan 32 jilid dokumen (kira-kira 7,000 halaman) kepada pihak pembelaan.

Perbicaraan kes Najib berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta telah bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu lalu dan akan disambung 15 April ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penyokong Najib buat kecoh tidak dapat ikuti perbicaraan

KUALA LUMPUR, 3 APR: Seorang penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kecoh di hadapan bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah di sini selepas tidak dibenarkan masuk bagi mengikuti prosiding hari pertama bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Penyokong itu yang merupakan bekas anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang jelas marah kemudian ditenangkan oleh anggota polis bertugas dan penyokong lain.

Gobalakrishnan yang tidak berpuas hati dengan arahan daripada pihak mahkamah itu berkata dalam nada yang kuat bahawa mahkamah itu adalah mahkamah rimba dan bukannya mahkamah rakyat kerana tidak membenarkan penyokong masuk mengikuti prosiding berkenaan.

Selepas ditenangkan, beliau berundur dan meninggalkan ruang legar di hadapan bilik bicara.

Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan Najib, 66, yang didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018, Najib, yang juga anggota Parlimen Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana serupa.

SUMBER: BERNAMA