Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes video: Azmin bersyukur, minta henti politik fitnah

SHAH ALAM, 9 JAN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersyukur atas kenyataan peguam negara berkaitan siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan dirinya.

“Saya bersyukur kepada Allah atas kemenangan kebenaran ke atas kejahatan dan berdoa agar tidak ada sesiapa lagi yang akan menjadi mangsa kepada kedurjanaan politik seperti ini,” kata timbalan presiden KEADILAN.

Menyifatkan video itu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya, menteri hal ehwal ekonomi melalui kenyataan media berkata beliau sedari awal menegaskan secara tuntas rakaman itu hanya fitnah.

“Meskipun mereka yang berniat jahat boleh merancang dan bersekongkol, saya tidak sama sekali ragu bahawa keadilan akan menyerlah,” katanya yang turut merakam penghargaan kepada keluarga, rakan serta rakyat.

“Akhir sekali, mari kita menghentikan politik fitnah, serangan peribadi dan caci-maki. Sebaliknya, menjayakan wacana yang membina dan idea bernas tentang Kemakmuran Bersama, kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara”.

Petang tadi, Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataan media berkata timbalan pendakwa raya memutuskan tiada pendakwaan terhadap mana-mana pihak berikutan laporan analisis yang diterima polis mengesahkan pengenalan identiti dalam rakaman tidak boleh dibuat secara pasti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peguam negara: Tiada pendakwaan kes video seks

SHAH ALAM, 9 JAN: Tiada pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak dalam siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata peguam negara

Tan Sri Tommy Thomas berkata timbalan pendakwa raya memutuskan demikian secara sebulat suara berikutan laporan analisis yang diterima polis mengesahkan pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara pasti.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak. Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baharu diperolehi,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Jabatan Peguam Negara dan polis telah bekerjasama menjalankan siasatan berkaitan dengan video seks yang dikatakan melibatkan personaliti politik sejak 13 Jun tahun lalu.

Sebelum ini, video seks membabitkan dua lelaki tular di media sosial diikuti pengakuan bekas Ketua Pemuda KEADILAN Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai seorang daripada lelaki dalam video tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Haziq bebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan reman selama sembilan hari bagi membantu siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, turut dibebaskan ialah dua lagi individu iaitu Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan rakannya yang ditahan di Johor pada 16 Julai lepas.

“Kesemua mereka dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat hari ini manakala reman seorang ahli perniagaan yang ditahan di Shah Alam akan tamat esok,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, peguam kepada Haziq, Ramesh Sivakumar berkata, pihaknya sentiasa sedia bekerjasama dengan polis sekiranya dipanggil semula untuk memberi keterangan.

“Polis sangat profesional dan kami tunggu keputusan daripada timbalan pendakwa raya sama ada akan dituduh atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas Haziq dibebaskan pada 3.58 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Baru-baru ini, klip video seks memaparkan aksi dua lelaki tular di media sosial dan Haziq Abdullah pada 12 Jun mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam rakaman itu.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Siasatan video seks dikait menteri masih berjalan

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Polis masih menyiasat kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri dan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk menyelesaikan siasatan, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Biar PDRM (Polis Diraja Malaysia) menjalankan tugasnya sebelum ia (hasil siasatan) diserahkan kepada saya dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador),” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama warga PDRM di Pulapol di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes video seks yang melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan dikaitkan dengan seorang menteri.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan kes berkenaan memerlukan tempoh masa yang panjang dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

“Kami tidak mahu ada individu teraniaya akibat siasatan yang tergesa-gesa dan terdapat prosedur tertentu harus diikuti.

“Kami juga amat berhati-hati dalam siasatan ini serta mendapatkan panduan dari pejabat Peguam Negara dalam kes ini,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, Haziq mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kementerian akan menambah seorang lagi anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat, selain akan melantik pengganti Datuk Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri secara sukarela daripada pasukan itu.

“Di peringkat kementerian, kami akan menamakan pengganti dan saya fikir kami perlu menambah seorang lagi… selain pengganti, ada seorang lagi bukan Melayu yang sesuai untuk dibawa dalam pasukan petugas itu,” katanya.

Pasukan Petugas Khas yang ditubuh bagi menyiasat kes kehilangan Koh dan Amri itu sebelum ini melibatkan enam anggota diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda.

Koh, 64, dilapor diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Februari 2017, manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 November 2016.

April lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengeluarkan laporan yang membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat terhadap kehilangan Koh serta Amri, dan susulan laporan itu, Kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu. – BERNAMA