Categories
AGENDA NASIONAL

3.5 peratus penerima vaksin alami kesan sampingan

SERDANG, 2 APRIL: Sebanyak 25,770 kes atau 3.5 peratus daripada 706,404 penerima vaksin Covid-19 sehingga 31 Mac lepas, dikesan mengalami kesan sampingan ringan dan serius.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah kesan sampingan itu, sebanyak 3,676 kes dikesan menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan 22,094 kes dikesan melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata kira-kira 99.5 peratus daripada kes itu adalah kesan ringan dan selebihnya kes serius yang memerlukan rawatan serta pemerhatian lanjut pakar kesihatan.

“Antara kesan ringan yang dialami penerima vaksin adalah sakit di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, muntah, loya, sakit di sendi dan sengal-sengal di badan…bagi kesan lebih teruk seperti bengkak di sebahagian anggota badan seperti muka, sesak nafas dan tidak selesa di bahagian dada.

“Kesemua mereka yang mengalami kesan serius dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut dan kebanyakan mereka sudah sihat dan dibenarkan untuk keluar dari hospital,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tiga buku berkaitan isu pandemik Covid-19 di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata peratusan kesan sampingan penerimaan vaksin Covid-19 yang dikesan di negara ini adalah lebih rendah berbanding peratusan semasa kajian fasa ketiga vaksin Pfizer-BioNTech.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini, tiada kes kematian direkodkan akibat kesan langsung daripada penerimaan vaksin Covid-19.

Ditanya tentang pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan ibu mengandung, Dr Adham berkata berdasarkan data klinikal syarikat Pfizer-BioNTech memaklumkan tiada sebarang masalah bagi ibu mengandung dan menyusu untuk menerima suntikan vaksin itu.

Beliau berkata kumpulan itu disarankan membuat penilaian risiko terlebih dahulu dengan pakar di klinik kesihatan awam atau hospital swasta.

“Akan tetapi mereka (ibu mengandung dan menyusu) boleh merujuk doktor masing-masing, kemungkinan ada risiko yang tertentu, bagaimanapun, setakat ini data menunjukkan ibu mengandung boleh diberikan vaksin Covid-19,” katanya.

Setakat ini, ibu mengandung dalam kalangan petugas barisan hadapan mula menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat insurans perluas bantuan tunai disebab kesan sampingan vaksin

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Sebahagian besar syarikat insurans hayat di negara ini memperluaskan bantuan kewangan kepada pemegang polisi yang mendapat kesan sampingan atau komplikasi sehingga dimasukkan ke hospital susulan pemvaksinan Covid-19.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata perlindungan itu termasuk kos dimasukkan ke hospital yang memerlukan dari segi perubatan dan munasabah susulan kesan sampingan pemvaksinan Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sejumlah syarikat insurans hayat turut menawarkan program bantuan tunai untuk kesan sampingan di bawah dana vaksin Covid-19 masing-masing atau program bantuan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, bantuan itu termasuk pembayaran semula bil perubatan kepada pesakit Covid-19 dan sokongan pemvaksinan pasca Covid-19 bagi kemasukan ke hospital susulan kesan sampingan vaksin; bantuan perubatan dan manfaat kematian khas; pendapatan kemasukan ke hospital; dan bantuan tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell menasihatkan pemegang polisi untuk menghubungi syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai bantuan yang ditawarkan sekiranya mereka mendapat kesan sampingan daripada vaksin Covid-19.

Sambil memuji usaha proaktif kerajaan untuk melindungi rakyat, beliau turut menggesa rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing bagi memerangi Covid-19 dengan membuat pendaftaran bagi program imunisasi itu di aplikasi MySejahtera.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19 selamat, tiada kesan sampingan jangka panjang – Mosti

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menegaskan vaksin Covid-19 yang akan diguna pakai nanti tidak memberi kesan sampingan memudaratkan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim berkata vaksin itu telah diuji secara klinikal dan akan dikawal selia Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

“Semua vaksin mempunyai kesan sampingan, yang penting kesan sampingan itu tidak teruk dan berbahaya, namun setakat ini berdasarkan data yang kami terima tidak ada kesan serius terhadap vaksin ini.

“Sebahagian besar kesan sampingan adalah sementara sahaja misalnya rasa sakit apabila disuntik, sebahagiannya mungkin demam atau loya,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.

Ahmad Amzad berkata pihaknya akan memberi pendedahan dan menyalurkan maklumat yang tepat berkenaan vaksin bagi meyakinkan dan membuang keraguan masyarakat, sekali gus mencapai sasaran 70 peratus rakyat menerima vaksin Covid-19 pada suku pertama tahun ini.

Sehingga ini Malaysia menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal.

– BERNAMA