DENGKIL 16 APRIL : Penduduk Pangsapuri Kos Rendah Taman Permata, Dengkil menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri Selangor sedia memperuntukkan tanah bagi membina rumah teres kos rendah untuk bekas pekerja empat buah ladang yang dipindahkan 13 tahun lalu berikutan projek pembinaan Putrajaya.
Mereka adalah 400 ratus orang penghuni sementara di lima blok rumah tersebut yang merupakan bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.
Rata-rata penduduk risau akan nasib yang menimpa mereka berikutan kerajaan pusat yang dilihat tidak prihatin dengan nasib mereka serta hanya pandai membuat janji tetapi tidak mengotakannya.
Sejak dipindahkan ke pangsapuri terbabit pada 1999, penduduk dijanjikan rumah teres sebagai rumah alternatif mereka. Tetapi lebih 13 tahun berlalu, pangsapuri yang sepatutnya menjadi rumah transit mereka, kini sudah menjadi rumah tetap.
Malah penduduk semakin bimbang apabila rumah transit itu semakin teruk akibat tanah mendap, terlalu hampir dengan saluran paip gas, sistem perparitan yang tidak sempurna dan kotor serta saliran air kumbahan turut pecah dan bangunan rumah retak.
Penyelaras Dun Dengkil, Borhan Aman Shah berkata kerajaan negeri bersetuju memberi 18 ekar tanah berhampiran Dengkil untuk
Bagaimanapun, pembinaan rumah teres seperti yang dijanjikan kepada penduduk itu akan dilaksanakan oleh kerajaan pusat.
“Mereka sudah janji, jadi mestilah dikotakan, kita sudah bagi tanah dan segala dokumen itu sudah ada di Pejabat Daerah.
“Dulu mereka (kerajaan pusat) meminta sebanyak 100 ekar kepada kita, katanya 20 ekar untuk pembinaan rumah kepada penduduk itu dan 80 ekar lagi bagi tujuan pembangunan yang mereka mahu jalankan. Tetapi tuntutan itu melampau dan kita cuma memberi 18 ekar sahaja,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, K.Ramadass, 52, berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mahu menyediakan tanah bagi pembinaan rumah mereka.
Namun, keresahannya masih lagi berbaki kerana takut jika kerajaan pusat masih mahu bermain ‘tarik tali’.
Katanya, mereka sudah 13 tahun menduduki rumah pangsa tersebut, tetapi sehingga kini harapan untuk memiliki rumah teres yang dijanjikan masih belum tercapai walau pelbagai usaha dilakukan.
“Sehingga kini rayuan kami untuk mendapatkan rumah tersebut masih tidak berhasil kerana pihak yang sepatutnya bertanggungjawab tidak melakukan sebarang tindakan bagi menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan.
“Selepas dipindahkan ke rumah pangsa ini, segala kebajikan kami tidak lagi dihiraukan oleh mereka walaupun kami ada menyatakan keresahan kerana terpaksa hidup di rumah yang tidak selamat untuk didiami,” katanya.
Pada 1998 sebanyak 327 keluarga iaitu 177 dari Ladang Prang Besar, 62 dari Ladang Galloway, 37 dari Ladang Madingley dan 51 dari Ladang Sedgeley dipindahkan ke Flet Taman Permata yang dibina oleh Putrajaya Holidings (PJH) melalui Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Semasa dipindahkan ke Pangsapuri Kos Rendah Taman Permata itu mereka dijanjikan pampasan dalam bentuk sebuah rumah teres kos rendah dan sebidang tanah untuk diusahakan.
Mereka mendakwa, wakil PJH turut memaklumkan bahawa penempatan tersebut hanya bersifat sementara dan akan diberikan rumah teres tetapi sehingga sekarang janji tersebut tidak ditunaikan.
Difahamkan, semasa tawaran dibuat 13 tahun lalu wakil dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) dan Kementerian Sumber Manusia turut hadir.